Browsing Tag

telekung

Telekung
Hukum,

Jangan biarkan telekung, serban dan kopiah menutup dahi ketika sujud. Dikhuatiri tidak sah solat itu

KADANGKALA ketika sedang menunaikan solat, boleh pula kain telekung atau kopiah mahupun serban terjuntai jatuh atau ‘terbang’ sehingga menutupi dahi sewaktu hendak sujud.

Andai itu yang berlaku, bagaimana dengan status solat kita apabila bersujud dalam keadaan dahi yang tertutup di tempat sujud?

Masakan tidak, umat Islam sememangnya sedia maklum bahawa sujud merupakan salah satu rukun solat. Maka, jika rukun itu tidak dipenuhi, maka tidak sempurnalah ibadahnya.

Mengulas lanjut, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Universiti Sains Islam Malaysia, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menjelaskan, sujud adalah salah satu daripada rukun fi’li (perbuatan) dalam solat. Sudah tentulah terdapat syarat-syarat sahnya.

DR ZULKIFLI

Ketahuilah, terdapat tujuh syarat sah bagi sujud sebagaimana yang terkandung dalam kitab-kitab Fiqh Mazhab Syafie, ungkapnya.

Baca juga Tak sah solat jika sujud atas kain telekung sendiri?

Perinciannya adalah seperti berikut:

i. Hendaklah ia sujud di atas tujuh anggota (termasuklah dahi, dua tangan, dua lutut dan hujung kedua-dua belah kaki).
ii. Hendaklah dahinya terbuka.
iii. Meletakkan kepala sekira-kira dahi menempel (ada tekanan) pada tempat sujud.
iv. Tidak ada niat lain selain sujud.
v. Tidak sujud di atas barang yang bergerak dengan pergerakannya.
vi. Kedudukan punggung lebih tinggi daripada kepala.
vii. Tamakninah.

Telekung

SEMPURNAKAN rukun solat dengan baik dan penuhi semua syarat sah sujud sebagaimana yang ditetapkan oleh syarak bagi menentukan kesahan ibadah yang dilakukan.

Beliau kemudian menukilkan pandangan yang dikemukakan oleh Imam al-Nawawi yang menyebut: “Sesungguhnya anggota sujud itu ada tujuh, dan seharusnya seseorang yang sujud itu bersujud dengan tujuh anggota tersebut, serta sujud bersama dengan dahi dan hidung kesemuanya. Anggota dahi wajib diletakkan dengan terbuka di atas lantai, dan sunat untuk meletakkan sebahagian daripada hidung. Jika dia meninggalkan sentuhan hidung pada lantai, maka sujudnya sah, tetapi jika dia meninggalkan sentuhan dahu pada lantai, maka tidak sah sujudnya. Ini adalah pandangan Mazhab asy-Syafie, Maliki dan kebanyakan ahli ilmu.”

Imam al-Nawawi menyebut lagi: “Jumhur mengatakan bahawa yang zahir di dalam hadis menyebutkan tujuh anggota, tetapi jikalau dibilang anggota dahi dan hidung, bilangannya akan menjadi lapan, maka anggota hidung hukumnya solat di dalam anggota sujud.”

Baca juga Tak Sah Solat Bila Baca Rukun Qauli Dalam Hati? Ini Penjelasannya

Meskipun terdapat perbahasan dalam kalangan ulama tentang anggota sujud, namun Dr Zulkifli menjelaskan, kebanyakan mereka mengatakan bahawa yang wajib dalam anggota sujud ialah dahi, manakala hidung pula merupakan anggota sujud yang sunat.

“Kami tidak nafikan pandangan sebahagian ulama yang mengatakan kedua-duanya merupakan anggota sujud yang wajib.

“Begitupun, dalam soal sujud dalam keadaan dahi tertutup, Imam Syafie dan ulama dalam kalangan mazhab berkenaan menghukumkan ia wajib dibuka (iaitu tidak ditutup) kawasan dahi supaya ia bersentuhan secara langsung dengan tempat sujud,” katanya.

Telekung

PELIHARALAH solat kita dengan sebaik mungkin kerana ia merupakan tiang agama.

Kewajipan membuka kawasan dahi itu ada disebutkan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Khabab bin al-Arat RA. Beliau berkata: “Kami mengadu kepada Rasulullah SAW mengenai rasa yang sangat panas (yang kami rasai ketika sembahyang) pada dahi dan telapak tangan kami, namun aduan kami tidak dipedulikan.” (Hadis Riwayat al-Baihaqi dalam Sunan al-Kubra)

Baca juga Terlelap ketika solat. Batal atau tidak?

Berdasarkan hadis berkenaan, ujar Dr Zulkifli, jika dahi tidak wajib dibuka, pasti Rasulullah SAW mengizinkan mereka menutupnya.

Justeru, beliau kemudian memberikan tiga contoh yang boleh merosakkan sujud dan membatalkan solat seseorang iaitu:

i. Sujud pada dahi yang tertutup oleh topi atau songkok, maka tidak sah sujudnya.

ii. Sujud pada rambut yang jatuh menutupi dahi, maka tidak sah sembahyang. Berlainan pula jika rambut yang tumbuh pada dahi, maka ia tidak mengapa kerana rambut itu umpama kulit.

iii. Sujud dengan meletakkan dahi di atas tangan sendiri atau sujud pada gulungan serban juga tidak sah solatnya tanpa percanggahan ulama.

