Browsing Tag

Urus niaga mata wang

Urus niaga mata wang
Muamalah,

Ketahui Kaedah Urus Niaga Mata Wang Yang Betul Menurut Islam

no comment

Oleh DR SHAMSIAH MOHAMAD

SEBAGAIMANA yang kita semua maklum, mata wang yang digunakan berbeza-beza mengikut perbezaan negara. Apabila seseorang melakukan urus niaga dengan seseorang yang berada di negara lain, tentu sekali mereka perlu membuat pembayaran mengikut mata wang negara berkenaan atau mana-mana mata wang yang diterima pakai di peringkat antarabangsa.

Dalam Islam, pertukaran mata wang adalah diharuskan. Dalam konteks Fiqh Muamalat, konsep berkenaan (pertukaran mata wang) termasuk dalam bab jual beli yang dinamakan sebagai bai’ al-sarf.

Bai’ al-sarf bukan sahaja terhad kepada pertukaran antara dua mata wang yang berbeza seperti Ringgit Malaysia dengan dolar Singapura, tetapi ia mencakupi juga pertukaran antara mata wang daripada jenis yang sama seperti menukarkan not RM10 dengan not RM5.

Para fuqaha telah menetapkan bahawa pelaksanaan bai’ al-sarf perlu memenuhi syarat-syarat tertentu. Ini kerana ia melibatkan pertukaran harta ribawi.

Mata wang kertas juga tertakluk kepada tatacara urus niaga barang ribawi sebagaimana yang diputuskan oleh Akademi Fiqh Islam Antarabangsa di bawah naungan Pertubuhan Persidangan Islam Sedunia (OIC) pada tahun 1986 dalam persidangannya ke-3 dalam resolusi no. 21 (3/9) berkaitan Ahkam al-Nuqud al-Waraqiyyah wa Taghayyur Qimah al-‘Umlah (Hukum Wang Kertas dan Perubahan Nilai Mata wang).

Baca juga Telus Isytihar Jumlah Kos Pengurusan Jika Libatkan Wang Sumbangan Orang Ramai

Syarat-syarat bai’ al-sarf tersebut adalah:

– Jika melibatkan dua mata wang yang sama jenis seperti menukarkan not RM10 dengan not RM5, maka kadarnya hendaklah sama yang mana not RM5 hendaklah diserah sebanyak dua keping bagi menyamai kadar RM10. Jika ada lebihan atau kekurangan dari segi kadar, maka ia mengandungi riba yang diharamkan dalam Islam.

– Serahan kedua-dua mata wang itu hendaklah berlaku serta merta tanpa ada penangguhan sama ada ada salah satu daripadanya atau kedua-duanya sekali.

Urus niaga mata wang

ISLAM menyediakan kaedah dan garis panduan khusus dalam urus niaga barang ribawi termasuk mata wang kertas bagi mengelakkan daripada berlakunya perkara yang bercanggah dengan syariat seperti riba dan seumpamanya.

Ubadah al-Samit meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “[Pertukaran] emas dengan emas dan perak dengan perak dan gandum dengan gandum dan barli dengan barli dan kurma itu dengan kurma dan garam dengan garam, hendaklah sama kadarnya dan serah menyerah secara lani , maka apabila berbeza- beza, juallah sebagaimana kehendak kamu semua sekiranya dilakukan serahan segera.” (Hadis Riwayat Muslim)

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW menyebut kepada Ibn Umar RA: “Tidak ada masalah jika kamu menerimanya dengan harga pada hari tersebut dan kamu berdua tidak berpisah dan di antara kamu berdua tiada sesuatu (baki wang yang belum dibayar).”

Kedua-dua hadis tersebut secara jelas menyebut tentang perlunya berlaku serahan segera bagi mengelak daripada berlakunya riba.

Serah terima itu yang mana dalam bahasa Arab, ia merujuk kepada qabd boleh dilakukan sama ada secara qabd hakiki (serahan secara fizikal) atau secara qabd hukmi (serahan secara maknawi).

Dalam konteks kewangan Islam di Malaysia, pihak Bank Negara Malaysia (BNM) menyatakan dalam Dokumen Polisi Bai’ al-Sarf sebagaimana berikut: “S 14.7 The possession of the exchanged currency shall be in the form of physical possession (qabd haqiqi) or constructive possession (qabd hukmi).”

Selain itu, Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia (MPS BNM) juga telah memutuskan dalam mesyuarat ke-38 bertarikh 28 Ogos 2003 bahawa penyerahan dan penyelesaian urus niaga mata wang asing secara semerta yang dibuat pada T+2 adalah dibenarkan.

Penyelesaian dan penyerahan secara T+2 diterima dalam urus niaga secara lani (serahan segera) kerana tempoh masa sebegini adalah perlu bagi pihak-pihak yang berurus niaga membuat pengesahan. Sistem penyelesaian dan pembayaran sedemikian telah diterima sebagai uruf perniagaan. Wallahua’lam.

***Dr Shamsiah Mohamad berpengalaman sebagai Penyelidik Isu-Isu Kewangan Islam dan Syariah

Foto: Unsplash