Browsing Tag

Ustazah Isfadiah Mohd Dasuki

linkedin-sales-solutions-UK1N66KUkMk-unsplash
Berita Semasa,

Kemusykilan mengenai PKP akhirnya terjawab, dan 7 soalan netizen berjaya dihurai

BARU-BARU ini SinarPlus menyambut ulang tahun pertama mereka bersiaran yang mana pada 1 Mac lalu genap sudah usia penerbitannya selama satu tahun.

Bersempena dengan itu SinarPlus juga memeriahkan lagi sambutan dengan bersiaran secara langsung di laman Facebook melalui satu program yang dikenali sebagai Yass Satu Tahun Yang Awesome-SinarPlus Versary yang berjaya dilangsungkan selama 15 jam berturut-turut.

Durasi yang panjang itu bagi menghargai sokongan dan memenuhi permintaan pembaca SinarPlus yang mahu terlibat secara langsung terutama dalam segmen Happy Hour!-SinarPrise dan $inarPulu$.

Apa yang menarik, seawal pagi lagi, pelayar Facebook SinarPlus sudah membanjiri halaman maya untuk mendengar jawapan bertanya mengenai kemyuskilan agama melalui salah satu program yang ditawarkan khas buat pelayan iaitu Soal Jawab Netizen edisi agama.

Mungkin ada dalam kalangan kita yang musykil dengan beberapa perkara terutama mengenai ilmu agama, namun tidak mendapat jawapan yang pasti atau masih lagi ragu-ragu.

Oleh demikian, bagi menjawab soalan netizen ini, SinarPlus telah membuka peluang kepada pelayar untuk bertanyakan soalan kepada Ustazah Isfadiah Mohd Dasuki dan suami Ustaz Muhidin Mokter untuk menjawab kemusykilan mereka.

Jom kita ikuti perkongsian beliau :

1.Saya sudah tiga bulan tidak berjumpa ibu dan bapa kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sebagai seorang anak yang rindukan ibu dan ayah bolehkan saya ingkari arahan PKP, apakah hukumnya?

USTAZAH ISFADIAH : Bila menyentuh soal PKP, ia tidak akan dilaksankan jika tiada perkara yang memudaratkan. Pihak kerajaan menetapkan arahan tersebut ia pasti mempunyai asbabnya yang tersendiri dan saya percaya ia adalah bertujuan untuk kesejahteraan semua pihak.

Sekiranya PKP ditamatkan, ini 5 strategi yang mungkin boleh diguna pakai untuk melandaikan kes Covid-19Soal rindukan ibu dan ayah pula sebenarnya ia melibatkan perasaan normal seorang anak. Namun hakikatnya mendengar arahan pemimpin atau pihak berkuasa lebih utama daripada melayan perasaan sendiri kerana jika kita ingkar, perbuatan kita itu mampu memudaratkan ibu dan ayah kita.

Allah s.w.t. berfirman:

Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Uli al-Amri” (orang-orang yang memimpin) dari kalangan kamu.

Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (al-Quran) dan (al-Sunnah) Rasul-Nya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya.” (al-Nisa’, 4: 59).

2. Saya dalam proses menghabiskan puasa ganti Ramadan tahun lepas. Jika saya sengaja membatalkan puasa gantik itu, perlu atau tidak saya ganti semula puasa berkenaan sebanyak dua kali iaitu puasa ganti Ramadan dan puasa ganti yang saya batalkan tersebut?

USTAZ MUHIDIN MOKTER : Puasa di dalam bulan Ramadhan adalah salah satu daripada rukun Islam yang difardhukan ke atas setiap umat Islam. Meninggalkan puasa dengan sengaja, tanpa sebarang keuzuran adalah berdosa besar.

Namun begitu, Islam masih memberikan peluang kepada umatnya yang telah terlanjur meninggalkan puasa terutama golongan wanita untuk mengganti semula puasa tersebut sebelum kembalinya bulan Ramadan berikutnya.

