Browsing Tag

tetamu

Rumah terbuka
Gaya Hidup,

Bolehkah tuan rumah menolak tetamu yang datang ziarah lewat malam?

Bolehkah tuan rumah menolak tetamu yang datang ziarah lewat malam?

SUASANA Hari Raya Aidilfitri di Malaysia pastinya meriah dengan amalan ziarah menziarahi sesama umat Islam sepanjang bulan Syawal.

Pada waktu itu, ramai yang membuka peluang bagi sanak saudara dan sahabat handai berkunjung ke kediaman dengan mengadakan rumah terbuka. Dalam masa sama, kebanyakan daripada kita juga tidak menang tangan memenuhi jemputan bertandang ke rumah orang lain.

Sama ada kita menjadi tuan rumah mengadakan sambutan hari raya mahupun diajak sebagai tetamu memeriahkan suasana, jangan lupa menuruti adab ziarah yang diajarkan agama.

Baca juga Perlu ziarah bekas mentua selepas cerai? Ini penjelasannya

Justeru jika anda seorang tetamu, usahlah bertandang ke rumah orang pada larut malam sehingga mengganggu rehat mereka.

Tetapi sebagai tuan rumah, adakah dia tetap dituntut oleh agama untuk memuliakan tetamu meskipun mereka hadir pada waktu-waktu dianggap tidak sesuai?

Baca juga Jangan Curi-Curi Pandang Keadaan Rumah Tuan Rumah Ketika Datang Ziarah

tuan rumah tetamu

RAMAI yang mengambil peluang mengadakan rumah terbuka ataupun berkunjung ke rumah orang lain di bulan Syawal. Foto: 123rf

Baca juga Tamu datang membawa rezeki, muliakan seikhlas hati di Syawal ini

Memuliakan tetamu adalah sunah
Memuliakan tetamu adalah akhlak yang mulia di sisi Islam. Malah di dalam al-Quran pernah diceritakan bagaimana para Nabi menerima, menyambut dan melayan tetamu mereka dengan begitu mulia sekali.

Misalnya, dalam Surah al-Dzariyat ayat ke-24 hingga ke-27, ada dirakamkan perbuatan Nabi Ibrahim AS menyambut dan melayan tetamu yang hadir ke rumahnya walaupun Baginda tidak mengenali orang yang datang ke rumahnya itu.

Walaupun Baginda tidak tahu yang datang itu adalah malaikat namun Baginda tetap melayan mereka dengan baik sehingga diberikan juadah terbaik.

Turut disyorkan Orang Melayu Malaysia bersungguh benar beraya sampai sebulan, tapi apa kata Islam?

tuan rumah tetamu

BAIK tuan rumah mahupun tetamu, masing-masing ada adab ziarah yang perlu dipatuhi sebagaimana diajarkan oleh Islam. Foto: 123rf

Baca juga Kawal nafsu makan Syawal ini, jangan gelojoh sangat

Bahkan memuliakan tetamu sangat dianjurkan oleh Nabi SAW. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW :

“Sesiapa yang beriman dengan ALLAH dan hari akhirat makan jangan sakiti jirannya. Dan sesiapa yang beriman dengan ALLAH dan hari akhirat maka muliakanlah tetamunya. Juga sesiapa yang beriman dengan ALLAH dan hari akhirat maka berkatalah dengan perkataan yang baik atau hendaklah dia diam.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Justeru kebanyakan ulama berpendapat hukumnya adalah wajib melayan tetamu yang datang bertandang ke rumah. [Rujuk Tafsir Al-Quran Al-‘Azim (4/300)]

Manakala Imam al-Nawawi berkata, “Melayan tetamu adalah sunnah. Jika seseorang bertandang ke rumahnya dan tidak ada mudarat baginya, sunat baginya untuk melayan tetamu tersebut.” [Rujuk Al-Majmuk Syarh Al-Muhazzab (9/57)]
Dalam kitab Adhwa’ Al-Bayan Fi Idhoh Al-Quran Bi Al-Quran (2/297), ilmuwan Islam Sheikh Amin Al-Syanqiti berkata, antara adab menerima tetamu adalah:

1. Segera menghidangkan makanan dan minuman untuk tetamu
2. Hidangkan apa yang terbaik yang ada di dalam rumah
3. Mendekatkan makanan kepada tetamu
4. Bercakap dengan lemah lembut dengan tetamu

Turut disyorkan Inilah ucapan sebenar yang dianjurkan oleh Islam ketika hari raya

PATUHILAH adab ziarah yang ditetapkan agama supaya hubungan baik antara tuan rumah dan tetamu dapat dipelihara. Foto: Pexels

Tetamu perlu patuhi adab menziarah
Pun begitu, sebagai tetamu anda juga tidak terlepas daripada mematuhi adab-adab tertentu ketika menziarah ke rumah orang lain.

