Browsing Tag

Ungkapan kalau

Kalau
Isu,

Jangan kerana ungkapan ‘kalau’, akidah jadi binasa

“KALAU aku tak buat begitu, mesti tak akan jadi begini.”

Pernyataan itu tidak begitu asing pada halwa telinga kita. Lebih-lebih lagi saat sesuatu yang buruk menimpa seseorang. Frasa tersebut begitu laju meluncur dari bibir.

Bagaimanapun, berwaspadalah dengan ungkapan ‘kalau’ yang dizahirkan. Ini kerana ia seolah-olah menunjukkan betapa kita enggan berdamai dengan qada dan qadar yang ditentukan Sang Pencipta.

Baca juga Hati-hati Dengan Ungkapan ‘Kalau’

Lantaran itu, umat Islam dilarang untuk menyebut perkataan ‘kalau’. Dikhuatiri gara-gara satu kalimah itu, akidah kita yang menjadi taruhannya.

Apakah perkaitan antara perkataan tersebut dengan akidah umat Islam? Benarkah kita ditegah sama sekali daripada menyebut istilah berkenaan?

Waspada dengan pertuturan

Bagi mendasari topik itu, Sinar Islam Plus mendapatkan Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin, Terengganu, Dr Mohd Hasrul Shuhari.

DR MOHD HASRUL

Jelas beliau, perkataan kalau dalam bahasa Arab yang disebut sebagai ‘lau’ pada asalnya tiada masalah andai digunakan dengan baik.

Bagaimanapun katanya, ia boleh bertukar menjadi sebaliknya jika penggunaan istilah berkenaan diduplikasikan pada waktu atau tujuan yang salah.

Ia sebagaimana firman ALLAH SWT: “Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu seperti orang-orang kafir (orang-orang munafik) itu, yang mengatakan kepada saudara-saudara mereka apabila mereka mengadakan perjalanan di muka bumi atau mereka berperang: “Kalau mereka tetap bersama-sama kita tentulah mereka tidak mati dan tidak dibunuh”. Akibat (dari perkataan dan keyakinan mereka) yang demikian itu, ALLAH menimbulkan rasa penyesalan yang sangat di dalam hati mereka…” (Surah Ali Imran, ayat 156)

Dalam sebuah hadis, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Kalau engkau tertimpa musibah, janganlah engkau mengatakan: “Kalau tadi aku lakukan begini, tentu jadinya akan begini dan begini, tapi katakanlah: Sudah takdir ALLAH, ALLAH melakukan apa sahaja yang DIA kehendaki”. Kerana sesungguhnya kata ‘kalau’ itu membuka pintu amalan syaitan.” (Hadis Riwayat Muslim)

Dr Mohd Hasrul kemudian menukilkan pandangan Imam an-Nawawi tentang maksud sebenar ungkapan ‘kalau’ yang membuka pintu amalan syaitan’.

Baca juga Sakit boleh jadi penghapus dosa. Tapi jangan sesekali mengeluh atau persoalkan takdir ALLAH

“Ulama tersohor dalam Mazhab Syafie itu menjelaskan, ia boleh menjadi sedemikian apabila ungkapan tersebut dilafazkan kerana kekecewaan dan penyesalan terhadap kepentingan duniawi.

Kalau

UNGKAPAN ‘kalau’ boleh membuka pintu amalan syaitan andai kita melafazkannya kerana kekecewaan dan penyesalan terhadap kepentingan duniawi hingga menentang takdir yang ditetapkan oleh ALLAH SWT. -Foto: F123rf

“Bukan itu sahaja, Imam an-Nawawi juga menukilkan pendapat Imam al-Qadhi ‘Iyadh yang mengatakan, perkataan ‘kalau’ yang ditegah itu adalah apabila tercetus di dalam hati seseorang perasaan menentang takdir yang dibisikkan oleh syaitan.

“Sementara itu, Ibn Daqiq al-‘Id dalam kitab Ihkam al-Ahkam pula berpandangan antaranya bahawa ia menunjukkan tidak menyerahkan sesuatu yang berlaku itu kepada takdir ALLAH SWT,” terangnya panjang lebar.

Sebagai manusia biasa yang tidak terlepas daripada pelbagai jenis perasaan, adakalanya kita tanpa sengaja membutirkan kalimah ‘kalau’ gara-gara terlalu sedih dan kecewa.

