Browsing Tag

Teknologi AI

Teknologi AI
Isu,

Teknologi AI sempurnakan fardu kifayah

Teknologi AI sempurnakan fardu kifayah

TATKALA imej seorang nenek bermain papan selaju tular baru-baru ini, ramai menyuarakan rasa tidak logik.

Namun, apabila mengetahui imej itu dihasilkan menerusi janaan teknologi kecerdasan buatan atau artificial intelligence (AI), warganet mula memuji dan mengagumi kecanggihan aplikasi tersebut.

Meskipun demikian, bibit kebimbangan tetap menerjah. Khuatir andai teknologi itu disalah guna. Paling menakutkan apabila ia menerbitkan natijah buruk kepada manusia.

Mampukah AI memberi manfaat kepada umat Islam? Apakah cara mengatasi herotan kemudahan berkenaan dan apakah pandangan Islam mengenainya?

Baca juga Meski teruja dengan kemunculan AI, perhati juga kedudukan hukum dalam penciptaan imej manusia

Mudahkan urusan

Bagi mendapatkan pencerahan, Sinar Islam Plus mewawancara Jurutera Kanan AI Torum Technology Sdn Bhd (Torum Technology), Dr Fairoza Amira Hamzah.

Teknologi AI

DR FAIROZA AMIRA

Jelas beliau, teknologi tersebut sebenarnya memudahkan banyak proses pekerjaan.

Salah satunya melibatkan urusan menunaikan haji. Lembaga Tabung Haji sedang membangunkan aplikasi bagi memudahkan prosedur umat Islam menunaikan Rukun Islam kelima itu, ungkapnya.

“Jika sebelum ini kita membuat permohonan visa secara manual tetapi dengan AI, semua kecekapan urusannya akan diperbaiki.

“Sistem sebegitu bukan hanya memberi manfaat kepada umat Islam tetapi seluruh dunia,” katanya.

Sebagai umat Islam, jelas beliau, kita bukan sahaja memainkan peranan sebagai ‘abid (beribadah) tetapi juga menjadi khalifah di bumi ini.

“Mudah kata, kita tidak boleh hanya fokuskan akhirat dan meninggalkan duniawi. Kedua-duanya perlu seiring.

“Umat Islam perlu menceburkan diri dalam bidang ini agar tidak timbul isu berat sebelah di situ, selain menyeimbangkan antara kedua-dua peranan mereka,” katanya.

Pendek kata, melihat fungsinya yang menyeluruh, AI sebenarnya membantu umat Islam dalam menyempurnakan fardu kifayah!

Baca juga Jurutera Cipta Tudung PPE Mudahkan Wanita Muslim Bekerja Dalam Bidang Lasak

Lebih enam dekad

Mengulas lanjut, lulusan PhD Sains Maklumat dan Kejuruteraan Kawalan, Nagaoka University of Technology Jepun itu menjelaskan, AI dalam bahasa mudahnya ‘menjadikan sesuatu alat mempunyai kepintaran’.

Teknologi AI

DR FAIROZA AMIRA mengendalikan AI dalam semua platform media sosial Torum Technology bagi meningkatkan kecekapan operasi syarikat. -Foto: ASRIL ASWANDI SHUKOR

“Sepertimana kita boleh bercakap, bertanya, menjawab soalan, memahami dan seumpamanya, begitu juga dengan AI.

“AI mendapat data-data jawapan yang kita tanyakan tadi kerana ia diajar semua perkara tersebut dan memahaminya. Jadi, segala pertanyaan, carian atau apa sahaja yang dikehendaki boleh ditafsir dengan baik oleh AI,” katanya di pejabatnya di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menelusuri historiografinya, AI sudah melewati enam dekad usianya.

Menurut Dr Fairoza, ia bermula sejak tahun 1950-an lagi. Ketika itu, ia dalam bentuk fuzzy logic (komputer dapat meniru kecerdasan manusia).

