Browsing Tag

terengganu

pasar percuma terengganu
Berita Semasa,

‘Daripada rakyat kepada rakyat’, Pasar percuma di Terengganu bantu golongan kurang mampu

SABTU lalu, sebuah pasar percuma telah diadakan di Marang, Terengganu memberi peluang kepada pengunjung mendapatkan pelbagai barangan tanpa sebarang bayaran.

Program itu merupakan inisiatif sekumpulan sukarelawan yang berhasrat membantu masyarakat dalam menghadapi kenaikan harga barang dan peningkatan kos sara hidup, seperti yang dilaporkan Bernama.

Pengasas program Pasor Percuma Ganu Kite! Dr Muhammad Salehuddin Sulaiman berkata, program yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Mengkuang di Bukit Payong disertai 35 sukarelawan yang menyumbang pelbagai jenis barangan termasuk susu bayi, mainan kanak-kanak, baju dan buku.

Baca juga Dilema Sedekah Barangan Dan Pakaian Lama, Bimbang Amalan Itu Tidak Diterima. Ini Penjelasannya

Selain itu katanya, program Pasor Percuma Ganu Kite! yang diadakan selama dua jam bermula 10 pagi itu turut memberi peluang kepada orang ramai mendapatkan barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak dan bihun secara percuma.

“Ini merupakan kali ke-23 kita adakan pasar percuma sejak 2017. Konsep yang kita buat adalah ‘daripada rakyat kepada rakyat’… kita membantu meringankan beban golongan yang kurang berkemampuan.

“Para penyumbang pula terdiri daripada rakan-rakan saya dan mereka juga mengajak kenalan mereka untuk menyertainya. Kami juga menghebahkan program ini dalam media sosial untuk menarik lebih ramai penyumbang,” katanya ketika ditemui pemberita di SK Padang Mengkuang.

pasar percuma terengganu

SUKARELAWAN sentiasa diperlukan bagi menyumbang barangan sepanjang pasar dijalankan.

Beliau berkata program itu menerima sambutan yang menggalakkan dengan kehadiran 1,000 pengunjung termasuk kanak-kanak yang tidak mahu melepaskan peluang mendapatkan pelbagai barangan yang mereka perlukan.

Seorang penyumbang Ang Meng Siew, 40, berkata selain gembira dapat membantu masyarakat, acara seumpama ini juga memberikan kepuasan buat dirinya apabila pelbagai barangan dari rumahnya yang masih elok seperti mainan anak-anaknya, telah bertukar pemilik.

“Kali pertama saya sertai program ini pada 2020. Apabila kita dapat memberi ia bukan sahaja menggembirakan hati penerima tetapi kita sendiri pun rasa gembira.

Baca juga Jangan terlalu lokek, tak kurang sedikit pun harta kita kalau bersedekah atau berwakaf

“Saya juga dapat mendidik anak-anak untuk berkongsi rezeki dengan orang lain, barangan antaranya mainan dan kasut mereka yang tidak lagi digunakan kini telah menjadi milik orang lain dan tidak dibuang begitu sahaja,” katanya yang menyumbang kasut, baju dan mainan kanak-kanak.

pasar percuma terengganu

SELAIN barangan terpakai yang masih elok seperti pakaian, buku dan pinggan mangkuk, sumbangan melibatkan perkhidmatan, contohnya servis rundingan dan gunting rambut juga dialu-alukan oleh penganjur program.

Dalam pada itu, seorang pengunjung Minah Musa, 71, berkata beliau sangat gembira kerana dapat membawa pulang pelbagai barangan seperti beras dan minyak masak secara percuma yang sekaligus dapat mengurangkan perbelanjaan keluarganya untuk minggu ini.

“Mak cik tahu mengenai program ini melalui anak saudara yang turut membawa mak cik ke sini. Syukur sangat kerana ada yang prihatin dengan nasib penduduk kampung seperti mak cik.

Baca juga Bersedekah pada hari Jumaat sangat dianjurkan Islam, tetapi jangan bertangguh untuk lakukan amalan mulia itu pada hari lain

“Lagipun mak cik ini orang susah tiada pendapatan tetap dan setiap bulan hanya mengharapkan duit belanja daripada anak-anak tetapi mereka pun tidak dapat banyak memberi kerana hanya kerja biasa-biasa sahaja. Jadi apabila ada yang sudi beri sumbangan memang mak cik sangat hargai,” kata ibu kepada 10 orang anak itu.

