Browsing Tag

ujian

Harta dan pangkat
Isu,

Harta dan pangkat, ujian buat manusia

HARTA dan pangkat, dua ‘alat’ kemasyhuran yang begitu disanjung oleh kebanyakan manusia.

Benar, tidak salah andai seseorang itu kaya dan berkedudukan tinggi. Apa yang menjengkelkan andai ia disalah guna.

Malah, semua yang dimilikinya dianggap sebagai karamah hingga akhirnya bersikap bongkak serta tamak serta mendongak ke langit.

Baca juga Sifat riak, sombong boleh membuatkan manusia mudah lupa kepada YANG MAHA ESA

Mengertilah, semua itu adalah kurniaan dan pinjaman ALLAH SWT. Bila-bila masa sahaja DIA boleh menariknya semula mengikut kehendak-NYA. Bahkan, apabila seseorang meninggal dunia, satu daripada harta-hartanya yang dibanggakan tadi tidak boleh mengikutnya ke alam kubur.

Siapa pun seseorang itu, di sisi ALLAH, kita tetap sama iaitu hamba-NYA. Suka atau tidak, kewajiban kita terhadap Sang Pencipta tidak boleh dilupakan sama sekali. 

Apakah yang membezakan antara setiap manusia dengan individu lain menurut pemilik kerajaan langit dan bumi itu? Apakah pangkat dan harta menjadi ukuran di sisi-NYA?

Habuan akhirat

Sinar Islam Plus menemu bual Pegawai Tadbir (Hal Ehwal Islam) Pusat Islam, Universiti Teknologi Malaysia, Ustaz Panji Alam Mazhisham.

USTAZ PANJI ALAM

Beliau memulakan mukadimahnya dengan menegur ‘kesilapan’ manusia yang selama ini menganggap kekayaan, harta dan pangkat sebagai satu kemasyhuran serta kemuliaan dan kelebihan.

Baca juga Pangkat besar dan harta berjuta, bukan kategori insan hebat. Kenali 4 jenis manusia paling dikagumi berpandukan al-Quran dan hadis

Ketahuilah bahawa kemuliaan di sisi ALLAH bukanlah terletak pada banyak atau sedikitnya habuan dunia seperti itu, ungkapnya.

“Sebaliknya, DIA memuliakan seseorang hamba dengan memberikannya ketaatan dan taufik yang membolehkan mereka mendapat habuan akhirat.

“Andai diberi kesenangan di alam yang fana ini, dia bersyukur dan sentiasa memuji ALLAH SWT,” katanya kepada Sinar Islam Plus baru-baru ini.

ALLAH SWT berfirman yang mafhumnya: “(Dalam pada itu manusia tidak menghiraukan balasan akhirat), oleh yang demikian, maka kebanyakan manusia apabila diuji oleh Tuhannya dengan dimuliakan dan dimewahkan hidupnya, (ia tidak mahu bersyukur tetapi terus bersikap takbur) serta berkata dengan sombongnya: “Tuhanku telah memuliakan daku!” (Surah al-Fajr, ayat 15)

Harta dan pangkat

KETAHUILAH bahawa harta dan pangkat bukan suatu kemuliaan, sebaliknya ia merupakan ujian buat hamba-NYA. -Foto: 123rf

Ustaz Panji Alam menukilkan pandangan Dr Wahbah az-Zuhaily dalam kitab Tafsir al-Munir bahawa, ayat itu berkaitan pemikiran manusia yang salah dengan menganggap harta dan pangkat merupakan suatu kemuliaan.

Malah, ada yang menyangka ia merupakan karamah, lalu bergembira dengan apa yang diraih tanpa bersyukur kepada Sang Pencipta serta tidak menyedari itu adalah ujian daripada Tuhan, ungkapnya.

Baca juga Kaya juga satu ujian. Ini yang perlu kita tahu

“Dengan kata lain, kekayaan, harta benda, pangkat dan kuasa bukanlah tanda keredaan ALLAH SWT terhadap seseorang hamba. Ini kerana semua itu tiada nilai di sisi-NYA.

“Hakikatnya, segala bentuk kemasyhuran atau dianggap mulia itu adalah fitnah dan ujian kepada manusia,” ujarnya.

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Manusia akan semakin meningkat tua, namun ada dua ciri dalam dirinya yang akan semakin muda iaitu; perasaan cinta kepada kehidupan dan cinta kepada harta.” (Sahih al-Bukhari)

Di sebalik maksud hadis berkenaan, jelas Ustaz Panji Alam, tiada perkara di dunia yang lebih besar kuasanya untuk mengubah seorang manusia melainkan dengan harta!

“Lihat sahaja insan di sekeliling kita berubah sikap, prinsip dan pegangan hidup apabila kaya raya, memegang jawatan tinggi, diberi pangkat besar dan gelaran di hadapan nama.

“Ingatlah, segala nikmat yang diberikan oleh-NYA waima harta, kekayaan dan pangkat itu sebenarnya menuntut manusia untuk menjadi hamba yang bersyukur kepada-NYA serta membuat persediaan untuk berjaya di akhirat dengan beriman dan beramal soleh,” tuturnya.

‘Fitnah’ penyebab manusia lalai

Sesungguhnya, harta merupakan fitnah yang akan menyebabkan manusia lalai daripada mengingati-NYA, melakukan maksiat dan kemungkaran kepada ALLAH SWT.

Harta dan pangkat

KEMASYHURAN yang dimiliki asbab kekayaan dan jawatan disandang bukan tiket untuk seseorang bersifat bongkak dengan apa dimilikinya. -Gambar hiasan/ Foto: 123rf

Buktinya jelas dirakamkan dalam al-Quran tentang kisah Qarun yang kaya serta berdarjat, tetapi akhirnya tenggelam ‘ditelan’ bumi bersama rumahnya.

Menurut Pegawai Hal Ehwal Islam itu lagi, kisah Qarun yang diceritakan dalam Surah al-Qasas bermula ayat 76 hingga 82 menjadi saksi bahawa kesombongan melalui harta tidak akan kekal lama andai kita tidak memahami konsep kekayaan dalam hidup.

Baca juga Usah Mendabik Dada Dengan Kejayaan Yang Diperoleh, Ustaz Ini Terangkan Semuanya Daripada-NYA

“Ketamakan Qarun dengan hartanya tidak terhenti di situ, malah diakui oleh pengikut-pengikutnya. Sikap mendabik dada ini mengingatkan kepada manusia agar berhati-hati dengan jawatan, pangkat dan kedudukan yang mulia diberikan ALLAH kepada kita.

“Manusia sering kali diuji dengan kedudukan yang baik, malah memberikan gambaran bahawa kehidupan yang senang itu adalah anugerah sedangkan mereka tidak memahami bahawa setiap kelebihan itu juga adalah ujian untuk mereka,” terangnya.

Kepada satu soalan, Ustaz Panji Alam menjawab: “Setiap daripada kita pada hari kiamat nanti akan dibangkitkan di Padang Mahsyar dan akan melalui pemeriksaan ketat serta timbangan atas amalan semasa hidup di dunia.

“Ia termasuklah disoal setiap harta yang diperoleh waima dibelanjakan dengan cara halal atau sebaliknya.”

Justeru, beliau menitipkan pesan agar umat Islam menggunakan harta dan pangkat untuk mendekatkan diri kepada ALLAH.

“Caranya adalah dengan menginfakkan harta membantu orang dalam kesusahan seperti fakir miskin dan anak yatim.

“Janganlah kita terpesona dengan keseronokan kehidupan dunia hingga meninggalkan urusan akhirat. Ingatlah, semua limpahan kesenangan dan nikmat dikurniakan akan dipertanggungjawabkan di hadapan Rabbul Jalil Azza Wajalla,” katanya mengakhiri perkongsian ilmunya.

***Foto: Freepik

rachid-oucharia--5KiYzyuqV8-unsplash
Aqidah,

Diuji hingga jatuh berkali-kali, kembali kepada ALLAH, pasti ada solusi menanti

Diuji hingga jatuh berkali-kali, terus bertahan, jangan patah hati. Kembalilah kepada ALLAH, pasti ada solusi menanti

 

HIDUP manusia tidak akan sunyi dari ujian. Kata orang, dugaan yang hadir mematangkan diri. Ada orang mungkin diduga dari segi kewangan, kehilangan orang tersayang, perkahwinan yang tidak bahagia dan sebagainya.

Hakikatnya, ujian bukan sekadar perkara yang nampak negatif sahaja, bahkan perkara yang elok pun adalah ujian buat Muslimin. Contohnya anda dikurniakan kerjaya yang stabil, rumahtangga yang sangat harmoni atau anak – anak yang meningkat usia dewasa namun sangat mengambil berat kepada orang tua. Ujiannya ialah agar sentiasa istiqamah menjaga amanah yang ALLAH berikan itu.

