Browsing Tag

telan

telan sisa makanan
Hukum,

Telan sisa makanan di dalam mulut ketika solat

APAKAH hukum menelan sisa makanan di dalam mulut ketika melaksanakan solat?

Makan dan minum sememangnya perkara yang ditegah dalam solat kerana mampu membuatkan kita hilang khusyuk terhadap ibadah yang dilakukan.

Dalam mazhab Syafie, perbuatan makan dan minum dengan sengaja ketika solat, sama ada sikit atau banyak akan membatalkan solat tersebut. (Rujuk al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, 4/89)

Namun, ada sesetengah situasi tidak dapat kita elakkan seperti sisa makanan yang terlekat di celah gigi.

Persoalannya, adakah sah solat yang dilakukan jika tertelan sisa makanan itu ketika solat?

telan sisa makanan

ULAMA berpendapat sisa makanan yang tertelan secara tidak sengaja perlulah tidak melebihi sebiji kacang kuda supaya solat yang didirikan sah,

Dalam hal ini, ulama berpendapat bahawa sekiranya tertelan sisa makanan dalam kuantiti yang sedikit, maka ia tidak membatalkan solat.

Jelas ulama fiqh, Dr Muhammad Zuhaili dalam kitabnya, al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, yang dimaksudkan sedikit itu adalah sisa makanan yang besarnya kurang daripada sebiji kacang kuda.

Selain itu, sarjana Islam, Imam Nawawi berkata jika menelan sesuatu yang sukar dibezakan seperti bercampurnya air liur dengan makanan, tanpa sengaja atau menelan kahak yang sukar untuk dihalang, maka solat tidak terbatal.

Namun, sekiranya tertelan sisa makanan dalam kuantiti yang banyak sama ada secara sengaja atau tidak, maka hukumnya tetap batal.

Baca juga Bolehkah membaca surah yang sama dalam solat?

Cara mengeluarkan makanan dari mulut ketika solat

Jelas portal Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, kita dibenarkan membuang sisa makanan ketika sembahyang dengan meludah atau membuangnya pada pakaian, tisu atau selendang sebagaimana pernah dilakukan Rasulullah SAW.

Daripada Anas bin Malik RA:

Bahawasanya Nabi SAW terlihat kahak di (dinding) kiblat, dan Nabi tidak menyukai akan hal itu sehingga terpapar (kemarahan) pada wajahnya. Lalu Baginda SAW pun bangun dan membuang (kahak) dengan tangannya. Lalu Baginda bersabda “Apabila seseorang daripada kamu mendirikan solat, sesungguhnya dia sedang bermunajat kepada Tuhan-NYA, atau Tuhan-NYA berada di antara dirinya dan qiblat, maka tidak patut seorang pun meludah ke arah kiblat, tetapi (ludahlah) disebelah kirinya atau di bawah kakinya”. Kemudian Baginda SAW mengambil hujung selendangnya, dan meludah kemudian melipat bahagian itu kemudian bersabda “Atau hendaklah orang itu melakukan seperti ini.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

tertelan makanan

JIKA solat di masjid, sisa makanan tersebut harus diludahkan di baju atau tisu.

Kata Imam Nawawi, meludah di bawah tapak kaki atau ke sebelah kiri lantai hanya boleh dilakukan di kawasan selain masjid seperti di rumah.

Sebaliknya, ketika di masjid, sisa makanan itu perlu diludahkan ke baju atau menyapunya pada tisu dan kain.

Pun begitu, jika didapati ada sisa makanan dalam mulut, sebaik-baik anda memberhentikan solat terlebih dahulu dan berkumur-kumur bagi menghilangkannya.

Baca juga Solat berjemaah dengan mulut bau durian, apa hukumnya?

Di samping itu, boleh juga mengambil pendekatan bersugi atau menggosok gigi selepas makan agar tidak menimbulkan keraguan kepada ibadah yang akan dilakukan.

Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk meningkatkan kualiti ibadah yang dilaksanakan.

Sumber: Al-Kafi #1445: Adakah membatalkan solat sekiranya menelan sisa makanan di celah gigi

Foto: Freepik & Pexels