Browsing Tag

trauma

Bencana alam
Berita Semasa,

Segera rawat trauma bencana alam, jangan dibiarkan begitu sahaja

BENCANA alam memberi kesan trauma emosi dan mental kepada mangsa dan insan yang hampir dengan mereka lebih-lebih lagi jika melibatkan kehilangan nyawa dan harta benda.

Andai dibiarkan begitu sahaja, perunding motivasi dan kaunseling, Hushim Salleh, berkata ia akan membawa kepada kesan berpanjangan sehingga mengganggu tidur seseorang, berhalusinasi, kemurungan dan sebagainya.

“Tindak-tanduk itu juga memberi kesan pada tingkah laku seseorang. Mereka cenderung untuk berfikiran negatif, akan jadi cepat marah, kemurungan dan lain-lain. Maka, individu ini perlu sesi kaunseling berpanjangan untuk memulihkan kestabilan emosi dan trauma.

Baca juga Usah kejar keuntungan hingga abaikan kelestarian alam

“Proses kaunseling itu tidak boleh sekali sahaja, ia berpanjangan supaya mereka boleh berfikir secara rasional,” katanya kepada Sinar Islam Plus.

HUSHIM

Hushim menjelaskan, berdasarkan pengalamannya, lazimnya, impak trauma akan dirasai oleh mereka yang terkesan dalam masa panjang selama bertahun-tahun terutama jika melibatkan nyawa insan kesayangan masing-masing.

“Ia juga bergantung kepada individu itu sendiri kerana setiap orang mempunyai kekuatan mental dan emosi yang berbeza walaupun mereka pasangan suami isteri ataupun adik-beradik.

“Begitu juga halnya bagi mereka yang kehilangan harta disebabkan bah. Ada yang menghadapi masalah dari segi ekonomi. Barangkali ada dalam kalangan mereka yang mempunyai anak berkemampuan untuk membantu, tetapi ada juga yang tidak dapat menghulur sumbangan,” katanya sambil menjelaskan, ia boleh dipulihkan dalam jangka panjang.

Baca juga Utamakan sedekah pada keluarga dahulu, berikut 10 fadilat melaksanakannya

Sebelum mengakhiri bicaranya, Hushim menyarankan agar umat Islam merenung kembali ayat 155, Surah al-Baqarah.

“ALLAH memperincikan bahawa DIA akan menguji manusia dengan malapetaka, kekurangan makanan, banjir dan sebagainya.

“Walaupun iman setiap manusia tidak sama, tetapi ibu bapa kena tanamkan sejak zaman awal kanak-kanak supaya mereka berpegang dengan kalamullah berkenaan. Maka apabila kita tanamkan akidah pada anak-anak, jika berlaku ujian bencana alam, mereka ada reda dan pasrah,” pesannya.

Sekalipun tidak mampu menghulur bantuan kewangan mahupun tenaga, Hushim mengingatkan agar setiap orang saling menyebarkan mesej positif menerusi media sosial masing-masing sebagai tanda sokongan dan simpati.

394ec3f7-e79f-4fc8-ad7c-12e2aaeac6d9-large16x9_Studenthijab
Jendela Dunia,

Guru Dituduh Tanggal Tudung Pelajar Islam

no comment

SEBUAH sekolah di daerah New Jersey sedang menyiasat dakwaan diskriminasi oleh seorang guru terhadap seorang pelajar Muslim.

Ibu gadis itu, Cassandra Wyatt, mengatakan bahawa guru telah memaksa anaknya menanggalkan tudung ketika berada di dalam kelas.

Anak perempuannya yang berusia tujuh tahun, Sumayyah dan kakaknya telah memakai tudung sejak mereka masih kecil.

Wyatt mengatakan bahawa guru kelas dua anak perempuannya yang bersekolah di Seth Boyden Elementary dipaksa guru itu menanggalkan tudung yang berlaku baru-baru ini.

“Anak saya mengakui bahawa guru itu telah menarik tudungnya sambil berkata, kamu tidak boleh memakainya di sini.

“Kemudian, Sumayyah membalas dengan berkata “Tidak, tidak, ini adalah tudungku”. Pun begitu, akhirnya anak saya terpaksa menanggalkannya. Guru itu memberi respons dengan mengatakan rambutnya cantik dan menyuruh Sumayyah memakai kembali selepas satu kelas melihatnya.” kata Wyatt.

Tambah Wyatt, hijab adalah tuntuan dalam Islam dan mengatakan anak perempuannya kini trauma. Dia juga tidak lagi mahu memakai tudung selepas kejadian itu.

“Kali pertama kami keluar, dua kali dia menanggalkan tudungnya dan seperti melemparkannya ke tanah,” katanya.

Summayah dan kakaknya telah memakai tudung sejak kecil sebagai amalan yang diajar oleh ibunya.

Siasatan kini sedang dijalankan.

Majlis Hubungan Amerika-Islam (CAIR NJ), New Jersey yang juga sebuah kumpulan penyokong hak sivil bagi umat Islam, meminta guru itu dibuang kerja.

“Guru itu tidak hanya meletakkan tangannya di kepala Sumayyah tetapi menanggalkan tudungnya dan tentu saja perkara itu memalukan bagi mana-mana wanita Muslim ,” kata Pengarah Eksekutif CAIR NJ, Selaedin Maksut.

Satu kenyataan dikeluarkan sekolah mengatakan, pihaknya akan mengambil perhatian terhadap kes itu dan berkomitmen untuk menyelesaikan masalah dalam membantu pelajar, guru dan keluarga.

CAIR NJ mahu sekolah mengambil langkah lebih drastic untuk mengatasi masalah tersebut.

“Sekolah harus melatih guru, pendidik dan pelajar untuk mengenali lebih dalam berkaitan Islam bagi menjaga keharmonian bersama,” kata Maksut.

Selepas kejadian itu, Sumayyah tidak lagi bersedia untuk kembali ke sekolah.

Pihak sekolah mengatakan bahawa kakitangan yang terlibat berhak menjalani proses yang sewajarnya sebelum sebarang tindakan diambil, dan bahawa masalah kakitangan dan pelajar dirahsiakan kerana tanggungjawab undang-undang.

Sumber: CBS Austin