Browsing Tag

Turkiye

turkiye-syria
Antarabangsa,

Masyarakat dunia bantu mangsa gempa Turkiye-Syria, ada sinar di sebalik bencana

Masyarakat dunia bantu mangsa gempa Turkiye-Syria, ada sinar di sebalik bencana…

GEMPA bumi besar berukuran 7.8 pada skala Richter yang membadai wilayah Kahramanmaras di Turkiye sehingga turut dirasai Syria, Mesir dan Palestin minggu lalu telah menjejaskan lebih 20 juta insan.

Portal berita CNN melaporkan hampir 36,000 mangsa terkorban dan angka ini dijangka meningkat.

Di seluruh dunia, orang ramai telah menyaksikan pelbagai imej ngeri bangunan diranapkan serta jalan raya musnah melalui liputan meluas tentang bencana menyayat hati tersebut.

Siapa sangka, di samping misi mencari dan menyelamat terus berjalan di Turkiye dan Syria, masyarakat dunia juga tidak putus menawarkan sokongan serta bantuan lantas memberikan sinar harapan di sebalik musibah yang berlaku.

Baca juga Kereta ‘usang’ sarat dengan bantuan mangsa gempa Turkiye, netizen kagum kegigihan pemuda ini

Solidariti masyarakat dunia terhadap mangsa gempa

1.Kanak-kanak lelaki berusia 9 tahun derma wang saku.

Pernah terselamat daripada gempa bumi berukuran 6.0 skala Richter melanda Turkiye pada November 2022, seorang kanak-kanak lelaki bernama Alparslan Efe Demir tekad membantu mangsa gempa kali ini.

Justeru, warga Turkiye berusia 9 tahun itu telah menyumbangkan tabung wang simpanan miliknya beserta sepucuk surat hasil tulisan sendiri kepada pasukan Bulan Sabit Merah.

Gara-gara gempa bumi tahun lalu, kanak-kanak lelaki tersebut dan keluarganya terpaksa tinggal di dalam khemah.

Alparslan memberitahu ahli penyelamat, dia sendiri pernah mengalami rasa takut akibat gempa bumi.

ALPARSLAN Efe Demir, 9, pernah terselamat daripada gempa bumi. Foto: Omer Urer/AA

Baca juga Turkiye berada dalam salah satu zon gempa bumi paling aktif di dunia

2. Perhimpunan solidariti di US, Pakistan dan UK.

Perhimpunan solidariti telah diadakan di beberapa negara seperti Amerika Syarikat (US), United Kingdom (UK) serta Pakistan dengan menyalakan lilin sebagai tanda penghormatan kepada mangsa-mangsa gempa bumi Turkiye-Syria.

Misalnya, di Washington DC, US, lebih 50 orang dari pelbagai bangsa telah menyertai perhimpunan solidariti yang dianjurkan komuniti Amerika-Syria. Orang ramai yang hadir turut digalakkan menderma serta menghulurkan bantuan dengan apa cara yang mereka mampu.

Baca juga 5 kisah meruntun hati di sebalik gempa bumi Turkiye-Syria

3. Iraq hantar bantuan.

Selain itu, pasukan Bulan Sabit Merah Iraq telah menghantar 150 ahli paramedik ke Turkiye untuk membantu dalam usaha mencari dan menyelamat.

Dalam masa sama, Kementerian Kesihatan wilayah Kurdistan turut berkata, ia telah menghantar bantuan perubatan sebanyak 20 tan kepada negara berkenaan.

Manakala, Direktorat Migrasi dan Pemindahan wilayah Dohuk pula melancarkan kempen derma bagi mangsa gempa bumi.

“Kebanyakan mereka yang datang menderma adalah orang miskin. Sebahagian daripada mereka menderma 10,000 dinar Iraq (RM30), malah ada yang mencecah 50,000 dinar Iraq (RM150).

“Terdapat juga kanak-kanak menderma sebagai tanda sokongan kepada mangsa gempa bumi,” kata pengarah Warwin Sabah kepada agensi berita Middle East Eye.

4. Penduduk Gaza derma darah.

Di samping itu, Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS) pernah melancarkan kempen derma darah di Semenanjung Gaza.

Laporan media menyatakan bahawa ramai sukarelawan beratur untuk menderma darah di Hospital al-Amal di kejiranan Khan Younis, selatan Gaza. Program tersebut berlangsung selama dua hari.

Selain itu, beratus-ratus rakyat Palestin turut menunaikan solat jenazah di Masjid al-Aqsa untuk mangsa gempa bumi.

Baca juga Israel rancang bina 18,000 penempatan baharu di Tebing Barat? Tindakan itu beri ancaman besar pada Palestin

Turkiye-Syria

WARGA Palestin di Gaza menderma darah buat mangsa gempa bumi Turkiye-Syria. Foto: Al-Jarmaq News

Turut disyorkan Gempa bumi, bencana yang ALLAH telah jelaskan banyak kali dalam al-Quran

5. Taiwan hantar pasukan penyelamat.

Dalam sebuah video dikongsikan di internet, anggota penyelamat dari Taiwan dilihat tiba di Turkiye bagi membantu usaha mencari dan menyelamat.