Firman ALLAH yang bermaksud,“Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa apabila dikatakan kepada kamu, ‘Berangkatlah untuk berperang di jalan ALLAH’, kamu merasa berat dan ingin tinggal di tempatmu? Adakah kamu lebih menyukai kehidupan di dunia daripada kehidupan di akhirat? Padahal kenikmatan hidup di dunia ini hanyalah sedikit dibandingkan dengan kehidupan di akhirat. Jika kamu tidak berangkat untuk berperang, nescaya ALLAH akan menghukum kamu dengan azab yang pedih dan menggantikanmu dengan kaum yang lain, dan kamu tidak akan merugikan ALLAH sedikit pun. Dan ALLAH MAHA BERKUASA atas segala sesuatu.” (Surah At-Taubah, ayat 38-39)

Ujian seringkali menuntut pengorbanan. Keikhlasan hati tatkala mendepani tribulasi dan cekalnya anda mengharungi segenap onak ranjau itu pasti akan membuahkan hasil yang tidak terkira hebatnya.

empat kisah rasulullah menangis

ADAT kehidupan, diduga dengan ujian, masalah dan segala pancaroba Sabar adalah kuncinya. Kembalilah kepada ALLAH, semoga ditunjukkan jalan keluar

 

Baca juga:

Ubati segera penyakit hati, jangan dibiarkan melarat kelak menyusahkan emosi dan fizikal

Tanda taubat diterima akhlak berubah baik, mudah lakukan ibadat

Sahabat Nabi sanggup tebus nyawa..

Sahabat-sahabat Rasulullah SAW juga telah melalui mehnah yang serupa tatkala hidayah menyapa diri mereka.

Ustaz Mohamad Amiro Safwan Mohd Kamil, Editor Kanan Penerbitan al-Quran Karya Bestari, menceritakan betapa tingginya nilai pengorbanan yang dicurahkan oleh salah seorang sahabat Nabi.

Ustaz Mohamad Amiro Safwan

Satu peristiwa ketika berlangsungnya peperangan Uhud menjadi bukti semangat pengorbanan itu. “Anas bin Malik menceritakan kehebatan peribadi bapa tirinya Abu Talhah al-Ansari, salah seorang sahabat Nabi. Ketika umat Islam dibadai Perang Uhud, ada tentera Muslimin bertempiaran lari. Namun salah seorang perajurit Muslim bernama Abu Talhah dengan penuh berani menerpa tempat perlindungan Rasulullah SAW.

“Kalimah pertama yang beliau ungkapkan ialah: “Ya Rasulullah, aku tebus nyawamu dengan nyawa ayah dan ibuku (bermaksud: aku lebih rela ayah dan ibuku mati di depanku tapi aku tak sanggup tengok kamu mati). “Ayuh Nabi ALLAH, kamu kekal di belakangku, jangan angkat kepalamu yang menyebabkan musuh melihatmu. Tidak mengapa kalau aku dipanah musuh kerana kematianku tidak meninggalkan kesan apa-apa kepada agama, tetapi kalau kamu mati Islam akan rugi.

“Begitu teguh sekali iltizam para sahabat. Mereka bukan beretorik dengan jejeran ungkapan pengorbanan bahkan sanggup ke depan demi membuktikan kecintaan kepada Rasulullah,“ ungkapnya lagi.

Pengorbanan hanya kerap diingati ketika Hari Raya Haji dan Hari Kebangsaan, bagaimana pula cara untuk Muslimin mengekalkan aura, momentum pengorbanan serta pengabdian terhadap Islam dalam jiwa?

Berkongsi pandangannya berhubung isu ini, Ustaz Amiro berkata, “ALLAH SWT telah mengajarkan, kalau kita letakkan sepenuhnya pergantungan serta bertawakkal kepada-NYA, maka insya-ALLAH, DIA akan sediakan solusi dalam setiap musibah yang dilalui,“ jelasnya.

Beliau memetik firman ALLAH dalam surah at-Talaaq, ayat 2 dan 3 yang bermaksud : “Dan sesiapa yang bertakwa kepada ALLAH (dengan mengerjakan suruhan-NYA dan meninggalkan larangan-NYA), nescaya ALLAH akan mengadakan baginya jalan keluar (daripada segala perkara yang menyusahkannya), serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada ALLAH, maka ALLAH cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya ALLAH tetap melakukan segala perkara yang dikehendaki-NYA. ALLAH telah pun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.”

 

Hanya kalimah ALLAH bersemadi

“Ayat ini menerangkan bahawa ALLAH ingin mendidik kita bahawa rezeki bukan di tangan manusia. Bahkan ALLAH yang mengizinkan rezeki sampai sama ada melalui ikhtiar kita dan perantaraan orang lain,“ jelas beliau lagi.

Apabila momentum dan jiwa rela berkorban meresap di dalam diri, hanya kalimah ALLAH kekal bersemadi. Melanjutkan bicara, Ustaz Amiro menyelak sebuah lagi kisah tentang Asmai‘e, seorang sasterawan Arab yang hidup pada era tabiin (generasi selepas sahabat nabi).

“Asmai‘e ketika itu dalam permusafiran dan di pertengahan jalan bertemu seorang Arab Badwi. Seketika mereka bertanya khabar, Asmai‘e menjelaskan, beliau berasal dari daerah yang dibacakan ayat-ayat ar-Rahman (ayat al Quran).

Orang Badwi itu meminta Asmai‘e membacakan ayat al-Quran kepadanya, lalu Asmai‘e memilih untuk membaca ayat 1 hingga 22, daripada surah az-Dzariyat iaitu ayat-ayat tentang rezeki. “Usai mendengar kalamullah, si Arab Badwi terus turun dari untanya lantas menyembelih haiwan itu.

“Dia mengajak Asmai‘e membantu mengagihkan daging unta kepada orang ramai, sehingga pedang dan senjata miliknya ditumpulkan untuk dihadiahkan kepada sesiapa sahaja yang ditemui.

 

Lazimkan membaca al-Quran, rujuk terjemahan dan tafsir, ia akan memberi kemanisan kepada jiwa. Yakinlah, apabila kebergantungan kepada ALLAH semakin kuat. ALLAH akan sediakan jalan keluar. Seterusnya didikan ALLAH akan sampai kepada kita

 

“Asmai‘e sangat takjub dengan ketakwaan lelaki itu. Detik hatinya, “si Arab Badwi itu baru sahaja mendengar ayat tersebut buat pertama kali tetapi begitu beriman dengannya. Sedangkan aku sudah membacanya ratusan kali tetapi tidak berbekas sedikit pun dihati. Demi ALLAH aku bersaksi, apabila ALLAH menyebut, ‘apabila dibaca ayat-ayat-MU maka bertambahlah keimanan,“ ceritanya panjang lebar.

USAH mengeluh kerana ALLAH SWT tidak akan menguji hamba-NYA melebihi kemampuan mereka. Foto: Google

Baca juga: Al-Quran Mukjizat Teragung dan Abadi

Nyata di sini, kata Ustaz Amiro, al-Quran adalah kaedah mendidik hati kerana saban hari kita melihat peristiwa dalam al-Quran, apa yang berlaku, yang tersirat daripada maksud ayat-ayat al-Quran, justeru inilah perkara yang perlu diambil manfaat.

“Demi mengekalkan vibe dan jiwa pengorbanan terhadap agama, sentiasalah melazimi (membaca) al-Quran, rujuk kepada terjemahan dan tafsir, ia akan memberi kemanisan kepada jiwa. Yakinlah, apabila kebergantungan kepada ALLAH semakin kuat. ALLAH akan sediakan jalan keluar. Seterusnya didikan ALLAH akan sampai kepada kita,“ ujarnya mengakhiri bicara.

Larangan ALLAH
Gaya Hidup, Gaya Hidup,

Mengapa masih seronok buat larangan ALLAH sedangkan solat cukup dan sudah baca al-Quran?

“SOLAT cukup, baca al-Quran pun sudah, siap dengan terjemahan lagi, tapi kenapa kita tetap buat perkara larangan ALLAH?”

Persoalan itu kadangkala menerpa ruang fikiran. Masakan tidak, semua sedia maklum bahawa solat itu pencegah kepada kemungkaran.

Namun, entah mengapa sukar benar mengawal diri daripada melakukan perkara yang tidak disukai ALLAH SWT. Jika bukan kerana bisikan syaitan, barangkali nafsu menjadi antara puncanya.

Baca juga Jangan Tunduk Pada Hawa Nafsu

Ya, itulah gejolak rasa dialami setiap manusia. Bukan mudah sebenarnya untuk bermujahadah melawan makhluk ALLAH yang terkutuk itu dan keinginan hati yang begitu membuak-buak.

Apatah lagi kita hanya manusia biasa yang punya kekurangan diri. Sudah tentulah ada ketika, terbabas juga melakukan kesalahan.

Sebenarnya, semua yang kita alami itu merupakan hakikat kehidupan. Hidup merupakan ujian.

Demikian peringatan yang diberikan oleh pendakwah Ustaz Muhammad Fahmi Rusli menerusi ciapan di Twitter miliknya baru-baru ini.

USTAZ MUHAMMAD FAHMI

Perkara itu jelas dinyatakan dalam al-Quran menerusi Surah Muhammad, ayat 31 yang bermaksud: “Sesungguhnya, KAMI benar-benar akan menguji kamu sehingga KAMI mengetahui orang-orang yang benar-benar berjihad dan bersabar di antara kamu, dan KAMI akan uji kamu.”

Mengulas lanjut, Ustaz Muhammad Fahmi menjelaskan, ujian datang dalam dua bentuk utama iaitu meninggalkan suruhan ALLAH SWT dan melakukan larangan-NYA.

Mengambil contoh dosa yang dilakukan oleh Nabi Adam AS dan iblis, katanya, kedua-dua mereka diuji dengan salah satu bentuk ujian tersebut.

“Cuma bezanya, apabila Nabi Adam melakukan dosa, baginda menyesal dan mengaku salah, lalu berdoa memohon ampun kepada ALLAH SWT.