Namun begitu, hati tidak tergamak langsung mahu menyalahkan suratan takdir. Apatah lagi meletakkan ‘kesalahan’ itu kepada Sang Pencipta.

Dalam situasi tersebut, apakah lafaz terbaik dalam melepaskan tekanan yang dihadapi?

Menjawab persoalan tersebut, Dr Mohd Hasrul menjelaskan, terlalu banyak ungkapan yang boleh disebut tatkala terjadi musibah dan seumpamanya. Antara ayat yang sepatutnya diucapkan adalah seperti sebagaimana disebutkan dalam satu riwayat.

Baca juga Puji ALLAH saat senang dan ketika diuji dengan musibah

Anas bin Malik RA berkata: “Adalah Rasulullah SAW, apabila menghadapi suatu masalah, baginda berdoa: ”Wahai Yang MAHA HIDUP KEKAL, Yang terus menerus mengurus (mahluk-NYA), hanya dengan rahmat-MU sahaja, aku meminta pertolongan.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

Kalau

APABILA menghadapi suatu musibah, berdoalah kepada ALLAH SWT memohon pertolongan-NYA agar kita boleh melapangkan dada dan tidak menuturkan ungkapan ‘kalau’ yang boleh membawa kita mempertikaikan takdir yang ditentukan-NYA. -Foto: 123rf

Elak berkata ‘kalau aku Tuhan’

Menyambung hujah, pensyarah itu mengingatkan agar kita tidak sewenang-wenangnya mengungkapkan frasa seperti ‘kalau aku Tuhan’ dan seumpamanya.

Ya, memang tiada masalah andai ia dibutirkan dalam keadaan tidak memaksudkannya.

“Sebagai contoh, individu yang melafazkan pernyataan ‘Ya ALLAH, ENGKAU hambaku dan aku Tuhanmu’ dalam keadaan terkejut, terleka atau tanpa sedar.

“Demikian yang dinyatakan oleh Imam al-Qadhi Iyadh seperti yabg dinukilkan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam kitab Fath al-Bari,” jelasnya.

Baca juga Jangan buat kerja Tuhan

Namun begitu, Dr Mohd Hasrul menegaskan, ia tidak boleh diungkapkan banyak kali.

Ini kerana, beliau berhujah dengan pandangan al-Hafiz al-‘Iraqi yang menyatakan, perkara itu perlu dilihat kepada realiti individu melafazkannya.

“Jika ia berlaku berulang kali dan dia dikenali sebagai orang yang sering melakukan pelanggaran agama, maka dakwaan tersasul itu tidak diterima.

“Namun, jika ia tersilap sebut dan dia dikenali sebagai orang yang warak dan memelihara agamanya, maka alasan itu boleh dipertimbangkan. Perkara ini perlu diperincikan lagi, yakni apa keadaannya atau tujuannya ketika menyebutkannya,” tuturnya.

Apa pun, beliau mengingatkan bahawa perkara itu syubhat yang perlu dielakkan kerana ia juga boleh terjatuh kepada fahaman bidaah Muktazilah seperti as-Solah wal-Aslah yakni mewajibkan ALLAH SWT buat sesuatu berdasarkan akal kita!

Kalau

PELIHARALAH bibir kita daripada menuturkan kalau andai diri dibelenggu dengan pelbagai rasa yang menyakitkan atau mempersoalkan urusan Tuhan. -Foto: 123rf

“Contohnya, ‘jika aku Tuhan, pasti aku akan buat itu atau buat ini’.

“Selain itu, ia juga melibatkan bidaah Mushabbihah kerana menyamakan makhluk dengan Tuhan.

“Di samping itu, dari satu sudut, ungkapan berkenaan menyebabkan unsur kekurangan pada ALLAH, yakni seolah-olah Tuhan sekarang tidak buat sesuatu yang sempurna,” ungkapnya.

Tekanan hidup
Isu,

Hati-hati Dengan Ungkapan ‘Kalau’

no comment

DALAM kondisi tertentu, ungkapan ‘kalau’ mudah benar meniti pada bibir kita andai perkara yang berlaku tidak sesuai dengan situasi yang diharapkan.

Masakan tidak, ketika itu fikiran kita sedang kusut dan jiwa pula berkecamuk mencari punca serta sebab yang memungkinkan apa sahaja yang diharapkan tidak tercapai.

Namun begitu, berhati-hatilah apabila menuturkan bicara terutama perkataan ‘kalau’. Bukan apa, jika tidak kena caranya, ia sebenarnya memperlihatkan kita seolah-olah tidak dapat menerima takdir ALLAH SWT.