“Kami menghantar dua kumpulan. Kumpulan pertama terdiri daripada 40 orang, manakala yang kedua terdiri daripada 90 orang,

“Kira-kira 20 tahun lalu terdapat gempa bumi besar di Taiwan. Pada masa itu, Turkiye menghantar pasukan penyelamat. Kali ini giliran kami untuk membantu pula,” ujar salah seorang ahli pasukan tersebut.

6. Malaysia hantar pasukan SMART.

Malaysia turut tidak ketinggalan menghulur bantuan. Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) kedua di bawah seliaan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang dihantar ke Turkiye pada 8 Februari.

Pasukan yang merangkumi 72 anggota daripada SMART serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk menyertai misi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi di negara itu.

Pada 6 Feb lepas, Malaysia menghantar pasukan pertama SMART yang terdiri daripada pasukan perubatan daripada Kor Kesihatan Diraja (KKD) serta Unit K9 JBPM dan pasukan khas bahan kimia berbahaya (Hazmat) bagi membantu misi SAR sebagai tanda solidariti.

Baca juga Gempa bumi Turkiye dan Syria: Pelajar Malaysia mohon doa orang ramai

MALAYSIA turut menghulurkan bantuan kepada Turkiye dengan menghantar pasukan SMART. Foto: NADMA

Turut disyorkan Panjatkan doa jika tak mampu hulur wang, sumbang kudrat

Dalam pada itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) turut melaksanakan kutipan derma di masjid serta surau di bawah seliaan masing-masing bagi membantu mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar dalam satu kenyataan pada minggu lalu berkata, kutipan derma itu akan dibuat pada setiap Jumaat selama tiga minggu berturut-turut bermula bermula10 Februari.

JAKIM akan melaksanakan kutipan derma di Masjid Negara, Kuala Lumpur, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya, manakala JAWI akan melaksanakan kutipan derma di masjid dan surau di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Sumber: Middle East Eye

Foto: AFP, AA, NADMA, Al-Jarmaq News

gempa Turkiye
Antarabangsa,

Kereta ‘usang’ sarat dengan bantuan mangsa gempa Turkiye, netizen kagum kegigihan pemuda ini

SEORANG warga Azerbaijan meraih perhatian komuniti netizen antarabangsa apabila tular gambar memaparkan lelaki berkenaan memandu kereta lama sarat dengan bantuan untuk mangsa gempa Turkiye.

Kata pemuda berusia 33 tahun bernama Sarvar Bashirli itu kepada Agensi Anadolu, dia terpanggil menghulurkan bantuan kepada ‘saudara-saudara’ di Turkiye setelah melihat musibah yang menimpa negara Uthmaniyyah tersebut.

“Pada hari kejadian (gempa bumi di Turkiye), saya sedang duduk bersama saudara-mara. Kami terus memutuskan untuk mencari jalan membantu rakyat Turkiye yang sememangnya kami anggap sebagai ‘saudara’,” ujarnya.

Baca juga 5 kisah meruntun hati di sebalik gempa bumi Turkiye-Syria

gempa Turkiye

ANGGOTA penyelamat mencari mangsa yang terperangkap di bandar Sanliurfa selepas gempa bumi berukuran 7.8 magnitud landa Turkiye. Foto: AFP

Baca juga Bantuan kemanusiaan gempa bumi di Turkiye dan Syria dilancarkan

Sarvar dan keluarganya berasal dari wilayah Karabakh dan Lachin di Azerbaijan yang kini diduduki secara haram oleh kerajaan Armenia.

Kekangan wang yang dihadapi setelah mereka dipaksa berpindah keluar dari tanah halaman walau bagaimanapun tidak menjadi penghalang buat Sarvar.

Keesokan pagi selepas kejadian gempa bumi pertama, Sarvar bertemu keluarga dan sahabat handai untuk mengumpulkan apa sahaja barangan yang boleh dihantar sebagai bantuan kepada masyarakat Turkiye.

“Sesetengah barang saya dapat daripada keluarga seperti bapa saudara dan nenek. Ada juga yang diterima daripada jiran tetangga,” katanya.

Baca juga Gempa bumi Turkiye dan Syria: Pelajar Malaysia mohon doa orang ramai

gempa Turkiye

HARAPAN mencari mangsa terselamat kian hari semakin tipis.

Sarvar menggunakan kereta lama tahun 80-an miliknya untuk membawa barangan tersebut ke sebuah pusat pengumpulan bantuan di ibu negara, Baku.

Gambar Sarvar sedang memandu kereta yang sarat dengan tilam dan kotak pakaian disertai bendera Turkiye sempat diambil oleh pengguna jalan lain.

Rata-rata para netizen kagum dengan kegigihan Sarvar, bahkan ada yang berharap foto berkenaan dijadikan inspirasi supaya lebih ramai orang terlibat dalam aktiviti sukarela.

Turut disyorkan Lakukan amalan ini ketika gempa bumi

FOTO dirakamkan dron menunjukkan bangunan musnah di Antakya, Turkiye. Foto: AP

Sarvar memberitahu, sehingga kini pihaknya masih meneruskan usaha mengumpul barangan sebanyak mungkin untuk dihantar ke pusat pengumpulan.

