Browsing Tag

Urus sumbangan orang awam

Urus sumbangan orang awam
Muamalah,

Ini Kaedah Tepat Yang Dianjurkan Syariat Dalam Menguruskan Sumbangan Orang Awam

no comment

Oleh DR AZRI BHARI

SEJAK kebelakangan ini, ketelusan pihak aktivis daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hangat diperbahaskan.

Masyarakat antara lain bertanyakan bagaimana mereka mengurus perbelanjaan dan menggunakan hasil dana sumbangan masyarakat awam yang telah diamanahkan untuk disampaikan kepada golongan penerima.

Jika kita lihat, terdapat NGO yang menyasarkan dana untuk orang tempatan dan ada yang memfokuskan kepada penduduk antarabangsa.

Menerusi perspektif Islam, sumbangan dana masyarakat awam disebut dengan istilah (tabarru’) atau sumbangan derma. Secara umumnya, tabarru’ boleh didefinisikan sebagai usaha seorang mukallaf mengeluarkan harta atau manfaat kepada selainnya pada masa sekarang atau akan datang tanpa sebarang balasan, dengan niat berbuat kebajikan dan kemakrufan (Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah).

Sesungguhnya, Islam sangat menganjurkan seseorang Muslim untuk melakukan amalan tabarru’ dengan harta atau manfaat. Hal itu terbina di atas semangat saling membantu dalam perkara kebajikan seperti yang dinyatakan dalam firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Dan saling membantulah kamu dalam perkara kebajikan dan ketakwaan.” (Surah al-Ma’idah, ayat 2)

Ayat tersebut menjelaskan tentang perintah MAHA PENCIPTA kepada umat Islam supaya saling membantu dalam perkara kebajikan.

Perbuatan makruf (kebaikan) yang diberikan kepada orang lain boleh dilakukan sama ada dengan menghulurkan bantuan kewangan atau sebarang manfaat.

Urus sumbangan orang awam

PASTIKAN hasil sumbangan untuk golongan disasarkan diurus melalui transaksi kewangan dan perbankan Islam. -Gambar hiasan

Kaedah terbaik

Bagi memastikan pengurusan dana sumbangan derma masyarakat awam telus dan diurus dengan baik, patuh syariah dan tanpa penyelewengan, terdapat beberapa langkah dan kaedah menurut perspektif Islam untuk menjamin kredibiliti pihak NGO. Berikut adalah huraiannya:

1. Pihak NGO perlu memastikan pelaksanaan akad atau kontrak secara Islam seperti ijarah, ji’alah atau wakalah yang bersesuaian dalam kutipan dan pengurusan sumbangan derma masyarakat awam.

Akad ijarah merupakah upah atas pemanfaatan suatu benda, imbalan suatu kegiatan atau upah kerana melakukan aktiviti.

Aplikasi dalam akad ini, ujrah adalah upah atau komisen yang boleh diambil oleh pihak NGO daripada wang dana yang disumbangkan oleh penderma dan manfaat pula ialah wang dana yang disalurkan kepada penerima bantuan.

Seterusnya, akad ji’alah pula bermaksud akad atas sesuatu manfaat yang akan diperoleh sebagai imbalan seperti yang dijanjikan terhadap sesuatu pekerjaan.

Akad tersebut boleh dilakukan oleh pihak pengurusan NGO dalam memberi upah khas kepada para ahli atau aktivis sekiranya mencapai sasaran jumlah tertentu ketika menyempurnakan kutipan dana sesuatu misi atau projek kemanusiaan.

Sementara itu, akad wakalah pula bererti penyerahan kekuasaan oleh seseorang kepada pihak lain dalam urusan yang boleh diwakilkan. Pihak yang mewakilkan dalam situasi ini ialah penderma dan pihak yang diwakilkan pula adalah NGO.

