Browsing Tag

tinggal solat

Amalan lain
Ibadah,

Amalan lain tak diterima jika tinggalkan solat?

SEGELINTIR orang begitu mementingkan amalan lain berbanding solat. Malah, ada yang tanpa rasa bersalah meninggalkan ibadah fardu berkenaan.

Bagi individu tersebut, tidak mengapalah jika ada kelompongan sembahyang, asalkan jangan lupa untuk berbuat baik kepada makhluk lain.

Ya, kita memang dituntut berlaku ihsan, tetapi pada masa sama usahlah mengabaikan kewajiban masing-masing. Apatah lagi solat merupakan tiang agama yang menjadi Rukun Islam kedua.

Baca juga Tinggalkan atau tak solat langsung, ramai yang tak pandang ini sebagai jenayah, padahal….

Malah, ibadah itu juga menjadi amalan pertama yang akan dihisab oleh ALLAH SWT pada hari akhirat kelak.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya amalan yang mula dihisab atas seseorang hamba pada hari kiamat adalah solat. Sekiranya baik solatnya, maka baik segala amalannya, sekiranya buruk solatnya, maka buruk segala amalannya.” (Hadis Riwayat at-Tabarani)

Amalan lain

SOLAT menjadi amalan pertama yang akan dihisab pada hari akhirat kelak. -FOTO: PEXELS

Andai kita meninggalkan solat, berdosa besar hukumnya dalam Islam dan mengundang kemurkaan serta azab daripada ALLAH SWT.

Baca juga Dosa tidak akan terhapus walaupun telah qada solat yang ditinggalkan

Menurut pandangan Mazhab Syafie, individu yang meninggalkan solat kerana malas dan pada masa sama tidak mengingkari kewajipannya, maka ia dikategorikan sebagai fasik.

“Hendaklah segera bertaubat dan menggantikannya (solat yang ditinggalkan),” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel Irsyad al-Fatwa Siri ke-711: Adakah Orang yang Meninggalkan Solat Amalan Baiknya yang Lain Tidak Diterima yang disiarkan menerusi laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Bagaimana pula dengan ganjaran amalan baik lain yang dilakukan individu tersebut?

Menjawab persoalan itu, pejabat mufti berkenaan menjelaskan, ALLAH SWT tetap mengambil kira amalan yang dilakukan walau sebesar mana pun sama ada baik atau buruk.

Hal itu sebagaimana dinyatakan dalam al-Quran yang mana ALLAH SWT berfirman: “Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!” (Surah al-Zalzalah, ayat 8-9)

Bagaimanapun, kita tetap perlu memberi perhatian kepada kewajiban solat masing-masing. Pahala amalan kebaikan boleh terhalang atau tersekat andai kefarduan itu ditinggalkan.

Ini kerana terdapat sebahagian ulama yang menyatakan, orang yang meninggalkan seluruh sembahyang fardu, maka amalan-amalan soleh lain tidak akan diterima oleh ALLAH SWT.

Sebab amalan tidak diterima

Sesungguhnya, solat itu sebenarnya melibatkan hak ALLAH SWT yang wajib ditunaikan oleh setiap Muslim. Ia tidak boleh dibuat main, apalagi dipandang remeh.

Menurut Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni, perkara paling signifikan daripada ibadah kepada ALLAH SWT bukan kuantitinya, tetapi penerimaan-NYA terhadap amalan yang dilakukan.

USTAZ MUHAMMAD FAUZI ASMUNI

“Kadang-kadang kita terpaksa melakukan amal yang banyak hanya kerana tidak tahu amal kecil manakah yang diterima oleh ALLAH.

Baca juga Korupsi antara penyebab amalan tidak diterima selama 40 hari

“Hakikatnya, ibadah bukan mengumpulkan amal dan menjumlahkannya seperti kita mengumpulkan harta. Sebaliknya, ibadah adalah mencari perhatian ALLAH agar DIA reda kepada kita.

“Bila keredaan ALLAH itu diraih, maka DIA akan menerima kita di dunia dan akhirat. Itulah matlamat yang sepatutnya kita kejar,” katanya sebagaimana dipetik menerusi laman web isma.org.my.

Ustaz Muhammad Fauzi turut berkongsikan lapan sebab mengapa amalan tidak diterima oleh ALLAH. Berikut adalah perinciannya;

i. Melakukan perbuatan syirik kerana ia akan membatalkan seluruh amal yang dilakukan.
ii. Meninggalkan solat Asar.
iii. Bertanyakan nasib kepada tukang tilik.
iv. Berbuat zalim kepada orang lain.
v. Membela anjing di rumah tanpa sebab yang dibenarkan syarak.
vi. Minum arak.
vii. Melanggar larangan ALLAH SWT ketika bersendirian.
viii. Mengungkit amal sedekah yang dilakukan.

Justeru, berwaspadalah dengan semua perbuatan yang dinyatakan agar diri kita bukan dalam kelompok yang tidak diterima amalannya oleh ALLAH SWT.