Browsing Tag

Ungkit pemberian

Harta
Isu, Pilihan Editor,

Jangan Sesekali Ungkit Pemberian Kepada Orang Lain, Begitu Dahsyat Ancaman Yang Menanti

no comment

MASYARAKAT kita sememangnya begitu pemurah. Apabila melihat ada insan lain yang bergelut dengan kesukaran hidup, cepat sahaja bantuan disampaikan mengikut kemampuan masing-masing.

Apatah lagi dalam suasana pandemik Covid-19 yang kian meruncing hari demi hari. Ramai orang ‘sesak’ kerana ada segelintir mereka yang tidak dapat bekerja seperti biasa, sekali gus hilang mata pencarian.

Ya, sikap pemurah dan suka bersedekah itu wajar dipuji. Perbuatan mulia itu begitu dianjurkan oleh agama Islam kepada umatnya.

Amalan itu sebenarnya dapat mengikis sikap bakhil dalam diri. Malah, sebaik-baik sedekah adalah sedekah ketika dalam keadaan kesempitan.

Dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA: “Seorang lelaki menemui Rasulullah SAW lalu bertanya: “Ya Rasulullah, sedekah apakah yang paling besar pahalanya?”

Rasulullah SAW menjawab: “Sedekah yang engkau berikan semasa engkau dalam keadaan sihat, semasa kamu berasa ragu kerana khuatir menjadi miskin dan mengharapkan kekayaan. Jangan kamu menunda-nunda sedekah sehingga nyawamu sampai di kerongkong. Pada waktu ini, baru engkau mengatakan harta saya nanti sekian untuk waris itu, sekian untuk waris ini, padahal tanpa engkau katakan begitu, hartamu pasti akan menjadi milik warismu.” (Riwayat al-Bukhari)

Baca juga Kibar Bendera Putih Untuk Minta Bantuan, Ini Hukumnya Yang Perlu Kita Tahu

Tidak kiralah berapa banyak pun sedekah ataupun nilai yang diinfakkan, usah sesekali mengungkit pemberian tersebut.

Pendakwah Azhar Idrus menjelaskan, perbuatan mengungkit-ungkit pemberian sedekah yang diberikan kepada orang lain akan menghapuskan pahala, sekali gus membatalkan ganjaran yang sepatutnya diterima daripada amalan terpuji tersebut.

Ungkit pemberian

MENGUNGKIT pemberian atau sedekah boleh menggugurkan pahala yang sepatutnya diterima.

Firman ALLAH SWT: “Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakukan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nujuk kepada manusia (riak)…” (Surah al-Baqarah, ayat 264)

Ia termasuklah perbuatan menyakiti ketika bersedekah seperti meninggikan suara misalnya mengherdik mahupun sebaliknya. Meskipun kita tidak meninggikan suara, pendakwah itu mengingatkan agar umat Islam berhati-hati dengan perkataan yang dituturkan agar tidak menyakitkan hati atau mempunyai maksud tertentu sehingga mengaibkan penerima sedekah dan seumpamanya.

Baca juga Sedekah Benteng Diri Daripada Api Neraka

“Dalam kitab az-Zawajir, diterangkan bahawa maksud menyakiti iaitu menengking atau memalukan atau memaki. Maka semua ini sama seperti perbuatan mengungkit yang menggugurkan pahala dan ganjaran kepada pelakunya sebagaimana yang dijanjikan oleh ALLAH SWT.

“Orang yang beriman semestinya dirinya berakhlak mulia. Sesungguhnya, sesiapa yang ada perangai suka mengungkit ini, maka jelaslah tiada akhlak mulia padanya,” katanya sebagaimana dipetik menerusi hantaran di laman sosial Facebok miliknya baru-baru ini.

Ketahuilah, ALLAH SWT banyak memberikan ancaman kepada individu yang gemar membuat ungkitan ketika bersedekah, ungkapnya.

“Dalam hadis juga ada dinyatakan bahawa ALLAH SWT tidak akan memandang kepada pelakunya di akhirat kelak dan tidak mendapat syurga-NYA,” tegasnya.

Daripada Abu Zarr Ra bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Tiga golongan tidak akan berkata-kata dengan mereka itu oleh ALLAH dan tidak akan memandang kepada mereka pada hari kiamat dan tidak akan menyucikan mereka dan bagi mereka itu azab yang pedih. Dan sesungguhnya mereka itu telah rugi dan tidak untung sedikit pun. Diulangnya sebanyak tiga kali.”

Tanya Abu Zarr: “Siapa mereka yang rugi dan tiada untung itu, wahai Rasulullah?”

Lalu, baginda SAW menjawab: “Orang yang sombong dengan berpakaian dan yang mengungkit ketika bersedekah dan yang bersumpah dusta bagi melariskan perniagaannya.” (Riwayat Muslim)

Ungkit pemberian

ALLAH SWT menjanjikan ancaman yang berat jika kita mengungkit pemberian yang pernah diberikan kepada orang lain. -Gambar hiasan

Dalam sebuah hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda: “Tidak akan masuk syurga oleh lima orang iaitu yang minum arak tanpa bertaubat, yang percaya dengan sihir, yang memutuskan hubungan rahim, yang melakukan ramalan dan yang mengungkit ketika bersedekah.” (Riwayat Ahmad)

Melihat kepada ancaman dan peringatan yang disampaikan menerusi nas berkenaan, jelaslah bahawa amalan kebajikan kita menjadi sia-sia asbab daripada perbuatan suka mengungkit tadi.

Justeru, elakkanlah bersikap demikian. Sebaliknya, ikhlaslah melakukan segala amal kebaikan semata-mata kerana ALLAH SWT agar kita terhindar daripada perbuatan suka mengungkit pemberian.

Foto: Freepik