Browsing Tag

Uwais al-Qarani

Untitled design (14)
Gaya Hidup,

Kemasyhuran Kisah Uwais Bin ‘Amir Al-Qarani Yang Sangat Menyantuni Ibunya

no comment

KISAH wali ALLAH SWT, Uwais Bin ‘Amir al-Qarani yang sangat menyantuni ibunya sememangnya masyhur dalam kehidupan umat Islam sehingga ramai yang menjadikan sebagai teladan

Kisah ini disebut di dalam kitab-kitab hadis yang berautoriti seperti Sohih Bukhari, Sohih Muslim, Tirmizi dan lain-lain.

Menurut Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor, Uwais al-Qarani adalah pemuda Yaman yang hidup pada zaman Nabi Muhammad SAW tetapi beliau tidak sempat menemui Baginda kerana sibuk menjaga ibunya yang tua.

Beliau berkata, Uwais al-Qarani digelar oleh Baginda sebagai ‘Sayyid al-Tabi’in’ yakni ‘Penghululu bagi generasi Tabi’in’.

“Rasulullah SAW berpesan kepada para sahabat, barangsiapa yang menemui Uwais nanti, mintalah dia memohon keampunan ALLAH SWT untuk kalian kerana doanya amat mustajab,” jelasnya kepada SI+.

Bercerita lanjut tentang pemuda itu, agamawan ini berkata, Uwais datang ke Makkah bersama satu rombongan haji dari Yaman pada zaman pemerintahan Khalifah ‘Umar Ibnu Khattab yang meminta beliau memohon keampunan ALLAH SWT untuk dirinya (Umar) seperti yang dipesan oleh Baginda.

Katanya, setelah itu Uwais pergi ke Kufah dan dikatakan beliau mati syahid di dalam peperangan Saffin!

Menurut riwayat di dalam kitab-kitab hadis, Uwais al-Qarani adalah seorang zuhud, warak dan banyak beribadah.

“Beliau juga suka bersedekah dengan harta yang lebih daripada keperluan asas dirinya,” jelasnya.

Pada masa sama, menjawab persoalan berkenaan pemuda ini berlatih mengendong lembu, beliau menjawab, adapun kisah pemuda itu berlatih menanggung lembu sebagai persediaan untuk mengendong ibunya pergi ke haji, kisah ini tidak ditemui di dalam riwayat yang sohih.

“Kemungkinan diceritakan oleh ahli-ahli sufi (tasawuf) di dalam kitab-kitab karangan mereka. Termaklum bahawa kitab-kitab sedemikian memuatkan banyak kisah orang-orang solih yang direkayasa oleh pengarangnya atau diperbesar-besarkan!.

“Ia lebih kepada penglipur lara yang tidak boleh dipertanggungjawabkan dari sudut akademik,” ujar beliau.