Browsing Tag

#ustazselebriti

Untitled design (36)
Berita Semasa, Dalam Negara,

Empat pesanan Menteri Agama kepada ustaz selebriti

KONTROVERSI melibatkan ustaz selebriti meniti di bibir masyarakat beberapa hari ini. Ibarat nila setitik rosak susu sebelanga apabila isu yang terpalit ini menjejaskan imej kebanyakan pendakwah yang ada.

Tular baru-baru ini apabila seorang ustaz selebriti telah ditangkap susulan isu tidak bermoral yang dilakukan.

Isu yang masih hangat ini turut mendapat perhatian daripada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad. Beliau berkongsi pesanan dan garis panduan yang harus dilakukan sebagai seorang pendakwah.

Beliau memberikan empat nasihat kepada ustaz dan pendakwah selebriti negara, bertujuan untuk memastikan mereka tidak terjebak dengan perbuatan yang tidak bermoral seterusnya tidak lagi dipercayai masyarakat.

Beliau berkata, antara nasihat utama yang perlu direnungkan oleh golongan ini adalah sentiasa mengamalkan setiap dakwah yang sudah disampaikan kepada masyarakat.

“Kita kena sedar bahawa apa yang sering kita bercakap (dakwah) kita sering lupa, tetapi orang tidak akan lupa.

SEORANG pendakwah atau dai harus sering bermuhasabah diri sendiri khususnya mengenai apa yang dicakap (dakwah).

Kedua, setiap pendakwah, ustaz serta dai harus sering bermuhasabah diri sendiri khususnya mengenai apa yang dicakap (dakwah). Adakah kita sendiri beramal atau tidak,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Bijaktani Hidroponik Asnaf anjuran Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), hari ini.

Mengulas lanjut, Idris turut menasihati, seorang pendakwah atau ustaz juga perlu menyedari risiko menjadi seorang individu yang mempunyai pengaruh kepada golongan masyarakat.

“Mereka kena sedar selebriti ini mempunyai pengaruh yang tersendiri malah saya sebagai seorang ustaz juga mempunyai pengaruhnya.

“Disebabkan itulah anda perlu beringat dan walaupun kita bukan manusia yang sempurna dan mempunyai kesalahan, kita juga perlu meminimunkan hal-hal sebegini. Jika tidak ia akan menjatuhkan imej kita sebagai pendakwah,” katanya.

Terakhir, beliau turut menasihati agar mereka menjaga tingkah laku kerana tindakan buruk yang dilakukan pastinya akan memberi kesan negatif kepada semua pendakwah serta ustaz di negara ini.

“Ibarat nila setitik rosak susu sebelanga, banyak lagi ustaz selebriti yang baik, dai yang baik juga pendakwah yang baik tetapi kerana seorang dua ini, kesannya ramai yang pandang tidak baik,” katanya.

GARIS panduan sudah pun ditetapkan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk pendakwah selebriti setiap kali melakukan ceramah di mana-mana platform. 

Mengulas lanjut, Idris berkata, penahanan dua orang pendakwah selebriti dalam tempoh terdekat ini amat malang kerana ia sepatutnya tidak berlaku malah begitu dimurkai ALLAH.

“Amat malang ia terjadi sedemikian, ALLAH juga murka dan kemurkaan-NYA adalah lebih besar kerana kamu bercakap (berdakwah) tetapi kamu tidak buat.

“ALLAH juga akan murka dengan orang jahil yang melakukan kejahatan tetapi kemurkaan ALLAH adalah lebih dahsyat apabila orang yang mengetahui berbuat sedemikian rupa. Kalam di lidah tidak diterapkan sehingga ke dalam hati,” katanya.

Ditanya mengenai perancangan untuk menetapkan garis panduan baharu untuk pendakwah selebriti yang akan ditetapkan oleh kementeriannya, Idris berkata, perkara itu sudah pun ada.

“Ia adalah soal hati, kita lihat seseorang itu baik tetapi hati kita tidak tahu. Kita sudah lihat kelayakan mereka tetapi kita lihat secara luaran sahaja, kita tidak tahu hati mereka.

“Bila jadi kes sebegini, kita akan tahu dan ambil tindakan. (Seandainya dibuktikan bersalah) selepas ini tidak boleh lagi dibenarkan untuk menyampaikan ceramah,” katanya.