Katanya lagi, “Kami akan terus memberikan bantuan. Hari ini, kami telah menghantar makanan kepada pusat pengumpulan.

“Azerbaijan dan Turkiye adalah seperti adik-beradik, namun berlainan ibu bapa. Kami anggap ia adalah satu tanggungjawab untuk membantu rakyat Turkiye.

Dalam pada itu, Sarvar mendoakan yang terbaik buat pihak yang terlibat dalam gempa bumi di Turkiye.

“Saya bersimpati dengan negara Turkiye. Semoga ALLAH mengurniakan kesabaran buat rakyatnya,” ujar Sarvar.

Sumber: Agensi Anadolu

Foto: AP & AFP

gempa bumi Turkiye
Antarabangsa, Aqidah,

Gempa bumi, bencana yang ALLAH telah jelaskan banyak kali dalam al-Quran

SEHINGGA kini, dunia masih bersedih dengan kejadian gempa bumi yang telah membadai negara Turkiye termasuk sebahagian wilayah Syria.

Walaupun lebih 70 jam sudah berlalu selepas berlakunya gegaran pertama pada Isnin lalu, namun usaha mencari dan menyelamat tetap diteruskan lantaran jumlah mangsa belum ditemui yang masih tinggi.

Menurut portal berita The Guardian, angka kematian dari kedua-dua buah negara meningkat kepada 17,000 orang, manakala puluhan ribu mangsa cedera.

Baca juga Turkiye berada dalam salah satu zon gempa bumi paling aktif di dunia

FENOMENA alam itu mampu meranapkan bangunan serta meragut nyawa ramai insan. Foto: EPA

Baca juga Lakukan amalan ini ketika gempa bumi

Bercerita tentang perihal gempa bumi, sebenarnya peristiwa tersebut pernah berlaku sejak zaman para anbia lagi.

Ketahuilah, apapun yang terjadi di dunia sudah pun tercatat di Luh Mahfuz. Hal ini termasuk musibah serta takdir yang dialami setiap orang.

ALLAH SWT pula tidak akan mengaturkan sesuatu perkara melainkan ada sebab dan manfaat di sebaliknya untuk dijadikan teladan.

Justeru, kejadian gempa bumi banyak diceritakan dalam al-Quran bukan sekadar sebagai fenomena alam yang biasa, tetapi ia merupakan tanda peringatan daripada ALLAH SWT supaya manusia kembali kepada agama dan menjauhi maksiat.

Turut disyorkan  Segera rawat trauma bencana alam, jangan dibiarkan begitu sahaja

PELBAGAI kisah diceritakan ALLAH dalam al-Quran sebagai pesanan kepada umat manusia. Foto: Unsplash

Baca juga Panjatkan doa jika tak mampu hulur wang, sumbang kudrat

Bencana gempa bumi disebutkan al-Quran
Ada beberapa ayat dalam kitab suci al-Quran menyebut dan menjelaskan tentang fenomena alam berkenaan, antaranya:

1. Surah al-Zalzalah ayat 1-2.
Firman ALLAH SWT, “Apabila bumi digegarkan dengan gegaran yang sedahsyat-dahsyatnya, serta bumi itu mengeluarkan segala isinya.”

2. Surah al-’Ankabut ayat 37.
Dalam ayat ini, gempa bumi tersebut berlaku ketika zaman Nabi Syuaib AS.

Firman ALLAH,“Maka mereka mendustakan (Syuaib), lalu mereka dibinasakan oleh gempa bumi, serta menjadilah mereka mayat-mayat yang tersungkur di tempat tinggal masing-masing.”

Baca juga Hikmah Maryam diperintahkan ALLAH menggoncang pokok tamar selepas bersalin

gempa bumi Turkiye

BENCANA alam sebenarnya dapat mendekatkan kita kepada ALLAH YANG MAHA ESA. Foto: 123RF

Baca juga Terkentut ketika baca al-Quran, perlu ke berhentikan bacaan?

3. Surah al-A’raf ayat 78.
Gempa bumi yang diceritakan menerusi surah ini berlaku pada zaman Nabi Soleh AS.

Firman ALLAH, “Oleh itu, mereka pun dibinasakan oleh gempa bumi, lalu menjadilah mereka mayat-mayat yang tersungkur di tempat tinggal masing-masing.”

4. Surah al-Mulk, ayat 16.
Firman ALLAH, “Patutkah kamu merasa aman (tidak takut) kepada TUHAN yang pusat pemerintahan-NYA di langit itu: menunggang-balikkan bumi menimbus kamu, lalu bergegarlah bumi itu dengan serta-merta (melenyapkan kamu di bawahnya)?

Begitulah ALLAH menceritakan tentang gempa sebagai petunjuk yang dapat dijadikan pelajaran bagi orang-orang yang beriman.

