Browsing Tag

wakalah

Urus sumbangan orang awam
Muamalah,

Ini Kaedah Tepat Yang Dianjurkan Syariat Dalam Menguruskan Sumbangan Orang Awam

no comment

Oleh DR AZRI BHARI

SEJAK kebelakangan ini, ketelusan pihak aktivis daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hangat diperbahaskan.

Masyarakat antara lain bertanyakan bagaimana mereka mengurus perbelanjaan dan menggunakan hasil dana sumbangan masyarakat awam yang telah diamanahkan untuk disampaikan kepada golongan penerima.

Jika kita lihat, terdapat NGO yang menyasarkan dana untuk orang tempatan dan ada yang memfokuskan kepada penduduk antarabangsa.

Menerusi perspektif Islam, sumbangan dana masyarakat awam disebut dengan istilah (tabarru’) atau sumbangan derma. Secara umumnya, tabarru’ boleh didefinisikan sebagai usaha seorang mukallaf mengeluarkan harta atau manfaat kepada selainnya pada masa sekarang atau akan datang tanpa sebarang balasan, dengan niat berbuat kebajikan dan kemakrufan (Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah).

Sesungguhnya, Islam sangat menganjurkan seseorang Muslim untuk melakukan amalan tabarru’ dengan harta atau manfaat. Hal itu terbina di atas semangat saling membantu dalam perkara kebajikan seperti yang dinyatakan dalam firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Dan saling membantulah kamu dalam perkara kebajikan dan ketakwaan.” (Surah al-Ma’idah, ayat 2)

Ayat tersebut menjelaskan tentang perintah MAHA PENCIPTA kepada umat Islam supaya saling membantu dalam perkara kebajikan.

Perbuatan makruf (kebaikan) yang diberikan kepada orang lain boleh dilakukan sama ada dengan menghulurkan bantuan kewangan atau sebarang manfaat.

Urus sumbangan orang awam

PASTIKAN hasil sumbangan untuk golongan disasarkan diurus melalui transaksi kewangan dan perbankan Islam. -Gambar hiasan

Kaedah terbaik

Bagi memastikan pengurusan dana sumbangan derma masyarakat awam telus dan diurus dengan baik, patuh syariah dan tanpa penyelewengan, terdapat beberapa langkah dan kaedah menurut perspektif Islam untuk menjamin kredibiliti pihak NGO. Berikut adalah huraiannya:

1. Pihak NGO perlu memastikan pelaksanaan akad atau kontrak secara Islam seperti ijarah, ji’alah atau wakalah yang bersesuaian dalam kutipan dan pengurusan sumbangan derma masyarakat awam.

Akad ijarah merupakah upah atas pemanfaatan suatu benda, imbalan suatu kegiatan atau upah kerana melakukan aktiviti.

Aplikasi dalam akad ini, ujrah adalah upah atau komisen yang boleh diambil oleh pihak NGO daripada wang dana yang disumbangkan oleh penderma dan manfaat pula ialah wang dana yang disalurkan kepada penerima bantuan.

Seterusnya, akad ji’alah pula bermaksud akad atas sesuatu manfaat yang akan diperoleh sebagai imbalan seperti yang dijanjikan terhadap sesuatu pekerjaan.

Akad tersebut boleh dilakukan oleh pihak pengurusan NGO dalam memberi upah khas kepada para ahli atau aktivis sekiranya mencapai sasaran jumlah tertentu ketika menyempurnakan kutipan dana sesuatu misi atau projek kemanusiaan.

Sementara itu, akad wakalah pula bererti penyerahan kekuasaan oleh seseorang kepada pihak lain dalam urusan yang boleh diwakilkan. Pihak yang mewakilkan dalam situasi ini ialah penderma dan pihak yang diwakilkan pula adalah NGO.

Baca juga Tak Boleh Guna Hasil Derma Masyarakat Awam Sewenang-Wenangnya Kecuali Untuk Golongan Disasarkan

2. Pengambilan komisen yang munasabah daripada sumbangan derma masyarakat awam.

Komisen yang diambil boleh digunakan untuk kos pentadbiran, pengurusan, gaji pekerja, sewa bangunan, bayaran utiliti dan sebagainya. Hal sebegitu diharus dan dibolehkan kerana ketiadaan sandaran atau dalil khusus dalam penentuan jumlah tertentu komisen yang wajar diambil.

