Browsing Tag

Visit My Mosque

Masjid UK
Antarabangsa,

Lebih 250 masjid di UK buka pintu pada pelawat menerusi acara #VisitMyMosque hujung minggu ini

LEBIH 250 masjid di seluruh United Kingdom (UK) akhirnya dibuka kepada pelawat bermula pada hujung minggu ini iaitu 3 dan 4 September.

Ternyata perkhabaran gembira tersebut memberikan sinar kepada orang ramai. Ini kerana sekatan akibat pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu menyebabkan institusi masjid terpaksa menutup pintunya untuk pelawat.

Namun demikian, keputusan untuk mengadakan hari terbuka kepada orang ramai termasuk mereka yang berlainan agama itu boleh membantu kelompok yang berminat dengan Islam untuk memahami, sekali gus mendalami agama suci berkenaan.

Baca juga Israel ambil alih ‘hak penjagaan’ Masjid al-Aqsa

Memetik laporan yang dikeluarkan portal About Islam, Majlis Muslim Britain dalam satu kenyataan menjelaskan, inisiatif nasional yang dikenali sebagai Visit My Mosque yang dikendalikan badan tersebut menggalakan lebih 250 buah masjid di seluruh UK untuk mengadakan hari terbuka bagi mengalu-alukan kedatangan pelawat.

Masjid UK

SEBAHAGIAN pelawat yang pernah mengunjungi salah sebuah masjid di UK sebelum pandemik dua tahun lalu.

“Ia tidak kiralah sama ada mereka beragama Islam atau tidak. Tujuannya adalah untuk membina jambatan merentas komuniti.

“Meskipun acara hari terbuka masjid di Britain sebenarnya sudah berlangsung beberapa dekad, namun program Visit My Mosque membolehkan masjid menjadi sebahagian daripada acara seluruh negara yang mana masjid di seluruh England, Scotland, Wales dan Ireland Utara dapat membuka pintu mereka bersama-sama pada hari yang sama,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Sejak dua tahun kebelakangan ini, aboutislam.net melaporkan, acara tahunan Visit My Mosque hanya diadakan secara maya susulan wabak coronavirus.

Baca juga Semakin banyak masjid di Amerika dibenarkan laungan azan

Sebenarnya, sudah beberapa dekad masjid-masjid di UK mengadakan hari terbuka untuk komuniti tempatan.

Masjid UK

SEKITAR hari terbuka di sebuah masjid di UK sebelum pandemik berlaku dua tahun lalu.

Namun, sejak inisiatif nasional #VisitMyMosque pertama kali diwujudkan pada Februari 2015, kira-kira 20 buah masjid turut menyertainya.

Di bawah naungan Majlis Muslim Britain, inisiatif tersebut berkembang dengan lebih 250 masjid mengambil bahagian pada tahun lepas.

Foto: About Islam