Bagi menjawab persolan sama ada perlu ganti dua kali jika seseorang itu sekali lagi membatalkan puasa gantinya jawapannya adalah tidak.

Yang wajib diganti adalah puasa yang ditinggalkan ketika dalam bulan Ramadan sahaja manakala yang terbatal ketika seseorang itu cuba berpuasa ganti itu tidak wajib diganti. Cukup ganti satu puasa sahaja.

3. Saya bekerja di salah sebuah syarikat kurier. Barang yang diterima daripada pelanggan terlalu banyak sehingga ada masanya kami terlangkah barang-barang tersebut.

Paling menyedihkan jika barangan itu terdiri daripada al Quran dan kitab-kitab agama tanpa kami perasan.

“Aduan marhaen” Terlalu ramai ‘shopping online’ masa PKP, syarikat kurier hadapi masalahAdakah perbuatan kami dikira tidak memuliakan al Quran dan bagaimanakah cara untuk mengelakkan perkara sebegini berlaku?

USTAZAH ISFADIAH : Tidak memuliakan al Quran jika kita tahu dalam parcel atau bungkusan itu terdapatnya al Quran. Kalau tidak tahu atau tidak sengaja, ia dimaafkan kerana kerana Islam itu sangat mudah.

Perkara atau cara yang paling elok untuk nak elakkan situasi itu berlaku adalah jangan biasakan melangkah barang-barang walaupun kita tahu ia bukan al Quran. Cuba elak dan biasakan untuk menghormati sesuatu barang atau bungkusan tersebut kerana ia sebenarnya adalah hak orang lain.

4. Baru-baru ini saya ada membeli umah sub-sales. Pemilik asalnya adalah bukan muslim, perlukah saya samak rumah tersebut dan bagaimanakah caranya dijika ia perlu dilaksanakan serta kawasan manakah yang perlu diberi perhatian?

USTAZ MUHIDIN MOKTER : Kebersihan adalah suatu perkara yang sangat dituntut dalam Islam. Allah SWT telah memerintahkan hamba-Nya untuk bersuci dan menjaga kebersihan.

Antara kaedah untuk membersihkan sesuatu adalah dengan kaedah samak atau sertu. Kedua-dua perkataan ini perlu difahami sebaiknya melalui pengertian dari segi bahasa dan juga segi istilah.

Sebelum saya menjelaskan lebih lanjut, suka untuk saya terangkan berkaitan dengan isu penggunaan bahasa terlebih dahulu. Ini kerana, terdapat perbezaan maksud di antara perkataan samak dan juga sertu.

Samak ialah satu perbuatan menyucikan sesuatu daripada kulit binatang dengan menggunakan bahan kesat seperti pasir dan sebagainya. Samak ini kebiasaannya digunakan untuk samak kulit bagi mengeluarkan daging, lemak, tulang, lendir dan tisu yang terlekat pada kulit haiwan yang ingin digunakan.

Manakala istilah sertu pula membawa maksud, menyertu menyucikan mana-mana bahagian badan yang terkena najis mughallazah iaitu anjing dan babi dengan basuhan sebanyak tujuh kali dan sekali air tanah.

Sekalipun tidak perlu berbalah dalam istilah, namun dengan mengetahui penggunaan kalimah yang tepat dapat membantu kita dengan lebih lanjut dalam memahami sesebuah permasalahan yang berlaku.

Dengan kata mudahnya jika kita lihat rumah yang bakal kita duduki itu bersih ia sudah memadai dengan hanya basuh sehingga kita yakin ia bersih.