Baca juga Mengapa iblis tidak mendapat pengampunan daripada ALLAH YANG MAHA ESA? Ini punca-puncanya…

“Iblis pula bersifat sebaliknya. Dia berdosa, tetapi makhluk itu menjustifikasikan dosanya. Malah, berasa sombong dan langsung tidak berasa bersalah. Rasa apa yang dilakukan semua betul,” katanya.

Contoh yang diberikan itu sebenarnya mempunyai kaitan rapat dengan ujian yang dilalui oleh setiap manusia, ungkapnya.

Larangan ALLAH

PINTU taubat masih terbentang luas buat setiap insan tanpa mengira siapa pun kita, selagi nyawa belum sampai ke halkum. Sama-samalah berdoa semoga kita tetap istiqamah dan meninggal dunia dalam nikmat Islam dan iman. -GAMBAR HIASAN/ FOTO: 123RF

“Inilah yang saya maksudkan dengan ujian. Ujian nafsu, syahwat dan sebagainya. Isunya, bagaimana kita mendepani dan menanganinya?,” soalnya.

Tip hadapi ujian hidup

Ustaz Muhammad Fahmi yang juga Pegawai Hal Ehwal Islam Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan itu turut berkongsikan tip bagi menghadapi situasi berkenaan seperti berikut:

i. Jangan sesekali menjustifikasikan maksiat tersebut. Salah tetap salah.
ii. Sentiasa bertaubat dan memperbanyakkan amalan ketaatan. Ingatlah, kebaikan memadamkan kejatahan sebagaimana disebut dalam Surah Hud, ayat 114.
iii. Penghuni syurga bukan tidak pernah berdosa semasa di dunia. Bahkan, mereka menghuni jannah itu kerana pahalanya lebih banyak berbanding dosa.
iv. Pentingnya amal soleh. Barangkali kerjanya hanya satu, tetapi ganjarannya dua iaitu dikurniakan pahala dan diampunkan dosa.
v. Paling penting, kadangkala kita masih menurut nafsu syahwat walaupun banyak solat kerana alat-alat pendorong syahwat itu banyak dan dekat. Jadi peralatan tersebut perlu dicantas.
– Ketahuilah, solat dan ibadah merupakan salah satu wasilah. Ia bukannya satu-satunya wasilah dalam meninggalkan maksiat.
– Jika telefon bimbit yang membawa kita menurut nafsu, maka cantaslah ia.
– Andai kawan-kawan yang membawa kita mengikut syahwat, ‘cantas’ rakan-rakan sebegini.
– Begitu juga tempat atau persekitaran yang menjebakkan diri kita ke arah maksiat, maka buanglah dan cari persekitaran yang baharu.

Baca juga [VIDEO] Bersabarlah bila ditimpa ujian. Begitu besar rupanya hadiah orang yang bersabar…

Apa jua dugaan atau kesukaran yang dihadapi, bersabarlah dan berusaha untuk mencari solusinya. Mengertilah, selagi kita bergelar hamba ALLAH, selama itulah kita tidak akan pernah berhenti menerima ujian-NYA.

Larangan ALLAH

APABILA diuji dalam kehidupan, bersabarlah dan kembali kepada fitrah. FOTO: 123RF

Semua itu bagi menguji sejauh mana keimanan kita kepada Yang MAHA ESA.

***Foto: Freepik

Ujian
Gaya Hidup, Gaya Hidup,

Ujian bukan untuk merendahkan martabat manusia, tapi mempersiapkan kita dengan kejayaan

UJIAN setiap insan boleh datang dalam pelbagai bentuk. Ia termasuklah dugaan melibatkan masalah ekonomi.

Apa jua dihadapi, Islam begitu mementingkan kehidupan yang baik dalam kalangan umatnya. Ini kerana agama itu sendiri merupakan sebuah sistem hidup yang merangkumi semua aspek termasuk ekonomi.

Baca juga Contohi cara Nabi Yusuf AS tangani kegetiran ekonomi

Atas faktor itulah agama suci tersebut memandang serius isu kemiskinan dan menyediakan solusi terbaik untuk menanganinya antaranya menerusi instrumen zakat, sedekah dan wakaf sejak sekian lama.

Disebabkan itu, Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan, Unit Hal Ehwal Islam, Universiti Teknologi MARA Cawangan Pahang, Kampus Jengka, Ustaz Muhamad Azlan Md Aris mengingatkan agar mereka yang diuji dalam kehidupannya agar kembali kepada fitrah hidup sebagai hamba kepada Tuhan yang MAHA ESA.

USTAZ MUHAMAD AZLAN

“Keimanan dan ketakwaan seseorang akan diukur melalui ujian. Sebagai khalifah di muka bumi, kita dipertanggungjawabkan dengan pelbagai amanah yang perlu dilaksanakan sebaik-baiknya.

“Maka akan wujud ujian-ujian yang perlu ditempuh setiap manusia bagi mencapai kejayaan. Ingatlah, kemenangan dan kejayaan memerlukan usaha.

“Harapan tanpa daya upaya merupakan angan-angan yang bercanggah dengan fitrah hidup ditetapkan oleh ALLAH SWT kepada semua manusia,“ katanya sambil menjelaskan bahawa setiap usaha yang dilakukan akan membuahkan hasil dan diberi kejayaan oleh- NYA jika dihadapi dengan sabar, reda dan bertawakal.

Baca juga Hidup Kena Banyak Sabar, ALLAH SWT Akan Balas Dengan ‘Ladang’ Pahala Tanpa Batas

Seperkara lagi, Ustaz Muhamad Azlan menegaskan, ujian yang menimpa seseorang itu bukanlah bertujuan untuk merendah atau menjatuhkan martabat manusia.

“Sebaliknya di sisi ALLAH, ia adalah bagi mempersiapkan diri manusia untuk dianugerahkan kemenangan dan kejayaan sebagaimana yang dijanjikan-NYA,“ katanya.

Jelas beliau, hanya iman dan takwa menjadi benteng utuh mendepani segalanya. Begitu juga ungkapan doa dan lafaz kesyukuran yang meniti pada bibir menjadi penawar mujarab daripada segala kesulitan tersebut.

“Begitupun, pengertian syukur itu bukan sekadar mengucapkan ‘alhamdulillah‘ atau ‘syukur atas nikmat diberikan‘. Para ulama menukilkan, makna bersyukur yang sebenar adalah apabila seseorang dikurniakan nikmat oleh ALLAH SWT, maka akan bertambal amal ibadahnya.

Baca juga Jangan mendongak atau mengeluh, lihatlah orang yang lebih rendah daripada kita untuk belajar bersyukur

“Setiap nikmat yang diperoleh akan menjadikan seseorang itu kuat beribadah. Maka orang yang benar-benar bersyukur ialah mereka sedang mempersiapkan dirinya untuk dianugerahi nikmat yang lebih besar daripada ALLAH SWT,“ ungkapnya.

Ujian

ALLAH SWT menurunkan ujian ke atas hamba-hamba-NYA mengikut kemampuan masing-masing. Justeru, bersabarlah atas segala dugaan dihadapi. -FOTO: 123RF

ANEKDOT

Amalan dan doa ma‘thur ketika hadapi kesukaran

  1. “Ya ALLAH, aku berlindung pada-MU daripada perasaan sedih dan gelisah, aku berlindung daripada sifat lemah dan malas dan aku berlindung pada-MU daripada sikap pengecut dan bakhil dan aku berlindung daripada cengkaman hutang dan penindasannya.“(Hadis Riwayat Abu Daud)
  2. “Ya ALLAH, aku berlindung kepada-MU daripada menemui penderitaan, daripada takdir yang buruk dan daripada keberhasilan musuh.(Sahih al-Bukhari)
  3. “Wahai Tuhanku, tiada kemudahan melainkan apa yang ENGKAU jadikan mudah dan perkara yang susah boleh ENGKAU jadikan mudah apabila ENGKAU kehendakinya.“(Sahih Ibn Hibban)

***Sumber: Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan, Unit Hal Ehwal Islam, Universiti Teknologi MARA Cawangan Pahang, Kampus Jengka, Ustaz Muhamad Azlan Md Aris
Foto: Freepik

Sabar
Isu, Pilihan Editor,

Hidup Kena Banyak Sabar, ALLAH SWT Akan Balas Dengan ‘Ladang’ Pahala Tanpa Batas

no comment

KEHIDUPAN kita sememangnya tidak sunyi daripada diuji dengan pelbagai dugaan. Itulah sebenarnya yang mencorak dan mewarnai kanvas hidup di dunia yang fana ini.

Lelah dengan liku-liku yang terpaksa direntas? Mengertilah bahawa setiap orang pasti akan melaluinya selagi kita masih bergelar hamba ALLAH SWT.

Meskipun perit untuk menerimanya, sebagai orang Islam, kita wajib menerima qada dan qadar serta takdir yang telah ditetapkan-NYA.

Semua itu perlu direntas dengan penuh kesabaran. Sesungguhnya, sifat kudus itu sangat ditekankan dalam Islam. Bahkan, perkataan sabar telah disebut sebanyak 90 kali dalam al-Quran.

Jelaslah betapa signifikannya sifat berkenaan dalam kehidupan seharian kita. Barangkali disebabkan itu, ALLAH SWT menjanjikan imbalan dan pahala yang bukan calang-calang.

Apakah ganjaran yang dimaksudkan itu? Mengapa pahala sabar tidak disebut secara spesifik seperti ibadah yang lain?

Lebih tenang

Pendakwah Ahmad Lutfi Abdul Wahab al-Linggi menjelaskan, ALLAH SWT memerintahkan kepada semua hamba-NYA supaya bersabar dan menyulami sifat berkenaan dengan anjuran untuk bertakwa kepada-NYA.

