Browsing Tag

umat Islam

Umat Islam
Antarabangsa,

Umat Islam kurang diwakili dalam televisyen walaupun membentuk satu perempat populasi dunia

MESKIPUN umat Islam membentuk satu perempat populasi penduduk di seluruh dunia, namun kelompok berkenaan sangat kurang diwakili dalam televisyen.

Jika ada pun karakter ditonjolkan, golongan Muslim akan digambarkan sebagai stereotaip yang cetek.

Demikian hasil dapatan kajian yang dilakukan oleh sekumpulan penyelidik dari Pusat Pengajian Jurnalisme dan Komunikasi, Universiti California Selatan baru-baru ini.

Menurut laporan yang dikeluarkan agensi berita CNN, para penyelidik tersebut melakukan analisis melibatkan lebih 200 siri TV yang disiarkan antara tahun 2018 dan 2019 untuk memahami bagaimana orang Islam digambarkan dalam rancangan popular.

Baca juga Diskriminasi Islam dalam filem Hollywood terus Leluasa

Tinjauan mendapati, hanya satu peratus daripada watak yang bercakap ialah Muslim, berbanding 25 peratus populasi penduduk dunia terdiri daripada orang Islam itu sendiri.

“Daripada lebih 200 siri TV, hanya terdapat 12 rancangan tetap yang melibatkan orang Islam. Namun begitu, tujuh daripada siri tetap Muslim itu melibatkan pelaku atau sasaran keganasan fizikal yang menjadi stereotaip berleluasa terhadap watak Muslim.

Umat Islam

KAJIAN mendapati, umat Islam digambarkan cenderung mengikuti stereotaip dan mereka didapati tidak mempunyai kepelbagaian yang boleh menonjolkan ciri-ciri populasi Islam sebenar.

“Kajian itu hanya memfokuskan kepada siri episod berskrip dari Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), Australia dan New Zealand. Sebanyak 87 peratus daripada rancangan yang dikaji tidak termasuk karakter Muslim yang bercakap walaupun seorang,” lapor CNN.

Suatu perkara menarik tentang dapatan penyelidikan itu, umat Islam digambarkan cenderung mengikuti stereotaip dan mereka didapati tidak mempunyai kepelbagaian yang boleh menonjolkan ciri-ciri populasi Islam sebenar.

“Malah, lebih separuh daripada watak Muslim ialah lelaki dan kebanyakannya dari Timur Tengah. Sangat sedikit orang Islam yang dikenal pasti sebagai komuniti LGBTQ (lesbian, gay, biseksual, transgender, ‘questioning’) dan tidak ada yang menunjukkan kecacatan,” katanya.

Dalam pada itu, para penyelidik mendedahkan, orang Islam cenderung untuk digambarkan sebagai ‘asing’, bercakap bahasa Inggeris dengan loghat atau langsung tidak bertutur dalam bahasa berkenaan. Ia berdasarkan beberapa trop (klise dalam karya kreatif) yang mendominasi penggambaran watak Muslim di televisyen.

“Hampir satu pertiga daripada watak Muslim yang bercakap bertindak ganas terhadap watak lain, manakala 40 peratus pula menjadi sasaran keganasan.

Baca juga Wanita Islam Cenderung Diganggu Golongan Islamofobia Berbanding Lelaki

“Bukan itu sahaja, wanita Muslim pula cenderung ditonjolkan dalam karakter ‘takut dan terancam’. Kebanyakan mereka digambarkan sebagai mangsa ancaman dan keganasan,” lapor dapatan kajian berkenaan.

Kesan cara berfikir terhadap Muslim

Umat Islam

Ujar para penyelidik, penggambaran tersebut sebenarnya mendatangkan impak kepada kehidupan sebenar menerusi cara orang berfikir tentang Muslim

“Pusat Penyelidikan Pew secara konsisten mendapati bahawa rakyat Amerika mempunyai pandangan paling negatif terhadap umat Islam berbanding kumpulan agama yang lain.

“Sikap terhadap orang Islam barangkali dibentuk oleh pelbagai faktor. Bagaimanapun, media massa khususnya adalah komponen dalam kawalan pencerita dan pencipta kandungan,” katanya.

Meskipun demikian, para penyelidik turut mengemukakan dapatan tinjauan tentang siri rancangan yang keluar daripada stereotaip sebagaimana disebutkan.

Mengambil contoh siri komedi Ramy yang melibatkan seorang lelaki muda Amerika Mesir yang tingga di New Jersey.

“Mereka menyeru untuk menggambarkan watak Muslim yang lebih besar dan kompleks di TV terutama siri yang dicipta oleh pembikin filem Muslim,” katanya.

Umat Islam

SALAH satu babak yang terdapat dalam siri Ramy. -Gambar hiasan

Dalam kajian itu, ada dinyatakan bahawa hanya sedikit penulis yang beragama Islam.

Baca juga Skeptikal Terhadap Islam Masih Berbaki

Justeru bagi menonjolkan watak Muslim sebagaimana diseru itu, ia memerlukan kerjasama dengan pengkarya kreatif Muslim untuk membangunkan dan membawa cerita tentang orang Islam ke skrin.