Cara yang mudah, selamat dan betul untuk samak rumah anda adalah seperti :

  • Ambil tanah secukupnya. Sebaiknya tanah merah atau tanah liat.
  • Bancuh tanah tersebut di dalam bekas tong yang besar dan bersih.
  • Biarkan seketika tanah itu mendap. Kita hanya perlukan air yang kat atas saja.
  • Gunakan mop dan celupkan ke dalam air tanah tersebut dan mop di sekitar lantai rumah anda untuk bilasan pertama.
  • Boleh juga di siram air tanah tersebut menggunakan gayung dan ratakan di atas lantai.
  • Bilas air tanah tersebut dengan air bersih sebanyak 6 bilasan dengan cara menyemburkan lantai tersebut menggunakan paip.
  • Ratakan air bilasan tersebut ke semua ruang lantai anda atau boleh juga menggunakan mop.

5. Kalau wanita tidak tutup aurat dengan sempurna tapi dia rajin sedekah dan tolong orang lain. Adalah amalan solehnya diterima?

USTAZAH ISFADIAH : Amal soleh dan menutup aurat adalah satu amalan yang berbeza. Menutup aurat itu adalah perkara fardu yang diwajibkan untuk semua umat Islam sementara sedekah pula merupakan antara amalan yang terpuji dalam Islam.

Hakikatnya untuk melakukan kebaikan atau amalan kita sebenarnya perlu mengetahui apakah amalan yang disukai oleh Allah. Jelas membuktikan amalan yang disukai oleh Allah adalah melakukan amalan-malan yang wajib dan dengan kata mudahnya menutup aurat itu adalah satu amalan yang wajib.

Jadi, sebelum kita lakukan amalan-amalan terpuji, jauh lebih baik kita sempurnakan dulu amalan yang wajib seperti yang dituntut oleh Allah SWT.

6. Suami saya baru-baru ini kena buang kerja akibat penularan Covid-19. Sejak dari itu suami bergantung penuh pada pendapatan saya terutamanya perbelanjaan rumah. Apakah pendapat ustaz dan ustazah?

USTAZ MUHIDIN MOKTER : Nafkah adalah pembelanjaan keperluan manusia seperti makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal dan selainnya. Ia dinamakan Nafaqah kerana dikeluarkan atau digunakan untuk keperluan itu.

Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang di sempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.

Nafkah dan hutang

NAFKAH merupakan tanggungjawab ketua keluarga dan hutang juga wajib dilunaskan.

Merujuk kepada soalan, suaminya hilang punca pendapatan bukan atas kerelaanya. Bila suami susah, orang yang layak membantu adalah isterinya yang merupakan individu terdekat.

Harus bagi suami untuk menggunakan harta isteri bagi tujuan perbelanjaan harian. Dengan kata mudah isteri boleh hadiahkan pendapatannya bagi tujuan membantu suami atau meminjam sementara waktu bagi tempoh-tempoh tertentu dan yang penting kerelaan.

Jangan susahkan perkara yang mudah. Bantu membantu dan saling lengkap melengkapi antara satu sama lain dalam urusan rumah tangga juga dituntut dalam Islam.

7. Sekiranya ada dalam kalangan ahli keluarga yang telah meninggal dunia, adakah kita perlu membantu menggantikan solat yang pernah ditinggalkan oleh arwah?

USTAZAH ISFADIAH : Solat itu adalah adalah ibadah yang bersifat badani (ibadat yang yang dilaksanakan dengan tubuh badan). Sebahagian ulamak mengatakan tidak memadai atau tidak cukup untuk seseorang itu menggantikan solat yang ditinggalkan orang lain. Mereka beranggapan perbuatan itu adalah perbuatan yang tidak mendatangkan apa-apa hasil dan juga boleh dianggap sia-sia bagi sesetengah ulamak.

Tidak ada asas mahupun dalil yang merujuk kepada perlakuan tersebut tetapi apa yang boleh dilakukan oleh waris adalah berdoa mintak Allah ampunkan arwah dengan segala salah dan silap yang telah dilakukan ketika hidup termasuk solat yang telah ditinggalkan.

Selain itu, sebagai waris atau ahli keluarga juga bolehlah bersedekah bagi pihak arwah dan uruskan perkara-perkara wajib berkenaan harga yang ditinggalkan arwah termasuk zakat dan badal haji.

Foto: Unsplash