Jelas pihak Mufti, antara adab tersebut ialah:

1. Makan dengan segera jika DIHIDANGKAN makanan dan minuman kepadanya.
2. Tidak meminta-minta hidangan atau perkara-perkara yang boleh menyusahkan tuan rumah.
3. Jika dijemput, beritahu terlebih dahulu kepada tuan rumah berkaitan siapa yang akan datang dan berapa orang yang akan datang.
4. Jauhi perkara-perkara atau perbuatan yang boleh menyusahkan dan menyakiti tuan rumah.
5. Sunat bagi tetamu untuk mendoakan kebaikan buat tuan rumah.

Ini berdasarkan perbuatan Nabi SAW ketika mana Baginda bertandang rumah Ubadah Bin Somit.Ubadah membawakan Baginda sepotong roti dan minyak minyak zaitun untuk menjamu Baginda. Lantas Baginda SAW mendoakan:

 

أَفْطَرَ عِنْدَكُمُ الصَّائِمُونَ ، وَأَكَلَ طَعَامَكُمُ الأَبْرَارُ ، وَصَلَّتْ عَلَيْكُمُ الْمَلاَئِكَةُ

Maksudnya :”Orang yang berpuasa berbuka puasa di tempat kalian, orang-orang yang baik makan makanan kalian dan para malaikat akan mendoakan kalian.” (Riwayat Abu Daud)

Baca juga Kita tak rasa bersalah pun makan jajan sambil berjalan, ini hukumnya yang wajib diketahui

BAGI tetamu, usah sewenang-wenangnya datang menziarah pada waktu yang dianggap tidak sesuai seperti ketika lewat malam. Foto: 123rf

6. Tidak duduk dan singgah terlalu lama sehingga menyebabkan tuan rumah tidak senang duduk.

Sabda Nabi SAW: “Sesiapa yang beriman kepada ALLAH dan hari akhirat maka muliakanlah tetamunya. Memberi hidangan adalah selama sehari dan semalam. Layanan terhadap tetamu adalah selama tiga hari. Yang lebih daripada itu ialah sedekah. Tidak boleh bagi tetamu itu untuk duduk lama sehingga tuan rumah mengeluarkannya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

7. Memilih waktu yang sesuai untuk datang bertandang. Namun jika ada keperluan untuk datang pada waktu malam seperti ingin meminta bantuan atau ada kecemasan maka dibenarkan.

Kesimpulannya, melayan dan menyambut tetamu yang datang rumah merupakan akhlak yang mulia dan sangat dianjurkan Islam.

Walaupun begitu, tuan rumah mempunyai hak menghadkan waktu ziarah ke rumahnya untuk berehat bersama keluarga tanpa diganggu oleh sesiapa pun.

Oleh itu, bagi yang datang bertandang, hormatilah hak tuan rumah dengan datang pada waktu yang sesuai melainkan jika ada kecemasan atau ingin meminta bantuan.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Foto: 123RF & Pexels

Gaya Hidup, Pilihan Editor,

Jangan Curi-Curi Pandang Keadaan Rumah Tuan Rumah Ketika Datang Ziarah

no comment

SEJAK kelonggaran rentas negeri dibenarkan mulai 11 Oktober lalu, ramai yang mengambil peluang untuk menziarahi orang tua, adik beradik dan sanak saudara.

Ya, tidak salah berbuat demikian asalkan menjaga prosedur operasi standard ditetapkan pihak berkuasa. Namun begitu, usahlah kita lupa menjaga adab apabila menziarahi orang lain.

Ini kerana masih terdapat segelintir orang yang suka ‘mencuci’ mata ketika bertandang ke rumah orang lain. Kalau boleh, semua tempat dalam rumah itu ingin diterokainya.

