Browsing Tag

teluk intan

101f67c3-a565-40ce-8027-8b33d403c354
Berita Semasa, Gaya Hidup, Gaya Hidup, Pilihan Editor,

IMAM Nak RM2 Juta

no comment

Kompleks Islam Pondok Madrasah Moden (IMAM) memerlukan kos sebanyak RM2 juta bagi merealisasikan pembinaan infrastruktur serba lengkap dan selesa buat ilmuan cerdik agama yang bakal dilahirkan di negara ini.

IMAM dijangka memulakan operasinya mulai Julai depan berbekalkan kewangan terkumpul setakat ini berjumlah RM200,000 yang diamanahkan kepada Pertubuhan Sayang Al-Quran untuk melaksanakan pembinaannya yang dirancang selepas berakhir Ramadan ini.

Mejar (B) Mohamad Qayyum A Badaruddin

Pengerusinya, Mejar (B) Mohamad Qayyum A Badaruddin, berkata kompleks yang akan memuatkan madrasah pengajian harian, anak yatim, tahfiz, asnaf yang memberi manfaat secara percuma kepada seluruh masyarakat.

“Kompleks ini memberi peluang kepada golongan anak yatim dan asnaf seusia tujuh tahun untuk mendalami al-Quran. Semua perbelanjaan mereka adalah percuma termasuk pembiayaan tempat tinggal, yuran pembelajaran serta makanan dan minum mereka.

“Kompleks IMAM yang bakal dibina ini mampu menampung 500 pelajar apabila siap sepenuhnya dan pembelajaran diadakan secara harian. Buat permulaan pada tahun ini beroperasi, kami hanya menerima pelajar lelaki terlebih dahulu, Insya Allah apabila cukup tenaga pengajar dan kemudahan yang lengkap, kami akan ambil pelajar perempuan pula.

Selain itu, IMAM juga membuka peluang kepada orang ramai dan masyarakat setempat untuk mendalami al Quran,” katanya yang ditemui pada Majlis Perasmiannya dan Majlis Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Rakan Strategik, Embun Resort @ Putrajaya; Tulus; Inteam Record dan Al Ansar IBS, baru-baru ini.

Muhamad Khanafi Husin (tiga dari kiri) bersama tetamu jemputan pada majlis pelancaran Kompleks IMAM.

Majlis perasmian disempurnakan Timbalan Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM), Datuk Seri Muhamad Khanafi Husin yang juga Pengerusi DPIM Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Menurut Mohamad Qayyum, dari segi kemudahan pula, Kompleks IMAM akan dilengkapi dengan masjid, dewan kuliah terbuka dan tertutup serta bilik penginapan.

“Acara pecah tanah Kompleks IMAM di Teluk Intan itu sudah diadakan sebelum Ramadan lalu dan pembinaannya akan bermula selepas hari raya dan insya Allah akan mula beroperasi pada bulan Julai ini.

“Dengan dana sumbangan RM200,000 yang sudah ada inilah kita akan memulakan terus pembinaan, malah kita akan terus gigih mencari dana untuk dikumpulkan dari sumbangan orang ramai, melalui program yang dianjurkan dan hasil penjualan buku. Namun kami sangat positif, buat dulu apa yang ada untuk membolehkan pembinaan bermula.

“Selepas pelancaran ini kami harapkan dapat membina keyakinan orang ramai, badan korporat dan individu yang berminat untuk menjayakan projek ini agar pembinaan dapat disiapkan secepat mungkin.

“Lokasi yang dipilih juga cantik walaupun di pedalaman agak jauh daripada Lebuh raya tapi lokasinya mudah dikunjungi. Kawasan itu juga tidak mudah banjir. Kesemua lokasi ini adalah tanah yang telah diinfaqkan oleh hamba Allah,” katanya yang berharap pembinaan pusat belajar al-Quran itu mendapat sokongan ramai.

“Tujuan kami tidak lain iaitu untuk membina insan yang boleh memahami dan mengamalkan Al-Quran dalam hidup. Kekuatan kami adalah apa yang kami mahu itu jelas. Wawasan dan misi kami jelas.Selain harapan kepada pihak lain di luar sana, kami juga berterima kasih kepada senarai kumpulan dan jaringan yang positif dan sentiasa menyokong serta konsisten bersama kami,” katanya.