Browsing Tag

TINGGALKAN DOSA

Berita Semasa,

TOT Tadabbur asas beri pendedahan penggerak Rumah Ngaji

OLEH  FOUZIAH AMIR

KAEDAH tadabbur semakin tidak asing dalam masyarakat untuk mendekati al-Quran, khususnya pengikut My #QuranTime 1.0 yang bersiaran di TV AlHijrah dan platform media sosial My #QuranTime Official.

 

USTAZ FAZRUL

Demikian kata Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail sebagai jurulatih pada program Training of Trainers (TOT) : Kaedah Asas Tadabbur (Cara mudah faham al-Quran) di Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd, Shah Alam, pada 12 November lalu.

Kata beliau, jika sebelum ini orang awam berasa sukar dengan tadabbur, kini mereka tidak kekok apabila pendekatan kaedah tersebut diperkenalkan dalam memahami al-Quran pada program My #QuranTime 1.0 dan Rumah Ngaji.

Mereka berasakan tadabbur sentiasa dinantikan untuk mengambil panduan. Kempen berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal diharapkan lebih meluas dalam mencapai misi MenQuran Bangsa Mengikhlaskan Ummah.

“Tadabbur asas adalah jangan tokok tambah daripada terjemahan ayat al-Quran dan disiplinnya jangan keluarkan hukum. Manakala tazakkur adalah apa pengajaran dan tindakan yang kita boleh ambil daripada mesej ALLAH SWT.”

 

Kongsi dengan keluarga

TOT anjuran WUIF menjadi platform latihan tadabbur peringkat asas kepada semua  penggerak, asatizah dan wakil Rumah Ngaji di seluruh negara. Seramai 60 peserta termasuk pelajar dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia mengikuti program sehari tersebut.

Menurut beliau, program tersebut memberi pendedahan kepada peserta untuk mempelajari kaedah tadabbur asas untuk diri dalam berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal.

“Ilmu tadabbur asas boleh dikongsikan dengan keluarga dan rakan-rakan untuk memahami al-Quran. Kaedah tersebut merupakan sebahagian modul dalam Akademi My #QuranTime (AMQT).

“AMQT mempunyai modul yang lebih komprehensif untuk melatih lebih ramai pentadabbur di peringkat Rumah Ngaji, tempat umum, negeri, negara dan antarabangsa. Akademi tersebut dijangka akan dibuka pada tahun hadapan selepas My #QuranTime  2.0 dilancarkan.

 

DATO HUSSAMUDDIN

Sementara itu, Pengasas WUIF, Datuk Hussamuddin Yaacub dalan ucapannya pada program TOT berkata, kebanyakan orang Islam hari ini kosong jiwa kerana tidak diisi dengan al-Quran. Ia menjadi punca masalah seperti tidak amanah, rasuah dan mengabaikan keluarga.

“Oleh itu, kempen gerakan al-Quran melalui baca, faham dan amal bertujuan membentuk kerangka fikir dan sistem operasi diri dengan nilai al-Quran untuk menjadi insan lebih baik.

“My #QuranTime 2.0 memberi pendekatan bacaan tartil, lebih mendalam tadabbur dan tazakkur serta memperkenalkan elemen menghafal. Diharapkan semua orang boleh menghafal al-Quran.

“Rumah Ngaji merupakan wakil komuniti yang paling dekat dengan masyarakat untuk mempelajari dan memahami al-Quran. Kita juga perlu bekerjasama dengan pihak masjid yang boleh memanfaatkan dana untuk menyelamatkan ummah,” katanya.

 

APA KATA PESERTA;

USTAZ MOHAMMAD AMIR

“Ilmu tadabbur asas sangat bagus untuk diberi pendedahan kepada orang ramai agar lebih mudah untuk berinteraksi dengan al-Quran. Dengan kemahiran tersebut, kita mampu mengutip mutiaran dari 114 surah dalam al-Quran.” – Ustaz Mohammad Amir Kholis, 29, Pengasas Pusat Quran Hilwan Madani, Kota Bharu dan Timbalan Pengerusi 3 Rumah Ngaji Kelantan.

 

A’ISYAH

“Saya berasa lebih tenang dalam kehidupan seharian apabila dapat menjaga solat dan membaca al-Quran. Saya selalu membaca al-Quran sekurang-kurangnya dua muka surat hingga satu juzuk selepas subuh. Saya boleh memanfaatkan ilmu tadabbur asas ini untuk diri dan juga orang lain.” – A’isyah  Shahrul Nizar, 21, pelajar UIAM.

 

MUHAMMAD ADAM

“Saya kini lebih memahami kaedah tadabbur untuk mempelajari dan mengajar al-Quran. Saya boleh kongsikan dengan adik-beradik dan juga anak murid di kelas ngaji. Diharapkan saya dapat membuka pusat ngaji al-Quran pada masa akan datang.” – Muhammad Adam Shah, 14, pelajar.

 

“Bagus untuk kita mempelajari ilmu tadabbur dan mempraktikkan pengajarannya dalam kehidupan sebelum menyampaikan kepada orang lain. Kaedah tadabbur menyebabkan saya jatuh hati dengan al-Quran. Saya mudah mengalir air mata apabila membaca ayat al-Quran.” – Addina Husna Ismadi, 19, bekerja sendiri.

“Ilmu tadabbur banyak membantu saya untuk menarik minta pelajar mendekati al-Quran. Saya suka menganjurkan program tadabbur alam yang dikaitkan dengan kebesaran ALLAH SWT yang Maha Pencipta.” –   Ustaz Nur Ahmad Hafizin Mohd Fuzi, guru al-Quran