Browsing Tag

UMT

2472281-1769597055
Berita Semasa, Gaya Hidup, Gaya Hidup, Pilihan Editor, Uncategorized,

Memartabat Industri Halal Negara

no comment

Sebuah Pusat Inovasi Halal bakal ditubuhkan di negeri Terengganu melalui kerjasama Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), sebagai usaha membangunkan ekosistem industri halal di negeri pantai timur itu.

Dalam usaha itu, HDC dan UMT telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) yang merangkumi kerjasama akademik, latihan dan penyelidikan.

Kerjasama itu menunjukkan pentingnya industri halal dalam era ekonomi baru yang memperakui industri halal global sangat mewujudkan peluang besar, apatah lagi permintaan yang mencecah USD3 trilion setahun.

Halal Development Corporation Berhad

Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Hairol Ariffein Sahari, berkata pelbagai peluang perniagaan dan prospek dalam peluang penyelidikan serta tambah nilai ke atas inisiatif pembangunan bakat dan pekerjaan berkualiti antara matlamat yang ingin dicapai dalam kerjasama berkenaan.

“Ia sejajar dengan visi HDC untuk menjadikan produk halal sebagai pilihan pertama dalam meneroka perniagaan di negara ini. Misi HDC pula untuk menyediakan lebih ramai tenaga kerja mahir di dalam industri halal bagi memenuhi pasaran tempatan dan antarabangsa.

“Kerjasama dengan UMT adalah untuk meningkatkan dan meluaskan kerjasama akademik daripada sudut latihan dan penyelidikan serta mempromosikan jalinan kerjasama ke dua-dua belah pihak.

“UMT adalah institusi pendidikan tinggi yang pertama di Terengganu untuk bekerjasama dengan HDC dalam meningkatkan penyelidikan dan pembangunan produk halal dan seterusnya mewujudkan Pusat Inovasi Halal di Terengganu,” katanya.

MoU ditandatangani Hairol mewakili HDC dan Naib Canselor UMT, Prof Dato’ Dr. Nor Aieni Mokhtar dengan disaksikan Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna, Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman pada Majlis Perasmian Program Jelajah Halal Malaysia anjuran HDC, baru-baru ini.

Dari kiri, Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Hairol Ariffein Sahari; Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna, Tuan Haji Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman; Pengerusi Halal Development Corporation Berhad (HDC), Dato’ Mahmud Dato’ Dr Abbas  dan Naib Canselor UMT, Prof Dato’ Dr. Nor Aieni Haji Mokhtar.

Tambahnya, HDC telah menghasilkan lebih daripada 60,000 tenaga kerja mahir halal sejak tahun 2007. Tahun ini juga HDC memberi tumpuan kepada penempatan pekerjaan kepada golongan terlatih ke dalam lebih daripada 8,000 syarikat halal dari dalam dan dari luar negara, yang berpotensi sebagai bakal majikan.

“Selain daripada menyediakan latihan profesional halal, HDC juga menawarkan kepakarannya dalam memudah cara bagi pemain industri untuk mengorak langkah ke dalam pasaran halal melalui perkhidmatan konsultansi dan nasihat pakar industri, khidmat pemadanan perniagaan serta perkhidmatan ‘Halal Integrated Platform’.

“Dengan kemajuan teknologi yang pesat dan peningkatan jumlah platform digital dalam beberapa tahun kebelakangan ini kesan dari pandemik Covid-19, Perusahaan mikro, kecil dan Sederhana (PKS) digalakkan untuk sepenuhnya mendigitalkan perniagaan mereka dan memaksimakan potensi yang disediakan oleh platform e-dagang selain meningkatkan inovasi digital kreatif mereka.

“HDC, melalui Platform Bersepadu Halal (HIP), akan menghubungkan ahli dengan pihak berkepentingan utama di bawah satu platform, yang berpotensi menghubungkan lebih daripada 200,000 pemain industri Halal tempatan untuk mengembangkan kemampuan dan keupayaan perniagaan mereka,” katanya.

Malah kolaborasi ini juga memenuhi inisiatif ‘Target Relief and Recovery Facility (TRRF)’ di bawah Bank Negara bagi menghulurkan bantuan kewangan kepada PKS perniagaan halal yang perniagaannya terjejas akibat pandemik Covid-19. Ia membantu meningkatkan jumlah PKS yang terlibat dalam Perniagaan Halal melalui produk pembiayaan bank Islam.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed, berkata, bekerjasama dengan HDC dalam memberikan nilai tambah kepada pelanggan adalah menjadi matlamat utama pihak mereka.

“Produk dan perkhidmatan kami tidak terhad kepada pelanggan perseorangan atau perkhidmatan pengurusan tunai sederhana sahaja tetapi juga untuk memenuhi kepercayaan perniagaan yang lebih bersesuaian dengan PKS mengikut keadaan dan suasana perniagaan yang mencabar sekarang.

“Sebagai Bank yang memajukan kesejahteraan untuk semua, kami percaya bahawa kolaborasi ini akan memberikan sokongan yang diperlukan untuk mengekalkan perniagaan, terutamanya PKS, seterusnya mengembangkan industri Halal Negara ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Manakala Dr Nor Aieni, berkata kerjasama dengan HDC untuk memperkuatkan ekosistem industri halal, memperkukuh komitmen dalam menyediakan nilai tambah kepada pelajar untuk memastikan pelajar dilengkapi dengan segala kemahiran dan pengetahuan.

“Selain itu, kerjasama ini memberi kelebihan kepada pelajar untuk berjaya dalam industri halal tempatan dan global dan membuka banyak peluang kerjaya untuk mereka. Kredibiliti HDC dalam bidang pembangunan latihan industri halal sememangnya tidak dinafikan.

Selain diiktiraf sebagai Badan Peneraju Industri (Halal) Negara oleh Kementerian Sumber Manusia, HDC juga diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) sebagai agensi pembangun Standard Pengajian Halal bagi institut-institut pendidikan tinggi di Malaysia,” katanya.