Browsing Tag

wang simpanan

Zakat harta
Isu, Pilihan Editor,

Sudah Hujung Tahun, Jangan Lupa Tunaikan Zakat Harta

Oleh DR AZRI BHARI

MASYARAKAT Islam kini berada pada penghujung tahun 2021. Sudah sampai masanya ibadah zakat diberi perhatian terutamanya bagi individu yang menjadikan bulan Disember sebagai tempoh penuh dalam pengiraan zakat mereka.

Menyoroti Rukun Islam keempat itu, zakat dikelaskan kepada dua bahagian iaitu zakat fitrah dan harta. Zakat fitrah wajib ditunaikan oleh semua masyarakat Islam sebelum 1 Syawal setiap tahun.

Bagi zakat harta pula, ia diwajibkan kepada individu yang memenuhi syarat-syarat tertentu. Antara lain adalah cukup haul (tahun), sempurna milik, cukup nisab (melepasi paras minimum) dan harta yang disifatkan al-nama (berkembang).

Sebenarnya, terdapat pelbagai jenis zakat harta. Ia termasuklah hasil perniagaan, pertanian dan ternakan, harta ma’adin (galian), harta rikaz (temuan atau karun), emas, perak serta mata wang, hasil pendapatan, wang simpanan, hasil pelaburan dan saham.

Berdasarkan historiografi, pensyariatan zakat sangat unik berbanding dengan ibadah-ibadah yang lain. Ini kerana kewajiban tersebut telah menggabungkan dua tanggungjawab iaitu terhadap ALLAH SWT dan juga manusia.

Justeru, maqasid (objektif) dan hikmah zakat terbahagi kepada dua iaitu mendekatkan diri kepada ALLAH SWT berdasarkan ibadah mahdah (semata-mata) yang bersifat pengabdian.

Zakat harta

SELAIN zakat fitrah, umat Islam yang memenuhi syarat-syarat tertentu juga wajib membayar zakat harta.

Satu lagi ibadah yang termasuk dalam kategori sedekah wajib itu bermatlamat untuk memenuhi kehendak fakir dan miskin yang lebih dikenali sebagai ibadah maliyah (harta).

Hikmah pensyariatan

Sesungguhnya, perintah melaksanakan zakat terselit pelbagai maqasid dan hikmah bagi memastikan maslahah dipelihara dan mafsadah (kerosakan) dicegah daripada menimpa kehidupan manusia.

Baca juga Zakat perniagaan tetap perlu dibayar walaupun rugi

Antaranya seperti berikut:

i. Membentuk kepatuhan dan ketaatan manusia kepada ALLAH SWT.

Imam al-Ghazali berpandangan, objektif utama pensyariatan zakat adalah untuk membuktikan sepenuhnya kepatuhan, ketaatan, pengabdian diri dan keimanan kepada ALLAH SWT.

Masakan tidak, segala harta adalah hak milik mutlak ILAHI, manakala manusia hanyalah sebagai khalifah yang diamanahkan untuk mengurus dan mentadbir harta di sekeliling dengan sebaiknya.

Sebagai bukti menzahirkan tanggungjawab tersebut, maka setiap insan diuji dengan kewajipan berzakat iaitu dengan mengeluarkan kadar tertentu daripada harta yang dikurniakan kepada mereka.

ii. Manifestasi kesyukuran seorang hamba.

Begitu besar imbalan bagi mereka yang berbuat demikian sehinggakan ALLAH SWT berjanji untuk menyuburkan harta dan menambah nikmat bagi orang yang bersyukur.

Firman ALLAH SWT: “Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! jika kamu bersyukur, nescaya AKU akan tambahi nikmat-KU kepada kamu…” (Surah Ibrahim, ayat 7)

iii. Menghapus dan membersihkan diri seseorang daripada dosa.

ALLAH SWT berfirman: “Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya ENGKAU membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk)…” (Surah at-Taubah, ayat 103)

Seterusnya, terdapat hadis Nabi Muhammad SAW yang menegaskan bahawa perbuatan mengeluarkan harta bertujuan untuk pembersihan daripada dosa.

Zakat harta

SESUNGGUHNYA Rukun Islam keempat itu membersihkan manusia daripada bersifat kikir dan kedekut, selain menzahirkan ketaatan kepada ALLAH YANG MAHA ESA.

Baginda SAW bersabda: “Sedekah itu memadamkan kesalahan sebagaimana air memadamkan api.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

iv. Memupuk jiwa menjadi pemurah, melatih diri menunaikan amanah dan menyampaikan hak orang lain.

Secara tidak langsung, ibadah zakat dapat menghiasi akhlak dengan sifat dermawan dan pemurah, selain membuang sifat kikir dan kedekut kerana fitrah manusia sangat sayangkan harta benda.

v. Mewujudkan kesatuan masyarakat dan jaminan sosial.

Amalan zakat menjadi medium yang berperanan secara langsung kepada asas jaminan sosial. Harta yang terkumpul akan disalurkan untuk tujuan kebajikan dan keredaan ALLAH SWT sebagaimana yang terangkum dalam konsep jaminan sosial.
Ia adalah satu bentuk perkongsian menerusi kaedah mengambil harta daripada golongan kaya dan berada untuk diberikan kepada kelompok miskin, melarat serta melata termasuk mereka yang memerlukan.

Falsafah zakat juga menggambarkan keseimbangan sosial di dalam Islam.

vi. Mewujudkan suasana aman dan tenteram dalam kehidupan masyarakat di dalam sesebuah negara.

Perkara itu boleh digambarkan melalui ketiadaan kes jenayah, rompakan dan sebagainya sekiranya golongan yang memerlukan kewangan dibantu dengan wang zakat.

Demikianlah manfaat zakat yang diperincikan dalam Islam agar seluruh umat Islam termotivasi dan cakna untuk melaksanakan kewajiban tersebut.

Sinergi institusi-institusi zakat di Malaysia yang berperanan dan bertanggungjawab dalam menguruskan zakat perlu lebih efektif dengan menjalankan kempen kutipan zakat.

Pada masa sama, bersedia membantu dan memberi khidmat terbaik kepada seluruh masyarakat Islam.

***Dr Azri Bhari ialah Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi MARA, Shah Alam, Selangor.

Foto: Bernama, Unsplash & Pexels