“Ia penting untuk meningkatkan gambaran yang tulen,” kata kajian itu.

Foto: Canva & CNN

webRNS-Hilton-Boycott-Muslim1-092221
Jendela Dunia,

Kumpulan Muslim AS Seru Dunia Boikot Hilton Demi Sebuah Masjid

LEBIH 40 kumpulan Muslim Amerika Syarikat (AS) bergabung bagi menyeru masyarakat Islam agar memboikot kesemua Hotel Hilton. Ia dibuat kerana syarikat itu terlibat dalam projek pembinaan cawangan hotelnya di Xinjiang, China diatas tapak sebuah masjid Uyghur yang dirobohkan baru-baru ini.

Pada sidang media kumpulan itu di luar Capital Hilton di Washington, wakil Majlis Hubungan Amerika-Islam (CAIR); Kongres Uyghur Dunia; Projek Hak Asasi Manusia Uyghur dan organisasi lain mengatakan Hilton telah mengabaikan tarikh akhir satu minggu yang telah diberikan oleh CAIR kepada syarikat itu untuk menarik diri daripada projek di Xinjiang sebelum mengambil tindakan untuk boikot.

“Mereka memutuskan untuk mendapatkan keuntungan berbanding nilai kemanusiaan dan tidak tanpa memikirkan hak orang lain yang dirampas,” kata Pengarah Eksekutif CAIR, Nihad Awad.

Selain Amerika Syarikat, beberapa negara lain di seluruh dunia telah melabelkan layanan China terhadap orang Uighur yang juga sebuah kumpulan etnik beragama Islam yang tanah airnya berada di Xinjiang sebagai genosida (pembunuhan beramai-ramai).

Tapak lama sebuah masjid kini sedang dalam prosek pembinaan hotel yang mendapat kecaman daripada umat Islam.

Pada bulan Julai lalu, Suruhanjaya Eksekutif Kongres Amerika Syarikat di China mengeluarkan surat terbuka yang meminta Hilton untuk memberhentikan projek pembinaan itu.

Sebagai penandatangan Compact Global PBB, Hilton seharusnya bertanggungjawab untuk menyokong hak asasi manusia antarabangsa.

“Kami meminta Hilton mengambil langkah menghentikan pembinaan dan mengeluarkan jenamanya daripada projek hotel di Hotan. Hilton juga harus menolak penglibatan dalam penganiayaan terhadap orang Uighur,” kata kenyataan suruhanjaya itu.

Tapak Masjid Duling yang dirobohkan di wilayah Hotan, Xinjiang diubah menjadi pembangunan oleh pemaju China. Salah satu perniagaan baru yang direncanakan adalah hotel Hampton by Hilton, yang dimiliki oleh Hilton Worldwide Holdings Inc.

Menurut analisis gambar satelit dan data lain oleh Institut Dasar Strategik Australia, kira-kira 65 peratus atau 16,000 masjid di wilayah itu telah rosak teruk atau musnah oleh pihak berkuasa China sejak 2017.

Sumber: Religion News Service

Wakaf
Muamalah,

Wakaf Sumber Ekonomi Terpendam Umat Islam, Ramai Yang Masih Belum Sedar Tentangnya

no comment

Oleh PROF MADYA DR IBRAHIM @ ATAN SIPAN & DR NOOR AZIMAH GHAZALI

WAKAF merupakan perkara yang tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat Islam. Mereka yang mewakafkan harta benda akan mendapat ganjaran berterusan di akhirat kelak selagi mana ia diguna dan dimanfaatkan.

Firman ALLAH SWT: “Bandingan (pahala) orang-orang yang membelanjakan harta mereka pada jalan ALLAH seumpama sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai dan tiap-tiap tangkai itu pula terdapat seratus biji. Dan ingatlah ALLAH akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-NYA dan ALLAH MAHA LUAS (Kurnia-NYA) lagi MAHA MENGETAHUI.” (Surah al-Baqarah, ayat 261)

Jika diteliti dari segi sifat-sifatnya, wakaf mempunyai ciri-ciri kekal, tidak boleh dipindah milik dan tidak boleh diwarisi. Hal itu membuatkan harta wakaf begitu istimewa dan terpelihara sepanjang zaman.

Secara asasnya, harta wakaf boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu harta alih dan tidak alih. Harta alih adalah seperti buku, kitab dan peralatan yang boleh dimanfaatkan. Sementelah, harta tidak alih pula melibatkan sesuatu yang penting dan lazimnya dibangunkan seperti tanah serta kepentingan di atasnya.

Bercerita tentang tanah wakaf, ia sebenarnya sudah diperkenalkan sejak zaman Nabi Ibrahim AS lagi apabila Kaabah didirikan di Tanah Suci Makkah. Sehingga kini, ia kekal menjadi tempat untuk umat Islam beribadah dan menunaikan Rukun Islam kelima.

