Browsing Tag

wanita islam

Antarabangsa,

Kedutaan negara Islam dan NCSW adakan bengkel antarabangsa pemerkasaan wanita yang pertama

HASIL kerjasama pihak kedutaan dari Indonesia, Malaysia, Jordan, Arab, Tunisia dan Turki bersama Suruhanjaya Kebangsaan tentang Status Wanita (NCSW), sebuah bengkel antarabangsa tentang pemerkasaan wanita dalam dunia ekonomi telah dianjurkan di Islamabad, Pakistan baru-baru ini.

Memetik laporan berita The News, acara ini adalah sebahagian daripada suatu siri perbincangan tentang peranan wanita sebagai perintis dalam hal ehwal sosio-ekonomi, politik dan penggubalan dasar dalam dunia Islam.

Upacara perasmian acara telah dihadiri oleh ramai pihak termasuklah pegawai kedutaan yang terlibat, komuniti diplomatik, Pengerusi NCSW, Nilofar Bakhtiar serta Pengerusi Suruhanjaya Kebangsaan Hak Kanak-Kanak, Afshan Tehseen.

Dalam ucapan perasmiannya, duta Indonesia, Adam Tugio menekankan kepentingan pendidikan dan pembangunan kemahiran bagi meningkatkan produktiviti wanita dalam ekonomi negara.

Pegawai kedutaan Tunisia, Borhene El-Kamel pula sempat berkongsi usaha pemerkasaan wanita yang sedang dilakukan di Tunisia.

Selain itu, Pengerusi NCSW menjelaskan idea di sebalik pelancaran bengkel tersebut serta mencadangkan penubuhan kumpulan usahawan wanita baru yang berbakat untuk menghubungkan mereka dengan usahawan wanita berjaya yang lain di serata dunia.

Baca juga 5 tokoh wanita Islam yang wajid dijadikan inspirasi dan tauladan kaum Hawa

Bengkel tersebut juga memberi fokus kepada keadaan ekonomi wanita Islam. Empat panel dari berlainan negara termasuk pemenang Hadiah Keamanan Nobel 2015, Wided Bouchamaoui dari Tunisia turut berkongsi pengalaman mereka sebagai usahawan wanita.

Di samping itu, Afshan Tahseen turut menitipkan pesanan, “Jika anda menyokong seorang wanita bererti anda juga sedang menyokong sebuah negara”.

Pegawai kedutaan dari Jordan, Ibrahim al Madani kemudian mengakhiri upacara dengan menyatakan usaha pemerkasaan wanita dalam bidang ekonomi seharusnya diberikan keutamaan tinggi dalam pelan pembangunan negara.

UPACARA perasmian bengkel dihadiri oleh beberapa tokoh wanita seperti pemenang Hadiah Keamanan Nobel 2015, Wided Bouchamaoui untuk berkongsikan pengalaman mereka sebagai usahawan wanita.

 

Satu lagi acara akan diadakan pada masa hadapan tentang cara meningkatkan peranan wanita dalam bidang politik di negara Islam diikuti dengan peranan ulamak dalam usaha pemerkasaan wanita.

Kesemua acara ini bertujuan mengumpulkan para cendekiawan dan penyelidik dari negara-negara Islam untuk membincangkan serta berkongsikan pengalaman dan pendapat bagi memperkasakan hak wanita seperti yang dijamin oleh agama.

Foto: Laman web Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Islamabad