Browsing Tag

Travel

pexels-tima-miroshnichenko-7010104
Hukum,

Wanita ‘solo travel’ apakah hukumnya di sisi Islam?

APA hukumnya wanita mengembara sendirian? Adakah Islam mengizinkan kaum hawa melakukan ‘solo travel’ atau mengembara tanpa ditemani mahram daripada kalangan ahli keluarganya?

Hari ini amalan itu bukan lagi luar biasa. Namun tetap menimbulkan kerisauan dalam kalangan Muslimah sama ada agama melarang atau mengizinkan.

Asas hukumnya memang terdapat larangan daripada dilakukan. Ia bagi menjaga dan menjamin hak kepentingan golongan wanita daripada diganggu oleh pihak yang tidak bertanggungjawab selain menutup lubang-lubang fitnah yang mungkin dilontarkan terhadap seseorang Muslimah.

Namun hal ini dikecualikan daripada wanita Muslimah yang berhijrah dan juga tawanan. Para ulama telah bersepakat bahawa sekiranya seseorang Muslimah yang berada di negara bukan Islam maka dibolehkan ke atasnya untuk berpindah ke negara Islam tanpa perlunya kepada mahram.

DIBOLEHKAN ASAL DITEMANI MAHRAM

WANITA dibolehkan ‘travel’ jika ditemani oleh sekumpulan lelaki dan wanita yang dipercayai dan bebas dari fitnah.

Islam sendiri menggariskan bahawa haram bagi wanita bermusafir sendirian. Hal ini termasuk juga dengan keluar sendirian di perantauan. Tetapi ia dibolehkan apabila ditemani mahram, atau sekumpulan wanita dan lelaki yang dipercayai, dan bebas daripada fitnah.

Dari Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda “tidak halal yakni haram bagi seseorang wanita yang beriman kepada ALLAH dan hari pembalasan, jika ia pergi sejauh jarak sehari semalam, melainkan wajib disertai orang yang menjadi mahramnya.” (Muttafaq ‘alaih)

Di antara alasan tidak membenarkan wanita untuk bermusafir tanpa mahram adalah untuk menjaga keselamatan, memelihara kehormatan serta menjauhkan para wanita daripada fitnah sekiranya tiada mahram yang menemaninya.

Namun jika perjalanan tersebut aman dan selamat, maka sebahagian para ulama membenarkannya. Inilah pandangan yang dikemukakan oleh Imam an-Nawawi ketika mensyarahkan hadis tersebut.

Baca juga Hukum menyertai perayaan hantu lapar

Seorang pelajar telah bertanya kepada Syeikh Ahmad Muhammad As-Syarnubi, pensyarah Dakwah dan Thaqafah Islam Kuliah Usuluddin di dalam satu majlis berkenaan hukum pelajar perempuan bermusafir untuk menuntut ilmu:

“هل يجوز للمرأة أن تسافر لطلب العلم ؟

Maka jawab syeikh :

أباح الإسلام للمرأة أن تسافر بشرط أن تكون لها صحبة آمنة. و صحبة آمنة تعني وجود معها المسؤول و الفتيات أخرى و الإخوة…”

Maksudnya : Islam mengharuskan bagi perempuan untuk bermusafir dengan syarat hendaklah ada baginya orang yang dipercayai yang menemaninya. Dan maksud صحبة آمنة ialah ada bersamanya mas’ul, perempuan-perempuan lain dan lelaki.

SELAMAT DARI FITNAH

Hukum ‘solo travel’ bagi wanita adalah harus (dibolehkan) namun mestilah merujuk kepada beberapa syarat dan ketetapan.

MENGEMBARA atau ‘solo travel’ yang digariskan oleh Islam adalah sebaiknya wanita yang bermusafir itu ditemani oleh sekumpulan wanita yang diyakini agamanya atau sekurang-kurangnya ahli keluarga sendiri.

Yang pertama, mestilah keadaan aman dirinya, agamanya, maruahnya selamat dari fitnah dan maksiat sepanjang musafir sama ada dalam perjalanan ketika di destinasi dan juga ketika pulang.

