Browsing Tag

tipu sijil

Resume
Hukum,

Tak boleh tipu resume untuk dapat kerja, jawatan tertentu

BAGI mereka yang mencari pekerjaan, resume sememangnya menjadi dokumen wajib. Ini kerana ia mengandungi rangkuman ringkas berkaitan butiran peribadi, tahap pendidikan dan pengalaman bakal pekerja.

Semua itu sekali gus memudahkan pihak majikan untuk membuat senarai pendek bagi calon yang sesuai untuk ditemu duga dan proses saringan seterusnya.

Bagaimanapun, ada yang sanggup menipu resume gara-gara mahu mendapatkan pekerjaan atau jawatan tertentu tanpa memikirkan impaknya pada kemudian hari.

Ya, mencari rezeki yang halal itu suatu tuntutan, malah bekerja juga merupakan satu ibadah dalam Islam. Namun, pendekatan digunakan tidak selari dengan kehendak agama.

Menurut Jabatan Mufti Negeri Selangor, perbuatan menipu resume itu adalah berdosa kerana tidak jujur dalam hal itu.

Resume

PERBUATAN menipu resume adalah berdosa kerana tidak berlaku jujur sebagaimana dituntut dalam agama Islam. -FOTO: CANVA

Ia bertepatan dengan sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Bakar as-Siddiq RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tidak masuk ke dalam syurga orang yang menipu, orang bakhil dan orang yang suka mengungkit-ngungkit sedekahnya.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

Baca juga Berlaku jujur bila buat kesilapan, usah tambah lagi helah semata-mata nak elak hukuman

Meskipun demikian, Jabatan Mufti Negeri Selangor menjelaskan, gaji yang diterima oleh pelaku itu tidaklah menjadi haram untuk digunakan.

“Ini kerana pendapatan tersebut adalah daripada sumber yang halal hasil kerja yang dilaksanakan,” katanya sebagaimana dipetik menerusi jawapan soal jawab agama di laman web rasmi jabatan mufti berkenaan.

Haram tipu sijil

Bukan sekadar resume, penipuan sijil untuk mendapatkan pekerjaan juga diharamkan dalam Islam.

Dalam hal itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, perkara tersebut ada dinyatakan secara jelas dalam hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang menipu, maka dia bukan dari kalangan kami.” (Hadis Riwayat Muslim)

Baca juga Haram berbohong, kecuali dalam 3 keadaan ini

Hadis itu dinyatakan Nabi Muhammad SAW ketika baginda melalui tempat seorang peniaga makanan yang mana dia meletakkan makanan yang baik di hadapan, sedangkan yang rosak pula diletakkan di dalamnya.

Resume

MENIPU sijil juga diharamkan dalam Islam. -FOTO: CANVA

Jika pelakunya insaf dengan perbuatannya, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menasihatkan agar mereka dapat menunaikan tanggungjawab dengan sebaiknya supaya tugas yang diamanahkan dapat dilaksanakan dengan sempurna.

Pelaku juga disyorkan supaya bertaubat kepada ALLAH SWT, meninggalkan dosa dengan sukarela, bertaubat daripada kesilapan dilakukan dan berazam tidak mahu melakukannya semula.

“Di samping itu, mintalah halal dan kemaafan daripada makhluk jika melibatkan sesama manusia. Pada masa sama, perbanyakkan zikrullah, bersedekah sebahagian pendapatan diperoleh dan sentiasa meningkatkan kepakaran supaya kelayakan serta kebolehan menjalankan tugas melebihi orang yang mempunyai sijil yang baik.

“Seperkara lagi, jangan ulangi perbuatan ini dan banyakkan bermuhasabah diri,” pesannya.

Ingatlah, apa jua tindakan yang dilakukan, berlaku jujurlah dalam setiap perkara. Semoga sifat terpuji itu membantu kita dalam urusan kehidupan di dunia dan menuai hasilnya di akhirat kelak.

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus

***Foto: Canva