Browsing Tag

ucap syahadah

Untitled design - 2021-05-21T170236.343
Berita Semasa,

Doktor Beragama Hindu Bantu Pesakit Covid-19 Ucap Syahadah Sebelum Meninggal

no comment

APABILA disahkan positif Covid-19, pelbagai kemungkinan boleh berlaku. Ini kerana virus berkenaan sememangnya boleh mengancam nyawa.

Malah, pesakit juga perlu mengharungi kesakitan sendirian tanpa ditemani oleh ahli keluarga. Hanya petugas kesihatan selaku barisan hadapan yang akan memantau keadaan pesakit dari semasa ke semasa.

Dalam satu kes di India, seorang doktor bukan Islam mendapat pujian ramai apabila beliau membantu pesakit Muslim mengucapkan dua kalimah syahadah sebelum meninggal dunia di sebuah hospital swasta.

Meskipun beragama Hindu, ia tidak menghalang Dr Rekha Krishna dari Pattambi, Kerala berbakti kepada pesakit berkenaan sebelum menemui Sang Pencipta.

DR REKHA KRISHNA

Memetik laporan New Indian Express, pesakit tersebut dikatakan menghidap radang paru-paru Covid-19 dan menggunakan mesin ventilator selama lebih dari dua minggu. Sepanjang tempoh berkenaan, tiada saudara dibenarkan untuk menemaninya yang ditempatkan di unit rawatan rapi Hospital dan Pusat Penyelidikan Sevana.

“Pesakit dihentikan daripada menerima bantuan ventilator pada 17 Mei kerana keadaan kesihatannya yang bertambah buruk.

“Oleh sebab doktor merasakan tidak banyak yang boleh dibantu dalam kondisinya seperti itu, kami memaklumkan keadaannya kepada saudara-mara pesakit,” katanya sebagaimana dipetik menerusi portal berkenaan.

Melihat keadaan pesakit, ia mendorong Dr Rekha untuk membacakan kalimah Lailaha illallah, Muhammadur Rasulullah di telinganya.

“Saya dapat melihat pesakit menarik nafas panjang dan kemudian pergerakan dadanya menjadi rata,” katanya menceritakan detik berkenaan sambil menjelaskan bahawa perbuatannya itu sebenarnya tidak dirancang dan berlaku secara spontan.

Tindakan Dr Rekha itu sebenarnya didorong oleh adat dan amalan yang dilakukan oleh umat Islam memandangkan beliau dilahirkan serta dibesarkan di Dubai.

“Saya hanya membalas rasa hormat dan kepercayaan yang diterima semasa tinggal di Dubai. Sepanjang menetap di sana, tidak pernah sekalipun saya didiskriminasi kerana kepercayaan saya.

“Malah, saya dibesarkan dalam suasana persekitaran yang mana setiap agama dihormati. Apa yang saya lakukan itu hanyalah tindakan berperikemanusiaan. Masalah utama yang dihadapi pesakit Covid-19 ialah mereka berasa kesepian dan terasing.

“Petugas kesihatan menjadi satu-satunya kontak bagi mereka yang tidak dikelilingi oleh keluarga. Kita perlu melakukan semua perkara yang kita boleh bagi membantu pesakit,” katanya.

Pesakit Covid-19

PESAKIT Covid-19 tidak boleh menerima kehadiran pelawat, selain petugas kesihatan yang merawat mereka. -Gambar hiasan

Pertanyaan demi pertanyaan yang dilontarkan oleh wartawan New Indian Express akhirnya membongkar kemahirannya yang fasih berbahasa Arab.

“Ya, saya faham doa yang dibaca sepenuhnya. Sejujurnya, saya tidak berniat untuk maklumkan semua perkara ini hinggakan mendapat liputan meluas sebegini.

“Saya hanya kongsikan kejadian ini dengan rakan doktor di hospital. Namun apakan daya, usaha saya ini diketahui selepas ada kenalan menulisnya di media sosial dan menjadi tular,” katanya.

Tindakannya itu dipuji oleh ramai ulama yang rata-ratanya mengucapkan tahniah kerana inisiatif yang dilakukannya sepertimana amalan biasa dilakukan oleh umat Islam.

Foto: Freepik & New Indian Express