Browsing Tag

Wanita kumpul pahala

Berita Semasa,

Wanita datang bulan tetap boleh kumpul pahala dengan 5 perkara ini

“ALAMAK, period pula. Dah pukul 5 petang ni, lagi 2 jam lebih nak buka. Sayangnya, kenapa la period ni nak datang waktu-waktu ni juga.”

Ada segelintir wanita mengeluh ketika datang bulan ketika Ramadan. Apatah lagi, hampir seharian berpuasa, tup tup period datang pula. Siapa yang tidak stres, bukan?

Tapi janganlah mengeluh. Walaupun tak boleh berpuasa, kaum Hawa tetap boleh dapat pahala dalam bulan Ramadan ini.

Masakan tidak, Ramadan kan bulan penuh rahmat dan keberkatan. Jadi, segala amal kebaikan yang dilakukan akan beroleh pahala yang berganda.

Nak tahu bagaimana caranya?

SinarPlus kongsikan saranan pendakwah, Ustazah Hamidah Ab Razak atau lebih dikenali sebagai Da’i Hamidah tentang amalan kebaikan yang boleh dilakukan oleh wanita yang ‘cuti’ berpuasa.

Ada 5 cara untuk wanita haid yang tidak boleh berpuasa untuk kumpul pahala:

1. Memberi atau menyediakan makanan bagi orang yang bersahur dan berpuasa

Sekecil mana pun kebaikan yang kita lakukan, ia akan jadi bernilai kerana dilipatgandakan segala amalan dalam bulan Ramadan ini.

Selain itu, jangan lupa kejutkan suami, anak-anak atau ahli keluarga yang berpuasa untuk bangun waktu sahur. Sediakan juga makanan bersahur untuk mereka. Ini juga termasuk amalan yang sangat besar pahalanya.

Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang memberi makan orang yang berbuka puasa, dia mendapatkan pahala seperti orang yang berpuasa tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa sedikit pun.” (Riwayat al-Tirmidzi)

Wanita kumpul pahala

WANITA ‘uzur’ yang menyediakan makanan berbuka dan bersahur untuk orang yang berpuasa juga boleh beroleh pahala.

2. Memperbanyakkan zikir

Zikir merupakan amal ibadah yang sangat dianjurkan dalam Islam. Zikir dapat melahirkan rasa cinta kepada ALLAH dan juga dicintai ALLAH. Orang yang banyak berzikir akan merasai kelazatan dalam beribadah.

Sebenarnya, ada banyak jenis zikir yang boleh dibaca oleh wanita dalam keadaan hadas besar seperti tasbih, tahmid, takbir, tahlil dan selainnya.

Antara satu zikir yang mempunyai kelebihan besar yang boleh kita amalkan:

Nabi Muhammad SAW bersada: “Sesungguhnya istighfar yang paling baik adalah seorang hamba mengucapkan:

اللهم أنت ربي لا إله إلا أنت، خلقتني وأنا عبدك، وأنا على عهدك ووعدك ما استطعت، أعوذ بك من شر ما صنعت، أبوء لك بنعمتك علي، وأبوء بذنبي فاغفر لي فإنه لا يغفر الذنوب إلا أنت.

(“Ya ALLAH, ENGKAU Tuhanku, tiada Tuhan yang berhak disembah kecuali ENGKAU, ENGKAU menciptakanku dan hamba-MU dan aku (terikat) dengan janji-MU semampu yang aku boleh laksanakan, aku mohon perlindungan-MU daripada kejahatan yang aku lakukan, aku mengakui bahawa semua nikmat yang ENGKAU berikan kepadaku adalah milik-MU dan aku mengakui terhadap dosa-dosaku. Oleh itu ampunilah aku, sesungguhnya tiada yang dapat memberi keampunan kecuali ENGKAU.”)

Barang siapa membacanya di waktu malam dengan penuh keyakinan lalu meninggal sebelum masuk waktu pagi, maka ia termasuk penghuni syurga.” (Hadis riwayat Bukhari, an-Nasaie dan Ibnu Hibban)

3. Mendengarkan al-Quran

Ketahuilah bahawa al-Quran diturunkan dalam bulan Ramadan. Bahkan, Ramadan bulan Nabi Muhammad SAW menyemak bacaan al-Quran bersama Malaikat Jibril AS sepanjang bulan mulia ini.

Para ulama terdahulu amat menekankan al-Quran di bulan mulia ini.

Malah, keuzuran pada wanita tak sepatutnya dijadikan alasan untuk kita menjarakkan diri dengan al-Quran. Boleh saja wanita haid:
– Mendengar ayat-ayat al-Quran tanpa memegang mushaf berkenaan.
– Mentadabbur ayat-ayat al-Quran iaitu melihat makna/terjemahan, lalu menghayati maksud bait-bait kalamullah itu.

Daripada Aisyah RA, beliau berkata berkata: “Rasulullah SAW meletakkan kepalanya di pangkuanku saat aku sedang haid dan ia membaca al-Quran.” (Riwayat al-Bukhari)

Dengan tetap mendengar al-Quran, hati wanita akan selalu terpaut pada kalam-kalam ALLAH. Mereka senantiasa mendapat rahmat.

Wanita kumpul pahala

LAZIMI diri dengan berzikir dan berdoa walaupun tidak boleh berpuasa dan menunaikan solat ketika datang bulan.

4. Berdoa

Mohonlah apa yang dihajatkan untuk kebaikan di dunia dan akhirat dengan berdoa kepada ALLAH. Doa juga satu ibadah. Alangkah ruginya jika kita tidak manfaatkan bulan barakah ini dengan berdoa bersungguh-sungguh.

Bulan ini peluang terbesar untuk kita berubah menjadi lebih baik dan menghidupkan malam dengan berdoa. Maka, doalah berusungguh-sungguh.

Tambah-tambah lagi saat kita berdoa, malam itu ‘jatuh’ pula malam lailatulqadar, subhanallah maka sangatlah beruntung.

Sayyidah Aisyah pernah bertanya kepada Rasulullah SAW, “Wahai Rasullah, andai aku bertemu lailatulqadar, doa apa yang bagus dibaca? Rasulullah menjawab: “Allahumma innaka ‘afuwwun tuhibbul ‘afwa fa’fu ‘anni (Wahai Tuhan, ENGKAU MAHA PENGAMPUN, ENGKAU menyukai orang yang minta ampunan. Kerananya ampunilah aku).” (Riwayat Ibnu Majah)

5. Infakkan harta

Daripada Ibn Abbas, katanya: “Rasulullah SAW adalah orang yang paling pemurah. Baginda lebih pemurah lagi pada bulan Ramadan ketika Jibril menemuinya. Dan Jibril menemuinya pada setiap malam bulan Ramadan untuk bertadarus (mengulang-ulang) al-Quran dengan Rasulullah SAW. Baginda pada ketika itu lebih pemurah dalam memberi kebaikan berbanding dengan angin yang dilepaskan.” (Riwayat al-Bukhari)

Sebenarnya, untuk meraih reda ALLAH ini ada banyak. Cuma, segalanya bergantung kepada diri kita sama ada nak buat atau buat tidak tahu saja.

Kepada wanita yang period, yang tak boleh buat hanyalah ibadah solat dan puasa saja. Tiada sebab untuk mereka meninggalkan ibadah lain walaupun sedang uzur.

ALLAH MAHA PEMURAH. Banyak peluang lain yang ALLAH sediakan buat hamba-NYA. Paling penting, pahala memang DIA sediakan buat sesiapa yang mahu dan suka mencari keredaan-NYA.