“Katakanlah: “DIA lah yang berkuasa menghantar kepada kamu azab seksa (bala bencana), dari sebelah atas kamu, atau dari bawah kaki kamu, atau Ia menjadikan kamu bertentangan dan berpecah-belah – berpuak-puak, dan Ia merasakan sebahagian daripada kamu akan perbuatan ganas dan kejam sebahagian yang lain”. Perhatikanlah bagaimana KAMI menjelaskan ayat-ayat keterangan (yang menunjukkan kebesaran KAMI) dengan berbagai cara, supaya mereka memahaminya.” (Surah al-An’aam, ayat 65)

Foto: 123RF, EPA & Unsplash

turkiye gempa
Antarabangsa, Berita Semasa,

Solat hajat, jenazah ghaib untuk mangsa gempa Turkiye dan Syria bermula Maghrib malam ini

TIGA masjid seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan melaksanakan solat hajat mendoakan kesejahteraan untuk Turkiye dan Syria yang dilanda bencana gempa bumi, malam ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Na’im Mokhtar berkata, solat hajat itu diadakan selepas solat Maghrib di Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Baca juga Turkiye berada dalam salah satu zon gempa bumi paling aktif di dunia

KAKITANGAN kecemasan mencari mangsa di tapak bangunan yang runtuh selepas gempa bumi menggegarkan di Diyarbakir, tenggara Turkiye. Foto: EPA

Baca juga Solat jenazah ghaib bukan untuk arwah yang hilang atau di luar negara sahaja. Ini perinciannya

“Menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin al-Mustafa Billah Shah, untuk tujuan mendoakan kesejahteraan buat negara Turkiye dan Syria, saya telah mengarahkan masjid-masjid seliaan JAKIM mengadakan solat hajat dan memohon doa kesejahteraan selepas solat Maghrib malam ini.

“Begitu juga seluruh masjid dan surau di Wilayah Persekutuan di bawah seliaan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) adalah diminta melaksanakan solat hajat memohon doa kesejahteraan,” katanya dalam satu kenyataan pada malam tadi.

Selain solat hajat, pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) turut menyarankan orang ramai mengadakan solat jenazah ghaib bagi mangsa gempa bumi di kedua-dua negara berkenaan.

Turut disyorkan Istana bersejarah Gaziantep berusia lebih 2000 tahun musnah akibat gegaran

Turkiye gempa

GEGARAN gempa bumi yang melanda Turkiye dan Syria turut dirasai sehingga Cyprus dan Kaherah, Mesir. Foto: EPA

Awal pagi Isnin, beberapa wilayah Turkiye serta barat laut Syria dilanda gempa bumi kuat berukuran 7.8 pada skala Richter sebelum diikuti satu lagi gegaran pada sebelah petang, lapor Agensi Anadolu.

Menurut portal The Guardian, setakat 4 petang waktu Malaysia, angka kematian dari dua buah negara tersebut sudah menghampiri 5,000 orang.

Menurut agensi berita berkenaan, seramai 3,381 orang disahkan terkorban di Turkiye, manakala media Syria melaporkan lebih 1,449 kematian di negara itu.

Dalam pada itu, aktiviti gempa bumi di rantau tersebut dengan gegaran susulan sehingga 6.7 pada skala Richter dijangka berterusan.

Sumber: The Guardian

Foto: BERNAMA, EPA

letupan Istanbul
Antarabangsa,

6 maut, letupan bom di Istanbul disyaki serangan keganasan

SEKURANG-kurangnya enam terkorban manakala 53 yang lain cedera dalam kejadian letupan di Istanbul, Turkiye semalam, lapor AFP.

Gabenor Istanbul, Ali Yerlikaya memaklumkan insiden menggemparkan itu berlaku di Istiklal Street di kawasan Dataran Taksim yang merupakan pusat tumpuan orang ramai membeli belah, pada jam 4.20 petang (waktu tempatan).

Sementara itu, pihak berkuasa mengesahkan mereka masih menyiasat punca letupan itu yang turut dirakamkan beberapa saksi dan menjadi tular di media sosial.

“Orang ramai lari bertempiaran kerana panik. Asap tebal memenuhi ruang udara sejurus letupan kuat itu berlaku,” kata saksi dikenali sebagai Cemal Denizci yang berada kira-kira 50 meter dari lokasi kejadian

PRESIDEN Turkiye, Recep Tayyip Erdogan. Foto: AFP

Presiden Recep Tayyip Erdogan dalam satu kenyataan turut mengecam serangan itu dan menegaskan pelaku bertanggungjawab akan dihukum.

“Tanda awal menunjukkan ia mungkin satu bentuk serangan ganas,” katanya.

Menurut Erdogan lagi, siasatan sedang dijalankan oleh polis dan pejabat gabenor termasuk mengkaji rakaman litar tertutup (CCTV) di kawasan itu.

Baca juga Gunakan ‘bahasa kasih sayang’ sebarkan Islam, pendekatan unik imam di Turkiye

Wanita dalang letupan

Setakat ini tiada pihak mengaku bertanggungjawab atas letupan itu.

Namun, Menteri Kehakiman Bekir Bozdag memberitahu media Turkiye bahawa kejadian tersebut disyaki didalangi oleh suspek wanita.

Memetik laporan BBC, beliau menjelaskan siasatan mendapati seorang wanita telah duduk di sebuah bangku berhampiran kawasan berkenaan selama lebih 40 minit sebelum beredar hanya beberapa minit sebelum letupan berlaku.

ISTIKLAL Street yang terdiri daripada deratan kedai membeli belah, hotel serta restoran sering menjadi tumpuan pelancong yang berkunjung ke negara tersebut. Foto: Istanbul Tour Studio

Difahamkan, Istiklal Street adalah lokasi tumpuan pengunjung, termasuk pelancong untuk membeli-belah.