Baca juga Tak Boleh Guna Hasil Derma Masyarakat Awam Sewenang-Wenangnya Kecuali Untuk Golongan Disasarkan

2. Pengambilan komisen yang munasabah daripada sumbangan derma masyarakat awam.

Komisen yang diambil boleh digunakan untuk kos pentadbiran, pengurusan, gaji pekerja, sewa bangunan, bayaran utiliti dan sebagainya. Hal sebegitu diharus dan dibolehkan kerana ketiadaan sandaran atau dalil khusus dalam penentuan jumlah tertentu komisen yang wajar diambil.

Walaupun Bank Negara Malaysia membenarkan 30 peratus daripada perolehan NGO untuk digunakan bagi kos pentadbiran termasuk gaji pengasas atau pengerusi organisasi, pihak NGO adalah dicadangkan hanya mengambil kurang atau hingga 12.5 peratus sahaja (bersamaan dengan satu perlapan upah amil zakat).

Ini adalah berdasarkan justifikasi persamaan fungsi dan peranan yang dijalankan oleh NGO dengan pihak institusi zakat atau amil.

Namun, lebih baik hasil sumbangan derma tersebut disalurkan sepenuhnya (100 peratus) kepada sasaran penerima misi bantuan tanpa mengambil komisen.

Pendekatan itu sekali gus boleh membudayakan sumbangan khidmat tenaga, kenderaan, utiliti, kepakaran, kreativiti dan sebagainya secara percuma tanpa sebarang caj atau kos tertentu.

Urus sumbangan orang awam

APABILA mengutip sumbangan, pastikan hanya mengambil komisyen pada kadar yang munasabah atau didermakan 100 peratus.

3. Menyedia dan membentangkan laporan kewangan pihak NGO secara telus.

Cara begitu boleh menambahkan kredibiliti dan keyakinan pihak penderma bahawa sumbangan tersebut berjaya dan disampaikan kepada sasaran.

Walaupun, laporan telah dibuat kepada pihak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia, pihak NGO boleh mengambil inisiatif membuat laporan berkala secara bulanan, setengah tahun atau tahunan kepada masyarakat awam seperti yang dilakukan oleh institusi-institusi zakat di Malaysia dalam melaporkan kutipan dan agihan.

Laporan boleh dibuat dengan terperinci meliputi aspek jumlah keseluruhan kutipan sumbangan derma, jumlah komisen yang diambil berdasarkan perbelanjaan kos pentadbiran dan pengurusan serta jumlah sumbangan yang disampaikan kepada penerima atau sasaran misi kemanusiaan dan kebajikan tersebut.

4. NGO perlu memastikan pengurusan kewangan hasil sumbangan derma masyarakat diurus melalui transaksi kewangan dan perbankan Islam.

Ia bagi mengelakkan unsur-unsur haram seperti riba, ketidakpastian (gharar) dan judi (maysir).

NGO dilihat mampu memainkan peranan yang besar terutama dalam sektor yang tidak dapat dipenuhi oleh perkhidmatan kerajaan. Mereka juga sering disebut sebagai sektor ketiga yang boleh membantu menyelesaikan masalah negara dan menangani pelbagai keperluan sosial termasuk isu kemanusiaan, kemiskinan dan pengangguran.

Namun, sayangnya terdapat segelintir yang menyalahgunakan peranan dengan mengambil kesempatan dan berselindung di sebalik tujuan asal iaitu melaksanakan aktiviti kemanusiaan dan kebajikan, tetapi mempunyai niat untuk mencari keuntungan dan kesenangan.

Pada pandangan penulis, pihak NGO sewajarnya lebih serius terhadap isu ketelusan, kredibiliti pengurusan dan pentadbiran kewangan hasil sumbangan derma orang awam.

Hal tersebut sangat signifikan agar ia menjadi pemangkin kepada budaya kedermawanan dan kesedaran dalam memperhebatkan membantu misi kemanusiaan dan kebajikan sama ada di dalam, mahupun di luar negara.

***Dr Azri Bhari ialah Pakar Rujuk Bahagian Zakat, Sedekah dan Wakaf, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor

Foto: Unsplash & Freepik