Browsing Tag

ujian covid-19 dan lain-lain

Berita Semasa,

6 sebab ALLAH turunkan ujian Covid-19 dan dugaan lain di dunia

DALAM kita melayari kehidupan di muka bumi ini, sememangnya banyak jalan berliku yang perlu direntas. Ia merupakan satu bentuk ujian kepada diri kita.

Tidak lengkap jika hidup tidak diuji. Bayangkan andai itu yang berlaku, kehidupan kita akan mendatar.

Hakikatnya, ujian itulah yang mencorakkan warna-warni dalam kehidupan seorang manusia. Ingatilah, segala yang dijadikan ALLAH SWT tiada yang sia-sia.

Begitu juga dengan ujian yang diturunkan-NYA kepada kita hamba-NYA. Lebih-lebih lagi dalam keadaan kita masih lagi bergelut melawan Covid-19 kini, walaupun ada segelintir yang sudah mula lupa untuk berjaga-jaga.

Sesungguhnya, ada sebab kenapa ALLAH menguji kita dengan wabak ini dan lain-lain.

Pendakwah Dr Muhammad Lukman Ibrahim baru-baru ini berkongsi sebab berkenaan dalam hantaran di Facebook miliknya.

Kata beliau, ada enam sebab ALLAH SWT menguji kita dengan ujian Covid-19 dan lain-lain sebagaimana yang disebutkan dalam al-Quran dan hadis.

Jom kita tengok sebabnya:

1. Dunia ini memang tempat ujian

Ya, demikian antara sebab kenapa ujian diturunkan kepada kita.

Firman ALLAH SWT: “KAMI akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai ujian. Dan kamu akan dikembalikan hanya kepada KAMI.” (Surah al-Ankabut, ayat 35)

Dalam kalamullah yang lain, ALLAH SWT berfirman: “ALLAH yang menjadikan mati dan hidup untuk menguji siapakah paling baik amalannya.” (Surah al-Mulk, ayat 2)

2. Keimanan manusia pasti diuji

Sebagai seorang hamba, sudah tentu ujian diberikan untuk menguji sejauh manakah tahap keimanan kita kepada Sang Pencipta.

Firman ALLAH SWT: “Adakah manusia mengira, mereka akan dibiarkan berkata, kami beriman sedang mereka belum diuji?” (Surah al-Ankabut, ayat 2)

Ujian

BERSABARLAH saat diri sedang menerima ujian dan berdoa semoga diberi kekuatan untuk menghadapinya.

3. Ketahuilah, manusia paling banyak diuji oleh ALLAH adalah para nabi

Perkara itu ada dinyatakan dalam hadis sahih Imam al-Bukhari.

4. Rasulullah SAW menerima ujian hebat

Semua maklum bahawa Nabi Muhammad SAW ialah manusia paling mulia di sisi ALLAH SWT. Namun begitu, semua yang baginda kasihi meninggal dunia.

Bayangkan, ayahnya meninggal ketika sebelum baginda lahir ke dunia, manakala ibunya meninggal ketika usianya masih kecil. Begitu juga dengan datuknya.

Bukan itu sahaja, bapa saudaranya, Abu Thalib yang banyak membantunya dalam Islam juga meninggal dunia, tidak sempat memeluk Islam.

Isteri kesayangan baginda, Khadijah RA yang menghabiskan seluruh hartanya untuk Islam juga meninggal dunia.

Begitu juga dengan semua anak-anak Rasulullah SAW yang meninggal sebelum baginda. Tiga anak lelaki baginda meninggal sekitar usia dua tahun. Hanya Fatimah RA yang wafat enam bulan selepas baginda SAW.

5. Ganjaran bersabar dengan ujian

Sesungguhnya, ALLAH menjanjikan ganjaran besar buat mereka yang bersabar dalam menghadapi ujiannya.

Firman ALLAH SWT: “Sesungguhnya disempurnakan balasan orang bersabar itu tanpa hisab.” (Surah al-Zumar, ayat 10)

6. Balasan syurga

Dalam hadis sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim, Ibnu Abbas RA menyebut bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Mahukah kalian aku tunjukkan seorang wanita ahli syurga. Iaitu seorang wanita yang ada ketikanya diserang penyakit dirasuk (seperti gila dan sering ia menyebabkan auratnya terbuka).

Dia meminta kepada Nabi Muhammad SAW supaya berdoa supaya ia sembuh.

Sabda baginda SAW: “Kalau kamu mahu memilih, bersabarlah, ALLAH membalas kamu dengan syurga. Kalau kamu mahu pula, daku doakan untuk kesembuhanmu.”

Balas wanita tadi: “Daku pilih bersabar. Namun, doakan daku tidak terbuka aurat lagi.”

Lalu baginda mendoakannya.

Demikian perkongsian Dr Muhammad Lukman. Melihat kepada semua sebab berkenaan, terselit ganjaran yang besar buat mereka yang bersabar dengan ujian yang diberikan.

Masakan tidak, syurga yang diidam-idamkan seluruh umat Islam menanti buat golongan ini.

Justeru, hiasilah diri dengan sifat sabar tatkala diuji dengan ujian ataupun musibah. Ingatilah, ALLAH menurunkan ujian mengikut kemampuan hamba-NYA.

Semoga kita tergolong sebagai orang yang mempunyai sifat sabar ini.

Sumber: Facebook Ustaz Dr Muhammad Lukman Ibrahim