Menurut AFP, kawasan terbabit dilaporkan pernah menjadi sasaran siri serangan bom oleh pengganas pada tahun 2015 dan 2016.

Serangan yang didakwa didalangi oleh kumpulan IS itu, dilaporkan membunuh hampir 500 mangsa dan mencederakan lebih 2,000 orang.

Turut disyorkan 90 peratus platform media sosial mengandungi unsur islamofobia

Ekstremis Islam

Walaupun setakat berita ini ditulis tiada tangkapan dibuat, namun kes di Turkiye ini mencetus polemik kepada dunia Islam. Hal ini kerana Islam kerap kali dikaitkan dengan ektremisme.

Kes keganasan terhadap orang Islam di negara bukan Islam bukan sesuatu yang asing. Namun isu itu tidak diketahui secara meluas oleh masyarakat khususnya yang tinggal di negara Islam.

Kegiatan ekstremis Islam menggunakan nama Islam bagi kepentingan kumpulan mereka menyebabkan masyarakat dunia menyalahtafsirkan Islam serta umatnya.

Ditambah pula media Barat sering memperbesarkan isu sedemikian yang mengeruhkan lagi keadaan.
Pada hakikatnya, Islam tidaklah seperti disangka sebagai pengganas atau ekstremis.

Islam membawa maksud sejahtera atau selamat, malah Islam amat menggalakkan manusia saling kenal-mengenali, beramah mesra dan mewujudkan suasana kasih sayang walaupun berbeza agama, budaya, bangsa dan keturunan.

letupan Istanbul

KEMAJUAN teknologi antara penyumbang nanah Islamofobia semakin merebak. Foto: Pexels

Selain itu, fenomena Islamofobia juga berlaku secara tidak disedari. Ia boleh berlaku dalam kalangan Muslim sendiri.

Kenyataan menghina, mempertikaikan undang-undang, peraturan Islam serta hak asasi manusia dalam Islam oleh golongan tertentu (organisasi menggunakan nama Islam) juga boleh dianggap sebagai fenomena Islamofobia tidak disedari.

Sikap dan tindakan segelintir Muslim itu meningkatkan lagi persepsi negatif terhadap Islam. Ia bertambah buruk dengan propaganda media massa serta gerakan yang sering memburukkan imej Islam.

Merujuk data kajian, laporan serta maklumat mengenai keganasan dan jenayah, persepsi umum mengatakan orang Islam sinonim dengan ‘terrorism’ adalah sama sekali tidak tepat.

Data Biro Penyiasatan Persekutuan, Amerika Syarikat (1980-2005) menunjukkan, majoriti serangan pengganas iaitu 42 peratus didominasi golongan ‘Latino’ diikuti ekstremis berhaluan kiri (24 peratus), ekstremis Yahudi (tujuh peratus), ekstremis Muslim (enam peratus), komunis (lima peratus) dan lain-lain (16 peratus).

Ini membuktikan, persepsi mengatakan Islam mempromosi keganasan dan sinonim dengan jenayah awam adalah tidak benar serta sangat berlawanan dengan fakta dan juga realiti.

Sumber: Sinar Harian, AFP & BBC

Foto: AFP, Istanbul Tour Studio & Pexels

masjid unik seluruh dunia kepelbagaian Islam
Antarabangsa,

6 reka bentuk masjid unik seluruh dunia membuktikan Islam meraikan kepelbagaian budaya

6 reka bentuk masjid unik seluruh dunia membuktikan Islam meraikan kepelbagaian budaya…

MASJID boleh hadir dalam pelbagai rupa, daripada sebuah bilik kecil di suatu bangunan hinggalah sebuah binaan besar dengan reka bentuk kompleks. Ini kerana al-Quran tidak pernah menggariskan rupa bentuk yang khusus bagi sesebuah masjid.

Mengikut sejarah, masyarakat Islam terdahulu biasanya mengadakan solat berjemaah dengan berkumpul secara rahsia di rumah masing-masing. Namun, semakin Islam berkembang, keperluan ahli komunitinya juga berubah.

Kebanyakan masjid terawal dibina hanya mempunyai reka bentuk yang ringkas. Bahkan, ia tidak memiliki sebarang kubah atau menara sebagaimana yang ada pada masjid-masjid sekarang. Sebagai tanda masuknya waktu solat, muazzin akan berdiri melaungkan azan di atas bumbung masjid yang rata.

Baca juga Laksanakan solat sunat Tahiyyatul Masjid sebagai tanda memuliakan rumah ALLAH

Kini, di seluruh dunia, masjid telah dibina menggunakan pelbagai reka bentuk tradisional dan unik bagi mencerminkan budaya masyarakat tempatan.

Portal agensi berita, Middle East Eye menyenaraikan enam masjid dari pelosok dunia berbeza yang memperlihatkan warisan unik komuniti Islam di sana.

1. Masjid Raya Sumatera Barat, Indonesia

Islam mula tersebar secara beransur-ansur di Indonesia bermula abad ke-12 melalui pedagang Arab.

