Browsing Tag

vaccine

erdogan speech AA
Berita Semasa, Jendela Dunia,

Vaksin COVID-19 Turkovac Mula Percubaan Fasa 3 Di Turki

no comment

Oleh MUHAMMAD YUSUFF HASSAN

VAKSIN Covid-19 buatan Turki memulakan percubaan Fasa 3 Selasa lalu dengan Presiden Recep Tayyip Erdoğan menamakannya “Turkovac.”

Vaksin yang diperkembangkan hasil kerjasama Universiti Erciyes dan Institut Kesihatan Turki, sebelum ini dikenali dengan nama Erucov-Vac, sempena nama universiti.

Ia dijangka menjadi vaksin buatan Turki pertama yang tersedia di negara itu jika mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan setelah menjalani semua ujian keselamatan.

Berucap melalui siaran video kepada pegawai-pegawai kesihatan, termasuk Menteri Kesihatan Fahrettin Koca pada upacara diadakan di pusat aplikasi vaksin di Ankara City Hospital, Erdogan mengatakan vaksin buatan tempatan itu “kritikal” untuk menyelamatkan Turki dari ancaman wabak.

“Kita berada pada tahap terakhir untuk memiliki vaksin sendiri. Saya harap vaksin ini dapat dikeluarkan secara besar-besaran dan digunakan secara meluas dalam masa terdekat.

“Saya menyeru warga negara kita agar diberi vaksin secepat mungkin untuk melindungi diri dan orang yang mereka sayangi dari (pandemik) ini, ”kata Erdoğan.

Yasin Kandemir, sukarelawan pertama percubaan Tahap 3, vaksin Turkovak di ibu Negara Turki Ankara, Turki, pada 22 Jun 2021. (FOTO : AA)

Presiden Turki itu menyatakan hasratnya adalah untuk memvaksinasi seluruh penduduk yang berumur 18 tahun ke atas dalam beberapa minggu, seterusnya membolekan pembukaan semula kegiatan ekonomi dan sosial.

Vaksin Turkovac yang menggunakan kaedah suntikan“inactivated virus” akan dicuba oleh ribuan sukarelawan dan pakar mengatakan keseluruhan proses akan dapat diselesaikan menjelang November.

Sekiranya proses percubaan dan kelulusan dijalankan dengan lancar, vaksin itu akan tersedia sepenuhnya untuk penduduk Turki pada awal tahun depan.

Percubaan dilaksanakan di lebih daripada 20 pusat Turkovac di seluruh Turki. Negara itu juga merancang untuk mengeksport vaksin setelah ia disetujui, dan mendapat kelulusan pihak berwajib.

Sumber : Daily Sabah