AHMAD LUTFI

“Sabar dalam maksud ini adalah untuk menahan diri daripada maksiat. Menahan diri di sini juga bererti menahan diri dalam ketaatan. Dalam Islam, sabar juga bermaksud melakukan kebaikan dan bersabar.

“Begitu juga saat ditimpa musibah. Seandainya menerima ujian sebegini, seharusnya kita perlu bersyukur.

“Sama juga halnya apabila kita diberikan takdir yang menyenangkan hati, maka diharuskan juga supaya memanjatkan kesyukuran.

“Ini kerana syukur merupakan satu bentuk ketaatan kepada-NYA. Semua itu juga adalah antara bentuk-bentuk takwa kepada ALLAH SWT,” katanya kepada Sinar Islam Plus.

ALLAH SWT berfirman: “Wahai orangorang yang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap siaga dan bertakwalah kepada ALLAH, supaya kamu beruntung.” (Surah Ali Imran, ayat 200)

Berdasarkan kalamullah berkenaan, ujar Ahmad Lutfi, jelaslah bahawa sifat betah menghadapi ujian dan tidak mudah marah apa lagi melatah memiliki keutamaan serta manfaat yang sangat besar.

Masakan tidak, sifat sabar adalah termasuk dalam perbuatan mulia yang sangat dituntut untuk kita lakukan.

“Dengan sabar, masalah yang kita hadapi akan terasa lebih ringan dan dapat diselesaikan dengan lebih efektif tanpa menyisakan rasa sakit hati atau menimbulkan fitnah.

“Bahkan, dengan sifat itulah kita akan sentiasa menjalani kehidupan dengan lebih tenang tanpa berasa gelisah dalam hati,” ujarnya.

Ketahuilah sifat sabar juga merupakan satu terapi penyakit hati, ungkapnya.

“Ya, ungkapan sabar begitu mudah diucapkan. Namun, untuk mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian memerlukan kesungguhan.

“Ketika seseorang diuji dengan musibah dia dapat menghadapinya dengan ikhlas dan sabar, maka ALLAH SWT akan menaikkan keimanannya dan menyediakan pahala baginya menjadi salah satu keutamaan sabar.

Sabar


PUPUK sifat dalam diri untuk menghadapi apa jua masalah dan dugaan hidup.

“Ingatlah, ALLAH SWT tidak akan pernah memberikan ujian yang berat di luar batas kemampuan hamba-hambaNYA. Maka, kita harus bersyukur ketika ALLAH ‘mengutuskan‘ ujian yang menandakan bahawa DIA masih menyayangi kita,” katanya.

Baca juga ALLAH Datangkan Ujian Sekali Dengan Kekuatan, Tiada Alasan Untuk Kita Mengeluh

Ladang pahala

Menyambung hujah, Ahmad Lutfi kemudian menarik perhatian penulis apabila membicarakan tentang pahala yang menanti mereka yang menghiasi diri dengan sifat sabar.

Imbalan paling besar, ujar beliau, tidak lain tidak bukan adalah balasan syurga ALLAH SWT.

ALLAH SWT berfirman: “Wahai hamba-hamba-KU yang beriman, bertakwalah kepada Tuhanmu. Orangorang yang berbuat baik di dunia ini memperoleh kebaikan. Dan bumi ALLAH itu adalah luas. Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas.” (Surah az-Zumar, ayat 10)

“Apa yang dimaksudkan dengan perkataan dicukupkan adalah kesabaran seorang Muslim tidak dapat ditimbang dan disukat. Oleh sebab itu, imbalan yang diperoleh oleh mereka yang bersabar ialah syurga.

“Malah, dalam kalam ALLAH SWT itu jelas memberitahu bahawa sifat sabar memberikan ‘ladang’ pahala tanpa batas.

“Pahala tersebut hanya diperuntukkan bagi orang-orang yang bersabar dalam menghadapi ujian-NYA,” jelasnya.

Bukan itu sahaja, Ahmad Lutfi yang juga Pengerusi Tahfiz Al-Quran As-Syarif menjelaskan, mereka yang mengutamakan sifat sabar dalam diri akan sentiasa bersama-sama dengan ALLAH SWT. Malah, individu tersebut juga begitu istimewa kerana termasuk sebagai orang yang mulia.

“Seperkara lagi, segala urusan yang dihadapi oleh orang sabar adalah baik. Masakan tidak, sifat berkenaan acap kali mendatangkan hal-hal positif dalam kehidupan, meskipun kita sedang dilanda masalah mahupun ujian dalam kehidupan.

“Ini kerana setiap kemelut yang kita hadapi pasti akan mendatangkan hikmah dan kebaikan dalam diri dan kehidupan kita,” katanya.

Bagaimana pula dengan sikap segelintir manusia yang mudah mengungkapkan sabar pada bibirnya, namun dalam hatinya mengeluh dan merintih? Adakah ia juga dikira sebagai perbuatan sabar?

Menjawab persoalan itu, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin, Dr Mohd Hasrul Shuhari menjelaskan, andai aduan dan rayuan berkenaan dirujuk kepada YANG MAHA ESA supaya dihilangkan kesukaran, maka ia tiada masalah.

DR MOHD HASRUL

“Namun, seandainya kita tidak reda dan sabar, maka perbuatan itu dilarang sama sekali.

“Ini kerana segala urusan umat Islam adalah baik termasuklah apabila kita bersabar saat ditimpa kesusahan sebagaimana disebutkan dalam Hadis Riwayat Muslim,” katanya.

Kejayaan sebenar

Mengulas tentang sifat sebilangan manusia yang tetap bersabar, meskipun dicaci dengan tanggapan sinis masyarakat yang menyifatkan tindakan itu sebagai menyerah kalah atau pengecut, Dr Mohd Hasrul berkata, terdapat hadis yang menyatakan, kekuatan sebenar bagi seseorang itu bukanlah berjaya dalam pergaduhan, sebaliknya kejayaan mereka adalah apabila mampu bersabar.

Diceritakan bahawa seorang lelaki berkata kepada Rasulullah SAW: “Berikanlah aku nasihat.” Baginda SAW bersabda: “Jangan marah.” Maka orang itu mengulangi permintaannya tadi beberapa kali. Nabi Muhammad SAW menjawab: “Jangan marah.” (Riwayat al-Bukhari)

Ujar Dr Mohd Hasrul, kalamullah itu perlu dijadikan panduan kepada kita agar menjauhi sifat marah, apatah lagi ketika dalam situasi genting seperti dihina dan dicaci.

Bahkan, ketika diri dikuasai amarah, kita digalakkan berdoa supaya tidak dikuasai syaitan, katanya. Justeru, ahli akademik itu mengingatkan agar umat Islam sentiasa mengamalkan sifat terpuji itu dalam melayari kehidupan di muka bumi ini.

Nabi Muhammad SAW pernah bersabda: “Akan datang kepada manusia satu zaman di mana orang yang sabar daripada kalangan manusia yang berpegang dengan agamanya seperti seorang yang menggenggam bara api.” (Riwayat at-Tirmizi)

“Hadis ini juga boleh dijadikan pedoman bahawa sesiapa yang berjaya memiliki sifat sabar pada zaman tersebut, pasti ia ada ganjaran dan darjat yang sangat istimewa di sisi ALLAH SWT.

Sabar


SIFAT sabar membolehkan kita sentiasa menjalani kehidupan dengan lebih tenang dan tenteram tanpa berasa gelisah.

“Satu lagi nas yang boleh memberi motivasi kepada diri untuk bersifat demikian ialah ayat 10, Surah az-Zumar yang tidak menyatakan pahala bersabar secara spesifik berbanding ibadah lain.

“Ayat itu, menurut Kitab Tafsir al-Sa’di, ia merujuk kepada semua jenis kesabaran seperti sabar ketika menghadapi ujian yang menyakitkan, menahan diri daripada melakukan kemaksiatan, melaksanakan ketaatan kepada ALLAH SWT.

“Ganjaran yang diberikan adalah tanpa had, tidak terkira dan tiada ukuran. Ia menunjukkan fadilat kesabaran di sisi ALLAH SWT. Malah, Imam al-Tabari menukilkan pandangan bahawa ganjarannya adalah syurga,” katanya mengakhiri bicara.

Baca juga La Hawla wa la Quwwata illa billah: Penyerahan jiwa raga kepada Yang Maha Kuasa

Membiarkan perasaan marah tanpa dirawat lebih memudaratkan

SEBAGAI umat Islam, kita dianjurkan supaya menangkis sifat marah dalam diri. Ini kerana emosi yang berkecamuk itu akan membuatkan kita hilang kawalan dan pertimbangan diri.

Pendakwah, Datuk Hassan Mahmud Al-Hafiz menjelaskan, saat diri dikuasai perasaan amarah, ketika itulah kita akan mula ‘berkawan‘ dengan syaitan.

HASSAN MAHMUD

“Orang yang marah mudah untuk dimasuki syaitan. Jika kita mahu mendamaikannya, ucapkanlah astaghfirullahal ‘azim berulang kali dan mintalah orang itu membasuh mukanya serta berwuduk.

“Andai dibiarkan perasaan marah itu tanpa dirawat, lama-kelamaan kemuncaknya dia akan jatuh sakit ataupun gila.