Secara umumnya, tanah wakaf ditadbir dan diurus oleh nazir (pemegang amanah). Ia digunakan sebagai tanah perkuburan, tapak masjid atau tapak madrasah.

Wakaf


TANAH wakaf yang dibangunkan dengan lebih progresif dan menyeluruh mampu meningkatkan sumber pendapatan dan pegangan hartanah milik orang Islam di negara ini.

Kini, tanah wakaf boleh didirikan pelbagai jenis bangunan yang patuh syariah seperti perumahan, pelancongan, pendidikan, kesihatan seperti hospital dan pusat rawatan yang mana hasil pendapatannya terus disalurkan kepada penerima manfaat dalam kalangan umat Islam.

Dengan inovasi penyelidikan dan pembangunan, projek-projek pembangunan itu berjaya ditampung daripada sumber janaan wakaf itu sendiri seperti dana kutipan wakaf tunai, hasil pelaburan saham wakaf dan sukuk serta pelbagai pembiayaan lain daripada kerajaan dan perbankan Islam yang patuh syariah.

Sumber ekonomi terpendam

Ketahuilah bahawa tanah wakaf merupakan sumber ekonomi terpendam umat Islam. Pengurusan tanah wakaf yang baik mampu mewujudkan limpahan ekonomi dan seterusnya memperkasa ekonomi Muslim di negara ini.

Tanah wakaf yang dibangunkan dengan lebih progresif dan menyeluruh mampu meningkatkan sumber pendapatan dan pegangan hartanah milik orang Islam di negara ini.

Namun begitu, masih banyak lagi tanah wakaf yang belum dimanfaatkan sepenuhnya. Sejak tahun 2017, didapati kira-kira 30,888 hektar tanah wakaf di Malaysia belum dibangunkan.

Baca juga Wakaf antara cara ‘ubati’ impak ekonomi

Bukan itu sahaja, sistem wakaf juga belum dieksploitasikan sepenuhnya kerana pembangunan tanah wakaf lazimnya hanya tertumpu kepada pembinaan masjid, surau, madrasah dan tanah kubur.

Oleh yang demikian, terdapat keperluan untuk mewujudkan rangka kerja mengenai tatacara pembangunan harta tanah wakaf. Tujuannya adalah untuk memberi kefahaman kepada sektor pentadbiran dan pembangunan bagi menjawab pelbagai soalan berkaitan hartanah wakaf.

Soalan yang acap kali berlegar-legar dalam kalangan masyarakat adalah tentang sumbangan tanah wakaf di dunia maju, syarat dan sekatan di tanah wakaf, senario dan trend semasa dalam negara, perbezaan tanah wakaf daripada hartanah lain, peranan dan rangka kerja perkongsian antara kerajaan tempatan, sektor swasta dan organisasi wakaf serta faedah perkongsian itu kepada negara.

Kewujudan rangka kerja tersebut sebenarnya berpotensi untuk diguna pakai oleh Unit Perancang Persekutuan dan Negeri, Majlis Agama Islam Negeri dan pemaju dari sektor swasta.

Wakaf


HASIL sumbangan dan pembangunan tanah wakaf dapat mengurangkan beban kewangan kerajaan dalam usaha meningkatkan taraf hidup rakyat berdapatan rendah dan sederhana.

Pada masa sama, ia dapat membantu organisasi wakaf dan kepakaran sektor swasta bekerjasama untuk pembangunan tanah wakaf. Selain itu, ia juga mampu melestarikan undang-undang Islam dan pembangunan tanah di Malaysia secara optimum.

Malaysia sebenarnya berupaya menyediakan sumber kewangan yang mapan dan menjana ekonomi melalui sistem wakaf. Sumbangan dan pembangunan tanah jenis itu dapat mengurangkan beban kewangan kerajaan dalam usaha meningkatkan taraf hidup rakyat berdapatan rendah dan sederhana.

Bahkan, projek-projek berkaitan dengan wakaf akan memberi peluang pekerjaan kepada pelbagai lapisan masyarakat dalam fasa-fasa pembangunan dengan cara yang mampan.

Oleh yang demikian, usaha mengeksploitasinya (tanah wakaf) haruslah digiatkan dengan mewujudkan kerjasama dan penglibatan pelbagai pihak termasuklah kerajaan, swasta dan masyarakat.

Baca juga Tuai Hasilnya Di Dunia Dan Akhirat

Selain itu, kajian penyelidikan ke atas pembangunan tanah wakaf juga menjadi satu keperluan pada masa kini.

Akhir kata, projek wakaf adalah aset penting negara yang harus dibangunkan sejajar dengan matlamat Belanjawan 2021. Ia untuk mengimbangi kemapanan kewangan, keseimbangan pembangunan antara wilayah dan bandar serta mengangkat nilai murni membentuk ekonomi yang kita idamkan.

***Prof Madya Dr Ibrahim @ Atan Sipan & Dr Noor Azimah Ghazali merupakan Pensyarah & Penyelidik Pusat Kajian Hartanah, Fakulti Alam Bina dan Ukur, Universiti Teknologi Malaysia

Foto: Freepik