Browsing Tag

Wanita pandu kereta api

Wanita pandu kereta api
Jendela Dunia,

Kaum Hawa Bakal Kendalikan Kereta Api Arab Saudi Tidak Lama Lagi

BUAT kali pertamanya di Arab Saudi, kereta api yang selama ini dikendalikan oleh kaum Adam kini bakal dipandu oleh golongan wanita.

Ya, itulah yang bakal direalisasikan tidak lama lagi apabila Politeknik Kereta Api Saudi atau The Saudi Railway Polytechnic (SRP) membuka peluang berkenaan dan dalam proses ke arah itu.

Ketika ini, SRP sudah membuka pendaftaran untuk kaum Hawa menyertai program latihan memandu Kereta Api Berkelajuan Tinggi Haramain yang menghubungkan Kota Suci Makkah dan Madinah.

Pendaftaran bakal ditutup pada 13 Januari ini.

Untuk rekod, kereta api Haramain membawa kira-kira 60 juta penumpang saban tahun. Permintaannya dijangka akan meningkat pada tahun akan datang terutamanya pada musim haji dan umrah.

Memetik laporan portal berpengaruh di Arab Saudi, Arab News, projek yang diperkenalkan pada 2 Januari lalu itu bakal menyaksikan calon berkelayakan diberikan latihan dan bimbingan secara teori serta praktikal di Jedaah bermula 15 Januari ini selama setahun.

Wanita pandu kereta api

SEORANG wanita muda Arab Saudi menjalani latihan dalam program Haramain Express Train Leaders. – Sumber: Video @SRP_KSA

Menariknya, para pelatih akan menikmati beberapa faedah istimewa termasuk insurans perubatan, pendaftaran dalam organisasi am untuk insurans sosial dan bonus bulanan berjumlah SR4,000 (RM4,455) sepanjang tempoh latihan.

Malah, program berkenaan turut menawarkan graduannya dengan jawatan yang terjamin dengan Renfe KSA, salah sebuah syarikat yang mengendalikan projek kereta api berkelajuan tinggi.

Graduan wanita yang lulus bakal bekerja dengan Kereta Api Arab Saudi dengan pendapatan bulanan sehingga SR8,000 (RM8,910).

Pengarah Kejuruteraan SRP, Abdulaziz Alsogair menjelaskan, pelatih terpilih berdasarkan beberapa kelayakan yang ditetapkan termasuk ujian bahasa Inggeris iaitu Sistem Pengujian Bahasa Inggeris Antarabangsa (IELTS).

Baca juga Arab Saudi Denda Hingga Setengah Juta Riyal Kepada Pengembara Langgar Peraturan Covid-19

“Ini kerana sistem operasi pengangkutan di seluruh dunia bergantung kepada pengetahuan bahasa yang baik. Oleh itu, mereka yang bakal menyertai program ini memerlukan markah sekurang-kurangnya 3.5 dalam IELTS.

“Pemohon yang mempunyai tahap bahasa yang lebih baik akan diberikan keutamaan untuk menyertai skim latihan ini,” katanya sebagaimana dipetik menerusi portal Arab News.

Wanita pandu kereta api

KERETA API Berkelajuan Tinggi Haramain membawa kira-kira 60 juta penumpang pada setiap tahun.

Sepanjang tempoh bimbingan, beliau menambah, para pelatih akan diajar menggunakan simulator kereta api sebagai daripada kursus praktikal mereka.

“Bukan itu sahaja, mereka juga berpeluang memandu kereta api yang sebenar,” katanya.

Dalam pada itu, Abdulaziz menjangkakan pihaknya bakal melatih 50 wanita dalam tempoh kohort pertama ini dan jumlah itu dijangka akan meningkat pada tahun-tahun akan datang.

Baca juga Arab Saudi Beri Kebenaran Pegawai Tentera Wanita Jaga Dua Kota Suci Buat Kali Pertama

Seiring dengan penambahan pemandu itu, katanya, SRP juga menyasarkan untuk membawa 1.5 bilion penumpang Islam dengan kapasiti operasi penuh pada masa akan datang.

“Dengan permintaan yang tinggi untuk pemandu kereta api baik lelaki mahupun wanita, maka lebih banyak peluang pekerjaan bakal diisi oleh anak watan kita,” katanya.

Foto: Arab News & Reuters