“Ingatlah bahayanya sifat marah itu umpama kita merosakkan diri, keluarga, masyarakat dan juga negara. Misalnya, sifat marah ini boleh mengundang berlakunya pergaduhan, bunuh-membunuh dan seumpamanya. Kalau melibatkan negara pula, ia boleh menyebabkan terjadinya peperangan,“ katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Disebabkan itulah, agamawan itu menjelaskan, Nabi Muhammad SAW menyuruh umatnya mengawal kemarahan dan bersabar. Bahkan, ALLAH SWT menjanjikan balasan syurga kepada mereka yang berjaya menepis perasaan yang mengundang implikasi buruk tersebut.

Ketahuilah bahawa perasaan marah boleh dinyahkan jikalau kita memiliki sifat sebagaimana yang disebutkan oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadis.

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Tiga perkara yang apabila wujud pada diri seseorang, maka dia mendapat kemanisan iman iaitu apabila ALLAH dan rasul-NYA lebih dicintai olehnya daripada selain kedua-dua-Nya, apabila dia mencintai seseorang yang dia tidak cintai melainkan hanya kerana ALLAH dan apabila dia benci untuk kembali kepada kekufuran (setelah beriman) seperti dia benci jika dicampakkan ke dalam neraka.” (Riwayat al-Bukhari)

Begitupun, ujar Hassan Mahmud, terdapat beberapa keadaan tertentu yang membolehkan kita marah. Umpamanya ketika agama Islam dihina, ulama dicaci, ibu bapa, saudara mahupun keluarga kita dikutuk.

“Dalam keadaan ini, Imam al-Ghazali berpesan agar kita mempertahankannya dengan membuat penafian hingga 70 kali menerusi pelbagai alasan.

“Kita juga boleh marah seseorang apabila orang itu menghina atau menggunakan kekerasan luar biasa berupa ugutan, perkataan dan perbuatan yang keras serta sombong.

“Misalnya kepada manusia yang zalim, mereka yang suka memperolok-olokkan agama seperti orang munafik, golongan fasik dan seumpamanya. Kalau golongan itu menghina pakaian labuh dan longgar kita tidak mengikut arus semasa, kita boleh pertahankan dan membalas cacian mereka,“ katanya.

Sabar


HINDARI sifat marah yang boleh menjebakkan manusia mudah dikuasai syaitan sehingga hilang pertimbangan diri. -Gambar hiasan

ANEKDOT

JENIS-JENIS sabar

1. Sabar dalam ketaatan kepada ALLAH.

– Ia merupakan sabar yang penuh dengan dugaan. Apa tidaknya, sudah menjadi tabiat manusia tidak suka dikongkong dengan peraturan kehidupan.

– Ketahuilah, sabar dalam mentaati perintah ALLAH lebih sempurna daripada sabar menjauhkan diri daripada perkara-perkara maksiat.

– Ulama membahagikan sabar dalam ketaatan kepada ALLAH kepada tiga kategori iaitu:

  1. Sabar sebelum melakukan ketaatan dengan membetulkan niat yang ikhlas kerana ALLAH dan menjauhi daripada unsurunsur riak.
  2. Sabar dalam keadaan sedang mengerjakan sesuatu ketaatan supaya tidak lalai, malas dan tidak khusyuk.

iii. Sabar selepas beramal iaitu tidak ujub (bangga diri) supaya setiap amalan yang dikerjakan tidak menjadi sia-sia.

2. Sabar dalam meninggalkan maksiat dan perkara-perkara haram.

– Manusia memerlukan kesabaran dalam menjalani kehidupan yang sementara di dunia dan sabar daripada melayan nafsu yang membinasakan.

– ALLAH SWT menjelaskan, setiap apa yang ada pada orang yang tidak beriman dan melakukan maksiat, ia bukan bererti mereka mendapat nikmat. Sebaliknya, ia merupakan satu bala yang mana ramai manusia tidak mengetahuinya.

3. Sabar dalam sesuatu ujian dan ketentuan ALLAH SWT yang menyakitkan.

– Tidak ada seseorang yang terlepas daripada kesakitan badan, jiwa, kerugian harta benda dan kehilangan orang yang dikasihi.

– Ujian itu datang tidak kira baik atau jahat, mukmin atau kafir. Apa yang membezakannya adalah bagaimana orang mukmin menghadapi setiap musibah itu dengan keredaan dan ketenangan kerana mereka yakin ia adalah ujian ALLAH ke atas hamba-hamba-NYA.

Sumber: Pendakwah Ahmad Lutfi Abdul Wahab al-Linggi

Foto: 123rf & Freepik

Ujian
Berita Semasa,

ALLAH Datangkan Ujian Sekali Dengan Kekuatan, Tiada Alasan Untuk Kita Mengeluh

no comment

KITA baru sahaja menyambut tahun baharu maal hijrah semalam. Pasti ramai yang menyimpan azam baharu untuk menjadi insan dan hamba ALLAH SWT lebih baik pada tahun 1443 Hijrah.

Walaupun ketika ini, sudah setahun lebih kita berjuang melawan wabak Covid-19, namun terdapat sebilangan manusia yang hampir tewas dan tidak tahan dengan ujian tersebut.

Pengasas dan Pengarah Akademi Dr Har, Prof Datuk Dr Harlina Halizah Siraj mengakui pandemik yang dilalui kini merupakan perkara paling besar kerana ia terpaksa direntas oleh semua orang di seluruh dunia.

DR HARLINA HALIZAH

Malah, katanya, ia turut memberikan impak yang bukan calang-calang dari segi ekonomi, politik, sosial dan paling ketara, kita tidak lagi boleh berinteraksi sesama sendiri sepertimana sebelum ini. Semuanya perlu dilakukan dengan mengambil kira penjarakan sosial.

“Apabila keluar daripada zon selesa, kita berasa bimbang dan janggal dalam situasi yang tidak pernah dialami. Keadaan itu dipanggil sebagai VUCA yang merangkumi volatile (bersifat meruap), uncertainty (ketidaktentuan), complexity (rumit) dan ambiguity (kekaburan).

“Walaupun itulah perasaan yang dialami, namun hakikatnya masih ada harapan di sebalik empat situasi berkenaan,” katanya berkongsi ilmu bertajuk Harapan Di Sebalik Kemusnahan pada program webinar Majlis Ilmu Khadijah 2.0, Jejak Khadijah 2021 anjuran Khadijah International Waqf (L) Foundation bersama Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor yang diadakan secara maya semalam.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita & Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud.

Dr Harlina Halizah yang juga Profesor di Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia kemudian mengajak kita untuk merenung bait-bait ayat suci al-Quran dalam ayat 286, Surah al-Baqarah.

Firman ALLAH SWT: “ALLAH tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): “Wahai Tuhan kami! Janganlah ENGKAU mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah ENGKAU bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah ENGKAU bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah ENGKAU pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. ENGKAULAH penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir.”

Berdasarkan kalamullah itu, Dr Harlina Halizah menjelaskan, yakinlah bahawa seberat mana pun ujian dan cabaran yang dilalui, semuanya didatangkan oleh ALLAH SWT dengan kekuatan untuk kita menghadapinya.

Ujian

SEBERAT mana pun ujian yang diberikan, ALLAH SWT datangkan dengan kekuatan untuk kita menghadapinya.

Beliau memberikan analogi mudah untuk kita memahaminya iaitu dengan mengemukakan contoh baju yang dipakai. Secara asasnya, kebanyakan daripada kita akan menempah baju khas daripada orang yang berpengalaman.

“Kalau baju itu tidak diukur pada badan kita, maka kita akan berasa kurang selesa. Oleh sebab itu, pakaian yang kita rasakan paling selesa adalah apabila ia diukur mengikut saiz tubuh kita.

“Begitulah juga dengan ujian. ALLAH SWT telah mengukurnya mengikut badan dan acuan kita. Mudah kata, ujian tersebut sudah ada nama kita dan tidak boleh orang lain yang ‘memakainya’ sebab ia tidak sesuai.

“Apabila faham konsep ini, pasti kita tidak akan persoalkan ujian yang diberikan, mengeluh apa lagi merintih dan berat hati dengan nasib yang menimpa. Yakinlah apa sahaja ujian yang ALLAH berikan, semuanya telah diukur dengan keupayaan kita,” ujarnya.

Baca juga Berdepan Ujian Getir Ketika Berhijrah, Ini Sebabnya

Beliau kemudian menasihatkan kita agar tidak terlalu lama untuk meratapinya. Sebaliknya, segera merancang strategi untuk berhadapan dengan harapan.

“Ingatlah, hanya ALLAH sahajalah yang boleh mengangkat ujian itu daripada kita. DIALAH yang MAHA BERKUASA atas segalanya.

“Mengertilah bahawa setiap daripada kita ada ujian tersendiri dan masing-masing tidak boleh mendabik dada dengan apa jua ketentuan-NYA. Ketahuilah, ujian itu boleh datang sama ada dalam bentuk kesenangan mahupun musibah.

“Ada orang yang meraih lebih banyak keuntungan berbanding sebelum musim pandemik ini disebabkan khidmat yang ditawarkan sangat diperlukan pada masa ini. Semua itu adalah bentuk-bentuk hijrah sedang kita lalui,” katanya.

Ujian

BERSABARLAH apabila menerima ujian dan berhijrahlah untuk mencari solusi atas dugaan yang dihadapi.

Beliau menambah, kehidupan manusia sememangnya perlu melalui pelbagai zon. Paling kerap didengari adalah zon selesa apabila seseorang rasa selamat dan semua berada dalam kawalan sendiri.

