Browsing Tag

Usaha kebajikan

Usaha kebajikan
Gaya Hidup, Pilihan Editor,

Jangan Remehkan Atau Kecam Usaha Kebajikan Orang Lain

no comment

BERBUAT kebaikan dan saling tolong-menolong serta memudahkan orang lain sangat dituntut dalam agama Islam.

Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang melepaskan satu kesusahan seorang mukmin, pasti ALLAH akan melepaskan darinya satu kesusahan pada hari kiamat. Barang siapa yang menjadikan mudah urusan orang lain, pasti ALLAH akan memudahkannya di dunia dan di akhirat. Barang siapa yang menutup aib seorang Muslim, pasti ALLAH akan menutupi aibnya di dunia dan di akhirat. ALLAH senantiasa menolong hamba-NYA selama mana hamba-NYA itu suka menolong saudaranya.” (Riwayat Muslim)

Bahkan, dalam sebuah hadis yang lain, Rasulullah SAW pernah ditanyakan kepada seorang sahabat: “Ya Rasulullah, siapakah manusia yang paling dicintai ALLAH dan apakah perbuatan yang paling dicintai ALLAH?”

Lantas, baginda SAW bersabda: “Manusia yang paling dicintai oleh ALLAH adalah manusia yang paling banyak bermanfaat dan berguna bagi manusia yang lain. Sedangkan perbuatan yang paling dicintai ALLAH adalah memberikan kegembiraan kepada orang lain atau menghapus kesusahan orang lain atau melunasi hutang orang yang tidak mampu untuk membayarnya, atau memberi makan kepada mereka yang sedang kelaparan dan jika seseorang itu berjalan untuk menolong orang yang sedang kesusahan itu lebih aku sukai daripada beriktikaf di masjidku ini selama satu bulan.” (Riwayat at-Tabarani)

Hadis berkenaan jelas memberi motivasi kepada kita supaya tidak jemu melakukan kebaikan dan menghulurkan bantuan jika diperlukan.

Baca juga Sama-sama Hulur Pertolongan Kepada Insan Yang Dihimpit Kesukaran Ketika Pandemik

Apatah lagi tatkala saat genting pandemik Covid-19 ketika ini. Ramai yang memerlukan bantuan untuk meneruskan kelangsungan hidup. Malah, ada yang ‘sesak’ gara-gara hilang punca mata pencarian.

Usaha kebajikan

RAMAI yang tertekan akibat hilang mata pencarian dan terjejas pendapatan akibat pandemik Covid-19 ketika ini.

Meskipun begitu situasinya, alhamdulillah masih ramai yang tampil membantu golongan yang memerlukan ini.

Di sebalik usaha kebajikan itu, ada perkara kurang enak didengari apabila ada segelintir orang yang mempertikaikan cara, bentuk bantuan dan lain-lain berkaitan dengannya. Malah, ada juga individu yang tergamak mengecam orang atau pihak yang melakukan kerja-kerja mulia berkenaan.

Lebih memburukkan keadaan apabila teguran itu dibuat di media sosial secara terbuka. Perkara yang pada asalnya baik seolah-olah kelihatan ‘cacat’ dek kerana kecaman dan komentar warganet yang mengulas tentang topik berkenaan.

Dalam hal ini, ALLAH SWT berfirman: “…berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan kerana di mana saja kamu berada maka ALLAH tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan), sesungguhnya ALLAH MAHA BERKUASA atas tiap-tiap sesuatu.” (Surah al-Baqarah, ayat 148)

Bahkan, Rasulullah SAW bersabda:  “Janganlah meremehkan kebaikan walaupun hanya berbicara kepada saudaramu dengan wajah yang tersenyum kepadanya. Amalan itu adalah sebahagian daripada kebajikan.” (Riwayat Abu Daud)

Baca juga Jangan Sesekali Ungkit Pemberian Kepada Orang Lain, Begitu Dahsyat Ancaman Yang Menanti

Menerusi ungkapan tersebut, dapat difahami bahawa kita perlulah menjaga perilaku dan sentiasa berlumba-lumba melakukan kebaikan dan pada masa sama tidak memandang enteng perbuatan berkenaan walaupun hanya sekecil-kecil kebajikan.

Andai kata kita tidak mampu berbuat kebaikan hatta membantu orang sekalipun, usahlah kita sesekali meremehkan atau mengecam usaha kebajikan yang ingin dilakukannya.

Sekalipun andai sesiapa ingin membuat teguran, Islam mempunyai adab-adab tertentu dalam memberi nasihat mahupun sebaliknya.

Memetik khutbah yang disiarkan dalam laman web Kementerian Hal Ehwal Ugama Brunei Darussalam, antara adab ketika membuat teguran atau nasihat adalah seperti berikut:

1. Berilah nasihat atau teguran dengan bahasa dan suara yang lembut kerana kita berbuat demikian bukanlah bertujuan untuk mendedahkan aib orang.

Usaha kebajikan

JIKA ingin memberi nasihat atau teguran, lakukanlah secara berhikmah sebagaimana yang diajarkan oleh syariat.

2. Elakkan daripada menasihati dan menegur kesilapan di hadapan orang ramai. Sebaliknya, lakukanlah ketika individu itu bersendirian atau berada di tempat tertutup.

3. Gunakan perkataan-perkataan yang baik dan bermanfaat agar tidak menyinggung perasaan individu yang ditegur.

4. Orang yang menasihati dan menegur hendaklah meminta maaf selepas membuat teguran. Tujuannya adalah untuk memujuk perasaan mereka supaya tidak terasa hati dengan nasihat yang diberikan.

5. Sentiasa bersangka baik terhadap orang yang dinasihati kerana mereka mungkin tidak tahu tindakan yang dilakukan adalah satu kesalahan.

Betapa indahnya Islam sehinggakan setiap tindakan ada adab yang digariskan. Justeru, amalkanlah dalam kehidupan seharian kita, semoga kita terus hidup harmoni, sejahtera dan saling menghormati antara satu sama lain.

Sumber: Republika.co.id & http://www.kheu.gov.bn/

Foto: Freepik & Koleksi foto Sinar Harian