“Kini, banyak bentuk AI boleh dilihat seperti ChatGPT, Midjourney dan lain-lain. Malah, ada AI yang boleh menghasilkan muka sendiri dan sesuatu yang seumpama itu,” katanya yang bertugas mengendalikan AI dalam semua platform media sosial Torum Technology bagi meningkatkan kecekapan operasi syarikat.

Meskipun AI bukanlah suatu teknologi baharu, namun Dr Fairoza yang terlibat secara langsung dalam penyediaan cadangan hala tuju atau roadmap AI Malaysia menjelaskan, ia baru sahaja popular 10 tahun kebelakangan ini di Malaysia.

“Boleh dikatakan, sekarang di mana-mana saja ada AI. Sebagai contoh, Torum Technology mengendalikan platform media sosial bagi mata wang kripto yang mempunyai lebih 230,000 pengguna. Ia sama seperti platform laman sosial yang lain.

“Apabila kita menulis hantaran (posting), kemudian orang ‘spam’ atau guna perkataan yang menyakitkan hati, sudah tentulah kita tak suka. Jadi, di sinilah fungsi AI untuk membantu menapis ‘spam’ tadi dalam media sosial.

“Dalam bidang kewangan pula misalnya, AI membantu memastikan tiada penipuan berlaku,” terangnya.

Buatkan manusia jadi malas?

Sepertimana rekayasa yang lain, AI juga ada pro dan kontranya.

Baca juga Ada yang malas bekerja dan lesu bila beribadah? Nabi SAW sarankan doa ini dibaca setiap hari

Apatah lagi, baru-baru ini, dunia dikejutkan dengan kemenangan seorang jurufoto asal Jerman yang menghantar karya dengan bantuan AI pada pertandingan Anugerah Fotografi Dunia Sony 2023.

Teknologi AI

JELAS Dr Fairoza Amira, sekalipun seseorang menggunakan AI, ia memerlukan kebijaksanaan dan daya imaginasinya untuk menghasilkan sesuatu. -Foto: ASRIL ASWANDI SHUKOR

Meskipun empunya diri mengakui menggunakan AI dan menolak kemenangan tersebut tetapi isu itu membiaskan sisi buruk penggunaan teknologi berkenaan.

Dalam hal itu, Dr Fairoza mempunyai pandangannya sendiri.

Jelas beliau, ia hanyalah isu terpencil. Malah dari satu segi, menggunakan AI juga memerlukan kebijaksanaan supaya satu imej yang cantik akan terhasil sebagaimana bidikan lensa jurufoto profesional.

“Bukan semua orang ada kemampuan imaginasi sebegitu walaupun sama-sama menggunakan AI. Sudah tentu jurufoto tadi mengerah ideanya demi mendapatkan hasil yang hebat.

“Jika saya sebagai juri, saya akan ambil kira 50-50 iaitu idea dan teknologi AI yang digunakan,” ujarnya sambil menjelaskan, kerajaan sedang menyiapkan polisi, dasar dan etika tertentu bagi menangani masalah berbangkit tentang AI.

Paling penting, katanya, setiap orang perlu ada kesedaran.

“Andai seseorang menggunakan AI dalam melakukan tugasan seperti fotografi tadi, dia perlu isytiharkan,” katanya.

Kepada satu soalan, Dr Fairoza menjawab: “Bagi saya, AI tidak akan merampas pekerjaan manusia, cuma ia menjadikan kita sedikit malas.

“Namun, andai ada sesuatu yang memudahkan, pastinya kita tetap perlu berfikir dan berimaginasi seperti kes jurufoto tadi untuk menghasilkan gambar yang cantik serta mampu menang.

“Barangkali ada sebilangan pekerjaan yang akan kurang menggunakan tenaga manusia. Sebagai contoh, ChatGPT yang boleh menulis hantaran di media sosial. Bagaimanapun, manusia tetap perlu menyunting dan menambah apa yang patut supaya ia tidak canggung dan nampak seperti bahasa komputer.

“Hakikatnya, sejauh mana pintarnya AI, bijak lagi manusia. Tiada siapa mampu menandingi kuasa ALLAH SWT yang mencipta kita dan akal fikiran kurniaan-NYA .”

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.