Browsing Tag

tepung pelita

5f5db406-92f9-431a-851f-6326306d7714
Berita Semasa, Gaya Hidup, Gaya Hidup, Jendela Dunia, Personaliti,

iChang Buat Kuih

no comment

“RAMADAN bukan semata perkara berkaitan puasa iaitu mengelak daripada makan dan minum, namun ia adalah perkara bagaimana kita menghargai makanan, memasak dan bersedekah kepada jiran dan masyarakat,” kata Youtuber Jepun, yang memperkenalkan dirinya sebagai iChang RM.

iChang RM atau nama sebenarnya Ai Nishida yang baru menetap di Hong Kong bersama suaminya, Jimmy (Yusuke Nishida) berkongsi video di laman youtubenya berkaitan tradisi umat Islam menyambut bulan Ramadan yang telah mengubah persekitaran penduduk di kediamannya.

iChang dan Jimmy bertungkus-lumus dari pagi menyediakan kuih sebelum bersedekah.

Perkongsian itu membuktikan, meskipun iChang dan Jimmy bukanlah beragama Islam, namun mereka yang merasa sendiri bagaimana nikmat kepuasan umat Islam di seluruh dunia menyambut Ramadan dengan memperbanyakan amalan bersedekah iaitu memberi makan kepada orang adalah nikmat kepuasan yang selama ini tidak pernah diketahuinya.

Video itu mempertontonkan iChang dibantu Jimmy membuat sendiri kuih tradisional Melayu iaitu Tepung Pelita, Kuih Keria dan Kuih Cara yang mengikuti cara pembuatannya dari youtuber masakan Malaysia iaitu Che Nom.

Pasangan ini merasa kuih Cara Manis yang sudah siap sebelum disedekah kepada jirannya.

Melalui perkongsian secara langsung yang dibuat pada 25 April baru-baru ini, video berkenaan mendapat tontonan sebanyak 173,000 pelayar yang ratanya memuji pasangan Jepun itu menyantuni kejiranan mereka di Hong Kong.

Menurut Jimmy, dia yang pernah berkunjung ke Malaysia tidak mengetahui selama ini bahawa bila melakukan amalan bersedekah seperti yang disarankan umat Islam, dia akan merasai satu perasaan yang sangat puas dan berbaloi dengan apa usaha dilakukannya.

“Sejak saya berhijrah ke Hong Kong, saya merasai sedikit janggal apabila antara kami berjiran tidak pernah bertegur, saya dapat rasakan mungkin mereka tidak sukakan kami tinggal di sini. Namun yang peliknya, antara sesama mereka juga tidak bertegur.

iChang sudah bersedia untuk mengagihkan kuih kepada jiran tertangganya.

“Memandangkan ini adalah bulan Ramadan, saya terfikir untuk melakukan seperti mana yang diamalkan umat Islam ketika masuk bulan puasa iaitu bersedekah,” katanya menerusi video berkenaan.

Maka bermulalah episod di mana pasangan itu mula memasak menggunakan bahan-bahan yang dilihat sama seperti terdapat di Malaysia. Bermula awal pagi mereka bertungkus-lumus menyediakan kuih Tepung Pelita, kuih Cara dan kuih Keria. Sebaik kesemua menu itu selesai, mereka menyediakan 50 bungkus untuk diagihkan kepada kejiranannya dengan membuka meja di bawah pangsapuri kediamannya.

Kamera yang disorok melihatkan perbualan pasangan itu dengan jiran-jirannya begitu ramah. Di sudut kanan meja diletakkan poster yang tertulis “Pemberian percuma! Kita meraikan bulan ramadan. Kami membuat kuih tradisional Malaysia untuk diraikan. Salam Ramadan!”

Notis yang ditulis iChang dalam bahasa Inggeris untuk menarik perhatian orang yang lalu-lalang di hadapan mejanya.

“Sebaik kuih disusun diatas meja, kami memanggil siapa saja yang lalu untuk mengambil bungkusan kuih itu dan ternyata inilah kali pertama saya dapat bersembang dengan jiran, malah saya juga dapat lihat mereka mula bersembang sesama antara mereka, maka kesempatan itulah kami mula mengenali.

“Kebanyakkan mereka tidak tahu apa itu Ramadan, ramai antara mereka bertanya apa itu Ramadan? Jadi saya terangkan apa yang saya tahu itu pemberian makanan kepada orang ramai.
Mereka merasa pelik kenapa kami masak dan memberi semua orang secara percuma, namun saya terangkan inilah yang menjadi tradisi orang Islam ketika menyambut Ramadan di Malaysia

iChang puas apabila ramai jiran yang memuji masakannya sedap.

“Ada jiran yang ingat kami berniaga, ada yang datang kembali mahu ambil lagi kerana katanya sedap dan sanggup untuk membayarnya, namun kami tidak menjual dan untuk diberi percuma saja.

“Saya melihat semua orang gembira apabila dapat berkumpul dan paling seronok saya melihat sendiri jiran bertegur jiran yang selama ini tidak dilakukan pun sepanjang kami berada di sini.
Saya gembira dan mereka pun gembira, saya dapat melihat mereka senyum dan ia adalah pengalaman yang paling baik dalam hidup saya.

iChang tidak menyesal berbelanja lebih untuk mendekati dan berbaik dengan jiran tertangganya.

“Tahun lepas kami turut meraikan Ramadan, seperti kata orang Islam, Ramadan ini bukan hanya perkara berbuka puasa dan makan saja tetapi tetapi bagai mana kita menghargai makanan, memasak dan bersedekah kepada jiran dan masyarakat.

“Saya tidak menyangka bahawa Ramadan adalah perayaan yang menggembirakan walaupun sekarang kami berada di Hong Kong kami benar-benar merasakan kebahagiaan budaya itu,” katanya yang berterima kasih kepada Che Nom kerana berkongsi resipi dan mengakhiri videonya dengan ucapan ‘Happy Ramadan’

#SinarIslamPlus #RamadanDalamKeberkatan