Kedua perlu mendapatkan keizinan daripada mahram dan juga wali yang terdekat.

ketiga, tidak musafir ke tempat-tempat yang boleh membawa kepada fitnah atau memberikan mudarat terhadap dirinya.

Wanita dan ‘solo travel’ itu dibolehkan mengikut islam namun sebaiknya wanita yang bermusafir itu ditemani oleh sekumpulan wanita yang diyakini agamanya atau sekurang-kurangnya ahli keluarga sendiri.

Rasulullah lakukan ini ketika bermusafir
Hukum,

Bercuti atau balik kampung, jangan lupa sunnah Rasulullah SAW ini ketika bermusafir.

FIRMAN ALLAH “DIA-lah yang menjadikan bumi bagi kamu mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya..”(Surah al-Mulk, ayat 15)

Islam sangat menggalakkan umatnya mengembara. Sambil-sambil meneroka alam ciptaan ALLAH, dapat juga memahami gaya hidup serta budaya masyarakat lain.

Rasulullah SAW juga banyak bermusafir untuk urusan perniagaan dan dakwah Islamiah. Mungkin kaedah pengangkutan yang ada pada hari ini berbeza dengan Nabi SAW yang menunggang unta dan berkuda namun amalan Baginda kekal relevan sehingga kini.

Tatkala bermusafir ada beberapa tatacara yang elok untuk diamalkan sebagaimana anjuran Rasulullah, berikut perinciannya:

1. Menunaikan solat sunat dua rakaat sebelum bermusafir
Daripada Jabir bin Abdullah RA berkata: “Rasulullah mengajar kami beristikharah dalam semua perkara sebagaimana satu surah al-Quran.

Pesan Nabi:Jika kamu memikir-mikirkan tentang sesuatu, maka solatlah dua rakaat yang bukan solat wajib. Kemudian berdoa (doa istikharah).” (Hadis riwayat al-Bukhari)

2. Cari peneman atau berkonvoi
Nabi bersabda: “Kalaulah manusia tahu apa yang aku tahu tentang seseorang apabila berseorangan, pasti tiada siapa pun yang akan menunggang pada waktu malam seorang diri.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Rasulullah SAW lakukan perkara ini ketika bermusafir

WALAUPUN kaedah pengangkutan kini tidak serupa zaman Nabi SAW dahulu, namun ajaran baginda tetap dapat kita praktikkan.

3. Memulakan perjalanan pada hari Khamis atau pada waktu malam
Kaab bin Malik berkata: “Rasulullah keluar ke perang Tabuk pada hari Khamis. Baginda memang suka keluar pada hari Khamis.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Rasulullah SAW juga gemar melakukan perjalanan pada malam hari kerana suasananya yang lebih baik dan sejuk berbanding waktu siang yang panas.

Daripada Anas bin Malik RA, Nabi SAW juga bersabda:
Berjalanlah berjalan malam, sesungguhnya bumi ‘dilipat’ pada waktu malam.” (Hadis riwayat Abu Dawud)

Menurut Imam al-Munawi, keadaan malam yang tenang juga boleh membuatkan perjalanan terasa lebih cepat jika dibandingkan dengan waktu siang.

4. Membaca doa safar (musafir) sebelum memulakan dan setelah pulang daripada permusafiran

Mulakan doa safar dengan bertakbir sebanyak tiga kali اَللهُ أَكْبَرُ

Kemudian diikuti dengan doa berikut:

سُبْحَانَ الَّذِي سَخَّرَ لَنَا هَذَا، وَمَا كُنَّا لَهُ مُقْرِنِينَ، وَإِنَّا إِلَى رَبِّنَا لَمُنْقَلِبُونَ، اللهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ فِي سَفَرِنَا هَذَا الْبِرَّ وَالتَّقْوَى، وَمِنَ الْعَمَلِ مَا تَرْضَى، اللهُمَّ هَوِّنْ عَلَيْنَا سَفَرَنَا هَذَا، وَاطْوِ عَنَّا بُعْدَهُ، اللهُمَّ أَنْتَ الصَّاحِبُ فِي السَّفَرِ، وَالْخَلِيفَةُ فِي الْأَهْلِ، اللهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ وَعْثَاءِ السَّفَرِ، وَكَآبَةِ الْمَنْظَرِ، وَسُوءِ الْمُنْقَلَبِ فِي الْمَالِ وَالْأَهْلِ