“Apabila kita keluar daripada zon selesa, kita akan melalui zon ketakutan dengan menghadapi norma baharu sebagaimana yang dilalui ketika ini.

“Namun, apabila kita memasuki zon seterusnya, inilah yang dinamakan sebagai pengharapan di sebalik ketakutan iaitu zon pembelajaran dan pertumbuhan yang perlu kita belajar serta mengharunginya.

“Kita jadi manusia yang belajar sepanjang hayat. Sebenarnya, ALLAH SWT jadikan otak kita untuk membina sel-sel baharu setiap hari. Ketahuilah bahawa organ yang paling muda dalam tubuh kita ialah otak kerana sentiasa belajar perkara baharu yang menyebabkan sel-selnya berhubung.

“Ia menjadi titik pembelajaran yang baharu. Jadi harapan di sebalik penghijrahan tadi janganlah kita hendak kembali ke zon selesa. Daripada zon ketakutan yang dilalui nanti kita akan mula menongkah ke hadapan kerana sudah berada di takuk berkenaan,” katanya.

Justeru, beliau mengajak seluruh umat manusia untuk melangkah berhadapan dengan cabaran.

“Cabaran ini bukannya untuk melemahkan dan meresahkan kita, tetapi ia merupakan peluang serta ruang untuk kita menjadi lebih baik lagi.
Oleh sebab itu, kita tiada pilihan lain lagi melainkan utk belajar benda yang baharu.

“Paling penting, kita kena belajar benda yang salah dulu. Ia akan mencelikkan masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Khadijah International Waqf (L) Foundation, Rohani Mohd Shahar berkata, webinar Majlis Ilmu Khadijah bagi membantu menyuntik kekuatan dalaman dan membekalkan kaedah menjana pendapatan bagi golongan yang terkesan supaya mampu mengatasi cabaran pandemik secara jangka masa panjang.

Ujian

SEBAHAGIAN peserta yang mengikuti Majlis Ilmu Khadijah 2.0, Jejak Khadijah 2021 yang diadakan secara maya semalam.

“Cabaran pandemik Covid-19 telah meninggalkan impak yang negatif ke atas sosioekonomi rakyat Malaysia yang mana dianggarkan 600,000 individu M40 telah turun ke B40.

“Objektif webinar bersiri ini yang bertemakan Jejak Khadijah telah bermula pada 22 Julai lalu bersempena Hari Raya Aidiladha mengambil ibrah daripada pengorbanan Siti Hajar dan menyuntik semangat kecekalan dalam pengorbanan.

“Semalam sempena awal Muharam pula, webinar mengupas tentang topik hijrah dan islah,” katanya.

Siri kemuncak Jejak Khadijah 2021 pula bakal diadakan pada Hari Merdeka ini dengan sajian ilmiah berbentuk kebijaksanaan
berasaskan ketakwaan.

Saintis Muslimah, Prof Jackie Ying menjadi antara panel yang diundang bagi memberi ceramah inspirasi menerusi slot webinar pada 31 Ogos ini, selain perkongsian pelbagai tip perniagaan yang bakal membantu para wanita menjana pendapatan untuk peningkatan
sosioekonomi keluarga.

Majlis itu bakal disempurnakan oleh isteri Menteri Besar Selangor, Datin Seri Masdiana Muhamad.

Bagi mereka yang berminat, tiket penyertaan adalah sebanyak RM100 untuk semua siri berkenaan, manakala penyertaan secara berkumpulan pula hanya dikenakan sebanyak RM1,000 bagi 11 orang.

Bagaimanapun, pihak penganjur juga telah mendapatkan tajaan pihak korporat untuk memungkinkan para peserta mengikuti
webinar itu secara percuma.

Hijrah
Isu, Pilihan Editor,

Berdepan Ujian Getir Ketika Berhijrah, Ini Sebabnya

no comment

UNGKAPAN hijrah begitu mudah meluncur keluar daripada bibir kita. Namun, untuk melaksanakannya tidak semudah seperti disangka. Proses transisi ke arah sifat dan kehidupan lebih baik itu lazimnya diiringi dengan liku penuh ranjau.

Ketika proses perubahan tersebut, adakalanya jiwa kita mudah rapuh dan hati tidak begitu kental.

Malah, ada sebahagian kita yang barangkali terpaksa melupakan hasrat murni tersebut gara-gara tidak sanggup berdepan dengan pelbagai ujian yang menyesakkan dada lebih-lebih lagi pada era pandemik Covid-19.

Pandemik itu yang terus membadai masyarakat dunia sehingga kini sememangnya telah merencatkan kehidupan manusia seantero dunia. Di Malaysia sahaja, kes positif sudah mencecah lebih sejuta orang. Angka itu dijangka bertambah seiring dengan kewujudan varian baharu yang ganas.

Ramai mengeluh apabila kehidupan selesa dan bebas yang dijalani sebelum ini terhenti secara tiba-tiba. Ramai menyifatkan ‘penghijrahan‘ suasana itu, sesuatu yang mengejut dan tidak pernah terlintas langsung di dalam benak fikiran.

Namun, mengertilah bahawa peralihan tersebut merupakan satu dugaan yang terselit kemanisan di sebaliknya. Ada sebab mengapa ALLAH SWT menguji hamba-NYA.

Baca juga Hidayah Buat ‘Pembenci’

Jadi, mengapakah mereka yang melalui proses penghijrahan terpaksa berdepan dengan ujian yang bukan sedikit? Apakah imbalan yang dijanjikan-NYA kepada mereka yang berhijrah?

Sinar Islam Plus mendapatkan pendakwah Ahmad Faiz Hafizuddin Rosli atau lebih dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Faiz untuk mengulas lebih lanjut. Ketika dilontarkan persoalan tentang proses penghijrahan yang dilalui seluruh masyarakat kepada kehidupan norma baharu gara-gara ancaman Covid-19, beliau menjelaskan, perkara itu sebenarnya sama sekali tidak bercanggah dengan saranan agama Islam itu sendiri.

PU FAIZ

Jelas beliau, Islam begitu menekankan kepada kebersihan dan kesihatan. Jika seseorang mengamalkan kehidupan yang tidak bersih, maka dirinya mudah ditimpa penyakit.

Jika dibelek kembali kitab-kitab fiqah, ujar PU Faiz, bab pertama sahaja sudah menyentuh tentang topik taharah (bersuci). Begitu juga dengan konsep mencegah lebih baik daripada mengubati.

“Bahkan, kita disuruh berikhtiar dan berusaha daripada terkena sebarang penyakit yang membahayakan.

“Disebabkan itulah semua saranan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia agar kita memakai pelitup muka, kerap mencuci tangan dan menjaga penjarakan sosial selari dengan kehendak agama.

“Bahkan, langkah-langkah pencegahan itu semuanya turut diambil oleh para doktor zaman cendekiawan Islam silam seperti Ibnu Sina.

“Mereka juga menyuruh umat terdahulu melakukan perkara sama tatkala sesuatu kawasan itu bergelut dengan penyakit berjangkit dengan kerap mencuci tangan dan tidak berhubungan sosial atau berkumpul,“ katanya baru-baru ini.

Transisi perilaku

Sesi temu bual kami semakin menarik apabila PU Faiz beralih kepada konteks penghijrahan yang berlaku pada era milenial.

“Dalam konteks kita sekarang, tidak perlu lagi berpindah dari satu rumah ke rumah yang lain, tetapi proses penghijrahan itu melibatkan transisi daripada satu perilaku kepada perilaku yang lain.

Hijrah

SUASANA norma baharu yang terpaksa dilalui oleh masyarakat pada hari ini juga merupakan penghijrahan dalam memerangi wabak Covid-19 dan ia selaras dengan kehendak Islam.

“Mudah kata, daripada perangai dan nafsu tidak baik kepada baik, daripada sikap baik kepada lebih baik dan sebagainya. Itulah proses penghijrahan yang sepatutnya dipraktiskan oleh umat Islam hari ini,“ terangnya.

Menyambung hujahnya, PU Faiz menjelaskan, semua transisi atau penghijrahan yang ingin dilakukan biarlah hanya kerana ALLAH SWT.

Nabi Muhammad SAW mengingatkan dalam sebuah hadis bahawa: “Sesungguhnya setiap amalan berdasarkan niat dan sesungguhnya setiap orang mengikut yang dia niat. Maka sesiapa yang hijrahnya kepada ALLAH dan rasul-NYA, maka hijrahnya kepada ALLAH dan rasul-NYA, dan siapa yang hijrahnya kerana dunia untuk dia dapatinya atau perempuan untuk dikahwininya, maka hijrahnya mengikut apa yang dia hijrah kepadanya.“ (Riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, at-Tirmizi dan lain-lain)

Hijrah bukan kerana manusia

“Kita lakukan penghijrahan itu sebagai seorang hamba ALLAH. Bahkan, semua itu dilakukan kerana ia merupakan perintah daripada-NYA. Jangan sesekali kita buat sesuatu dan kita meninggalkan suatu perkara itu kerana manusia.

“Imam Junaid al-Baghdadi menyatakan, mereka yang meninggalkan amal kerana manusia dikira sebagai syirik iaitu syirik khafi (kecil) kerana dalam hatinya itu masih memandang kewujudan insan. Ingatlah bahawa manusia tidak boleh memberikan apa-apa habuan kepada kita di akhirat kelak.