Pendakwah Muhammad Fahmi Rusli menjelaskan, umat Islam pada hakikatnya tidak digalakkan untuk berkata “Kalaulah aku buat begini dulu, mesti jadi begini dan begini”.

Begitu juga dengan ayat; “Kalaulah benda ini tak berlaku, mesti tak jadi macam sekarang”.

Ungkapan kalau

BERHATI-HATILAH dengan perkataan yang kita ucapkan.

Baca juga Israel Lancar Serangan Udara Ke Atas Gaza Mencabul Gencatan Senjata

Ini kerana, katanya Nabi Muhammad SAW ada berpesan menerusi satu riwayat yang mana baginda bersabda: “Hati-hatilah kamu dengan perkataan; “kalau, kalau”, kerana sesungguhnya ia membuka ruang untuk perbuatan syaitan.” (Riwayat Ibn Majah)

“Dalam erti kata lain, perkataan ‘kalau’ dilarang sekiranya boleh membawa kepada menyalahkan takdir ALLAH atau hingga ada yang salahkan ALLAH.

“Ketahuilah, semua ini adalah bisikan-bisikan syaitan untuk menjauhkan manusia daripada agama,” katanya menerusi ciapan Twitter miliknya baru-baru ini.

Dalam pada itu, Muhammad Fahmi yang juga Pegawai Hal Ehwal Islam di Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menitipkan pesan agar kita menyebut; “Ini adalah takdir ALLAH dan apa yang DIA kehendaki, pasti DIA akan lakukan” sekiranya diuji dengan musibah yang berat.

Ungkapan kalau

PERKATAAN ‘kalau’ yang diungkapkan boleh mengundang kepada bisikan-bisikan syaitan untuk menjauhkan manusia daripada agama.

Sementara itu, memetik laman web uito.org, hukum asal menggunakan perkataan ‘kalau’ dan seumpamanya adalah harus.

“Meskipun demikian, andai kata penggunaannya merujuk kepada kekecewaan kerana tidak dapat menerima takdir ALLAH SWT, maka ia adalah ungkapan yang dilarang,” jelas.

Ia selari dengan firman ALLAH SWT: “Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu seperti orang-orang kafir (orang-orang munafik) itu yang mengatakan kepada saudara-saudara mereka apabila mereka mengadakan perjalanan di muka bumi atau mereka berperang: Kalau mereka tetap bersama-sama kita tentulah mereka tidak mati dan tidak dibunuh. Akibat (dari pada perkataan dan keyakinan mereka) yang demikian itu, ALLAH menimbuljan rasa penyesalan yang sangat di dalam hati mereka.” (Surah Ali ‘Imran, ayat 156)

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda: “Kalau engkau tertimpa musibah, janganlah engkau mengatakan: Kalau tadi aku lakukan begini, tentu jadinya akan begini dan begini, tetapi katakanlah: Sudah takdir ALLAH, ALLAH melakukan apa sahaja yang DIA kehendaki. Kerana seungguhnya kata ‘kalau’ itu membuka pintu amalan syaitan.” (Riwayat Muslim)

Ungkapan kalau

PELIHARALAH setiap tutur kata kita tidak kiralah apabila berbual dengan orang lain atau bermonolog dalam hati.

Ketika menjelaskan maksud ‘kalau’ membuka pintu amalan syaitan, menurut Imam al-Nawawi, ungkapan itu dilafazkan kerana kekecewaan dan penyesalan terhadap kepentingan duniawi.

Bagaimanapun, dalam Sharh al-Nawawi ‘ala Muslim, ada dijelaskan bahawa: “Sesiapa yang menyebut perkataan ‘kalau’ bagi menggambarkan penyesalannya terhadap ketaatan kepada ALLAH yang terluput daripadanya, maka ia tidak mengapa.”

Sewajarnya, sebagai seorang mukmin yang sejati, kita perlu reda dengan qada dan qadar serta tidak sesekali mengungkapkan ‘kalau’ terhadap peristiwa yang berlaku. Ini kerana setiap kejadian sama ada di langit dan di bumi, ALLAH SWT sudah tentukan sejak azali lagi.

Justeru, berhati-hatilah dan jangan terlalu mudah menuturkan perkataan ‘kalau’ supaya kita tidak membuka pintu bisikan syaitan.

Foto: Freepik