Ertinya: “Maha Suci ALLAH yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya. Dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah, kami akan kembali. Ya, ALLAH! Sesungguhnya kami memohon kebaikan dan taqwa dalam perjalanan ini, dan dengan amalan yang ENGKAU redhai. Ya ALLAH! Permudahlah perjalanan kami ini, dan dekatkanlah bagi kami jarak yang jauh. Ya ALLAH! Sesungguhnya ENGKAU adalah teman dalam perjalanan, dan ketua bagi ahli keluarga. Ya ALLAH! Sesungguhnya aku berlindung denganMU dari kesukaran perjalanan ini, dan pemandangan yang buruk. Dan dari kejahatan yang boleh menimpa harta dan ahli keluarga sekembalinya kami.”

 

Rasulullah lakukan perkara ini ketika bermusafir

HIASI perjalanan kita dengan doa dan kalamullah supaya diberkati ALLAH SWT.

5. Mendoakan orang yang ditinggalkan

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW berpesan:

Sesiapa yang hendak bermusafir, hendaklah dia mendoakan orang yang dia tinggalkan:

أَسْتَوْدِعُكُمُ اللَّهَ الَّذي لا تَضِيعُ وَدَائِعُهُ

Aku mengamanahkan kamu kepada ALLAH yang tidak pernah hilang simpanan-Nya.” (Hadis riwayat Ahmad)

6. Bertakbir (Allahuakbar) apabila melalui tempat tinggi dan bertasbih (Subhanallah) ketika melewati tempat rendah

Daripada Jabir RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

Sesungguhnya kami apabila menaiki tempat yang tinggi, maka kami bertakbir dan apabila kami menuruni tempat yang rendah, maka kami bertasbih.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Baca juga Boleh ke tunaikan solat jamak qasar ketika mulakan perjalanan musafir lepas masuk waktu solat?

7. Segera kembali kepada keluarga apabila urusan sudah selesai
Rasulullah bersabda: “Perjalanan satu keratan daripada azab. Kamu tidak boleh makan, minum dan tidur (seperti biasa). Maka apabila urusan musafir kamu selesai, segeralah kembali kepada keluarga.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

8. Balik daripada musafir membawa hadiah
Tidak semestinya hadiah yang mahal-mahal tetapi cukup sebagai tanda kita ingat akan mereka.

Hendaklah kamu saling memberi hadiah, nescaya kamu akan saling berkasih sayang.” (Hadis riwayat al-Bukhari dalam Adab al-Mufrad)

Rasulullah lakukan perkara ini ketika bermusafir

PELIHARA adab ketika memandu dan patuhi undang-undang jalan raya tatkala bermusafir.

9. Zikir dalam perjalanan pulang

آيِبُونَ تَائِبُونَ عَابِدُونَ لِرَبِّنَا حَامِدُونَ

Anas pernah bermusafir bersama Nabi. Tatkala kota Madinah kelihatan, Baginda pun mengucapkan (bacaan di atas).

Baginda ulang-ulang sehinggalah kami tiba di Madinah.” (Hadis riwayat Muslim)

10. Solat di masjid berdekatan
Kaab bin Malik berkata: “Ketika pulang daripada perjalanan, Baginda akan singgah di masjid dahulu untuk solat dua rakaat.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Semoga perkongsian ini dapat dijadikan amalan setiap kali anda melakukan sesuatu perjalanan. Sambil berjalan, sambil beramal. Barulah perjalanan menjadi lebih mudah dan diberkati ALLAH SWT.

Foto: Unsplash