Browsing Tag

ustaz shams

rasulullah pernah disihir?
Isu,

Rasulullah SAW pernah disihir? Ini sebab surah al-Falaq diturunkan.

MUNGKIN ada yang tidak tahu, Rasulullah SAW pernah disihir suatu ketika dahulu. Kejadian ini ada kena mengena dengan dua surah terakhir dalam al-Quran, iaitu surah al-Falaq dan an-Nas.

Kedua-dua surah ini adalah sebahagian daripada surah tiga Qul yang sememangnya antara surah paling dikenali umat Islam. Ia juga digelar empat Qul yang merangkumi surah al-Kafirun, al-Ikhlas, al-Falaq dan An-Nas.

Menariknya, kedua-dua surah al-Falaq dan an-Nas diturunkan secara serentak berikutan peristiwa sihir yang dialami Nabi SAW.

Dalam kitab Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim, terdapat satu riwayat tentang kisah Rasulullah disihir oleh seorang Yahudi yang bernama Labid bin Aksam dari Bani Zuraiq.

rasulullah pernah disihir

WALAU dengan sifat kemaksuman baginda, Nabi SAW tetap disihir sebagai peringatan baginda juga seorang manusia seperti kita.

Sebagaimana yang diperincikan oleh pendakwah bebas, Ustaz Shams menerusi artikel bertajuk Nabi Muhammad disihir, patung dicucuk 11 jarum namun 2 surah berjaya hapus kesakitan di portal mStar, peristiwa ini berlaku tatkala Nabi SAW pulang dari Hudaibiah dalam bulan Zulhijjah.

Baca juga Apa itu sihir pengasih dan tanda-tandanya?

Ketika Nabi SAW disihir

Dengan kerjasama daripada seorang budak Yahudi yang juga khadam nabi, mereka telah mencuri sikat rambut Nabi SAW beserta rambut yang terdapat pada gigi sikatnya.

Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri, rambut baginda diikat pada mayang kurma dengan sebelas ikatan dan dicampakkan ke dalam telaga Zarwan di mana telaga Nabi SAW selalu mandi.

Kesan daripada sihir ini, sebagaimana dalam satu hadis daripada Saidatina Aisyah RA menceritakan, bahawa Nabi SAW mengalami sakit tenat, sehingga Baginda berasa tidak keruan dan mengigau kerananya.

Rasulullah berasa ragu-ragu terhadap perkara yang telah dilakukan sama ada sudah dilakukan atau tidak dan Nabi SAW merasakan telah melakukan sesuatu yang sesungguhnya tidak dilakukannya.

Baca juga 4 Amalan Pendinding Sihir Yang Ampuh Boleh Kita Lazimkan

Kata Ustaz Shams, pernah suatu ketika Nabi SAW melakukan solat dua rakaat dalam solat yang empat rakaat disebabkan sihir berkenaan. Lalu Baginda tambah dua rakaat lagi dan laksanakan sujud sahwi sebanyak dua kali atas kesilapan tersebut.

Perkara ini berlarutan untuk suatu tempoh hinggalah Rasulullah memohon pertolongan dari ALLAH SWT lantas diturunkan malaikat Jibril AS yang memberitahu bahawa Baginda terkena sihir.

Turunnya surah Al-Falaq dan An-Nas

Pada suatu malam, dua malaikat berupa dua orang lelaki datang menemui Nabi SAW ketika Baginda sedang tidur. Salah seorangnya duduk di sebelah kepala manakala yang seorang lagi di sebelah kaki Nabi SAW.

Maka yang seorang lagi membacakan beberapa ayat dari al-Quran, iaitu Surah ‘Mu’awwidataini’ (Surah Al-Falaq dan Surah An-Nas). Inilah sebab turunnya dua surah tersebut sekali gus.

rasulullah pernah disihir

SELAIN itu, kisah Rasulullah SAW disihir mengajar kita bagaimana dua surah terakhir dalam al-Quran dapat membantu dalam merawat penyakit buatan sihir.

Setelah terjaga, Nabi SAW telah meminta para sahabat untuk pergi mendapatkan bahan-bahan sihir berkenaan di telaga tersebut.

Diriwayatkan juga ketika Nabi SAW membaca dua surah ini, iaitu surah Al-Falaq dan An-Nas, maka simpulan pada bahan sihir tersebut terlepas dan badan Baginda terasa ringan dari pengaruh sihir tersebut sehingga terlepaslah semua ikatan yang ada. (rujuk Tafsir Al-Jalalain, halaman 615)

Baca juga  Pernah dizalimi akibat sihir, boleh ke jika kita tak maafkan individu yang lakukan perbuatan itu?

Surah yang meleraikan sihir

Seperti yang dijelaskan portal tzkrh, kedua-dua surah ini juga diajarkan kepada kita untuk dibaca sebagai langkah melindungi diri daripada sihir serta penyakit was-was.

Sebab itu, setiap kali sebelum menunaikan solat, kita boleh mengamalkan surah ini agar terhindar dari rasa tidak khusyuk.

Bahkan, ia juga digunakan dalam rawatan ruqyah bagi membantu membebaskan diri dari pengaruh sihir.

rasulullah pernah disihir

YANG penting, mohonlah pertolongan daripada ALLAH ketika diuji dengan buatan sihir. Sesungguhnya tiada yang lebih berkuasa selain ALLAH SWT.

Perasaan hasad dengki dan sihir sememangnya tidak asing lagi dalam masyarakat kita, bahkan ia telah diriwayatkan telah berlaku sejak dari zaman para nabi lagi.

Sihir adalah suatu perbuatan terkutuk dan sangat dibenci oleh ALLAH SWT maka kita sebagai umat Islam sama sekali dilarang melakukannya.

Baca juga Amalan-amalan yang boleh dilakukan untuk membatalkan sihir yang dituju pada kita

Kisah Rasulullah SAW disihir menjadi teladan bahawa walaupun dengan sifat maksum Nabi, baginda juga manusia biasa seperti kita.

Selain itu, ALLAH menjadi penolong terbaik dalam apa jua hal yang dihadapi. Maka, jangan melupakan-Nya di saat susah dan senang.

Foto: Unsplash