Program Pasor Percuma Ganu Kite! yang seterusnya dijangka diadakan lagi pada bulan 11 nanti.

 

‘Daripada rakyat kepada rakyat’, Pasar percuma di Terengganu bantu golongan kurang mampu

Foto & Sumber: Bernama & Pexels

mualaf atau dibesarkan Islam, kita semua perlu tegakkan agama ALLAH
Isu,

Mualaf atau dibesarkan Islam, kita semua perlu menegakkan agama ALLAH

MUALAF atau dibesarkan Islam, kita semua perlu menegakkan agama ALLAH.

Firman ALLAH Taala, “Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan memberi peringatan yang baik dan berhujahlah dengan mereka melalui kata-kata yang baik.” (Surah al-Nahl, ayat 125)

Setiap orang Islam mempunyai kewajipan untuk menegakkan kalimah ALLAH di muka bumi. Perintah berdakwah tersebut bukan hanya tersemat menerusi rentetan ayat-ayat suci al-Quran, bahkan ia diajarkan kepada kita oleh Nabi Muhammad SAW sendiri.

Sabda Rasulullah SAW, “Sampaikanlah kalian daripadaku walaupun sepotong ayat.” (Hadis Riwayat Bukhari)

mualaf atau dibesarkan Islam, kita semua perlu tegakkan agama ALLAH

PERKONGSIAN dibuat Norhana Abdullah Ng menerusi rancangan temu bual yang diterajui oleh Rasuah Busters dan dipancarkan secara langsung dari Terengganu di media sosial Sinar Harian.

Bagi Pengerusi Persatuan Darul Fitrah Malaysia (PDFM) Terengganu, Datin Norhana Ng Abdullah, persatuan yang ditubuhkan oleh beliau bersama beberapa kenalan lain itu dijadikan medan untuk menyampaikan ‘sepotong ayat’ tersebut.

Baca juga Rasulullah SAW menyayangi umatnya sehingga di akhirat. Contohilah keperibadian baginda dengan sebarkan kasih sayang

PFDM giat berdakwah kepada orang tempatan dan luar negara

Menerusi sebuah rancangan program, Kafe On The Go anjuran Rasuah Busters, Norhana berkata, PFDM mula diwujudkan pada tahun 2002 sebagai platform bagi dirinya serta mualaf-mualaf lain dalam usaha mendalami Islam setelah memeluk agama berkenaan.

Asalnya, persatuan tersebut hanya memiliki 20 orang ahli. Namun, kini ia sudah berkembang sehingga turut disertai masyarakat bukan Muslim tempatan yang berminat mempelajari lebih lanjut mengenai Islam.

Menurut Norhana, kebanyakan program yang dijalankan PFDM bertujuan memperkenalkan agama Islam seperti mengadakan kelas ‘online’ dan lawatan menziarahi masjid-masjid di sekitar Terengganu.

mualaf atau dibesarkan Islam, kita semua perlu tegakkan agama ALLAH

DALAM usaha memperkenalkan Islam, pihak PFDM juga menganjurkan lawatan menziarahi pelbagai masjid di sekitar Terengganu seperti Masjid Kristal dan Masjid Terapung. Lawatan itu pula terbuka untuk kepada semua orang tanpa mengira latar belakang agama.

Pihak PFDM juga sangat mementingkan semangat perpaduan dan sering bekerjasama dengan persatuan daripada agama berlainan untuk melaksanakan sesuatu program.

“Kita juga ada banyak aktiviti untuk membina keharmonian. Kita ziarah persatuan Buddha dan Hindu (untuk bekerjasama untuk) bina hubungan dengan agama-agama lain. Kita selalu adakan program bersama-sama agama lain supaya kita ada satu kefahaman.

“Contohnya, (pada) bulan puasa, kita jemput (mereka) untuk buka puasa. Hari Raya, Tahun Baru Cina, selalu ada program di mana kita menjemput semua kaum dari agama lain untuk (menyambut) bersama-sama,” ujarnya dalam temu bual yang bertajuk, Hijrah Untuk Merdeka tersebut.

Baca juga [VIDEO] Boleh doakan ibu bapa yang bukan Islam, tapi…

Usaha menggerakkan dakwah Islamiyyah oleh pihak PFDM tidak terhenti di situ sahaja. Ia turut dilanjutkan kepada pelancong-pelancong luar yang mengunjungi Terengganu.