Walaupun Bank Negara Malaysia membenarkan 30 peratus daripada perolehan NGO untuk digunakan bagi kos pentadbiran termasuk gaji pengasas atau pengerusi organisasi, pihak NGO adalah dicadangkan hanya mengambil kurang atau hingga 12.5 peratus sahaja (bersamaan dengan satu perlapan upah amil zakat).

Ini adalah berdasarkan justifikasi persamaan fungsi dan peranan yang dijalankan oleh NGO dengan pihak institusi zakat atau amil.

Namun, lebih baik hasil sumbangan derma tersebut disalurkan sepenuhnya (100 peratus) kepada sasaran penerima misi bantuan tanpa mengambil komisen.

Pendekatan itu sekali gus boleh membudayakan sumbangan khidmat tenaga, kenderaan, utiliti, kepakaran, kreativiti dan sebagainya secara percuma tanpa sebarang caj atau kos tertentu.

Urus sumbangan orang awam

APABILA mengutip sumbangan, pastikan hanya mengambil komisyen pada kadar yang munasabah atau didermakan 100 peratus.

3. Menyedia dan membentangkan laporan kewangan pihak NGO secara telus.

Cara begitu boleh menambahkan kredibiliti dan keyakinan pihak penderma bahawa sumbangan tersebut berjaya dan disampaikan kepada sasaran.

Walaupun, laporan telah dibuat kepada pihak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia, pihak NGO boleh mengambil inisiatif membuat laporan berkala secara bulanan, setengah tahun atau tahunan kepada masyarakat awam seperti yang dilakukan oleh institusi-institusi zakat di Malaysia dalam melaporkan kutipan dan agihan.

Laporan boleh dibuat dengan terperinci meliputi aspek jumlah keseluruhan kutipan sumbangan derma, jumlah komisen yang diambil berdasarkan perbelanjaan kos pentadbiran dan pengurusan serta jumlah sumbangan yang disampaikan kepada penerima atau sasaran misi kemanusiaan dan kebajikan tersebut.

4. NGO perlu memastikan pengurusan kewangan hasil sumbangan derma masyarakat diurus melalui transaksi kewangan dan perbankan Islam.

Ia bagi mengelakkan unsur-unsur haram seperti riba, ketidakpastian (gharar) dan judi (maysir).

NGO dilihat mampu memainkan peranan yang besar terutama dalam sektor yang tidak dapat dipenuhi oleh perkhidmatan kerajaan. Mereka juga sering disebut sebagai sektor ketiga yang boleh membantu menyelesaikan masalah negara dan menangani pelbagai keperluan sosial termasuk isu kemanusiaan, kemiskinan dan pengangguran.

Namun, sayangnya terdapat segelintir yang menyalahgunakan peranan dengan mengambil kesempatan dan berselindung di sebalik tujuan asal iaitu melaksanakan aktiviti kemanusiaan dan kebajikan, tetapi mempunyai niat untuk mencari keuntungan dan kesenangan.

Pada pandangan penulis, pihak NGO sewajarnya lebih serius terhadap isu ketelusan, kredibiliti pengurusan dan pentadbiran kewangan hasil sumbangan derma orang awam.

Hal tersebut sangat signifikan agar ia menjadi pemangkin kepada budaya kedermawanan dan kesedaran dalam memperhebatkan membantu misi kemanusiaan dan kebajikan sama ada di dalam, mahupun di luar negara.

***Dr Azri Bhari ialah Pakar Rujuk Bahagian Zakat, Sedekah dan Wakaf, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor

Foto: Unsplash & Freepik

Korban satu bahagian lembu dengan seekor kambing
Muamalah,

Patuhi Akad Wakalah Ketika Urus Ibadah Korban

no comment

Oleh DR SHAMSIAH MOHAMAD

TATKALA tibanya bulan Zulhijah, ramai umat Islam mengambil peluang untuk melakukan ibadah korban. Melihat trend pada hari ini, kebanyakan urusan korban dikendalikan oleh pelbagai pihak.

Pihak yang mengurus ibadah korban itu pada kebiasaannya memang mengenakan bayaran caj atau upah perkhidmatan.

Namun, jarang sekali caj atau upah perkhidmatan dinyatakan secara jelas dalam iklan atau borang yang perlu diisi oleh para peserta.

Misalnya, seekor lembu akan dibahagikan kepada tujuh bahagian. Pada kebiasaannya, iklan yang dipaparkan hanya menyatakan harga satu bahagian lembu. Dalam membincangkan perkara tersebut, terdapat dua wakalah (perwakilan) yang berlaku iaitu para peserta mewakilkan pihak yang menguruskan korban untuk membeli lembu yang bakal dikorbankan. Satu lagi, peserta mewakilkan pihak berkenaan untuk melaksanakan ibadah korban bagi pihak mereka.

