Browsing Tag

Tiket konsert

Tiket konsert
Berita Semasa,

‘Tiket konsert mahar nikah’, Muslimin perlu elak syubhah

‘Tiket konsert mahar nikah’, Muslimin perlu elak syubhah

APABILA video memaparkan seorang suami memberikan tiket konsert Coldplay sebagai sebahagian mahar nikah, ramai yang terkesima.

Meskipun insiden berkenaan berlaku di negara jiran, namun ia memberi impak terutamanya kepada umat Islam.

Ekoran tularnya video tersebut, ada yang mula keliru tentang pemberian tiket konsert sebagai mas kahwin.

Baca juga Selain wang tunai atau barang kemas, bolehkah mas kahwin diberikan dalam bentuk lain?

Bagaimanapun, Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman menegaskan, pemberian mas kahwin atau mahar sedemikian tidak sah kerana tidak mempunyai nilai, selain bercanggah dengan hukum syarak.

ABDUL RAHMAN

“Mas kahwin adalah sesuatu yang bernilai dan berharga. Ia merupakan satu pemberian suami kepada isteri. Andai gagal dipenuhi, maka wajib bayar semula hutang berkenaan.

“Di mana nilainya tiket itu? Dari segi syarak, ia bercanggah,” katanya sebagaimana dipetik menerusi Sinar Harian.

Menerusi klip video yang tular itu, selain tiket Coldplay, pengantin perempuan di Indonesia tersebut turut menerima 21 gram emas sebagai mas kahwin dan sepersalinan solat.

Baca juga Mas kahwin terbaik dari pandangan Islam, Ini yang bakal pengantin patut tahu

Berdasarkan mahar yang diperoleh itu, Abdul Rahman menegaskan, hanya emas dan persalinan solat sahaja yang diterima.

Senada dengan agamawan itu ialah Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor.

Beliau menegaskan, antara syarat mas kahwin adalah ia mesti terdiri daripada perkara yang mendapat keredaan ALLAH SWT.

“Mudah kata, apa sahaja yang disukai dan disenangi bakal isteri yang terdiri daripada perkara mempunyai nilai dan halal boleh dijadikan sebagai mahar.

“Ia boleh jadi sama ada harta benda atau sesuatu yang mempunyai nilai moral seperti bacaan al-Quran, hadis ataupun kata-kata hikmah dan seumpamanya,” katanya dipetik daripada Buletin TV9.

DR WAN SALIM

Sementelah, bagi perkara-perkara yang jelas haram, selain bersifat samar dan meragukan perlu dielakkan, ungkapnya.

“Umat Islam diingatkan supaya tidak mengikut perkara yang boleh menyebabkan jatuhnya syubhah ketika akad nikah,” tegasnya.

Isu berkenaan turut mendapat respons daripada warganet.

Antaranya, pemilik akaun Facebook Adib Saat dalam laman sosialnya membuat hantaran tentang isu ‘illegality of contract’ dalam Islam dan sivil.

Dalam Islam, beliau yang juga pengamal undang-undang menjelaskan, sesuatu barangan yang diakad untuk jual beli perlu ada nilaian (qimah), barulah dikira sah dan cukup syarat urusan berkenaan.

“Dalam kes ini, tiket Coldplay tiada nilai ringgit dari segi hukum syarak untuk menjadi mas kahwin.

“Sebagai contoh lain, jual beli arak (tiada nilai) adalah tidak sah. Maka, kontrak tersebut tidak boleh dikuatkuasakan disebabkan ketidakabsahan tersebut,” katanya.

Begitu juga halnya dalam sivil, jelas beliau, terdapat kaedah sama iaitu ‘illegality of contract’.

“Misalnya, perjanjian jual beli dadah di Malaysia tidak boleh dikuat kuasa di mahkamah sivil kerana isu ‘illegality of contract’.

“Sama juga dengan perjanjian sambung bayar kenderaan tanpa persetujuan bank. Perjanjian tersebut tidak dapat dikuatkuasakan terhadap bank kerana faktor yang sama,” katanya yang menyeru agar soal hukum-hakam diserahkan kepada pihak berautoriti agar agama Islam tidak diremehkan oleh golongan tidak bertanggungjawab.

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.