Browsing Tag

teladan

Tinggalkan suruhan ALLAH
Berita Semasa,

Sikap Anak Adalah Cerminan Ibu Bapa. Didik, Tunjukkan Teladan Baik Sejak Mereka Kecil Lagi

no comment

Oleh FOUZIAH AMIR

SEBAGAI orang Islam, sewajarnya kita perlu menjadi hamba dan khalifah yang baik. Paling penting, pastikan setiap ahli keluarga masing-masing mempunyai asas ilmu agama.

Demikian pesan bekas Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Lembaga Tabung Haji, Nik Mohd Hasyudeen Yusoff yang berkongsi pandangan tentang tanggungjawab ketua keluarga menerusi sesi rakaman program Majlis Ayah di Batang Kali, Selangor baru-baru ini.

NIK MOHD HASYUDEEN

Sebagai bapa katanya, kita tidak boleh lari daripada tanggungjawab untuk pemimpin keluarga, selain menghidupkan ilmu agama dalam kehidupan.

“Sebenarnya, nilai ilmu tersebut boleh dilihat melalui akhlak kita. Sebagai ketua keluarga, kita mungkin boleh berpesan dan menegur ahli keluarga masing-masing. Namun, apa yang kita lakukan mesti menjadi contoh kepada mereka,“ katanya.

Bapa kepada enam anak itu mengakui, pembentukan sahsiah dirinya datang daripada ayahnya, Yusoff Mohamed dan datuk saudaranya, Mohd Ali Ismail.

“Ayah saya ialah guru sekitar tahun 1960 hingga 1970-an yang dipandang tinggi dan menjadi rujukan dalam masyarakat. Beliau mengajar saya untuk mengenal erti memberi tanpa balasan.

“Bapa saudara pula bekerja kampung, tetapi tidak mengabaikan tanggungjawab untuk menjaga keluarga sendiri dan saudara terdekat. Saya mempelajari nilai jujur dan amanah daripada mereka untuk menjadi insan dalam masyarakat dan seorang bapa,“ ujarnya.

Firman ALLAH SWT: “Wahai orang-orang beriman! Jagalah diri kamu dan ahli keluarga kamu dari neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu.“ (Surah at-Tahrim, ayat 6)

Mengambil motivasi daripada ayat suci itu, Nik Mohd Hasyudeen berkata, kalam ALLAH tersebut menjadi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi dirinya sebagai ketua keluarga.

Baca juga Merotan Bukan Untuk Menghukum, Sebaliknya Ia Pendekatan Akhir Didik Anak-anak Kita

Bagi mencapai KPI tersebut, katanya, beliau sendiri perlu mematuhi perkara yang diperintahkan oleh ALLAH SWT dan ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.

“Beri tunjuk ajar kepada anak dan cucu mengenai Islam dan ilmu urus diri. Apabila meninggal dunia, perkara yang boleh memberi manfaat kepada diri ialah doa anak soleh.

Sikap anak

SESI rakaman Majlis Ayah bersama Nik Mohd Hasyudeen (kanan) yang diadakan di kebunnya di Batang Kali baru-baru ini.

“Ya, bukan mudah untuk mendidik mereka walaupun dihantar ke sekolah yang bagus. Apatah lagi, pada zaman serba canggih kini, kita tidak mampu mengawasi setiap tingkah laku mereka. Oleh itu, penting untuk kita tanamkan prinsip agama dalam jiwa mereka agar dapat dijadikan panduan untuk membuat sebarang keputusan dalam kehidupan.

“Apa-apapun, ibu bapa tetap menjadi contoh kepada anak. Walaupun kita memberi nasihat dan teguran, anak akan melihat dahulu apa yang kita lakukan. Namun begitu, sebagai manusia, kita tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Jika ini berlaku, jelaskan kepada mereka agar kesilapan itu tidak berulang,“ katanya.

Majlis Ayah merupakan sesi Berinteraksi dengan Al-Quran; Baca, Faham dan Amal‘ khusus buat golongan lelaki terutama yang bergelar ayah. Surah al-Mulk menjadi surah pilihan untuk ditadabbur dengan topik berkaitan kebapaan.

Pendekatan program itu bermula dengan perkongsian tetamu ayah yang terdiri daripada pelbagai latar belakang.

Foto: Freepik & Fouziah Amir