Browsing Tag

Utah

Imam
Antarabangsa,

Muslimin di Utah bantu bina rumah untuk imam masjid

SEORANG imam di Utah, Amerika Syarikat (AS) berulang-alik selama tiga jam untuk ke tempat kerjanya di Masjid Khadeeja.

Tempoh masa itu mungkin dianggap biasa oleh kebanyakan masyarakat di negara kita lantaran terpaksa meredah kesesakan jalan raya yang dahsyat saban hari.

Namun, rutin tersebut sebenarnya begitu sukar dan memenatkan. Demikianlah juga yang dirasai oleh Imam Pusat Islam Khadeeja, Habib Sarfraz setiap hari demi melaksanakan tugasnya untuk ummah.

Ketika ditemubual Fox 13 News baru-baru ini, Sarfraz berkata, tugas sebagai imam menuntut komitmen tinggi dan tanggungjawab berat.

“Imam mempunyai begitu banyak tanggungjawab. Seperti yang anda tahu, dia perlu berada di sini (masjid) untuk (mengimamkan) solat lima waktu.

Imam

IMAM HABIB SARFRAZ (gambar bawah, kanan) terharu dengan usaha komuniti Muslim di Utah yang membina rumah untuk memudahkannya menjalankan tanggungjawabnya. -FOTO: FOX 13 NEWS

“Saya terutamanya, tinggal di Lehi, jauh dari sini,” katanya ketika diwawancara di Masjid Khadeeja, Utah.

Baca juga Imam Masjidil Haram dipenjara 10 tahun kerana tegur?

Untuk duduk di kawasan berhampiran masjid, ia suatu yang agak sukar untuk mendapatkan kediaman mampu milik memandangkan kos perumahan yang melambung tinggi.

Perkara itu turut diakui oleh Presiden Persatuan Islam Greater Salt Lake, Aden Batar.

“Sewa di sini melebihi AS$2,000 (RM9,152), sedangkan komuniti di sini tidak mampu membayar sebanyak itu. Kami merupakan komuniti yang kecil,” katanya.

Meskipun demikian, masyarakat Islam di Utah tetap berusaha memikirkan solusi supaya imam lebih dekat dengan mereka.

Akhirnya, pemegang amanah persatuan tersebut, Ghulam Patel berkata, timbul idea ‘mari kita bina rumah’.

Menurut Fox 13 News, keseluruhan projek pembinaan rumah itu menelan belanja kira-kira AS$400,000 (RM1.83 juta). Setakat ini, Persatuan Islam Greater Salt Lake berjaya mengumpulkan lebih AS$100,000 (RM457,600) untuk membantu membayar rumah berkenaan.

Imam

PROJEK pembinaan rumah berkenaan menelan belanja sebanyak RM1.83 juta. -FOTO: FOX 13 NEWS

Mereka juga sedang mengumpul dana dan meminta sumbangan komuniti untuk membayar baki kos yang tinggi.

Baca juga Imam di United Kingdom digugurkan jawatan kerana anjur protes filem ‘The Lady of Heaven’

Usaha keras dan sikap baik yang ditonjolkan komuniti Muslim di Utah membuatkan Imam Sarfraz tersentuh.

“Ini adalah isyarat yang baik daripada masyarakat untuk mengatakan ‘Hei, kami di sini untuk menyokong anda’,” kata imam berkenaan.

Menurut Ghulam Patel, bermula dengan hanya 120 orang Islam sekitar 1980-an, komuniti Muslim di Utah kini semakin bertambah.

DARI kiri, Ghulam Patel dan Aden Batar.

“Sekarang sekurang-kurangnya terdapat 12 buah masjid di Utah dan ia berkembang. Saya rasa kita ada hampir 100,000 Muslim,” katanya.

Selepas projek perumahan itu disiapkan, mereka merancang untuk membangunkan sebuah pusat komuniti bersebelahan dengan Pusat Islam Khadeeja.

***Foto: Fox 13 News