Browsing Tag

uzur

Bapa
Isu,

Anak lelaki atau perempuan, jangan lepaskan peluang berkhidmat untuk bapa yang lanjut usia

KASIH seorang bapa sukar dilihat pada mata kasar. Namun, cetusan rasa itu terlalu mencengkam sanubari saat kita berjauhan dengannya. Ketika itu, satu demi satu momen bersamanya menerjah ke dalam fikiran.

Ya, begitulah getar sukma yang dilalui oleh kebanyakan kita. Bila bercerita tentang figura seorang insan yang dipanggil ayah, abah, bapak, papa, daddy, abi dan sebagainya, emosi penulis mudah tersentuh. Apatah lagi apabila mengenangkan kisah yang pernah diceritakan oleh seorang kenalan kepada penulis.

Kata beliau, bapanya acap kali menyatakan keinginannya untuk memiliki sebuah jam tangan berjenama. Sebenarnya dirinya mampu sahaja membelikan barang itu buat ayahnya, cuma masa menjadi kekangan. Ketika itu, pembelian online tidak serancak masa kini.

Mengenangkan hajat ayahnya, akhirnya jam yang diidamkan-idamkan pun berjaya dibeli. Malangnya, belum sempat diserahkan, lelaki kesayangannya itu jatuh sakit, Penciptanya. Sehingga ke hari ini, kawan penulis berasa ralat. Apatah lagi, bapanya memang tiada sakit serius. Benarlah, ajal itu akan tiba bila-bila masa tanpa kita ketahui detiknya.

Kepada mereka yang masih punya bapa, santuni dan berbaktilah kepada mereka selagi masih hidup. Masa begitu singkat untuk bersama insan yang telah membesarkan kita. Sekejap sahaja mereka sudah dimamah usia dan mungkin telah uzur serta tidak mampu menguruskan diri sendiri.

Sempena Hari Bapa yang jatuh pada 19 Jun ini, Sinar Islam Plus mengajak semua untuk menyelami kewajiban dan tanggungjawab seorang anak terhadap ayah yang sudah lanjut usia.

Benarkah tanggungjawab menjaga bapa hanya terletak kepada anak lelaki sahaja? Bagaimana pula jika kita dikurniakan bapa yang ego sehingga enggan diuruskan oleh anak-anak walaupun kudratnya tidak lagi gagah?

Martabat bapa

Ketika ditemu bual Sinar Islam Plus secara maya baru-baru ini, Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi MARA, Ustazah Sharifah Fadylawaty Syed Abdullah membuka kalamnya dengan kewajipan seorang anak terhadap kedua ibu bapanya.

USTAZAH SHARIFAH FADYLAWATY

Ujar beliau, kewajipan berbakti dan menghormati ibu bapa adalah besar selepas beriman kepada ALLAH SWT. Ini bermaksud, tidak lengkap iman seseorang jika tidak berbuat baik kepada ibu bapanya.

Meskipun terdapat hadis yang memerihalkan tentang kedudukan ibu adalah tiga kali tingkat lebih tinggi daripada bapa kerana pelbagai pengorbanan direntas mereka iaitu kesulitan atas kesulitan (wahnan ‘ala wahnin), namun ahli akademik itu menjelaskan, martabat seorang bapa sangat tinggi dalam Islam.

“Al-Quran telah merakamkan beberapa tokoh bapa untuk diteladani dari segi akhlak dan peranannya. Tokoh yang dimaksudkan ialah Nabi Ibrahim AS (Surah as-Saffat, ayat 100-102); , Nabi Yaakub (Surah Yusuf, ayat 83), Nabi Nuh (Surah Hud, ayat 42-43) dan Luqmanul Hakim (Surah Luqman, ayat 13-19). Seorang lagi tokoh yang disebutkan ialah Syaikh Madyan iaitu menurut pandangan ahli tafsir al-Quran, ia merujuk kepada Nabi Syu’aib (Surah Al-Qasas, ayat 26-27).

“Selain itu, perhatian anak terhadap seorang ayah turut dipengaruhi oleh kondisi tertentu. Andai mereka sakit, keutamaan dari sudut penjagaan dan seumpamanya perlu dititikberatkan,” ungkapnya.

Baca juga 5 kewajipan anak perempuan kepada ibu bapa meskipun telah bergelar isteri

Mengulas lanjut tentang penjagaan ayah yang sudah lanjut usia, Sharifah Fadylawaty mengakui ia tidak sama sepertimana keadaan biasa kerana menuntut kesabaran dan pengorbanan yang tinggi daripada anak-anak.

Pun begitu, kewajipan berkenaan perlu digalas oleh semua anak sama ada lelaki atau perempuan, terangnya.

Beliau turut menyenaraikan tanggungjawab yang perlu dilunaskan oleh seseorang terhadap bapanya yang sudah uzur antaranya termasuklah:

i. Sentiasa memberikan sepenuh kasih sayang dan perhatian kepada mereka.