Masjid Raya Sumatera Barat di Indonesia yang dibina oleh arkitek tempatan, Rizal Muslimin tidak mempunyai kubah atau menara. Sebaliknya, ia memiliki bumbung dengan struktur lengkung yang dikenali sebagai minang.

masjid unik seluruh dunia kepelbagaian islam

PEREKA Masjid Besar Sumatera Barat berkata beliau mendapat inspirasi kain yang dipegang oleh kaum Quraisy ketika ingin meletakkan Hajar Aswad ke Kaabah (Creative Commons)

Rumah ibadah berkenaan mula dibuka pada tahun 2014 dan mampu memuatkan hampir 20,000 jemaah sepanjang tiga tingkat.

Kata Muslimin, beliau mendapat inspirasi menerusi penyelesaian kepada pertikaian yang berlaku pada zaman Nabi Muhammad SAW.

Dalam peristiwa itu, berlaku pergaduhan antara puak Quraisy ketika ingin menempatkan Hajar Aswad pada Kaabah. Lalu, baginda meletakkan batu hitam tersebut di atas kain sambil bahagian sudut kain dipegang oleh seorang wakil daripada setiap puak. Dengan ini, masing-masing berpeluang meletakkan Hajar Aswad ke kiblat umat Islam itu.

Dengan gabungan ukiran minang tradisional dan kaligrafi Islam menghiasi dinding luar masjid, struktur megah itu menjadi tumpuan utama daerah Padang di Sumatera.

Baca juga ALLAH sangat mencintai masjid dan membenci pasar

2. Masjid Sepanyol, India
Dikenali sebagai Masjid Iqbal Ud Daula dalam masyarakat setempat, masjid ini terletak di bandar Hyderabad, India.

Masjid Sepanyol mula dibina sekitar tahun 1900 di bawah arahan Iqbal Ud Daula yang merupakan anak kepada pemerintah pada waktu itu.

Daula yang baru sahaja pulang ke India selepas menghabiskan masa di Sepanyol dikatakan mendapat inspirasi daripada seni bina negara Eropah berkenaan.

masjid unik seluruh dunia kepelbagaian Islam

MASJID Sepanyol di Hyderabad mempunyai ciri-ciri reka bentuk Sepanyol disebabkan pemerintah pada waktu itu yang meminati budaya berkenaan (Sriharsha/Creative Commons)

Dari segi reka bentuk masjid, bangunan itu mempunyai hujung menara yang tajam bermodelkan gereja-gereja di semenanjung Iberia. Selain ruang solat utama, terdapat juga dua bilik di kedua-dua sisi masjid yang disambungkan melalui tingkap gaya Perancis.

Walaupun tidak mempunyai kawasan untuk berwuduk, Masjid Sepanyol kekal sebagai tempat ibadat yang aktif bagi masyarakat Islam Secunderabad serta mampu memuatkan 3000 jemaah dalam satu masa.

Baca juga Masjid Namirah, khutbah terakhir Nabi SAW kepada umatnya di sini

3. Masjid Sancaklar, Turkiye
Turkiye sememangnya terkenal dengan masjid-masjid besar zaman Uthmaniyyah. Namun, Masjid Sancaklar sedikit berbeza kerana ia bukan sahaja dilihat sebati, bahkan hampir tersembunyi di sebalik topografi tanah di sekelilingnya.

Pemenang Bangunan Keagamaan Terbaik di Festival Seni Bina Dunia pada 2013 itu bertempat dalam sebuah kejiranan di pinggir Istanbul, Buyukcekmece.

Kata Emre Arolat merangkap arkitek di sebalik masjid unik berkenaan, bangunan itu sengaja dibina dengan gaya ringkas menyerupai sebuah gua untuk mewujudkan hubungan mendalam bersama TUHAN.

masjid unik seluruh dunia kepelbagaian Islam

MENURUT pereka Masjid Sancaklar di Turkiye, bangunan tersebut dibina sedemikian sebagai suatu dunia tersendiri yang mengasingkan pengunjung daripada ikatan duniawi (Creative Commons)

Dari jauh, satu bongkahan batu mewakili menara masjid menjadi mercu tanda Masjid Sancaklar. Selebihnya adalah ruang solat yang dibina bersama lereng bukit. Beberapa celahan juga diukir pada dinding kiblat untuk membolehkan sedikit cahaya masuk dari arah Kaabah.

Untuk sampai ke masjid, jemaah perlu berjalan di sepanjang anak tangga menuruni bukit. Setibanya di halaman masjid, ada sebuah kedai teh, ruang berkumpul serta perpustakaan untuk kegunaan jemaah.

Baca juga Masjid al-Ghamamah, tempat terakhir Nabi SAW solat raya

4. Masjid Kruszyniany, Poland
Masjid kayu ringkas berwarna hijau ini boleh ditemui di perkampungan Kruszyniany berhampiran sempadan Belarus.

Dari sudut bentuk luarannya, masjid berkenaan dipengaruhi budaya tempatan dan menyerupai gereja-gereja kayu berhampiran. Bangunan segi empat tepat itu juga diperbuat daripada kayu pain, selain dihiasi dengan ayat-ayat al-Quran pada sebelah dalam masjid.

masjid unik seluruh dunia kepelbagaian Islam

SATU plak batu di kawasan masuk masjid bahagian Muslimat menyatakan bahawa Masjid Kruszyniany di Poland pernah diubah suai pada tahun 1846 (Creative Commons)

Sementara itu, Masjid Kruszyniany merupakan salah satu daripada tiga masjid yang masih aktif di Poland.

