Browsing Tag

telanjang

mandi telanjang
Hukum,

Mandi telanjang dan lihat aurat sendiri, apa hukumnya?

ADAKAH kita dibolehkan mandi telanjang serta melihat aurat sendiri?

Islam adalah agama yang sangat menitikberatkan soal kebersihan dan salah satu cara kita boleh menjaga kebersihan diri adalah dengan mandi.

Bukan sahaja mandi dapat membersihkan badan daripada kotoran, bahkan bau tubuh badan yang wangi dapat menimbulkan kemesraan sesama manusia.

Namun, apakah hukumnya jika kita mandi secara tidak berpakaian?

Baca juga Mandi selepas Asar, Maghrib dan Isyak jejas kesihatan serta dilarang agama… Itu semua karut, hakikatnya

Perihal aurat, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan bahawa aurat lelaki apabila berseorangan adalah qubul dan duburnya. Manakala, bagi wanita pula adalah antara pusat dan lutut.

Walaupun dalam keadaan berseorangan, seseorang itu tidak boleh bertelanjang atau membuka auratnya tanpa ada sebarang keperluan atau hajat.

mandi telanjang

SEBAGAI umat Islam, kita sememangnya tidak dibenarkan mandi telanjang dan mendedahkan aurat kita di kawasan yang boleh dilihat orang lain.

Namun, tahukah anda perbuatan mandi dalam keadaan tidak berpakaian pernah dilakukan oleh para Nabi terdahulu. Perkara ini diceritakan oleh Rasulullah SAW melalui catatan hadis dari Abu Hurairah RA.

Nabi terdahulu pernah mandi dalam keadaan tidak berpakaian

Menurut Rasulullah SAW, Nabi Musa AS pernah mandi dalam keadaan tidak berpakaian di tempat yang jauh daripada orang ramai:

Dahulu Bani Israel mandi telanjang, mereka saling melihat satu sama lain. Sementara Nabi Musa AS mandi seorang diri. Orang-orang Bani Israel berkata: “Demi ALLAH, tidak ada yang mencegah Musa mandi bersama kita kecuali kerana dia mengidap penyakit aadar.”

Suatu ketika Nabi Musa pergi mandi, baginda meletakkan pakaiannya di atas batu, lalu batu itu membawa lari pakaiannya. Maka Musa pun mengejarnya (batu itu), seraya berkata: “Hai batu, pakaianku!”. Akhirnya, orang-orang Bani Israel pun melihat Musa. Lalu mereka berkata: “Demi ALLAH, ternyata Musa tidak mengidap penyakit apa pun.”

Musa berjaya mengambil pakaiannya, lalu memukul batu tersebut dengan satu pukulan. Abu Hurairah berkata: “Demi ALLAH, bekas (pukulan) Nabi Musa pada batu itu sama dengan pukulan enam atau tujuh batu” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Baca juga Mandi dalam kolam renang yang pernah dimasuki anjing, apa perlu dibuat…

Perbuatan yang sama juga pernah dilakukan oleh Nabi Ayub AS. Sabda Nabi SAW lagi,

Sewaktu Nabi Ayub AS mandi dalam keadaan tidak menutup aurat, tiba-tiba jatuhlah di depannya seekor belalang emas.

Ayub pun segera hendak mengambil kainnya, maka baginda pun dipanggil oleh Tuhannya, “Wahai Ayub, bukankah engkau telah cukup kaya hingga tidak memerlukan lagi barang (belalang emas) yang kau lihat itu?”

Ujar Ayub, “Benar wahai Tuhanku, tetapi aku tidak boleh mengabaikan keberkatan pemberian-MU.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

mandi telanjang

SAMA ada kita dibenarkan mandi tanpa berpakaian atau tidak bergantung kepada keadaan sekeliling,

Hukum mandi telanjang ketika berseorangan

Berdasarkan hadis tentang kisah Nabi Musa dan Nabi Ayub AS ini, para alim ulama termasuk Imam Bukhari, Ibnu Battal dan Ibnu Hajar berpendapat perbuatan bertelanjang ketika mandi berseorangan adalah makruh, namun dibolehkan.

Pun begitu, agamawan menasihatkan sebaik-baiknya menutup aurat ketika mandi sebagai tanda malu dengan ALLAH Taala.

mandi telanjang

USTAZ HADI ZAHALAN

Kata penceramah bebas, Dr Nur Mohammad Hadi Zahalan, antara pesanan orang-orang dahulu adalah menggunakan kain basahan ketika mandi.

Keadaan rumah orang dahulu yang diperbuat daripada kayu membolehkan orang lain mengintai seseorang yang sedang mandi. Oleh itu, kain basahan dipakai sewaktu mandi supaya tubuh badan terlindung daripada dilihat orang lain.

Baca juga 2 masalah berkaitan air yang sering berlaku yang wajib kita ambil tahu…

Selain itu, kita juga disarankan mengamalkan doa ketika menanggalkan pakaian bagi mengelakkan badan daripada dilihat jin.

Doa menanggalkan pakaian:

بِسْمِ اللهِ الَّذِيْ لاَ إِلَهَ إِلأَ هُوَ
Maksudnya: “Dengan nama ALLAH yang tiada Tuhan selain DIA .”

Oleh itu, sememangnya dibolehkan mandi dalam keadaan telanjang tetapi bukan di tempat terbuka atau dapat dilihat oleh orang lain.

Baca juga ‘Bersama’ dengan isteri belum mandi wajib asbab haid, ini yang wajib tahu

Sebagai Muslim, kita perlulah menjaga maruah dan tidak mendedahkan aib diri sendiri di hadapan orang lain. Hal ini kerana Nabi SAW pernah bersabda, “Malu itu sebahagian daripada Iman.” (Hadis riwayat Bukhari)

Foto: Pexels & al Bayan Global