Browsing Tag

Tsabit bin Qurra

Tsabit bin Qurra
Personaliti,

Tsabit bin Qurra, Bapa Ilmu Statistik yang disegani

PENEMUAN agung Tsabit bin Qurra tentang pergerakan matahari dan bulan serta jam matahari memberi sumbangan besar kepada mereka yang mahu berlayar. Bayangkan para pelaut tersohor seperti Christopher Colombus tidak pernah tersesat di tengah samudera ketika melakukan pelayaran mengelilingi dunia disebabkan penemuan tersebut.

Malah, hasil dapatan Tsabit itu mampu mengukur keluasan bumi dengan menggunakan garis bujur dan lintang secara tepat. Demikian begitu hebatnya fikrah ilmuan Islam yang memiliki nama lengkap Abu’l Hasan Tsabit bin Qurrabin Marwan Al-Sabi Al-Harrani dengan izin ALLAH SWT.

Figura masyhur yang dilahirkan di Harran, Turki pada tahun 836 Masihi itu bukan calang-calang orang. Buktinya, karya-karya rujukan sejarah mengabadikan nama beliau sebagai seorang ahli astronomi, matematik, geografi,pakar perubatan dan lain-lain lagi. Maka tidak hairanlah jika orang Barat juga mengenalinya, tetapi dengan nama Thebit.

Darjah ketinggian ilmunya bukan hanya dilihat dari segi penemuan terbaharunya, tetapi juga kebolehannya bertutur dalam bahasa asing. Ilmuan masyhur abad kesembilan itu fasih berbahasa Arab dan Greek.

Baca juga Daripada seorang hamba, Al-Khazini menempa nama sebagai antara cendekiawan Islam terulung

Menelusuri salasilahnya, tidak banyak rujukan yang memerihalkan tentang kehidupan Tsabit ketika muda. Apa yang pasti, figura hebat yang berasal daripada masyarakat Sabian itu pernah bekerja sebagai penukar wang di Harran sebagaimana yang dilaporkan laman web muslimheritage.com.

Tsabit bin Qurra

KEFASIHAN Tsabit bertutur dalam tiga bahasa asing begitu dikagumi. Ia menjadi titik tolak buatnya untuk menggali lebih banyak disiplin ilmu lain.

Dek kerana kemahiran berbahasa yang dimilikinya membuatkan seorang ilmuan terkemuka di Baghdad, Muhammad Ibnu Musa Ibnu Syakir mengaguminya. Disebabkan itu, beliau menjemput Tsabit ke Baghdad untuk mendalami ilmu matematik dan perubatan daripadanya serta saudaranya.

Peluang keemasan terbentang luas di hadapan mata tidak disia-siakan begitu sahaja oleh Tsabit. Sebaliknya, kesempatan yang ada digunakan dengan sebaik-baiknya.

Dalami pelbagai cabang ilmu

Maka bermulalah episod Tsabit bermusafir di Baghdad. Di situlah popularitinya mula memuncak sehinggakan namanya begitu gah meniti pada bibir masyarakat sebagai salah seorang saintis yang hebat.

“Malah, anak lelakinya yang bernama Sinan dan cucunya, Ibrahim ialah sarjana yang terkenal, iaitu masing-masing sebagai ahli fizik dan pengarah hospital di Baghdad serta pakar matematik yang penting,” katanya sebagaimana dipetik menerusi portal berkenaan.

Baca juga Kenali Al-Battani, Individu Penting Dan Cendekiawan Islam Yang Menemui Fakta 365 Hari Setahun

Jika sudah namanya seorang ilmuan, sudah tentulah pelbagai disiplin ilmu yang dikuasai oleh Tsabit. Di antara karya-karya yang dihasilkannya, penulisan matematik cetusannya paling banyak dikaji, kata muslimheritage.com.

Tsabit bin Qurra

ANTARA sebahagian halaman daripada terjemahan bahasa Arab yang dilakukan oleh Tsabit bin Quraa untuk Apollonius Conics.

Sementara itu, portal berpengaruh di Indonesia, Republika menjelaskan, antara monumentalnya agung ialah Kitab al-Mafrudat (kitab data) yang mana ia sangat popular pada zaman pertengahan iaitu ketika era Khalifah Abbasiyah. Karya itu antara lain mengandungi penerangan tentang geometri dan algebra geometri.

“Selain itu, Tsabit turut menghasilkan Kitab Fi Ta’lif an-Nisab (susunan nisbah) yang menjelaskan teori majmuk nisbah. Ia kemudian melahirkan idea nombor nyata dan penemuan pengiraan pengamiran,” katanya.

Bukan itu sahaja, memetik artikel islampos.com, cendekiawan tersebut juga merupakan pelopor bidang statistik. Penemuan berkenaan dan ketinggian ilmu yang dimilikinya itu menyebabkan beliau mendapat jolokan Bapa Ilmu Statistik.

Dalam bidang astronomi pula, antara dapatan penting Tsabit ialah jam matahari yang mana ia menggunakan sinar suria tersebut untuk mengetahui peredaran masa dan menentukan waktu solat. Bahkan, ilmuan berkenaan turut membuat kalendar tahunan berdasarkan sistem matahari. Selain itu, beliau dikenali sebagai individu yang membaharui sistem Ptolemy.

Tsabit dilaporkan meninggal dunia pada tahun 901 Masihi di Baghdad. Meskipun jasadnya telah tiada, namun segala penemuan dan usahanya itu diteruskan oleh warisnya iaitu anak dan cucunya. Malah, ia berkekalan dimanfaatkan sehingga pada hari ini.

PROFIL

Tsabit bin Qurra

ILUSTRASI Tsabit bin Qurra.

Nama penuh: Abu’l HasanTsabit bin Qurra bin Marwan Al-Sabi Al-Harrani.

Gelaran: Thebit dan Bapa Ilmu Statistik. Asal: Harran, Turki.

Tahun kelahiran: 836Masihi.

Tahun kematian: 901Masihi.

Sumbangan: Menterjemahkan banyak karya ahli matematik Yunani selain mengarang kitabnya sendiri, pengasas ilmu keseimbangan dan statistik serta pencipta jam matahari.

Karya agung: Fi’al-Qarastun, al-Mafrudat, Fi Ta’lif an-Nisab dan banyak lagi.

Foto: trtworld.com, alchetron.com, muslim.okezone.com & en.wikipedia.org