Browsing Tag

wali masih hidup

Untitled design (15)
Isu,

Tidak Sah Perkahwinan Berwalikan Selain Bapa Kandung Jika Masih Hidup Dan Sihat

no comment

PERKAHWINAN adalah amanah ALLAH SWT dan untuk menyempurnakan amanah ALLAH SWT itu ia memerlukan lima rukun iaitu calon suami, calon isteri, wali, dua orang saksi dan lafaz ijab qabul.

Jika kekurangan salah satu rukun itu maka perkahwinan itu tidak sah.

Salah satu isu penting yang sering timbul dan menjadi bahan perbualan dalam masyarakat kita ialah bidang kuasa wali.

Peguam Syarie dari Tetuan Firdaus Abd Jalil & Associates, Abdullah Firdaus Abd Jalil menjelaskan, wali bererti teman karib, pemimpin, pelindung atau penolong yang terdiri daripada ahli waris lelaki yang terdekat kepada pengantin perempuan. Wali ini merupakan salah satu rukun dalam perkahwinan.

Menurutnya, terdapat beberapa firman-NYA yang menunjukkan amat mustahaknya wali dalam sesebuah perkahwinan antaranya Firman ALLAH dalam Surah al-Baqarah ayat 232: “Janganlah kamu menghalang mereka berkahwin kembali dengan bekas suami mereka apabila telah terdapat kerelaan antara mereka dengan cara yang makruf.”

Susunan wali mengikut tertib adalah :
1. Bapa kandung
2. Datuk sebelah bapa ke atas
3. Saudara lelaki seibu-sebapa
4. Saudara lelaki sebapa
5. Anak saudara lelaki seibu-sebapa
6. Anak saudara lelaki sebapa
7. Bapa saudara sebelah bapa seibu-sebapa
8. Bapa saudara sebelah bapa sebapa
9. Anak lelaki bapa saudara sebelah bapa seibu-sebapa ke bawah
10. Anak lelaki bapa saudara sebelah bapa sebapa ke bawah
11. Bapa saudara seibu-sebapa
12. Bapa saudara bapa sebapa
13. Anak lelaki bapa saudara seibu-sebapa
14. Anak lelaki bapa saudara sebapa ke bawah
15. Bapa saudara datuk seibu-sebapa
16. Bapa saudara datuk sebapa
17. Anak lelaki bapa saudara datuk seibu-sebapa ke bawah
18. Anak lelaki bapa saudara datuk sebapa ke bawah
19. Muktiq (tuan kepada hamba perempuan yang dibebaskan).
20. Sekalian asabah kepada seorang muktiq
21. Raja/Sultan.

Menjelaskan kepada SI+, Abdullah Firdaus berkata, mengikut tertib wali, bapa hendaklah menjadi wali bagi semua perkahwinan anaknya. Dan jika bapa tidak ada kerana meninggal dunia maka hak wali berpindah kepada datuk pengantin perempuan itu; dan jika datuk juga meninggal dunia maka hak wali itu berpindah kepada saudara lelaki seibu-sebapa kepada pengantin perempuan dan begitulah bidang kuasa wali mengikut tertib susunannya.

“Hak seorang bapa selaku wali jujbir kepada seorang anak tetap kekal ada. Wali mujbir ertinya wali yang mempunyai bidang kuasa mengahwinkan anak atau cucu perempuan yang masih perawan atau dara tanpa meminta izin perempuan itu terlebih dahulu. Menurut Mazhab Shafi’e, wali mujbir itu terdiri daripada bapa, datuk dan seterusnya sampai ke atas.

“Oleh yang demikian, selagi bapanya masih lagi hidup dan boleh dihubungi. Bapanya mempunyai hak ke atas anak perempuannya. Seseorang wanita itu tidak boleh berkahwin berwalikan bapa saudaranya, sedangkan bapanya masih lagi ada,” ujarnya.

Sebagaimana dalam kes Ismail Abdul Majid lawan Aris Fadilah dan Insun Abdul Majid (1990, Jld. V, II, JH) di Mahkamah Syariah, Kuala Kangsar, Perak, Yang Arif Hakim Amran Satar telah memutuskan perkahwinan yang diwalikan oleh wali ab’ad sedangkan wali aqrab masih ada maka perkahwinan itu tidak sah.

“Fakta kesnya adalah seperti berikut: Pengantin perempuan telah berkahwin dengan seorang pemuda pada 6hb Mei, 1974 di Kampung Kandang Hilir, Kota Lama Kanan, Perak.

“Wali yang bertindak kepada perempuan tersebut ialah saudara lelakinya kerana bapa perempuan itu telah meninggal dunia. Pengantin perempuan itu sebenarnya juga masih mempunyai datuk yang masih hidup dengan segar dan waras yang tinggal di Bt. 8, Batu Laut, Kuala Langat, Selangor.

“Datuk itu tidak diberitahu mengenai perkahwinan cucunya itu. Kes ini telah dibawa ke mahkamah syariah dan telah diputuskan perkahwinan itu tidak sah atau batal dengan alasan:
1. Saudara lelaki pada pengantin perempuan itu tidak ada bidang kuasa wali kerana wali aqrab iaitu datuk perempuan itu masih ada.
2. Akal fikiran datuk itu masih waras maka hak kelayakan wali masih tidak hilang,” jelasnya.