“Sebab itulah ALLAH SWT menegaskan dalam kalam-NYA menerusi ayat 20, Surah as-Syura bahawa sesiapa yang berkehendakkan habuan dunia, maka dia akan peroleh. Begitupun, pada hari akhirat kelak, tiada sedikit pun balasan kebaikan kepada mereka yang mengerjakan kebajikan untuk habuan dunia semata-mata. Inilah perkara yang perlu kita ambil pengajaran,“ jelasnya.

Mengapa setiap proses penghijrahan itu adakalanya terpaksa merentas pelbagai ujian? Menjawab persoalan itu, pendakwah Nourul Iman Nia‘mat menjelaskan, proses perubahan tersebut diakui memerlukan pengorbanan yang cukup besar. Ia sebagaimana hijrah yang dilakukan oleh para sahabat pada zaman Rasulullah SAW.

NOURUL IMAN

“Apabila mereka hendak kembali kepada ALLAH, antara pengorbanan terbesar yang dilakukan adalah meninggalkan kaum kerabat masing-masing, selain meninggalkan harta benda.

“Begitu juga saat para sahabat yang terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada tanah air tercinta iaitu Makkah al-Mukarramah sebelum berhijrah ke Madinah al-Munawwarah.

“Dalam proses tersebut, mereka ditimpa ujian demi ujian semata-mata ALLAH SWT mahu melihat sama ada keimanan mereka jitu ataupun rapuh,“ katanya.

Begitu juga dengan proses perubahan yang dilakukan oleh kita pada zaman ini. Ketika hidayah datang menjemput dan taufik mengiringi kita untuk berhijrah, ia memerlukan keazaman yang kuat, ungkapnya.

Barangkali sebelum ini kita biasa bergelumang dengan maksiat, penuh kemewahan dan seumpamanya. Namun, apabila tiba saatnya, ALLAH SWT mahu mengembalikan kita kepada-NYA dalam keadaan sangat reda, maka DIA menimpakan ujian.

“Ada segelintir orang, ALLAH SWT menurunkan malapetaka kepadanya ataupun musibah seperti sakit, kemalangan dan sebagainya. Boleh jadi ujian tersebut mahu menduga keimanan kita apakah benar kita beriman dengan-NYA ataupun tidak.

“Mungkin juga musibah berkenaan diberikan untuk menyucikan segala dosa yang pernah dilakukan sebelum ini kerana DIA mahu kita kembali kepada-NYA dalam keadaan suci bersih.

“Ia lebih baik daripada kita menghadapi rintangan apabila tibanya kematian, tiba di alam mahsyar, melalui titian Siratal Mustakim dan ketika menunggu sama ada bakal dimasukkan ke dalam syurga atau neraka. Seperkara lagi, boleh jadi musibah tersebut sedang mengangkat darjat kita di sisi ALLAH,“ katanya.

Hijrah

ALLAH SWT mengurniakan kemuliaan melalui rahmat dan kasih sayang-NYA serta kemakmuran bagi rezeki orang yang berhijrah sama ada di dunia dan akhirat.

Rezeki dan kemakmuran

Bagi menghindarkan diri daripada bisikan syaitan yang sering mengambil peluang menyesatkan apatah lagi mereka mahu berhijrah, saran Nourul Iman, kita perlu mengambil tahu segala tipu daya syaitan menerusi ilmu untuk mengetahui ‘taktik-taktik mereka‘ menyelewengkan manusia.

“Selain itu, jangan sesekali kita memberi perhatian atau melayan segala pujuk rayu musuh yang nyata tersebut. Pada masa sama, tingkatkan zikir lidah dan hati apabila kita digoda oleh syaitan. Ucapkanlah A‘uzubillahi minasy syaitanir rajim bagi menangkis godaan tersebut,“ katanya.

Firman ALLAH SWT: “Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan ALLAH (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada ALLAH dan rasul-NYA, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi ALLAH. Dan (ingatlah) ALLAH MAHA PENGAMPUN, MAHA MENGASIHANI.“ (Surah an-Nisa‘, ayat 100)

Kepada satu soalan, Nourul Iman menjawab: “ALLAH SWT memberi satu janji yang bernilai di sisi-NYA kepada mereka yang berhijrah kerana-NYA.

“Antaranya pemilik kerajaan langit dan bumi itu menjamin keamanan iaitu dengan menjanjikan rezeki dan kemakmuran di tempat baharu. Inilah janji-NYA di dunia.

Hijrah


TINGKATKAN zikirullah menerusi lidah dan hati bagi menangkis godaan syaitan yang cuba mengembalikan kita ke kancah maksiat silam.

“Sementelah, pahala hijrah yang dimaksudkan dalam kalam ALLAH tadi adalah dosa-dosa silam kerana ALLAH SWT MAHA PENGAMPUN lagi MAHA PENGASIH. Sifat MAHA PENGAMPUN itu ditujukan kepada dosa-dosa lalu, manakala MAHA PENGASIH pula anugerah kesenangan dengan membuka pintu hijrah.

“Apabila hamba-NYA taat dan menunaikan hijrah, maka ALLAH SWT mengurniakan kemuliaan melalui rahmat dan kasih sayang-NYA serta kemakmuran bagi rezekinya sama ada di dunia dan akhirat.

’Perlu ada wawasan hidup untuk peroleh semangat hijrah’

KEHIDUPAN manusia sememangnya sentiasa melalui proses penghijrahan. Bermula dari alam rahim, kemudian dilahirkan ke dunia sebelum kembali ke alam barzakh dan kekal di akhirat buat selama-lamanya.

Demikian juga putaran hidup dilalui oleh setiap insan di muka bumi ini yang mana semua orang akan melalui fasa kehidupan sebagai seorang bayi, kanak-kanak, remaja, dewasa dan tua.

Pendakwah Muhammad Hadi Talhah menjelaskan, apa jua fasa yang direntas oleh setiap hamba ALLAH, kita perlu jelas dengan misi kita di atas muka bumi ini iaitu hari ini mesti lebih baik daripada semalam dan esok pula lebih baik daripada hari ini.

MUHAMMAD HADI

“Demikianlah misi orang beriman. Ini bermakna, kita kena sentiasa meningkatkan ilmu, iman, amal, takwa, semangat jihad, perjuangan dan sebagainya dari masa ke masa. Barulah kita tidak menjadi orang yang dalam kerugian.

“Hijrah itu bermaksud melakukan perubahan ke arah yang lebih baik. Ia menandakan bahawa semakin hari, usia kita semakin berkurangan. Ketahuilah, orang yang beruntung ialah mereka yang memperbaiki dirinya dari masa ke masa dan punya wawasan untuk hidup,“ katanya kepada Sinar Islam Plus baru-baru ini.

Namun begitu, entah mengapa masih ada segelintir orang yang tidak jelas dengan wawasan hidupnya sebagai hamba abdi di atas bumi ciptaan-NYA, ungkapnya.

“Malah, ada yang tidak kenal siapa dirinya, untuk apa dirinya dicipta dan ke mana dia bakal pergi? Ketiga-tiga persoalan itu sebenarnya mempunyai jawapan yang sama iaitu daripada ALLAH kita datang, kerana ALLAH kita ada dan kepada-NYA juga kita kembali. Jelas bahawa ALLAH adalah matlamat kita.

“Sebab itu penting adanya wawasan supaya kita mendapat semangat untuk berhijrah. Hijrah hanya dilakukan demi ALLAH SWT semata-mata,“ katanya.

Kepada satu soalan, Muhammad Hadi menjawab: “Wajib untuk kita melakukan apa yang ALLAH SWT perintahkan dan meninggalkan apa yang dilarang-NYA.

Baca juga Jangan Suka Bertangguh, Sifat Itu Dibimbangi Menyebabkan Diri Ditimpa Ujian Sehingga Kufur

“Jikalau kita tidak melakukannya, maka berdosa hukumnya. Apatah lagi jika ia melibatkan hijrah untuk kebaikan dunia dan akhirat yang sengaja dilengah-lengahkan.

“Hakikatnya, semua orang tidak tahu berapa masa yang dia ada di atas muka bumi ini. Ajal boleh menjemput kita pada bila-bila masa, bukan mengira usia ataupun kesakitan yang dialami.“

ANEKDOT

KEDUDUKAN istimewa hijrah

Hijrah

USAH berlengah-lengah melakukan penghijrahan ke arah yang lebih baik kerana hidup kita di dunia ini hanyalah sekadar tempat persinggahan semata-mata. Sebaliknya, sediakanlah bekalan yang ampuh untuk kehidupan kita di akhirat, alam yang kekal abadi buat selama-lamanya.

– Hijrah Rasulullah SAW dari Makkah al-Mukarramah ke Madinah al-Munawwarah pada tahun 622 Masihi merupakan peristiwa agung dalam sejarah Islam.

– Peristiwa itu merupakan mukadimah kepada kemenangan Islam kerana keutuhan kesatuan antara Muhajirin Makkah dan Ansar di Madinah.

– Selain itu, terdapat tiga perkara berjaya dibina oleh baginda SAW ketika sejarah berkenaan tercipta yang telah mengukuhkan agama Islam iaitu:

i. Nabi Muhammad SAW membina Masjid Quba yang pertama.

Baginda memilih untuk membina masjid kerana ia merupakan institusi yang menghubungkan orang-orang Islam, persaudaraan dan membentuk kekuatan iman, semangat jihad serta seumpamanya di rumah ALLAH tersebut. Mudah kata, masjid menjadi lambang kekuatan kepada umat Islam.

ii. Mempersaudarakan kaum Ansar dan Muhajirin.

