Browsing Tag

Tempat istimewa di sisi ALLAH

Tempat istimewa di sisi ALLAH
Aqidah,

LIMA ciri insan yang dapat tempat istimewa di sisi ALLAH

LIMA ciri insan yang dapat tempat istimewa di sisi ALLAH

Kita baharu sahaja meraikan sambutan tahun baru 2023 yang diadakan dalam situasi serba sederhana di seluruh negara dengan melewati pelbagai kenangan pahit dan manis kehidupan pada tahun 2022.

Dalam menghadapi cabaran ekonomi dunia yang tidak menentu ini, kita tetap memahatkan azam baru untuk dicapai dengan sejuta impian agar dapat direalitikan pada tahun ini. Kita sering memfokuskan perubahan fizikal tetapi aspek islah jiwa insani juga amat perlu diperkasa lebih-lebih lagi hubungan dengan ALLAH SWT sebagai hamba-NYA.

Sememangnya, setiap umat Islam perlu sentiasa mengharapkan kasih sayang dan keredaan ALLAH dalam setiap perbuatan dalam kehidupan seharian. Ini kerana, nikmat kebahagiaan sejati tidak dapat dikecapi selain dicintai SANG PENCIPTA dalam setiap detik waktu yang masih berbaki sebelum kita semua dijemput pulang ke negara abadi.

Sebenarnya, di dunia lagi tanda-tanda cinta ILAHI kepada seorang hamba-NYA telah terang lagi bersuluh menyinari tindak tanduk seseorang itu meskipun insan manusia alpa mengenai signal ini.

Baca juga 11 perkara ini begitu disukai oleh ALLAH SWT, jom sama-sama kita amalkan

Asyiknya mencintai ALLAH

Berikut lima ciri insan yang mendapat tempat istimewa di sisi ALLAH.

PERTAMA: Apabila seseorang manusia itu dicintai ALLAH, maknanya dia akan mendapat kasih sayang dan penerimaan di muka bumi ini.

Tempat istimewa di sisi ALLAH

MANUSIA yang dicintai oleh ALLAH SWT akan mendapat kasih sayang dan penerimaan di muka bumi ini. -FOTO: FREEPIK

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Apabila ALLAH mencintai seorang hamba maka DIA menyuruh Jibril. Sesungguhnya ALLAH mencintai fulan (seseorang) maka cintailah dia, maka Jibril pun mencintainya. Lalu Jibril menyeru penduduk langit, ”Sesungguhnya ALLAH mencintai si fulan maka cintailah dia, maka penduduk langit pun mencintainya, kemudian menjadi orang yang diterima di muka bumi.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

KEDUA: insan manusia bertuah itu diberikan pemahaman dan pengamalan agama yang sedalamnya.

Ini kerana sekiranya ALLAH mencintai seorang hamba itu, maka akan diberikan kefahaman nilai agama sehingga mudah melakukan perbuatan baik dan menjauhi dosa.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya ALLAH memberikan dunia kepada orang yang dicintai dan kepada yang tidak dicintai, namun tidak memberikan agama kecuali kepada orang yang dicintai-NYA. Maka, barangsiapa yang ALLAH berikan agama, bererti ALLAH mencintainya.” (Hadis Riwayat Ahmad).

Itulah anugerah dan nikmat yang terbesar pemberian ALLAH yang akan menghiasi lidah orang yang dicintainya dengan zikir memuji kebesaran-NYA.

Baca juga Cara giliran bermalam antara isteri dalam perkahwinan poligami. Ini saranan Islam.

Anggota fizikal dan rohani hamba ALLAH itu juga dipasakkan dengan nilai ketaatan yang sentiasa menjalankan suruhan ILAHI dan meninggalkan larangan-NYA.

Tempat istimewa di sisi ALLAH

ALLAH SWT akan memenuhi semua permintaan dan akan melindungi hamba yang dicintai-NYA tanpa pengetahuan mereka. -FOTO: 123RF

KETIGA: Bagi hamba yang sudah dicintai Penciptanya, ALLAH akan memenuhi semua permintaan dan akan melindunginya tanpa pengetahuan mereka. Ini kerana perancangan ALLAH lebih berseni melangkaui segala perkiraan makhluk-NYA.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya ALLAH berfirman: Barangsiapa yang memusuhi wali-KU, sesungguhnya AKU mengumumkan perang kepadanya. Tidaklah Hamba-KU mendekat kepada-KU dengan sesuatu yang lebih AKU cintai dari pada hal-hal yang AKU wajibkan kepadanya. Hamba-KU tidak berhenti-henti mendekatkan diri kepada-KU dengan ibadah-ibadah sunnah hingga AKU mencintainya. Jika AKU telah mencintainya, AKU menjadikan pendengarannya yang ia gunakan untuk mendengar, menjadi penglihatannya yang dia gunakan untuk melihat, menjadi tangannya yang dia gunakan untuk berbuat, dan menjadi kakinya yang dia gunakan untuk berjalan. Jika dia meminta kepada-KU, AKU pasti memberinya. Dan jika dia meminta perlindungan kepada-KU, AKU pasti melindunginya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

KEEMPAT: ALLAH juga akan memberikan dugaan di dunia walaupun bagi insan yang alpa tidak mengetahui akan hikmah disebalik ujian itu untuk menyucikannya daripada dosa yang pernah dilakukan.

Baca juga [VIDEO] Bersabarlah bila ditimpa ujian. Begitu besar rupanya hadiah orang yang bersabar…

Sekiranya DIA mencintai hamba-NYA, maka DIA akan berikan pelbagai dugaan berat sebagaimana ditimpakan kepada para nabi, rasul dan para wali ALLAH.

Dari Anas bin Malik, Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya besarnya balasan disertai besarnya bala dan apabila ALLAH mencintai sesuatu kaum DIA memberi ujian kepada mereka. Maka siapa yang reda maka baginya reda dan siapa yang marah maka baginya kemarahan.” ( Hadis Riwayat Bukhari)

Tempat istimewa di sisi ALLAH

SEBERAT mana pun ujian yang diberikan, hadapilah dengan sabar kerana barangkali dugaan yang diturunkan itu bertujuan untuk menyucikan diri daripada dosa-dosa silam. -FOTO: 123RF

KELIMA: ALLAH akan memperlihatkan pintu amal soleh sebelum hamba yang dikasihi-NYA kembali kepada-NYA sebagai tanda kasih sayang abadi antara Pencipta dan hamba-NYA.

Baca juga 4 amalan ini akan memberatkan amalan di akhirat

Justeru, dalam azam tahun baru yang masih lagi hangat di batu gemala diri, marilah kita sentiasa berusaha dan berdoa ke hadrat ALLAH SWT dan berselawat kepada junjungan besar Baginda SAW agar kehidupan kita di dunia dan di akhirat sentiasa di dalam rahmat dan payungan ILAHI.

***Artikel ditulis oleh Prof Madya Dr Zaizul Ab Rahman yang merupakan Penolong Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia & Kaunselor Berdaftar Kementerian Wanita, Keluarga & Masyarakat

Foto:Unsplash