Ia dikenali oleh masyarakat seawal tahun 1717 namun tiada siapa tahu tarikh sebenar masjid tersebut dibina. Plak batu yang ada di pintu masuk masjid bahagian Muslimat pula menyatakan bangunan itu pernah diubah suai pada tahun 1846.

Di Poland, 0.1 peratus daripada penduduknya beragama Islam. Dianggarkan terdapat 3,000 orang Tatar Islam termasuk 30,000 Muslim lain yang telah berhijrah dari tempat atau memeluk agama Islam di negara itu.

Baca juga Dua buku mengenai Hagia Sophia dikeluarkan Turkiye sempena ulang tahun kedua pembukaan semula masjid itu

5. Masjid Besar Djenné, Mali
Masjid Besar Djenné mula dibina pada abad ke-13 oleh Raja Koy Konboro, pemerintah Islam pertama di bandar itu. Khabarnya, Konboro sanggup merobohkan istananya untuk membina masjid di situ bagi menunjukkan ketaatannya kepada Islam.

Yang menariknya, masjid berkenaan adalah bangunan bata lumpur terbesar di dunia. Ia juga diisytiharkan sebagai tapak Warisan Dunia Unesco pada tahun 1988.

masjid unik seluruh dunia kepelbagaian Islam

KAWASAN Masjid Djenné di Mali sering dinaiki air ketika musim hujan, menyebabkan bangunan itu perlu diperkukuh dengan tanah lumpur baru setiap tahun (Creative Commons)

Selain dipengaruhi seni bina tradisional Sudano-Sahel, Masjid Besar Djenné mempunyai ketinggian hampir 20 meter dan dibina di atas platform sepanjang 91 meter. Ini kerana masjid itu berhampiran Sungai Niger menyebabkan ia sering dinaiki air ketika musim hujan dan strukturnya perlu ditampal semula setiap tahun.

Di samping itu, terdapat sembilan puluh tiang kayu yang menyokong bumbung dan dinding masjid. Ruang solat masjid pula boleh memuatkan seramai 3 ribu jemaah.

Islam mula tersebar di Afrika Barat pada abad ke-19 oleh pedagang Berber dan Tuareg Muslim. Kini, 90 peratus rakyat Mali beragama Islam.

Baca juga Masjid Raya Baiturrahman Terus Gagah Menentang Badai

6. Masjid Niujie, China
Dibina pada 996, Masjid Niujie adalah masjid tertua di Beijing. Ia pernah diroboh dan kemudian dibina semula beberapa kali merentasi dinasti berbeza. Masjid itu perluaskan pada tahun 1696 di bawah dinasti Qing.

Walaupun bahagian luar masjid tersebut memiliki seni bina istana kayu tradisional Cina, namun ruang dalamnya dihiasi dengan kaligrafi al-Quran serta panel kayu merah Cina, memperlihatkan pengaruh Islam dan Cina Han.

masjid unik seluruh dunia kepelbagaian Islam

MASJID Niujie mendapat namanya sempena kawasan masjid yang berhampiran dengan penjual-penjual daging di daerah Xuanwu, Beijing.

Ciri paling unik dalam Masjid Niujie adalah Menara ‘Watching Moon’ setinggi 10 meter, berbentuk heksagon serta mempunyai bumbung emas. Menara ini pernah digunakan oleh imam masjid untuk melihat bulan bagi menentukan bulan-bulan Islam termasuk permulaan Ramadan.

Di China, Islam disebarkan melalui pedagang Arab dan Parsi. 90 peratus penduduk Islam di negara berkenaan terdiri daripada etnik Hui dan Uyghur.

6 reka bentuk masjid unik seluruh dunia membuktikan Islam meraikan kepelbagaian budaya

Foto dan Sumber: Middle East Eye

Bahasa kasih sayang
Antarabangsa,

Gunakan ‘bahasa kasih sayang’ sebarkan Islam, pendekatan unik imam di Turkiye

MENGGUNAKAN ‘bahasa kasih sayang’ untuk menyebarkan mesej Islam. Demikian pendekatan yang dilakukan oleh seorang imam di Masjid Isa Bey yang terletak di wilayah Izmir, barat Turkiye.

Imam berkenaan, Ibrahim Tasdemir yang dilantik menjawat jawatan itu sejak tujuh tahun lalu tidak pernah lelah dan jemu menggunakan kaedah tersebut selama bertahun-tahun demi dakwah Islamiah.

Memetik portal About Islam, setiap kali pengunjung datang ke masjid berkenaan, Ibrahim akan memberikan nota yang mengandungi maklumat asas tentang Islam dalam 25 bahasa.

Nota berkenaan antara lain mengandungi petikan hadis Nabi Muhammad SAW dan bait-bait ayat al-Quran tentang pandangan Islam terhadap agama lain.

Bukan itu sahaja, Ibrahim juga akan membimbing mereka menerusi al-Quran dalam 20 bahasa, selain menghadiahkan kitab suci berkenaan.