Bapa

BERBUAT baiklah kepada bapa dan jangan sesekali melakukan dosa terhadap mereka kerana doa seorang ayah tidak akan ditolak oleh ALLAH SWT.

ii. Bercakap dengan perkataan-perkataan mulia, penuh penghormatan dan indah.

iii. Sentiasa mendoakan dengan doa seperti: “Wahai Tuhan, kasihilah keduanya (ibu bapaku) sebagaimana mereka mendidik aku semasa aku kecil.” (Surah al-Isra’, ayat 24)

iv. Memberikan sentuhan fizikal seperti peluk, cium, picit kaki dan seumpamanya.

v. Sentiasa bersifat ihsan dan merendah diri di hadapan mereka.

vi. Memastikan keselesaan ibu bapa meliputi tempat tidur, ibadah dan sebagainya.

vii. Menghulurkan wang untuk menampung kos makan, perubatan dan keperluan asas seperti lampin pakai buang, alat bantuan umpamanya kerusi roda serta selainnya.

viii. Melindungi aset mereka dengan penuh amanah.

ix. Memuliakan dan menghubungkan silaturahim dengan sahabat-sahabat mereka.

Bapa syurga si anak

Menyambung hujahnya, Sharifah Fadylawaty kemudian menyentuh tentang komitmen anak lelaki yang lebih berat terhadap ibu bapa masing-masing.

Baca juga Walaupun ibu bapa telah uzur dan nyanyuk, jangan culas jalankan tanggungjawab kepada mereka…

Begitupun, beliau turut memberi peringatan bernilai buat para wanita. Meskipun mengikut aturannya seorang wanita yang telah berkahwin perlu mengutamakan suaminya, ia sama sekali tidak menghilangkan tanggungjawab anak perempuan untuk terus berbakti kepada orang tua mereka, lebih-lebih lagi kalau kedua-duanya sudah berusia dan uzur.

Bapa

BAPA umpama ‘syurga’ buat anak kerana reda ALLAH SWT terletak kepada ibu ayah.

“Paling terbaik, biarlah tanggungjawab itu dipikul secara bersama antara adik-beradik, tidak kira sama ada anak lelaki dan perempuan sebagai mengenang jasa ibu bapa membesarkan kita. Berundinglah dan cari konsensus terbaik bagi memastikan kebajikan orang tua tidak terabai.

“Antara kaedah yang baik adalah dengan mengamalkan sistem penggiliran supaya semua anak berpeluang meraih pahala berbakti kepada ibu bapa sementara mereka masih hidup. Menjadi satu kerugian besar jika kita tidak mengambil kesempatan yang ada untuk berbakti kepada kedua-dua insan penting yang telah melahirkan dan membesarkan kita. Ingatlah, mereka pintu syurga buat anak-anak.

“Barangkali bentuk bantuan yang diberikan oleh anak tidak sama. Semuanya bergantung kepada kemampuan dan kapasiti masing-masing sama ada dari segi kewangan, masa, penjagaan dan seumpamanya. Apa pun, jangan lepaskan kesempatan yang ada untuk mengambil bahagian dan membantu,” sarannya.

Dalam sebuah hadis diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Kehinaan, kehinaan, kehinaan.” Baginda ditanya: “Siapa (yang engkau maksudkan) wahai Rasulullah?” Nabi Muhammad SAW bersabda: “Siapa sahaja yang mempunyai orang tuanya ketika sudah lanjut usia, salah satu atau kedua-duanya, namun tidak (menjadikannya sebab) masuk syurga.” (Hadis Riwayat Muslim)

Bapa

KEPADA yang masih mempunyai ibu bapa, ziarahlah selalu serta penuhi segala keperluan mereka.

Jika bapa yang uzur perlu memakai lampin buang, bolehkah anak perempuan melakukannya?

Menjawab persoalan itu, ahli akademik tersebut menjelaskan: “Hukum asal aurat adalah sesuatu yang perlu dilindungi daripada pandangan atau sentuhan orang lain. Maksudnya, aurat tidak boleh dilihat atau disentuh sama ada oleh mereka yang sama atau berbeza jantina.

“Bagaimanapun, dalam keadaan terdesak atau darurat yang mana tiada pilihan lain, maka hukum asalnya diangkat dan diberi keringanan dalam batasan tertentu berasaskan kepada kaedah fiqh ad-Dharurah Tubihu al-Mahzurat (darurat menghapuskan yang terlarang).

“Cuma dalam soal penjagaan bapa khususnya untuk menukar lampin, sebaiknya ia diuruskan oleh isterinya (ibu kita). Jika tidak mampu, lebih utama diuruskan oleh anak lelaki. Andai tiada pilihan, boleh diuruskan oleh anak perempuan, tetapi perlu dilakukan dengan cermat, menjaga kehormatan dan aib ayah dengan berlapik.”

