Browsing Tag

Tok Ku Paloh

Tok Ku Paloh
Personaliti,

Tok Ku Paloh ulama hebat dalam ilmu tasawuf sehingga mencapai darjat al-Kashaf

Oleh SARRAH MOHSIN

JIKA menyebut tentang ilmuan Islam, pastinya cendekiawan terkenal dari zaman kegemilangan Islam seperti Ibnu Sina dan al-Farabi menjadi gambaran pertama yang timbul di fikiran.

Di Malaysia, kita juga memiliki tokoh ulama Islam tersendiri yang telah memainkan peranan besar dalam mencorak perkembangan dan pendidikan agama Islam di rantau Nusantara.

Antaranya ialah Tok Ku Paloh. Mungkin ada yang mengenalinya dengan panggilan Engku Sayyid Paloh, Engku Cik, Tuan Cik atau Syaikh al-Islam Terengganu. Beliau adalah seorang ulama dari Terengganu yang dikenali dengan jasanya dalam bidang dakwah, politik dan pendidikan di negeri tersebut pada pertengahan kurun ke-19 Masihi.

Pemilik nama penuh Syed Abdul Rahman bin Syed Muhammad ini dilahirkan di Kampung Chabang Tiga, Kuala Terengganu pada tahun 1817. Berketurunan Ahlul Bait.

Tok Ku Paloh menerima didikan Islam sejak kecil lagi. Selain diasuh oleh ayahnya, Tok Ku Tuan Besar, beliau juga dididik oleh Tok Sheikh Duyung sebelum melanjutkan pengajian ke Mekah selama 10 tahun. Kedua-dua gurunya adalah ulama terkemuka di Terengganu.

Sekembalinya ke Terengganu, beliau mengajar di Chabang Tiga seketika sebelum membuka madrasah di Kampung Paloh.

Menurut catatan, Kampung Paloh didatangi orang daripada pelbagai jurusan, bukan sahaja sekitar Kuala Terengganu, bahkan dari Pahang dan Patani yang ingin menuntut ilmu daripadanya. Antara anak muridnya yang terkenal termasuk Haji Abdul Rahman Limbong, Tok Janggut dan Sultan Zainal Abidin III.

Tok Ku Paloh

ILUSTRASI Tok Ku Paloh

Serba boleh dalam pelbagai cabang agama

Tok Ku Paloh paling mahir dalam ilmu tasawuf. Kitab tasawuf karangannya, Ma‘arij al-Lahfan li al-Taraqqi ila Haqaiq al-‘Irfan masih diamalkan sehingga ini. Arifnya beliau dalam ilmu tasawuf sehingga mencapai darjat al-Kashaf, iaitu orang yang dapat melihat perkara ghaib dan mengetahui rahsia yang tersembunyi.

Atas kemasyhuran ilmu dan ketinggian akhlak yang ada pada Tok Ku Paloh, Sultan Terengganu, Sultan Zainal Abidin III telah menjadikan beliau sebagai guru dan penasihat pentadbiran negeri.

Diceritakan bahawa British juga pernah cuba berunding dengan agamawan ini untuk mendapatkan Bukit Besar, tetapi gagal.

Baca juga Daripada seorang hamba, Al-Khazini menempa nama sebagai antara cendekiawan Islam terulung

PROFIL

Nama: Syed Abdul Rahman bin Syed Muhammad

Gelaran: Tok Ku Paloh Asal: Kuala Terengganu, Terengganu

Tahun kelahiran: 1817 Masihi (bersamaan 1233 Hijrah)

Tahun kematian: 1918 Masihi (bersamaan 1337 Hijrah)

Sumbangan:

  • Melindungi pejuang Islam dan Melayu pada zaman penjajahan
  • Naskhah beliau berjaya meniupkan semangat antipenjajah dalam masyarakat setempat
  • Mengembangkan Islam di nusantara sebagai Sheikhul Ulama
  • Karya agung: Ma‘arij al-Lahfan li al-Taraqqi ila Haqaiq al-‘Irfan

Sumber & Foto: Facebook, The Patriots, Qulamirulhakim.blogspot.com & Ummah Today