Baca juga Keindahan ayat al-Quran hasil sulaman artis pekak di UK

“Saya mahu menunjukkan kepada mereka bahawa betapa indahnya Islam.

“Pada mulanya, saya akan bercakap sedikit bahasa Inggeris dan beberapa patah ayat dalam bahasa Belanda. Saya perhatikan, orang ramai gembira apabila kita bercakap dengan mereka dalam bahasa mereka sendiri.

Bahasa kasih sayang

IBRAHIM (dua, kanan) menunjukkan kepada pengunjung cara untuk mengambil wuduk.

“Malah, mereka juga sebenarnya terkejut apabila melihat seorang imam mampu bercakap dalam bahasa mereka. Apabila mereka sedang beristirahat, saya akan memberikan nota ini,” katanya sebagaimana dipetik menerusi temu bualnya bersama Agensi Anadolu baru-baru ini.

Memikat pengunjung dengan nilai murni

Ternyata usahanya itu tidak sia-sia. Ada orang yang menunjukkan minat untuk mengetahui dan mendalami tentang agama Islam.

Andai mereka ingin mempelajari lebih lanjut, Ibrahim sanggup membimbing individu berkenaan dan mengajar mereka di halaman masjid. Malah, di situ juga beliau mengajar tentang asas-asas wuduk.

Baca juga Ini Perkara Makruh Ketika Wuduk Yang Sering Dilakukan Tanpa Sedar

Dek kerana pendekatan uniknya yang menggunakan ‘bahasa kasih sayang’ dalam usaha dakwahnya, ada di antara pengunjung masjid itu memeluk agama Islam.

Setakat ini, beliau telah memberikan sebanyak 26,000 naskhah al-Quran kepada pengunjung.

Masjid Isa Bey yang dibina pada tahun 1374 merupakan antara satu karya tertua dan seni bina paling menarik tinggalan beylik Anatolia. Ia dibina oleh arkitek bernama Samli Dimisklioglu Ali.

Foto: Agensi Anadolu

Hagia Sophia
Antarabangsa,

Dua buku mengenai Hagia Sophia dikeluarkan Turkiye sempena ulang tahun kedua pembukaan semula masjid itu

SEMPENA ulang tahun kedua pembukaan semula Hagia Sophia, Kerajaan Turkiye mengeluarkan buku yang memperincikan ciri-ciri seni bina masjid dan reaksi masyarakat tempatan terhadap penukarannya semula sebagai rumah ALLAH.

Bagi tujuan tersebut, Pengarah Komunikasi Turkiye dalam satu kenyataan pada Sabtu melancarkan dua buku mengenai masjid berkenaan iaitu sehari sebelum ulang tahun kedua ia dibuka untuk beribadah.

Presiden Recep Tayyip Erdogan dalam mukadimah buku berkenaan menyentuh tentang kepentingan bersejarah pembukaan masjid tersebut yang pernah 86 tahun menjadi muzium.

“Penukaran Ayasofya (Hagia Sophia) kembali menjadi masjid adalah impian yang menjadi kenyataan bukan sahaja untuk negara Turki, tetapi juga untuk semua umat Islam di seluruh dunia.

“Dengan ciri-ciri sejarah, agama dan budayanya, Masjid Besar Ayasofya adalah tindak balas terbaik terhadap Islamofobia yang semakin meningkat khususnya di Eropah dan membenci jenayah yang dilakukan terhadap umat Islam di pelbagai tempat di dunia,” katanya sebagaimana dipetik menerusi laman web trtworld.com.

Bukan itu sahaja, Pengarah Komunikasi Turkiye turut mengeluarkan dokumentari khas semalam (hari Ahad) yang menceritakan kisah sembilan masjid di bandar berbeza Anatolia yang dinamakan Ayasofya.

Baca juga Hagia Sophia petanda awal menuju gerbang pembebasan Masjid al-Aqsa

Menelusuri historiografinya, Masjid Besar Hagia Sophia yang terletak di Istanbul itu sarat dengan sejarah dan nilai sentimental.

Hagia Sophia

Ia pernah menjadi destinasi pelancongan utama di Turkiye bagi pengunjung tempatan dan asing. Malah pernah dimasukkan dalam Senarai Warisan Dunia, Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) pada tahun 1985.

Malah, bangunan yang sama itu juga sebenarnya pernah berfungsi sebagai gereja selama 916 tahun!

Selepas Istanbul ditakluk, kawasan itu diubah menjadi sebuah masjid sekitar tahun 1453 hingga 1934 iaitu hampir 500 tahun.

Kali terakhir, ia dijadikan muzium selama 86 tahun sehinggalah pada 10 Julai 2020 apabila mahkamah di Turkiye membatalkan keputusan Kabinet pada tahun 1934 yang telah menjadikan Hagia Sophia sebagai muzium.

Baca juga Tapak Bangunan Pub Terbiar Di Bradford, Bakal Dibangunkan Masjid

Akhirnya usaha itu membuka jalan kepada Ayasofya untuk kembali berfungsi sebagai masjid.

Monumen itu telah dipulihkan kepada kegemilangan dahulu sebagai Masjid Besar Hagia Sophia pada 24 Julai 2020.

Foto: trtworld.com & iqna.iq