Browsing Tag

ucapan amin

Amin
Isu,

Makna Lafaz Amin Ketika Solat, Usai Berdoa

no comment

SABAN hari, boleh dikatakan hampir setiap masa umat Islam akan mengungkapkan kalimah amin. Masakan tidak, ucapan itu sering kali meniti pada bibir kita setiap kali usai berdoa ataupun mengaminkan doa orang lain.

Bahkan, perkataan sama juga diucapkan selepas Surah al-Fatihah dibacakan tidak kiralah ketika dalam solat ataupun sedang mengaji.

Hasil pencarian di laman web Dewan Bahasa dan Pustaka, amin bermaksud perkenankanlah ya ALLAH doa kami (lazimnya disebut semasa berdoa). Ia juga membawa pengertian orang yang dipercayai dengan sesuatu amanah.

Begitupun, ada pendapat yang mengatakan bahawa amin bukan berasal daripada bahasa Arab.

Dalam hal itu, M Quraish Shihab dalam karyanya bertajuk Kosakata Keagamaan menjelaskan, antara satu formula untuk menentukan sama ada sesuatu perkataan itu dapat dibentuk dalam pelbagai bentuk adalah sama ada kalimah berkenaan mempunyai kata kerja atau tidak.

Perkataan ‘amin’ tidak mempunyai kata kerja. Bahkan, dalam al-Quran juga tidak dijumpai walaupun ada kalimah yang diucapkan hampir sama dengan amin.

Baca juga Susu Benih Dari Nabi

Misalnya, kaliman amin pada ayat 54, Surah Yusuf. Namun, makna perkataan berkenaan amat berbeza dengan kalimah amin yang sering diungkapkan selepas solat.

Bahkan, terdapat banyak hadis yang disandarkan terus kepada Rasulullah SAW yang mana baginda menganjurkan kita untuk melafazkan amin setelah membaca atau mendengar doa orang lain.

Perkara itu ada disebutkan dalam sebuah hadis masyhur yang menganjurkan amin itu dibaca panjang.

Amin

DISUNATKAN bagi kita mengucapkan amin selepas membaca Surah al-Fatihah.

Daripada Abi Musa al-Asy’ari bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Apabila selesai membawa ayat akhir al-Fatihah, maka sebutlah amin nescaya diterima ALLAH SWT bagimu.” (Riwayat Muslim)

Sebenarnya, ada pelbagai pendapat ulama tentang pengertian amin antaranya:

– “Ya ALLAH, perkenankanlah!” – Ia merupakan pendapat majoriti ulama.

– “Ya ALLAH, lakukanlah.”

– “Demikian itu, ya ALLAH. Maka, semoga ENGKAU mengabulkannya.”

– “Jangan kecewakan kami, ya ALLAH!”

Bukan itu sahaja, cara kita menyebutnya juga ada pelbagai variasi. Segelintir orang lebih gemar membacanya pendek dan hanya memanjangkan sebutan huruf alif.

Selebihnya pula lebih selesa melafazkan sebutan alif dengan bacaan antara dua hingga lima atau enam harakat dan juga memanjangkan bacaan huruf ya menjadi lima atau enam harakat.

Amin

TIADA masalah menyebut lafaz amin dalam variasi bacaan yang berbeza kerana ia bukan sebahagian daripada al-Quran.

Namun, menurut Quraish Shihab yang juga seorang sarjana sains al-Quran, sebutan amin sebenarnya tidak terikat dengan kaedah-kaedah bacaan atau ilmu tajdiq yang harus diterapkan sebagaimana ketika membaca al-Quran. Ia kerana lafaz amin itu sendiri bukanlah sebahagian daripada al-Quran.

Namun begitu, kelebihan menyebut amin ada dinyatakan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Apabila imam mengaminkan, maka hendaklah kami aminkan bersama kerana siapa yang kebetulan aminnya dengan amin malaikat, nescaya diampunkan baginya dosa yang terdahulu.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Walaupun tidaklah wajib bagi kita menyebut amin pada akhir bacaan Surah al-Fatihah ketika solat, sebaiknya janganlah kita lokek berbuat demikian untuk meraih ganjaran sebagaimana yang disebutkan dalam nas.

Sumber: Republika.co.id & laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Foto: Freepik