Browsing Tag

tragedi berdarah di masjid Christchurch

Christchurch
Istimewa Panggilan Baitullah,

Keluarga mangsa tragedi Christchurch bawa ‘impian’ arwah isteri ke Tanah Suci

BAGI mereka yang mengikuti rapat kes tragedi berdarah di dua masjid Christchurch, New Zealand pada 15 Mac 2019, pasti nama Farid Ahmad tidak begitu asing lagi.

Masakan tidak, lelaki berusia 59 tahun itu telah memaafkan penembak yang membunuh isteri tersayangnya, Allahyarham Husna Ahmed dalam kejadian tembakan di Masjid Al-Noor.

Husna merupakan antara salah seorang daripada 51 mangsa yang terkorban dalam insiden berkenaan.

Dalam perkembangan terbaharu, Farid bersama anak perempuannya, Shifa, 18, telah dijemput untuk menunaikan ibadah haji di Tanah Suci daripada Kerajaan Arab Saudi.

Deraian air mata mengiringi tatkala mendengar perkhabaran gembira tersebut. Ya, detik itulah yang amat dinanti-nantikannya kerana ia merupakan impian arwah isterinya.

Christchurch

TINGGAL kenangan…gambar Farid bersama arwah Husna (kiri).

“Perjalanan ini bukan untuk saya. Jemputan ini datang untuknya (arwah isteri),” kata Farid kepada portal berita Newsroom ketika ditemu bual baru-baru ini.

Baca juga Wira Serangan Masjid Di Christchurch Dikurniakan Anugerah Keberanian

Selain Farid dan Shifa, anak saudara Husna iaitu Farhana Akhter Reju turut menerima jemputan sama. Mereka ialah antara sekumpulan 60 mangsa serangan pengganas yang terselamat dan keluarga mereka yang dijemput untuk menunaikan Rukun Islam kelima pada tahun ini.

Farid yang juga pendakwah asal Bangladesh menyifatkan, perjalanan kerohanian itu adalah sebagai tanda ingatan terhadap tragedi yang berlaku.

“Jemputan ini bukan datang kepada Farid sebagai Farid, tetapi ia hadir kerana Husna sudah tiada. Jadi perjalanan ini adalah tanda ingatan tentang apa yang berlaku.

“Saya rasa, saya hanya membawanya. Setiap saat dalam perjalanan ini akan mengingatkan saya tentangnya. Itulah bahagian yang amat menyedihkan,” ungkapnya sebagaimana dipetik menerusi portal aboutnews.com.

Baca juga Maafkan pembunuh arwah isteri, begitu mulianya hati lelaki ini

Tambah memilukan apabila Farid teringat arwah isterinya sentiasa menyimpan impian untuk menunaikan haji. Namun, lelaki yang berkerusi roda itu berkata, ketidakupayaannya itu menjadi suatu halangan untuk menjejakkan kaki ke sana.

Christchurch

MESKIPUN perit menerima ujian kehilangan isteri sekelip mata, tetapi hati Farid begitu mulia sekali apabila beliau memaafkan individu yang telah menembak insan kesayangannya dan mengorbankan 50 nyawa lain.

“Saya tidak pernah membayangkan, saya boleh mengambil risiko ini untuk melalui semua usaha fizikal, mental dan emosi semata-mata untuk mengerjakan ibadah haji.

“Isteri saya mengimpikan untuk ke Tanah Suci banyak kali, tetapi apakan daya ketidakupayaan saya mengjadi penghalangnya. Kini saya berasa gembira kerana saya akan mencuba kali ini (menunaikan haji) dan saya boleh memenuhi impiannya.

“Saya akan mewakilinya dan semua orang, bukan dari segi kepercayaan. Ini kerana kami mempunyai kepercayaan yang berbeza, tetapi tidak dari aspek keamanan dan kasih sayang,” katanya.