Pada asalnya, wakalah adalah dalam kategori uqud tabarru’at, namun dari segi hukum syarak, tiada halangan bagi pihak wakil untuk mengenakan bayaran ke atas perkhidmatan yang diberikan. Cuma ia bertukar kepada kategori kontrak yang ada balasan (uqud mu’awadat) iaitu kontrak ijarah (kontrak memberi perkhidmatan dengan bayaran tertentu).

Baca juga Telus Isytihar Jumlah Kos Pengurusan Jika Libatkan Wang Sumbangan Orang Ramai

Namun begitu, apa yang menjadi persoalan adalah adakah kadar caj atau upah perkhidmatan itu mesti dinyatakan dengan jelas? Jika kita meneliti kepada syarat-syarat dalam uqud mu’awadat, subjek akad mestilah dinyatakan secara jelas supaya tidak wujud gharar fahisy (ketidakjelasan yang banyak) yang boleh menyebabkan akad tersebut tidak sah.

Jadi, adakah dengan menyatakan harga satu bahagian lembu sahaja tanpa menyatakan berapakah jumlah caj atau upah perkhidmatan akan membatalkan akad tersebut? Untuk menjawabnya, kita lihat dahulu persoalan seterusnya. Adakah dibolehkan pernyataan umum seperti disebut harga satu bahagian lembu adalah RM800 termasuk caj perkhidmatan? Dalam bab muamalat, jika melibatkan uqud mu’awadat, gharar yang dilarang adalah gharar fahisy.

Ibadah korban

PASTIKAN akad wakalah dinyatakan secara jelas antara peserta dengan pihak yang diwakilkan untuk menguruskan ibadah korban tersebut.

Jadi adakah pernyataan umum tersebut dikira gharar fahisy? Pada pandangan saya, gharar di sini tetap ada, tetapi ia bukan gharar fahisy. Ini kerana sudah dinyatakan secara jelas jumlah keseluruhan harga yang merangkumi sebahagian lembu dan caj atau upah perkhidmatan.

Namun, kaedah paling terbaik pada pendapat saya adalah dengan menyatakan secara spesifik harga satu bahagian lembu dan jumlah caj perkhidmatan yang diambil oleh wakil tersebut. Begitupun, agak sukar untuk berbuat demikian melainkan jika harga lembu yang bakal dibeli sudah diketahui sebelum iklan dibuat.

Jadi sebagai salah satu jalan penyelesaiannya, pihak pengurus ibadah korban berkenaan hendaklah menyatakan harga satu bahagian lembu seperti RM700, misalnya. Dalam borang penyertaan hendaklah ada akad wakalah yang menyatakan persetujuan peserta mewakilkan pihak tertentu menguruskan ibadah tersebut bagi pihaknya atau pihak penama dan juga persetujuan untuk memberikan lebihan daripada harga sebenar bahagian korban yang disertai (jika ada) kepada pihak yang mengurus sebagai hadiah atau sedekah bagi menampung kos pengurusan ibadah tersebut.

Walaupun jalan penyelesaian tersebut tidak menepati 100 peratus dengan satu pandangan dalam Mazhab Maliki yang membenarkan seseorang berkata kepada simsar (broker/wakil): “Belilah dengan harga sekian dan jika ada lebihan, ia menjadi milik kamu”, namun jika kita meneliti dari aspek taradhi (saling meredai), cadangan yang dinyatakan tadi mempunyai ‘semangat’ yang sama dengan apa yang dibincangkan dalam Mazhab Maliki tersebut. Wallahualam.

***Dr Shamsiah Mohamad berpengalaman sebagai Penyelidik Isu-Isu Kewangan Islam dan Syariah

Foto: Bernama

Sumbangan orang ramai
Muamalah,

Telus Isytihar Jumlah Kos Pengurusan Jika Libatkan Wang Sumbangan Orang Ramai

no comment

Oleh DR SHAMSIAH MOHAMAD

PADA penghujung Ramadan baru-baru ini, kita dikejutkan dengan berita tentang serangan yang dilakukan oleh pihak tentera Israel terhadap umat Islam yang sedang menunaikan solat di Masjidil Aqsa. Seperti yang kita sedia maklum, ia bukan kali pertama serangan seumpama itu dilakukan!

Tindakan tersebut telah mendorong Hamas untuk bertindak balas terhadap pihak Israel dengan melancarkan serangan bom ke kawasan yang dikuasai oleh puak Israel. Akhirnya, keduadua belah pihak saling berbalas serangan selama lebih kurang 11 hari.

