Browsing Tag

wajah tak tutup

jenazah di makkah
Antarabangsa,

Mengapa jenazah meninggal di Makkah, wajah tidak bertutup dan diselimut kain berbeza warna?

MENGAPA jenazah yang meninggal di Makkah, wajahnya tidak bertutup dan diselimut kain berbeza warna?

Setiap insan di atas muka bumi tidak akan terlepas daripada kematian. Bila, bagaimana dan di mana hembusan nafas yang terakhir itu akan diambil, semuanya dirahsiakan ALLAH SWT daripada pengetahuan kita.

Meskipun ajal dan maut adalah urusan Ilahi tanpa ada masuk campur daripada manusia, namun umat Islam pasti amat berbahagia sekali andai jasad mereka dapat disemadikan di Makkah atau Madinah.

Baca juga Waspada sakaratul maut bagi yang lalai

Masakan tidak, begitu besar fadilat yang menanti sesiapa sahaja yang berpeluang meninggal dunia di Tanah Suci.

Sabda Nabi Muhammad SAW: “Sekiranya terdapat dalam kalangan kamu yang terpilih meninggal dunia di Madinah (Tanah Suci), maka bergembiralah. Sesungguhnya sesiapa yang terpilih (oleh ALLAH) untuk mati di Madinah, Aku akan menjadi saksi dan syafaat untuknya pada hari kiamat kelak.” (Hadis Riwayat at-Tabrani)

jenazah di makkah

SETIAP hari, ada sahaja jenazah yang disolatkan di Masjidil Haram, Makkah al-Mukarramah.

Menyentuh tentang kematian di Tanah Suci, ada beberapa pihak yang perasan bahawa jenazah yang ada di Makkah tidak serupa seperti di Malaysia.

Ada yang tertanya-tanya mengapa barisan jenazah yang berada di Masjidilharam tatkala solat jenazah didirikan, dibaluti ‘kain kafan’ dengan warna berbeza-beza. Bahkan, ada juga jenazah yang wajahnya tidak ditutupkan.

Baca juga Jangan panik, kalut, 10 perkara perlu buat apabila ahli keluarga meninggal dunia

Persoalan ini pernah dijawab oleh seorang pengguna Facebook, Najmi Farisham menerusi suatu hantaran yang disiarkan di laman sosial tersebut.

“Aku ditanya oleh ramai orang berkenaan gambar jenazah ini. Kenapa kain yang dipakaikan berbeza-beza warnanya? Adakah ia bagi membezakan jenis jantina dan kanak-kanak?” tulis Najmi.

Menurutnya, kain warna-warni yang menutupi tubuh jenazah bukanlah kain kafan. Sebaliknya, ia hanyalah selimut yang diletakkan oleh keluarga arwah memandangkan proses pengurusan jenazah di sana berbeza daripada Malaysia.

Baca juga Suami meninggal, ini yang WAJIB isteri tahu tentang peninggalan harta arwah

Terang Najmi, “Sebenarnya, kain yang berbeza warna itu bukanlah kain kafan yang membaluti tubuh jenazah. Ia cumalah selimut untuk menutup badannya. Mereka semua masih dikafankan seperti jenazah-jenazah lain iaitu kain putih.

“Jadi kenapa ada kain lain yang menyelimuti jenazah?”

Antara sebabnya adalah, jenazah di Makkah akan dimandikan di tempat mandian yang berbeza. Bukan seperti Madinah yang mana sudah ada tempat mandian khas di bawah seliaan Masjid Nabawi. Bukan juga seperti di kampung kita yang mana dimandikan di rumah masing-masing.

jenazah di makkah

SEMUA orang akan mati suatu hari nanti. Persoalannya, adakah kita sudah bersedia untuk menghadapi hari berkenaan?

Contohlah, si fulan meninggal di kampung A. Jadi dia akan dimandikan di tempat mandian berdekatan dengan kampungnya. Setelah itu barulah akan dibawa ke Masjidilharam untuk disolatkan. Kain berwarna yang diletakkan menyelimuti jasadnya itu adalah daripada keluarga itu sendiri. Boleh jadi sebagai tanda dan pengecaman.”

Kata Najmi lagi, tujuan selimut berwarna tersebut adalah untuk memudahkan ahli keluarga mengecam jenazah masing-masing ketika diiring ke perkuburan memandangkan ada banyak jenazah yang disolatkan di Masjidilharam.

Baca juga Ambillah peluang, tunaikan solat jenazah untuk saudara seagama kita. Ini sebab-sebabnya 

Dalam masa sama, pengguna Facebook itu membetulkan sangkaan orang ramai yang berpendapat kain berkenaan digunakan untuk membezakan jantina jenazah.

“Iyalah, setiap hari bukan sedikit jenazah yang disolatkan di Masjidilharam ini. Kain berwarna inilah yang memudahkan ahli keluarganya untuk mengecam jenazah masing-masing, mengiringi ke perkuburan.

Baca juga Jangan suka-suka viralkan gambar jenazah, ini hukumnya yang wajib kita tahu

Jenazah perempuan akan diletakkan penutup besi seperti keranda di atasnya. Pun logiklah juga, kehormatan jenazah mestilah sentiasa dijaga walaupun setelah meninggal dunia. Boleh tengok dalam gambar, saya ada bulatkan. Nampak? Berbeza kan dengan jenazah lelaki,” ujar Najmi.

Perihal jenazah yang mukanya tidak ditutup pula, Najmi menerangkan si mati meninggal dalam keadaan berihram lantas larangan masih terpakai untuknya. Selain wajah dibiarkan terbuka, wangian juga tidak dibenarkan untuk diletak pada jenazah.

jenazah di makkah

JENAZAH yang meninggal dalam keadaan berihram masih ada larangan yang perlu dipatuhi meskipun sudah lagi bernyawa.

“Kalau mereka yang meninggal itu dalam keadaan berihram, wajah dan kepala mereka tidak akan ditutup dengan kain. Kerana mereka masih dalam keadaan ihram walaupun sudah meninggal dunia. Jadi 13 larangan ihram masih lagi terpakai untuknya,” katanya.

Baca juga Ada nikmat kubur buat orang beriman

13 Larangan sewaktu ihram

1. Memakai pakaian bersarung atau berjahit dan bercantum.

2. Menutup kepala atau sebahagian daripadanya.

3. Menutup muka.

4. Memakai sarung tangan.

5. Memakai bau-bauan sama ada di badan, pakaian, makanan minuman atau menghidunya ke dalam hidung.

6. Memakai minyak di kepala atau janggut dan selain daripada yang tumbuh di pipi dan dahi.

7. Menanggalkan rambut atau bulu.

8. Mengerat atau memotong kuku.

9. Menebang/memotong/mencabut pokok-pokok di Tanah Haram.

10. Memburu binatang buruan.

11. Berkahwin/mengahwinkan/menerima wakil kahwin

12. Melakukan pendahuluan persetubuhan.

13. Melakukan persetubuhan.

Sumber: Facebook Najmi Farisham & Portal Lembaga Tabung Haji

Foto: Hijabista, Daily Umrah