Wanita perlu keizinan suami

Bagi mengupas tentang tanggungjawab anak perempuan yang sudah berkahwin terhadap bapanya, Sinar Islam Plus menemuramah pendakwah Ustaz Mohd Hassan Adli Yahaya atau lebih dikenali sebagai Imam Muda Hassan.

IMAM MUDA HASSAN

Juara program realiti Imam Muda musim kedua itu menjelaskan, mereka perlu mendapatkan keizinan daripada suami masing-masing untuk menjaga ayah sendiri.

Baca juga Reda isteri penyebab datang rezeki suami? Ini penjelasannya yang perlu kita tahu

“Keutamaan seorang wanita yang sudah berkahwin ialah suaminya. Justeru, keizinan suami perlu untuk berbuat demikian. Bagaimana jika suami tak berikan izin tersebut? Percayalah bahawa lelaki yang tahu dan memahami agama, pasti mereka tidak akan tergamak membiarkan isteri masing-masing tak menjenguk orang tua, apatah lagi jika ibu bapanya sudah uzur.

“Seorang suami yang baik perlu faham bahawa menjaga bapa sendiri dan mertua adalah saranan agama. Ia merupakan perbuatan mulia. Sedarlah bahawa setiap ihsan dan kebaikan yang dilakukan akan kembali semula kepada pelakunya,” jelasnya.

Kepada satu soalan, Hassan Adli menjawab: “Memang adakalanya seorang ayah berasa ego enggan diuruskan oleh anak-anaknya walaupun kudratnya tidak sekuat dulu. Namun sebagai anak, janganlah kita berputus asa dan mengambil hati dengan sikap mereka.

“Sebaliknya, anggaplah itu semua adalah ujian ALLAH SWT buat diri kita untuk berbakti kepada orang tua sehingga hembusan nafas yang terakhir. Sebenarnya, ALLAH hendak memberikan kita pahala dengan cara itu.

“Barangkali juga DIA akan menggantikan bakti kita tadi dengan mengurniakan anak yang baik perilaku dan akhlaknya. Apa jua yang kita lakukan, ingatlah bahawa ayah tadi adalah tanggungjawab kita dan merupakan syurga kita.”

Seperkara lagi, pendakwah itu berpesan agar tunaikanlah segera permintaan dan hajat bapa andai kita berkemampuan agar tidak berasa ralat pada kemudian hari jika berlaku perkara yang tidak diingini.

Sebelum mengakhiri perkongsian ilmunya, Ustaz Mohd Hassan Adli menegaskan agar kita tidak sekali-kali berbuat dosa kepada bapa.

“Seseorang boleh jadi derhaka bukan sahaja jika dirinya tidak taat kepada ibu, malah terhadap bapanya. Boleh jadi ALLAH membalasnya secara tunai di dunia lagi dengan menyekat rezeki akibat dosa-dosa yang dilakukan.

Bapa

KERAPLAH menziarahi ibu bapa kita dan penuhi segala keperluan mereka jika berkemampuan.

“Rezeki bukan harta semata-mata. Barangkali balasan itu datang dalam pelbagai bentuk misalnya, mendapat isteri derhaka, anak tidak mendengar kata dan sebagainya. Ingatlah bahawa reda ALLAH itu terletak pada kedua ibu bapanya,” pesannya.

ANEKDOT

KELEBIHAN santuni bapa

1. Memperoleh keredaan ALLAH SWT.

Ia selari dengan hadis Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Keredaan Rabb itu bergantung kepada keredaan ibu bapa, kemurkaan ALLAH tergantung kepada kemurkaan ibu bapa.” (Hadis Riwayat at-Tabarani)

Sebaliknya, anak yang menderhaka kepada ibu bapa dianggap melakukan dosa besar dan diancam dengan balasan sebagaimana dalam hadis Nabi Muhammad SAW: “Menyebabkan kedua ibu bapa menangis termasuk di antara perkara derhaka dan dosa-dosa besar.” (Hadis Riwayat Imam al-Bukhari)

Dalam sebuah riwayat lain, baginda SAW bersabda: “Dua kejahatan yang disegerakan balasan di dunia adalah zina dan menderhaka kepada kedua ibu bapa.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

2. Dipanjangkan usia dan ditambahkan rezeki.

3. Memperoleh kemustajaban doa.

4. Dikurniakan pahala berlipat ganda.

Bapa

HORMATI bapa sama seperti kita menghormati ibu sendiri dan santunilah mereka dengan segala kudrat yang ada.

5. Perjalanan hidup dilancarkan dan dipermudahkan oleh ALLAH SWT.

6. Dikasihi oleh insan di sekeliling.

Sumber Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi MARA, Ustazah Sharifah Fadylawaty Syed Abdullah

Foto: 123rf & Freepik