Lantaran itu, banyak bangunan yang dahulunya berdiri gah kini sudah ranap. Ia termasuklah tempat tinggal, pejabat, sekolah, hospital dan sebagainya. Sebagai tanda simpati dan sokongan terhadap penduduk Palestin yang sekian lama ditindas oleh pihak Israel, pelbagai pihak melancarkan kempen membantu saudara kita di sana. Salah satunya adalah dengan mengutip derma daripada orang ramai.

Di Malaysia sahaja, kempen yang mengajak orang ramai untuk memberi sumbangan begitu rancak dilakukan di platform media sosial. Kebanyakan usaha tersebut datang daripada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Dalam kehangatan kempen membantu Palestin, tiba-tiba ‘meletup’ satu isu tentang sejauh mana wang daripada masyarakat itu benar-benar sampai kepada pihak Palestin. Antara isu lain yang berbangkit adalah perihal yuran pengurusan yang diambil oleh pihak yang mengurus dana berkenaan.

Dari perspektif muamalat Islam, saya berpandangan bahawa semua pihak yang mengendalikan dana daripada orang ramai untuk disampaikan kepada pihak Palestin adalah dikira sebagai wakil kepada mereka. Dengan perkataan lain, hubungan antara pengendali dana dengan para penyumbang melibatkan hubungan antara wakil dan pemberi wakil. Kontrak yang berlaku antara mereka adalah kontrak wakalah.

Sumbangan orang ramai


TIDAK salah untuk wakil mengambil yuran pengurusan dari segi hukum syarak selagi mana kedua-dua pihak yang berkenaan bersetuju dengan jumlah tersebut.

Sebagai wakil, adakah mereka berhak mengenakan yuran pengurusan? Pada asalnya, kontrak wakalah adalah akad tabarru’. Ini bermakna, perkhidmatan yang diberikan adalah secara percuma.

Baca juga Barang Diterima Tak Seperti Yang Dipesan, Ketahui Hak Kita Menurut Islam

Oleh itu, apabila NGO berkenaan ada mengambil yuran pengurusan, ia sekali gus membawa maksud bahawa khidmat mereka bukanlah secara percuma.

Mengambil yuran pengurusan sebenarnya tidaklah salah dari segi hukum syarak selagi mana kedua-dua pihak yang berkenaan bersetuju dengan jumlah tersebut.

Malah, amalan mengenakan yuran wakalah sudah lama dipraktiskan dalam industri kewangan Islam baik yang melibatkan perbankan Islam, takaful, pasaran modal Islam mahupun perancangan harta Islam.

Sebagaimana yang diketahui umum, industri kewangan Islam di Malaysia dikawal selia secara ketat oleh Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia berdasarkan bidang kuasa masing-masing. Setiap yuran yang dikenakan oleh pihak yang dikawal selia mesti dinyatakan secara jelas dan didedahkan kepada pihak pelanggan masing-masing.

Sumbangan orang ramai

BERSIFAT jujurlah ketika menyampaikan sumbangan yang diberikan oleh orang ramai kepada golongan sasar.

Namun, apabila melibatkan pihak NGO yang mengurus dana daripada orang ramai, boleh dikatakan kebanyakan pertubuhan tidak menyatakan secara jelas jumlah yuran pengurusan yang mereka ambil daripada jumlah keseluruhan dana yang terkumpul. Lebih teruk lagi, sekiranya tiada laporan tahunan dikemukakan bagi membolehkan orang ramai melihat dan menyemak sendiri ke mana dan bagaimana sumbangan mereka diurus.

Sepertimana yang telah saya sebutkan tadi, hubungan antara pengurus dana atau NGO dengan penyumbang adalah hubungan antara wakil dan muwakkil (pemberi wakil). Maka dengan itu perlulah dipastikan syarat-syarat wakalah dipenuhi.

Apabila terdapat yuran pengurusan yang dikenakan, jumlah tersebut hendaklah dinyatakan dengan jelas kepada para penyumbang supaya mereka tahu bahawa bukan 100 peratus jumlah sumbangan yang diberikan itu akan sampai kepada pihak yang disasarkan, tetapi hanya sebahagian sahaja setelah ditolak yuran pengurusan. Ketelusan dalam mengurus dana amat penting bagi meraih kepercayaan orang ramai. Wallahualam.

***Dr Shamsiah Mohamad berpengalaman sebagai Penyelidik Isu-Isu Kewangan Islam dan Syariah

Foto: Freepik