Pendakwah Azhar Idrus mengingatkan bahawa haram hukumnya bagi orang yang datang berziarah mencuri pandang ke dalam rumah yang diziarahinya sekalipun ia merupakan kediaman sanak saudaranya.

AZHAR IDRUS

Ini kerana, katanya, ia dikhuatiri kita mungkin akan terlihat sesuatu yang aib seperti aurat atau suatu yang mereka tidak suka orang lain melihatnya atau seumpamanya.

Firman ALLAH SWT: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penduduknya; yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, supaya kamu beringat (mematuhi cara dan peraturan yang sopan itu). Maka sekiranya kamu tidak mendapati sesiapa (yang berhak memberi izin) maka janganlah masuk ke dalam rumah itu sehingga kamu diberi izin; dan jika dikatakan kepada kamu “baliklah”, maka hendaklah kamu berundur balik; cara yang demikian adalah lebih suci bagi kamu; dan (ingatlah) ALLAH MAHA MENGETAHUI akan apa yang kamu lakukan.” (Surah an-Nur, ayat 26-27)

Agamawan itu turut mengemukakan pandangan Imam Nawawi yang menyatakan: “Dan bermula sunah adalah bahawa memberi salam, kemudian meminta izin dan hendaklah yang ziarah itu berdiri dekat pintu sekadar tidak dapat nampak orang yang berada di dalam rumah.” (Kitab al-Azkar)

Berdasarkan ungkapan itu, jelas Azhar, jika kita pergi ke rumah orang lain, berdirilah di tempat yang mana kita tidak melihat apa yang ada di dalam kediaman tersebut.

“Begitu juga halnya apabila kita ke rumah orang dan mendapati pintu rumah atau tingkapnya dalam keadaan terbuka. Haram bagi kita mencuri pandang ke dalamnya.

“Seandainya tuan rumah sudah memberi keizinan supaya masuk ke dalam kediamannya, maka janganlah duduk di sembarangan tempat. Sebaliknya, duduklah di tempat yang tuan rumah tunjukkan sahaja,” tegasnya.

Baca juga 4 Golongan Yang Mendapat Doa Malaikat

Curi pandang ketika ziarah

PELIHARALAH adab berziarah ketika bertandang di rumah orang.

Ketahuilah bahawa kita sebenarnya disuruh untuk menjaga hak tuan rumah, terangnya.

“Apa tidaknya, tetamu pada hakikatnya tidak tahu apa yang boleh dan tidak boleh dilihatnya. Sedangkan menjaga hak orang itu adalah satu kewajipan dalam agama.

“Bukankah kita diperintahkan supaya menjaga pandangan ketika berada di jalanan dengan menundukkan pandangan. Bukan apa, takut-takut terpandang suatu yang aib atau fitnah, maka lebih utama kita menjaga pandangan ketika berada di rumah orang,” jelasnya.

Seandainya seseorang mencuri pandang ke dalam rumah orang yang diziarahinya, Azhar menjelaskan, tidak berdosa andai tuan rumah mencederakan mata orang tadi.

Hal ini dikuatkan lagi dengan hadis daripada Ahu Hurairah yang mana beliau berkata Rasulullah SAW bersabda: “Jika ada seorang itu mengintip atas kamu tanpa izin, maka kamu lemparkannya dengan batu dan membutakan matanya, nescaya tidak ada atas kamu itu dosa.” (Riwayat al-Bukhari & Muslim)

Curi pandang ketika ziarah

JANGAN mencuri pandang keadaan dalam rumah yang dikunjungi demi menjaga aib tuan rumah.

Bukan itu sahaja, pendakwah itu menjelaskan, tuan rumah yang mencederakan mata orang yang mencuri pandang tersebut tidak dikenakan diat (hukuman yang dikenakan ke atas seorang yang mencederakan orang lain) dan hukum balas.

Sebelum menoktahkan perkongsian ilmunya, Azhar turut menitipkan pesan agar tidak makan makanan dan minum minuman yang terdapat di rumah tersebut sebelum diberi izin oleh tuan rumah. Hukumnya adalah diharamkan.

Justeru, berhati-hatilah apabila kita bertandang ke rumah orang. Jangan mencuri pandang keadaan sekeliling kediaman orang yang diziarah.

Sumber: Instagram @uaioriginal

Foto: 123rf & Freepik