Browsing Tag

unesco

1830210
Berita Semasa, Gaya Hidup, Jendela Dunia, Pilihan Editor,

Hima Tapak Warisan Dunia Keenam Arab Saudi Diiktiraf UNESCO

no comment

MENEMPATKAN kompleks seni batuan terbesar di dunia, Hima yang terletak di Najran diiktiraf dalam senarai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), baru-baru ini.

Telaga yang terdapat di Hima masih boleh digunakan hingga hari ini. Gambar: Arab News

Tapak berkenaan meliputi 557 kilometer persegi, menempatkan lebih 34 tapak berasingan, termasuk batu bersurat dan telaga di sepanjang laluan penggembaran masyarakat Arab pada zaman purba.

Hima adalah laluan utama bagi kafilah datang berdagang dan laluan haji bagi masyarakat yang datang dari bahagian selatan Arab, Mesopotamia, Levant, dan Mesir.

Lukisan pra sejarah menggambarkan kehidupan di zaman purba Arab. Gambar: Maldives News Network.

Mereka yang melewati daerah Hima ketika pra dan pasca-sejarah telah meninggalkan kesan besar pada batu yang menggambarkan perburuan, hidupan liar, tumbuhan, simbol, dan alat yang digunakan pada masa itu, serta ribuan tulisan dalam bentuk skrip kuno, termasuk Musnad, Thamudic, Nabataean, dan Arab awal.

Terdapat juga telaga yang wujud lebih dari 3,000 tahun dan dianggap sebagai sumber air tawar yang penting di padang pasir Najran yang luas itu. Telaga itu masih mengeluakan air hingga ke hari ini.

“Hima baharu diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, kawasan kebudayaan Hima, Arab Saudi. Mabrouk (tahniah)!” menurut kenyataan UNESCO, kelmarin.

Menurut Saudi Press Agency (SPA) melaporkan Menteri Budaya Arab Saudi, Putera Badr bin Abdullah bin Farhan Al Saud, mengalu-alukan penyenaraian Hima sebagai salah satu Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Putera Badr mengucapkan terima kasih kepada Bahrain, Oman dan Kuwait atas sokongan mereka, sambil menambah bahawa, Arab Saudi negara yang kaya dengan warisan tamadun manusia. Usaha untuk menjadikan ianya terkenal di dunia sudah pun membuahkan hasil.

“Di sebalik setiap pencapaian budaya adalah panduan dan visi pemimpin yang hebat. Terima kasih atas inspirasi kami. Terima kasih kepada Putera Mahkota, Mohammed Salman Abdul Abdulaziz Al-Saud atas sokongan berterusannya dan terima kasih kepada @MOCHeritage Dalam Jawatankuasa Nasional Pendidikan, Kebudayaan dan Sains dan di @MOCSaudi serta @KSAForUNESCO atas usaha dan kecemerlangan mereka.

Antara ribuan tulisan kuno yang masih jelas kelihatan. Gambar: Med-O-Med.

“Hima telah menjadi laluan karavan perdagangan dan jemaah haji untuk pergi dan balik dari bahagian selatan Arab Saudi. Mereka yang melalui kawasan itu antara waktu pra dengan pascasejarah, telah meninggalkan pelbagai koleksi seni batuan. Ia antara lain menggambarkan simbol, tumbuhan, haiwan liar, memburu dan peralatan digunakan ketika itu, selain ribuan tulisan kuno,” katanya.

Hima mampu tarik pakar ilmuan dunia

Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Warisan, Dr Jasir Alherbish, berkata pihaknya sangat gembira kerana tapak Hima yang luar biasa itu diakui oleh UNESCO sebagai Tapak Warisan Dunia.

“Pemeliharaan dan perlindungan warisan budaya dan semula jadi adalah bahagian penting dalam mencapai Wawasan 2030. Tapak ini diawasi oleh Suruhanjaya Warisan, sejumlah penemuan baharu telah memperkukuhkan reputasi negara ini sebagai destinasi yang akan dituju ahli arkeologi, sejarawan dan saintis yang ingin memahami sejarah manusia di seluruh rantau ini.

“Kawasan ini memiliki nilai universal yang luar biasa, memberi kita banyak pelajaran tentang evolusi budaya dan kehidupan manusia pada zaman kuno.

“Kami berusaha untuk melestarikan kawasan itu dan melakukan penyelidikan untuk lebih memahami prasasti batu dan berharap dapat menyambut lebih banyak pengunjung tempatan dan antarabangsa untuk datang dan melihat sendiri tapak budaya bersejarah ini,” katanya.

Tambah SPA lagi, telaga di tapak terbabit berusia lebih 3,000 tahun dan dianggap sebagai sumber bekalan air yang penting di kawasan gurun wilayah Najran.

Al-Ula antara Tapak Warisan Dunia yang pernah diiktiraf UNESCO. Gambar: Arab News

Tapak lain di Arab Saudi yang sudah diiktiraf UNESCO termasuklah seni batuan di wilayah Hail dan Jeddah yang bersejarah.

Tahun lalu, Suruhanjaya Warisan telah  mengumumkan salah satu penemuan paling penting negara iaitu jejak manusia dan binatang kuno yang pernah wujud sejak lebih dari 120,000 tahun, di Tabuk, menandakan bukti pertama kehidupan manusia di Semenanjung Arab.

Kerajaan juga telah mengambil langkah-langkah serius untuk melindungi warisan nasional dan antarabangsa. Pada tahun 2019, Kementerian Kebudayaan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan UNESCO untuk menyumbang USD 25 juta bagi strategi organisasi untuk pemeliharaan warisan di seluruh dunia.

 

Sumber: AFP/Arab News