Persaudaraan merupakan suatu perkara penting dalam membina kekuatan umat Islam itu sendiri. Bayangkan jika orang Muslim sendiri berpecah, natijahnya agama Islam akan menjadi lemah.

Jika semua bersatu, maka Islam akan menjadi kuat dan digeruni oleh orang bukan Islam.

iii. Memeterai perlembagaan menerusi Piagam Madinah.

Peristiwa hijrah turut mengangkat Nabi Muhammad SAW sebagai pemimpin di Tanah Suci Madinah.

Baginda memerintah dengan mengaplikasikan konsep syariah Islam.

Daripada satu pertiga orang Islam di Madinah pada peringkat awal, namun selepas 10 tahun baginda memerintah, majoriti penduduk beragama Islam bertambah.

Sumber: Pendakwah Muhammad Hadi Talhah

Foto: 123rf & Bernama

Berita Semasa,

Kaya juga satu ujian. Ini yang perlu kita tahu

RAMAI orang mengimpikan untuk menjadi seorang yang kaya-raya dari segi harta benda. Bagi mereka, kekayaan itu boleh memenuhi segala perkara yang diinginkan.

Ya, memang seronok apabila semua kemahuan dapat direalisasikan. Namun, tidak semua perkara boleh kita peroleh dengan kekayaan berkenaan umpamanya nikmat kesihatan.

Seperkara lagi, kita perlu ingat bahawa kekayaan sebenarnya juga merupakan antara satu bentuk ujian daripada ALLAH SWT kepada hamba-hamba-NYA.

Masakan tidak, hal kekayaan bakal dipersoalkan di akhirat kelak. ALLAH akan tanya bagaimana kita menggunakan kemewahan yang dimiliki.

Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara, Ustazah Siti Fatahiyah Mahamood berkata, disebabkan itu, umat Islam hendaklah sentiasa mendidik jiwa dan minda agar sentiasa dekat dengan YANG MAHA ESA.

USTAZAH SITI FATAHIYAH

“Sedarilah bahawa setiap yang kita miliki adalah pinjaman ALLAH SWT dan DIALAH MAHA PEMBERI REZEKI termasuk mempunyai segala kuasa untuk menarik semula rezeki tersebut pada bila-bila masa yang dikehendaki-NYA.

“Dengan rezeki yang dikurniakan-NYA, kita seharusnya menggunakannya ke jalan yang diredai ALLAH SWT. Jauhkan sifat bakhil dan ujub dalam diri.

“Sifat bakhil juga membawa ke arah perasaan yang cintakan dunia. Ia merupakan sifat tercela yang patut dihindari oleh semua Muslim terutamanya bagi mereka yang dikurniakan harta yang melimpah-ruah,” katanya kepada Sinar Islam baru-baru ini.

(Artikel berkaitan: Berkali-kali doa minta kaya, tapi tak dimakbulkan. Rupanya ALLAH gantikan dengan…)

Ahli akademik itu turut menasihatkan masyarakat agar menggunakan rezeki dikurniakan ke jalan ALLAH. Ketahuilah, ALLAH SWT menjanjikan imbalan yang bukan calang-calang jika kita bersedekah ke jalan yang diredai-NYA.

Ujar beliau, ALLAH SWT menjanjikan pahala yang berlipat kali ganda kepada mereka yang membelanjakan hartanya ke jalan-NYA. Ia sebagaimana disebutkan dalam firman ALLAH SWT:“Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan ALLAH, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), ALLAH akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-NYA, dan ALLAH MAHA LUAS (rahmat) kurnia-NYA, lagi Meliputi ilmu pengetahuan-NYA.Orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan (agama) ALLAH, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang mereka belanjakan itu dengan perkataan membangkit-bangkit (pemberiannya), dan tidak pula menyinggung atau menyakiti (pihak yang diberi), mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (daripada berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. (Surah al-Baqarah, ayat 261-262) 

Justeru, Ustazah Siti Fatahiyah mengajak umat Islam supaya merebut peluang untuk bersedekah ke jalan ALLAH dengan melakukan infak atau wakaf mengikut kemampuan masing-masing.

“Semoga amalan ini menjadi bekalan yang sangat berguna pada saat nyawa terpisah daripada badan. Amalan ini yang kita harapkan pada saat kita resah gelisah tatkala segala amalan kita dipertanggungjawabkan di akhirat kelak,” katanya.

Berita Semasa,

6 sebab ALLAH turunkan ujian Covid-19 dan dugaan lain di dunia

DALAM kita melayari kehidupan di muka bumi ini, sememangnya banyak jalan berliku yang perlu direntas. Ia merupakan satu bentuk ujian kepada diri kita.

Tidak lengkap jika hidup tidak diuji. Bayangkan andai itu yang berlaku, kehidupan kita akan mendatar.

Hakikatnya, ujian itulah yang mencorakkan warna-warni dalam kehidupan seorang manusia. Ingatilah, segala yang dijadikan ALLAH SWT tiada yang sia-sia.

Begitu juga dengan ujian yang diturunkan-NYA kepada kita hamba-NYA. Lebih-lebih lagi dalam keadaan kita masih lagi bergelut melawan Covid-19 kini, walaupun ada segelintir yang sudah mula lupa untuk berjaga-jaga.

Sesungguhnya, ada sebab kenapa ALLAH menguji kita dengan wabak ini dan lain-lain.

Pendakwah Dr Muhammad Lukman Ibrahim baru-baru ini berkongsi sebab berkenaan dalam hantaran di Facebook miliknya.

Kata beliau, ada enam sebab ALLAH SWT menguji kita dengan ujian Covid-19 dan lain-lain sebagaimana yang disebutkan dalam al-Quran dan hadis.

Jom kita tengok sebabnya:

1. Dunia ini memang tempat ujian

Ya, demikian antara sebab kenapa ujian diturunkan kepada kita.

Firman ALLAH SWT: “KAMI akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai ujian. Dan kamu akan dikembalikan hanya kepada KAMI.” (Surah al-Ankabut, ayat 35)

Dalam kalamullah yang lain, ALLAH SWT berfirman: “ALLAH yang menjadikan mati dan hidup untuk menguji siapakah paling baik amalannya.” (Surah al-Mulk, ayat 2)

2. Keimanan manusia pasti diuji

Sebagai seorang hamba, sudah tentu ujian diberikan untuk menguji sejauh manakah tahap keimanan kita kepada Sang Pencipta.

Firman ALLAH SWT: “Adakah manusia mengira, mereka akan dibiarkan berkata, kami beriman sedang mereka belum diuji?” (Surah al-Ankabut, ayat 2)

Ujian

BERSABARLAH saat diri sedang menerima ujian dan berdoa semoga diberi kekuatan untuk menghadapinya.

3. Ketahuilah, manusia paling banyak diuji oleh ALLAH adalah para nabi

Perkara itu ada dinyatakan dalam hadis sahih Imam al-Bukhari.

4. Rasulullah SAW menerima ujian hebat

Semua maklum bahawa Nabi Muhammad SAW ialah manusia paling mulia di sisi ALLAH SWT. Namun begitu, semua yang baginda kasihi meninggal dunia.

Bayangkan, ayahnya meninggal ketika sebelum baginda lahir ke dunia, manakala ibunya meninggal ketika usianya masih kecil. Begitu juga dengan datuknya.

Bukan itu sahaja, bapa saudaranya, Abu Thalib yang banyak membantunya dalam Islam juga meninggal dunia, tidak sempat memeluk Islam.

Isteri kesayangan baginda, Khadijah RA yang menghabiskan seluruh hartanya untuk Islam juga meninggal dunia.

Begitu juga dengan semua anak-anak Rasulullah SAW yang meninggal sebelum baginda. Tiga anak lelaki baginda meninggal sekitar usia dua tahun. Hanya Fatimah RA yang wafat enam bulan selepas baginda SAW.

5. Ganjaran bersabar dengan ujian

Sesungguhnya, ALLAH menjanjikan ganjaran besar buat mereka yang bersabar dalam menghadapi ujiannya.

Firman ALLAH SWT: “Sesungguhnya disempurnakan balasan orang bersabar itu tanpa hisab.” (Surah al-Zumar, ayat 10)

6. Balasan syurga

Dalam hadis sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim, Ibnu Abbas RA menyebut bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Mahukah kalian aku tunjukkan seorang wanita ahli syurga. Iaitu seorang wanita yang ada ketikanya diserang penyakit dirasuk (seperti gila dan sering ia menyebabkan auratnya terbuka).

Dia meminta kepada Nabi Muhammad SAW supaya berdoa supaya ia sembuh.

Sabda baginda SAW: “Kalau kamu mahu memilih, bersabarlah, ALLAH membalas kamu dengan syurga. Kalau kamu mahu pula, daku doakan untuk kesembuhanmu.”

Balas wanita tadi: “Daku pilih bersabar. Namun, doakan daku tidak terbuka aurat lagi.”

Lalu baginda mendoakannya.

Demikian perkongsian Dr Muhammad Lukman. Melihat kepada semua sebab berkenaan, terselit ganjaran yang besar buat mereka yang bersabar dengan ujian yang diberikan.

Masakan tidak, syurga yang diidam-idamkan seluruh umat Islam menanti buat golongan ini.

Justeru, hiasilah diri dengan sifat sabar tatkala diuji dengan ujian ataupun musibah. Ingatilah, ALLAH menurunkan ujian mengikut kemampuan hamba-NYA.

Semoga kita tergolong sebagai orang yang mempunyai sifat sabar ini.

Sumber: Facebook Ustaz Dr Muhammad Lukman Ibrahim