Telekung

JIKA seorang wanita tersujud di atas telekung kain jemaah di sebelahnya, sujudnya tetap dikira sah.

Mudah kata, apa sahaja pakaian yang digunakan ketika kita solat seperti tudung, telekung, serban, kopiah dan seumpamanya tidak boleh menghalang dahi kita daripada menyentuh tempat sujud. Ia menjadi penentu kesahan sujud seseorang.

Berlainan pula situasinya jika seorang wanita yang tersujud di atas kain telekung jemaah di sebelahnya.

Baca juga Sutrah, penghadang daripada orang ramai ketika solat

Menurut Ketua Penolong Mufti (Penyelidikan), Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Syed Shahridzan Syed Mohamed, sujudnya tetap dikira sah kerana wanita tadi bersujud di atas sesuatu yang tidak bergerak dengan gerakannya dan bukan di atas tanggungannya.

DR SYED SHAHRIDZAN

Justeru, berhati-hatilah dengan menjaga rukun solat sebaiknya. Bimbang jika kita meremehkannya, ibadah tersebut menjadi tidak sah pula.

Foto: 123rf & Freepik

menunaikan solat tanpa telekung
Hukum,

Menunaikan solat tanpa telekung, ini tip yang anda perlu tahu

SEJAK bermulanya wabak COVID-19, sememangnya menunaikan solat tanpa telekung adalah perkara yang tidak asing lagi bagi para Muslimah di Malaysia.

Masakan tidak, antara cubaan mengekang penularan penyakit tersebut di kawasan masjid dan surau termasuk tidak lagi menyediakan kelengkapan solat buat jemaah oleh pihak pengurusan.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, solat yang dilaksanakan oleh Muslimah yang terlupa membawa telekung sendiri dan terpaksa bersolat dengan pakaian sedia ada tetap sah asalkan pakaian tersebut menutupi aurat.

Baca juga Tak sah solat jika sujud atas kain telekung sendiri?

Bagi kaum wanita, tip berikut mungkin dapat membantu sekiranya perkara tersebut berlaku kepada anda, :

1. Memakai pakaian yang longgar dan tidak jarang

Pakaian yang dipakai haruslah jenis kainnya tebal dan mampu menyembunyikan warna kulit dan tidak menampakkan sifat anggota badan.

Kain yang terlalu nipis atau jarang sehingga menampakkan warna kulit atau anggota badan yang ada di sebalik kain tersebut maka ia tidak sah dibawa bersolat kerana tidak mencapai tujuan menutup aurat.

Solat tanpa telekung

PASTIKAN pakaian anda menepati syariat sebelum melaksanakan solat tanpa telekung.

Sekiranya kain tersebut dapat menyembunyikan warna kulit tetapi menampakkan bentuk dan ukuran tubuh badan, maka sah bersolat dengannya kerana ia tidak dapat dielakkan sekalipun memakai kain tebal.

Begitu pun, ulama mazhab Syafie berpendapat hukum memakai kain sedemikian adalah makruh dan sebaik-sebaiknya dielakkan.

Selain itu, makruh hukumnya bagi pemakaian baju t-shirt ketat yang menampakkan bentuk pinggul dan dada.

Baca juga Rambut wanita yang dipotong tetap aurat. Tak boleh diperlihatkan pada orang lain sesuka hati

2. Tudung labuh melepasi dada

Tudung yang dibolehkan ketika solat ialah tudung yang menutup rambut wanita dengan sempurna, tidak jarang sehingga menampakkan leher dan labuh sehingga menutupi dada.

3. Menutup kaki

Kaki antara aurat yang wajib ditutup bagi wanita ketika solat. Dalam sebuah riwayat daripada Ummu Salamah RA, beliau pernah bertanya kepada Rasulullah SAW,

Adakah boleh seorang perempuan itu solat dengan memakai baju dan tutup kepala tanpa memakai izar (kain yang dipakai di bahagian bawah badan).” Nabi SAW menjawab: “Boleh, sekiranya baju itu labuh menutupi zahir kedua kaki.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Bagi pemakaian stoking pula harus dari jenis kain yang tebal dan tidak menampakkan warna kulit si pemakai.

solat tanpa telekung

SOLAT lima waktu yang dituntut agama perlu dilaksanakan dalam apa jua keadaan sekalipun.

4. Menutup pergelangan tangan

Dalam mazhab Syafie, aurat wanita di dalam solat adalah keseluruhan anggota badan wanita kecuali muka dan kedua tapak tangan yang zahir dan batin, iaitu dari hujung jari sehinggalah ke pergelangan tangan.

Jadi, pastikan bahagian tangan ditutup sehingga ke pergelangan tangan ketika menunaikan solat tanpa telekung.

Anda juga boleh memakai sarung lengan (handsock) untuk mengelakkan aurat lengan anda terselak sewaktu solat.

Baca juga Ramai ingat suara wanita itu aurat, tapi sebenarnya…

Pihak Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan juga mengingatkan bahawa yang menjadikan solat itu sah sebenarnya adalah dengan menutup aurat dan bukannya telekung itu sendiri.

Di samping itu, aurat wanita di dalam solat sama sahaja seperti auratnya ketika di luar solat.

Semoga perkongsian ini berguna bagi kaum hawa di luar sana yang meskipun tidak mempunyai kelengkapan solat yang khusus, namun tetap bersungguh-sungguh menunaikan ibadah kepada ALLAH SWT demi mencari keredaan-NYA.

Foto: Pexels & Freepik