Browsing Tag

tingkat kualiti iman

Nilai kemanusiaan
Gaya Hidup,

Bangkit Semangat Dan Tingkatkan Kualiti Iman Dengan 5 Tip Ini

DETIK masa begitu pantas berlalu. Pejam celik, pejam celik, kita sudah pun memasuki hari ke-13 dalam tahun baru 2022.

Kepada mereka yang sudah menanam azam baharu, bagaimanakah implementasinya dalam kehidupan seharian?

Biarlah kemahuan itu bukan sekadar bersifat duniawi semata-mata. Sebaliknya, ia harus diseimbangkan dengan keperluan ukhrawi, selain melakukan perubahan positif pada diri dari hari ke hari.

Pendakwah Asma’ Harun ada berkongsikan lima tip untuk kita membangkitkan semangat diri dalam menjalani tahun 2022 dengan lebih optimis dan menambah keimanan.

Berikut perincian ‘petua’ yang diberikan oleh beliau sebagaimana dipetik menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini:

i. Sempurnakan wuduk sebelum solat.

Bangkit semangat

Ramai dalam kalangan kita yang mengambil wuduk sekadar untuk memenuhi syarat sah solat, bukan? Jawapannya ada pada diri sendiri. Tepuk dada, tanyalah hati.

Ketahuilah bahawa begitu besarnya manfaat berwuduk. Selain membersihkan anggota badan, ia juga menyucikan dosa. Bayangkan, setiap kali air mengalir pada anggota wuduk, ia akan mengeluarkan sekali dosa-dosa dari tubuh kita.

Bahkan, pada hari akhirat kelak, ia menjadi anggota yang bercahaya. Di samping itu, mengambil air sembahyang dengan sempurna juga sebenarnya membantu kita untuk mendapatkan solat yang khusyuk.

Daripada Abu Hurairah RA bahawa beliau mendengar Nbai Muhammad SAW bersabda: “Sesungguhnya umatku akan dipanggil pada hari kiamat dengan dahi, tangan dan kaki yang berseri-seri disebabkan daripada kesan-kesan wuduk. Barang siapa yang mampu daripada kalangan kamu untuk melebihkan dahinya maka lakukanlah ia.” (Hadis Riwayat al-Bukhari & Muslim)

ii. Khusyuk dalam solat.

Bangkit semangat

Solat ibarat kita menjaga hubungan dan ‘komunikasi’ dengan ALLAH SWT. Apabila solat dijaga, insya-ALLAH kualiti iman juga bertambah. Percayalah mereka yang khusyuk dalam solat ialah orang yang tenang dalam menjalani kehidupannya.

Sementara itu, orang yang berjaya menawan hatinya untuk khusyuk, tidak mustahil dirinya mampu untuk merentas ujian hidup dengan tenang dan sabar.

ALLAH SWT berfirman dalam Surah al-Mu’minun, ayat 1-2 yang bermaksud: “Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman. (Iaitu) orang-orang yang khusyuk dalam sembahyangnya.”

Baca juga Sukar Khusyuk Ketika Solat, Boleh Cuba Kaedah Yang Disarankan Ini 

iii. Sedekah.

Bangkit semangat

Barangkali ramai yang tidak sedar bahawa ibadah itulah yang paling diimpikan untuk dilakukan semula oleh orang yang sudah meninggal dunia. Justeru, selagi hayat dikandung badan, usahlah bertanggung untuk melakukan amalan yang satu ini.

Perbuatan sedekah sering kali ditangguhkan oleh kita yang masih hidup, tetapi amalan itu mempunyai nilai yang begitu besar buat individu yang sudah dijemput menghadapi ILAHI.

ALLAH SWT berfirman: “Dan infakkanlah sebahagian daripada apa yang telah KAMI berikan kepadamu sebelum kematian datang kepada salah seorang di antara kamu; lalu dia berkata (menyesali), “Ya Tuhanku, sekiranya ENGKAU berkenan menunda (kematian) ku sedikit waktu lagi, maka aku dapat bersedekah dan aku akan termasuk orang-orang yang soleh.” (Surah al-Munafiqun, ayat 10)

Baca juga Ustaz Abdullah Khairi berkongsi Kisah Teladan Tentang Kebaikan Bersedekah

iv. Banyakkan beristighfar.

Bangkit semangat

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Demi ALLAH, sesungguhnya aku beristighfar kepada ALLAH dan memohon ampun kepada-NYA setiap hari lebih daripada 70 kali.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Lihat, Rasulullah SAW yang maksum (tiada dosa) pun memohon ampun daripada ALLAH SWT setiap hari tanpa gagal, apatah lagi kita pendosa yang sentiasa terjebak dengan maksiat.

Justeru, basahkan lidah kita dengan beristighfar kerana amalan itu dikategorikan sebagai ‘raja zikir’. ia bukan sahaja menghapuskan dosa, tetapi perilaku mulia itu juga membantu kita untuk keluar daripada segala permasalahan hidup.

v. Memilih sahabat dan persekitaran yang baik.

Agama seseorang itu bergantung kepada dengan siapa dia berkawan. Jika bersahabat dengan orang soleh, maka kita akan terpengaruh untuk melakukan amal soleh. Andai berkawan dengan pelaku maksiat, maka kita juga akan terdorong untuk mengikuti mereka.

Daripada Abu Musa RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Perumpamaan teman yang baik dan teman yang buruk adalah seperti seorang penjual minyak wangi dan seorang tukang besi. Adapun, penjual minyak wangi akan memberi kamu (minyak wangi tersebut), atau kamu membeli daripadanya, atau kamu mendapat bau yang harum daripadanya. Sedangkan tukang besi pula, akan membakar bajumu dan juga kamu mendapatkan bau yang busuk.” (Hadis Riwayat al-Bukhari & Muslim)

Ayuh sama-sama kita amalkan semua tip tersebut dalam kehidupan seharian. Semoga ia mampu membangkitkan semangat hidup kita menjadi insan yang lebih baik.

Foto: Freepik, Pexels & Unsplash