Browsing Tag

Tunggakan nafkah anak

Kedekut nafkah anak
Dari Fail Mahkamah Syariah,

Tunggakan nafkah anak wujud apabila ada perintah mahkamah

CERITA tentang tunggakan nafkah anak memang tidak pernah padam sampai bila-bila. Sememangnya menjadi kewajipan kepada bapa untuk menyempurnakan amanah itu dengan sebaik-baiknya sekalipun sudah berpisah dengan pasangan masing-masing.

Begitupun dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu kini, terdapat segelintir bapa yang culas berbuat demikian. Ada pula yang begitu liat mengeluarkan nafkah.

Namun demikian, perkara itu tidak boleh didiamkan begitu sahaja. Ia perlu dibawa ke muka pengadilan.

Ketahuilah, nafkah anak tidak akan berkuatkuasa secara automatik apabila suatu penceraian berlaku.

Baca juga Bapa tetap perlu sediakan nafkah anak sekalipun sudah bercerai dengan pasangan

Demikian penjelasan peguam syarie, Nurain Akmal Khairunnisa Amir Hamzah yang dipetik menerusi hantaran di laman sosial Facebook dikendalikannya.

NURAIN AKMAL KHAIRUNNISA

Malah, katanya, kita tidak boleh membuat tuntutan tunggakan nafkah anak yang tidak dibayar jika tiada perintah mahkamah.

“Ramai ibu bapa yang tanya boleh ke nak tuntut nafkah anak yang lepas-lepas semasa ayah tidak bayar dulu? Akan tetapi, mereka tiada perintah mahkamah pun.

“Suka diingatkan bahawa hutang atau tunggakan nafkah anak hanya wujud apabila adanya perintah dari mahkamah syariah. Jika tiada, ia kira burn (hangus) dan tidak boleh dituntut,” jelas beliau.

Baca juga Culas bayar nafkah anak, satu tindakan yang tidak bertanggungjawab. Kegagalan itu dianggap sebagai hutang!

Seperkara lagi, pengamal undang-undang syarie itu menjelaskan, kes nafkah anak mahupun hak jagaan mereka boleh difailkan walaupun pasangan suami isteri itu belum bercerai.

“Ia termasuklah pasangan yang dalam proses tuntutan cerai dan atau apabila pihak suami dan isteri sudah tinggal berasingan,” jelas beliau.

Mengulas tentang perintah nafkah anak yang dikeluarkan oleh mahkamah, Nurain menjelaskan, ia merupakan perintah yang menyeluruh dan jelas.

Baca juga Antara nafkah dan hutang, yang mana perlu diutamakan?

Antara perkara-perkara yang dinyatakan dalam perintah tersebut termasuklah:

Tunggakan nafkah


JANGAN sesekali culas membayar nafkah anak yang dipertanggungjawabkan kepada bapa.

i. Jumlah nafkah yang perlu dibayar oleh bekas suami untuk seorang anak.
ii. Tarikh bekas suami perlu bayar nafkah anak.
iii. Cara atau kaedah bayaran nafkah anak sama ada secara mendepositkan wang ke dalam akaun bekas isteri atau melalui potongan gaji.
iv. Jumlah bayaran nafkah bagi perbelanjaan awal persekolahan.
v. Jumlah bayaran nafkah untuk persediaan perayaan Aidilfitri.

Disebabkan itulah, katanya, perintah nafkah itu diperlukan daripada mahkamah kerana ia akan merangkumi semua perkara atau keperluan anak.

“Ia termasuklah dari segi nafkah bulanan, awal persekolahan dan perayaan,” terang beliau.

Foto: Freepik