Mengubah persepsi dunia terhadap Islam

“Sejak 2012, kita sampaikan Islam kepada pelancong di Terengganu. Ia adalah satu langkah di mana kita dedahkan apa itu Islam sebetulnya di Malaysia. Bukan yang mereka tahu daripada media massa,” kata Norhana.

Beliau berkata, pendekatan berdakwah itu diambil dengan harapan dapat mengubah persepsi serta salah faham terhadap Islam yang sering terjadi dalam kalangan masyarakat dunia.

mualaf atau dibesarkan islam, kita semua perlu tegakkan agama ALLAH

MENURUT kajian, Islam sering digambarkan secara negatif dalam media massa, terutamanya di negara-negara Barat.

“Pelancong dari luar negeri seperti United Kingdom dan Amerika Syarikat, mereka terkejut dengan apa yang mereka nampak di sini sebab persepsi mereka adalah Muslim ganas, ekstremis dan mundur. Mereka (juga) ingat perempuan (Muslim) tiada pendidikan. Ada banyak persepsi yang salah.

“Kita juga terangkan tentang perbezaan (antara) Islam dan Kristian. Bila mereka tahu tentang nabi-nabi dari al-Quran adalah sama dengan nabi dalam kitab Injil, itu menarik (bagi mereka kerana) mereka baru tahu bahawa agama Islam mempunyai permulaan yang sama dengan Kristian,” terangnya.

Baca juga 90 peratus platform media sosial mengandungi unsur islamofobia

Usah malu berkongsikan tentang Islam

Bercerita tentang perjalanannya memeluk Islam 38 tahun yang lalu, Norhana hanya mengenali agama tersebut ketika berumur 26 tahun walaupun sudah mempunyai kawan Muslim sejak kecil lagi.

Kata Norhana, “Dari sekolah, saya percaya TUHAN ada satu. Tetapi saya tidak tahu ada agama yang percaya pada satu TUHAN. Perkara itu tidak didedahkan kepada saya walaupun saya ada banyak kawan Muslim. Sebab kita tidak berbincang tentang agama. Di Malaysia, (isu) agama macam (dianggap) sensitif. Sampai umur 26, baru saya tahu.”

mualaf atau dibesarkan islam, kita semua perlu tegakkan agama ALLAH

PERJALANAN memeluk serta memperjuangkan Islam dikongsikan Datin Norhana Abdullah Ng menerusi rancangan temu bual yang dipancarkan secara langsung di media sosial Sinar Harian. Dari kiri, moderator Sam Ghani dan Norhana.

Tambahnya, pengalaman itu menjadi acuan kepada cara beliau menyampaikan dakwah kepada orang ramai kini.

“(Sebagai Muslim), kita boleh berkongsi (dengan orang bukan Islam) mengapa kita pakai tudung, mengapa kita puasa. Kita boleh berkongsi apa yang kita buat, mengapa kita buat supaya mereka boleh faham tentang Islam. Sebab mereka tahu tentang Islam, (namun) tidak (secara) mendalam.

“Walaupun ibu bapa mereka mungkin sembah kepada TUHAN yang lain. Tetapi saya percaya ramai (orang bukan Islam) yang mencari kebenaran,” jelas Norhana yang juga Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Terengganu.

Baca juga Semakin Ramai Yahudi Memeluk Agama Islam Membimbangkan Israel

Berdakwah suatu kewajipan

Beliau turut mengingatkan bahawa seluruh umat Islam memiliki tanggungjawab menyebarkan agama ALLAH di samping mengajak orang ramai agar lebih aktif mendekati golongan bukan Muslim bagi memperkenalkan Islam kepada mereka.

“Setiap orang Islam ada tanggungjawab untuk berkongsikan (tentang agama itu). Jangan menjauhi orang bukan Islam. Sebab jika kita berjauhan dari orang bukan Muslim, bagaimana mereka ada peluang untuk bertanya.

Kita perlu mendekati orang bukan Islam, itu yang penting. Senyum, buat baik. (Tunjukkan) akhlak yang baik. Itu yang akan menerangkan Islam,” pesan Norhana.

Baca juga Penuhi enam hak sesama Muslim, jamin keteguhan ukhuwah.

Mualaf atau dibesarkan Islam, kita semua perlu menegakkan agama ALLAH

Mualaf atau dibesarkan Islam, kita semua perlu menegakkan agama ALLAH

Foto: Facebook Norhana Abdullah Ng & Pexels