Browsing Tag

Tutup makanan

Tutup makanan
Berita Semasa,

Sunnah tutup makanan dan minuman walaupun dengan sebatang kayu, ini sebab-sebabnya

“TUTUP makanan lepas makan nanti, jangan lupa ya.”

Demikian antara bait pesanan yang selalu dititipkan oleh ibu kita ataupun sesiapa sahaja.

Lazimnya, kita akan tutup makanan tadi dengan menggunakan tudung saji. Begitu juga dengan minuman yang masih berbaki.

Masakan tidak, ia demi keselamatan dan kesihatan kita bersama. Andai ia dibiarkan terdedah, bimbang pula hidangan tadi tercemar sekali gus boleh memudaratkan diri.

Ketahuilah bahawa perbuatan menutup bekas makanan atau minuman itu sebenarnya merupakan sunnah Rasulullah SAW.

Ia ada disebutkan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Jabir bin ‘Abdullah RA yang mana Rasulullah SAW bersabda: “Tutuplah bekas-bekas makanan, rapatkan penutup bekas-bekas minuman, tutuplah pintu-pintu dan padamkanlah lampu-lampu, kerana syaitan tidak dapat membuka bekas minuman, membuka pintu dan membuka bekas makanan (yang telah ditutup). Jika kalian tidak mempunyai penutupnya kecuali sebatang kayu yang diletakkan di atasnya dan menyebut nama ALLAH, maka lakukanlah. Sesungguhnya tikus boleh merosakkan pemilik rumah dengan membakar rumah mereka.” (Hadis Riwayat Muslim)

Baca juga Syaitan akan jamah makanan dan minuman tak bertutup…Inilah sebab-sebabnya

Berdasarkan nas berkenaan, jelaslah bahawa menutup bekas makanan dan minuman itu sememangnya begitu dianjurkan dalam agama Islam.

Memetik artikel Al-Kafi #1878: Hukum Membiarkan Makanan Atau Minuman Terdedah yang disiarkan menerusi laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Imam Nawawi menjelaskan dalam Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim menjelaskan, hadis berkenaan menyatakan beberapa adab yang menjadi asbab terselamat daripada kejahatan dan gangguan syaitan.

Tutup makanan

MENUTUP makanan bukan sahaja untuk tujuan keselamatan kita, tetapi perbuatan itu juga merupakan sunnah Nabi Muhammad SAW.

“Syaitan tidak diberi kekuatan untuk membuka bekas-bekas dan pintu-pintu rumah yang telah ditutup dan disebutkan nama ALLAH SWT.

“Adab-adab ini juga bertujuan untuk menjamin keselamatan dan maslahah bukan sahaja untuk di dunia, malah untuk di akhirat jua,” katanya.

Perintah sunat tersebut juga disebutkan dalam hadis sahih diriwayatkan oleh Abu Humaid As-Saidi RA.

Beliau berkata: “Aku telah mendatangi Nabi Muhammad SAW dengan segelas susu dari Naqi’ yang tidak bertutup, lalu baginda bersabda: “Kenapa tidak kamu tutupnya sekalipun dengan meletakkan penutup kayu.” (Hadis Riwayat Muslim)

Sementara itu, pendakwah Ustaz Azhar Idrus menjelaskan, antara hikmah dianjurkan berbuat demikian adalah untuk mengelak makanan atau minuman tadi daripada dijamah oleh syaitan.

“Ia bukan semata-mata memelihara makanan dan minuman tadi daripada wabak, kekotoran dan serangga.

“Adapun, bagi makanan dan minuman yang sedang dijamah atau diminum, maka ia tidak masuk kepada perintah menutupnya,” ungkapnya.

Justeru, berwaspadalah dan cakna dengan sunnah yang satu ini. Pastikan semua makanan dan minum ditutup dengan sebaiknya supaya tidak ‘disentuh’ oleh syaitan.

Foto: Pexels & Canva